Showing posts with label KOSOVO (2022) - Prizren / Pristina. Show all posts
Showing posts with label KOSOVO (2022) - Prizren / Pristina. Show all posts

Friday 23 December 2022

2022 BALKANS BHG. 27 (Prizren 1)

Oktober 2022

SOUTHEASTERN EUROPE (BALKANS)
Croatia, Bosnia-Herzegovina, Montenegro, Albania, Kosovo, North Macedonia, Greece & Turkiye (3rd Visit)
(KOSOVO: Prizren & Pristina)

Bahagian 27: Kosovo 1
PRIZREN (Prizren City)

HARI KEENAM (2)

Part 74: Kosovo
 
Seperti juga semalam sewaktu kami masuk ke Albania dari Montenegro, pemeriksaan passport cuma ada di pos sempadan Montenegro. Begitu juga pada hari ini sewaktu kami masuk ke Kosovo, pemeriksaan passport cuma ada di pos sempadan Kosovo dan tiada di sebelah Albania. Di pos sempadan Kosovo ini, passport diserah kepada driver bas kami untuk dikemukakan kepada pegawai imigresen Kosovo. Kemudian ada pegawai imigresen wanita yang naik ke bas kami untuk memastikan pemilik setiap passport yang diserah. 

Peta Kosovo
Kosovo adalah sebuah negara tanpa lautan (landlocked) di Balkans. Penduduknya berjumlah 2 juta orang yang sebahagian besarnya (98%) berketurunan Albania dan beragama Islam. Ia juga mempunyai sebilangan kecil penduduk berketurunan Serb yang tinggal di bahagian utara negara itu berhampiran sempadan Serbia. Kata Mehmet, penyanyi popular Dua Lipa berbangsa Albania dan berasal dari Kosovo.

Selepas Perang Dunia II, Kosovo ditadbir sebagai wilayah autonomi di dalam negara Serbia. Namun demikian, autonomi ini ditamatkan oleh Presiden Serbia Slobodan Milošević pada tahun 1989. Kosovo telah dijadikan sebagai wilayah mutlak di bawah pemerintahan Belgrade. 

Kosovo
Akibatnya, Kosovo menurut jejak Slovenia dan Croatia mengisytiharkan kemerdekaan dari Persekutuan Yugoslavia. Seperti juga di wilayah-wilayah lain yang serupa, pengisytiharan ini tidak direstui oleh Serbia.
 
Pada tahun 1996, sebuah kumpulan separa tentera yang dinamakan Kosovo Liberation Army (KLA) ditubuhkan. Ia memulakan tindakbalas konflik bersenjata dengan Milošević. Polis rahsia Serbia membunuh 50 orang ahli keluarga KLA pada awal tahun 1998. Keganasan semakin memuncak bila polis Serbia membunuh pula etnik Albania atas alasan war on terrrorism. KLA bertindak balas dengan melancarkan kempen ganas terhadap Serbia.

Dunia mengecam tindakan Serbia di Kosovo, lebih-lebih lagi kerana kempen pembersihan etnik di Bosnia-Herzegovina sedang berlaku ketika itu. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melarang penjualan senjata kepada Serbia dan menuntut supaya gencatan senjata diadakan pada tahun 1998. Serbia membalas melalui pembunuhan 45 orang etnik Albania dalam kejadian Račak Massacre pada tahun 1999.

Pemandangan bandar dan perkampungan di Kosovo
Ternakan biri-biri
NATO melancarkan kempen serangan selama 77 hari ke atas Serbia yang turut menyebabkan beberapa orang awam terbunuh. Serbia akhirnya menyerah kalah dan meninggalkan Kosovo. KLA turut dibubarkan. Lebih sejuta penduduk yang melarikan diri kembali ke Kosovo.

Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan di bawah panji PBB pada tahun 2008. Namun tak semua negara mengiktiraf kemerdekaan Kosovo sehingga sekarang. Ia cuma diiktiraf oleh Amerika Syarikat dan kebanyakan negara ahli European Union (EU). Serbia, Russia dan beberapa negara lain (termasuk juga beberapa ahli EU) tidak mengiktiraf Kosovo sebagai sebuah negara yang merdeka. Serbia masih mengemukakan tentangan yang kuat bagi sebarang pengiktirafan kemerdekaan Kosovo. Disebabkan perkara ini jugalah keahlian Kosovo dalam PBB masih tergantung sehingga sekarang. Namun keamanan Kosovo kini terkawal kerana terdapatnya sebuah pangkalan tentera NATO dan sebuah pangkalan tentera USA di negara ini. Tak berani Serbia nak mengusik Kosovo lagi, bak kata Mehmet kepada kami.

Menuju ke Prizren
Vrrini Market
Villa Arifaj
Stesen Minyak
Jaha Restaurant & Market

Part 75: Prizren

Destinasi kami adalah Prizren yang merupakan kota yang kedua terbesar di Kosovo selepas ibu negaranya yang bernama Prishtina. Ia terletak di tebing Sungai Lumbardh yang juga dikenali sebagai Prizren Bistrica di kaki Pergunungan Sharr.

Pemandangan di pinggir bandar Prizren
Penduduk asal kawasan Prizren adalah bangsa Illyrian yang berketurunan Albania. Pada zaman Rom, Prizren dikenali sebagai Theranda. Pada tahun 830M seluruh kawasan Prizren menjadi jajahan Bulgarian Empire yang seterusnya jatuh ke tangan Kerajaan Byzantine pada tahun 1018. Selepas ditawan silih berganti oleh Empayar Serbia, Byzantine dan Bulgarian, ia akhirnya ditawan oleh Grand Prince Stefan II Nemanjić of Serbia pada tahun 1208. Prizren dijadikan pusat pentadbiran gereja Serbian Orthodox dan seterusnya pusat pemerintahan Serbian Empire. Kemasyhuran dan kemakmuran Prizren di bawah Serbian Empire membolehkan ia mendapat gelaran sebagai Serbian Constantinople.

Pada tahun 1545, Prizren ditawan pula oleh Kerajaan Ottoman yang menjadikan bandar ini sebagai pusat kebudayaan dan intelektual. Prizren mula diduduki oleh komuniti Muslim berketurunan Albania yang menjadi 70% komposisi penduduknya pada tahun 1857. 

Patung Skanderbeg di tengah kota Prizren. Beliau adalah seorang raja tempatan yang berkhidmat dengan Kerajaan Ottoman.
Runtuhan Namazgah (Broken Mosque) di tengah bandar Prizren
Namazgah dibina atas arahan pemerintah Ottoman Sultan Mehmed II (Mehmed the Conquerer) untuk kemudahan tenteranya bersolat selepas menawan Prizren pada tahun 1455.
Pada tahun 1871, sebuah Serbian Seminary dibuka di Prizren dan seterusnya terdapat cadangan untuk menggabungkan Prizren dengan wilayah-wilayah lama Serbia lain di bawah Principality of Serbia. Cadangan ini mendapat bantahan dari penduduk berketurunan Albania yang menubuhkan Albanian League of Prizren untuk menyatukan semua penduduk berketurunan Albania di bawah pemerintahan Kerajaan Ottoman.

Lebih 90% penduduk Kosovo kini menganut agama Islam
Sewaktu Perang Balkan Pertama (1912), Prizren ditawan tentera Serbia dan dijadikan sebahagian Kingdom of Serbia. Walaupun tentera Serbia tidak berdepan dengan tentangan yang sengit, mereka bertindak kejam membunuh 400-4000 penduduk yang berketurunan Albania. Walau cuba disembunyi oleh Serbia, tindakan ini diakui oleh wartawan asing yang membuat laporan media dan juga Catholic Archbishop of Skopje yang memberi laporan kepada Pope di Vatican tentang penindasan rakyat berketurunan Albania ini.

Bila Kingdom of Serbia jatuh kepada Empayar Austria-Hungary dalam Perang Dunia Pertama pada tahun 1915, Prizren turut jatuh kepada Central Powers yang terdiri dari gabungan German Empire, Austria-Hungary, Ottoman Empire dan Kingdom of Bulgaria. Namun kemenangan ini tidak bertahan lama setelah tentera Serbia berjaya mengusir Central Powers dari Montenegro pada tahun 1918. Kingdom of Serbs, Croats and Slovenes dibentuk pada penghujung tahun 1918 dan sebagai entiti wilayah bersejarah Serbia, Prizren turut menjadi sebahagian negara baru ini. Kingdom of Serbs, Croats and Slovenes ini telah dinamakan semula sebagai Kingdom of Yugoslavia pada tahun 1929.

Dalam Perang Dunia Kedua, Prizren ditawan pula oleh tentera Axis Itali pada tahun 1941. Ia dijadikan sebahagian dari negara boneka Albania oleh Itali. Prizren ditawan semula oleh tentera Komunis Yugoslavia pada tahun 1944 dan menjadi sebahagian dari wilayah Kosovo yang ditadbir secara autonomi di bawah Serbia di dalam Federal People’s Republic of Yugoslavia. Namun bertahun lamanya sewaktu di bawah pemerintahan Serbia, Prizren dan rantau Deçani yang terletak di barat daya terus menjadi pusat nasionalisme rakyat berketurunan Albania. 

Memang panjang sejarah Prizren dan Kosovo. Namun kita perlu mengetahui sejarah ini untuk memahami tempat-tempat yang akan kita lawati di Prizren nanti.

Bulatan di bandar Prizren
Pemandangan kawasan kediaman di Prizren
Wayar elektrik yang berselirat di Prizren. Macam pemandangan di Thailand dan Vietnam.
Prizren kini adalah sebuah bandar moden yang tenang. Untuk membolehkan kami melihat sejarah peninggalan Ottoman di Prizren, kami dibawa menuju ke Prizren Old City. 

Komunae Prizren (Municipality of Prizren)
Bangunan Kedutaan Turkiye
Hotel Theranda di sebelah Kedutaan Turkiye

Part 76: Prizren Old City

Bas menurunkan kami di seberang Sungai Lumbardh. Dari sini kami berjalan menyeberang sebuah jambatan untuk menuju ke Old City.

Bas menurunkan kami di sini
Pemandangan dari tempat bas menurunkan kami
Prizren Fortress (Kalaja) yang terletak di atas gunung sana juga dapat dilihat dari sini
Sewaktu berjalan ke Prizren Old City, kami turut ditunjukkan sebuah kota lama di atas sebuah bukit yang tinggi. Kota ini yang dinamakan Kalaja adalah pusat pemerintahan di zaman Serbian Empire dulu. Kota ini pada asalnya dibina oleh Kerajaan Byzantine, namun telah diperbesarkan oleh Emperor Stefan Dušan. Ia kemudian diambilalih oleh Kerajaan Ottoman selama 4 kurun.

Potret wira perang Kosovo, Xhevat A. Berisha
Mercu tanda utama Prizren Old City adalah Sinan Pasha Mosque di depan sana.
Atas jambatan menuju ke Prizren Old City
Sungai Lumbardh yang membelah kota Prizren
Walau dijajah begitu lama oleh Kerajaan Ottoman, suasana di Prizren Old City tidaklah 'Ottoman' sangat. Suasana di sini lebih Eropah berbanding Turkiye. Seperti kebanyakan kota lama Eropah yang pernah kami lawati juga, jalan di Prizren Old City juga dibina dari cobblestones. 

Suasana di Prizren Old City
Cuma Masjid Sinan Pasha ini saja yang memberikan sedikit suasana Turki di Prizren Old City
Kalau berjalan di Prizren Old City, kita mesti tak boleh miss Masjid Sinan Pasha. Rasanya inilah bangunan yang terbesar di sini. Ia dibina pada tahun 1615 menggunakan batu dari runtuhan Serbian Orthodox Monastery of the Holy Archangels.

Sinan Pasha Mosque
Pintu masuk ke Sinan Pasha Mosque
Plak restorasi Sinan Pasha Mosque 2011-2013
Jalan di depan Sinan Pasha Mosque dinamakan Rruga Mimar Sinani. Ia dibarisi berbagai kedai, kafe dan restoran.

Rruga Mimar Sinani
Restoran dan kafe yang membarisi Rruga Mimar Sinani. Rruga bermaksud Jalan dalam Bahasa Albania.
Wanita yang memakai pakaian tradisional Kosovo
Main square di Prizren Old City dinamakan Shadervan. Ia juga dikelilingi pelbagai kedai, kafe dan restoran. Shadervan turut menjadi mercu tanda Prizren Old City. Di tengah-tengahnya ada sebuah fountain kecil yang airnya selamat untuk diminum.

Main Square di Prizren Old City yang dinamakan Shadervan.
Fountain di tengah-tengah Shadervan. Ada legenda yang mengatakan sesiapa yang minum air dari fountain ini akan kembali semula ke Prizren.
Membawa anjing bersiar-siar di Shadervan
Kedai-kedai berhampiran Shadervan
Kafe di kawasan Shadervan
Di kawasan Shadervan ini juga ada didirikan patung untuk memperingati wira Perang Kosovo yang bernama Xhevat A. Berisha (disebut: Jey-vat A. Berisha). Dia adalah seorang pemimpin Kosovo Liberation Army (KLA) yang terbunuh sewaktu peperangan dengan Serbia pada tahun 1998. 

Patung Xhevat A. Berisha
Sebuah lagi tarikan di Prizren Old City ini yang sempat kami lawati adalah Stone Bridge, sebuah jambatan Ottoman yang dibina pada kurun ke-15. Jambatan ini juga dibina menyeberang Sungai Lumbardh. Walau bagaimanapun, binaan yang dilihat kini adalah jambatan yang dibina pada tahun 1982 bagi menggantikan jambatan asal yang musnah dalam satu kejadian banjir pada tahun 1979.

Stone Bridge
Pemandangan di atas Stone Bridge
Satu lagi pemandangan dari atas Stone Bridge
Pemandangan jambatan yang kami lalui tadi untuk pergi ke Prizren Old City dari tempat bas berhenti.
Pemandangan menghala ke Sinan Pasha Mosque
Bergambar ramai di puncak Stone Bridge
Sungai Lumbardh
Plak peringatan yang dipasang di Stone Bridge
Pemandangan menghala ke Kalaja (Prizren Fortress)
Stone Bridge hanya boleh digunakan oleh pejalan kaki. Kami berjalan menyeberang Stone Bridge sehingga ke seberang sungai. Jalan besar di seberang sungai ini adalah sebatang jalan utama di Prizren yang dinamakan Remzi Ademaj.

Posing dengan Stone Bridge
Jalan besar di seberang jambatan ini dinamakan Remzi Ademaj
Rruga Remzi Ademaj (Jalan Remzi Ademaj)
Berposing di Remzi Ademaj
Duduk berehat di Remzi Ademaj
Jualan souvenir di Remzi Ademaj
Penunjuk arah ke bangunan-bangunan bersejarah yang berhampiran
Di sebelah Stone Bridge ada pula sebuah jambatan moden yang dinamakan Kaltert Bridge. Kita naik jambatan ini pulak untuk kembali semula ke Prizren Old City.

Kaltert Bridge
Pemandangan menghala ke sebelah sana dari Kaltert Bridge
Kembali ke Prizren Old City
Penunjuk arah di Prizren Old City
Wayar elektrik yang terdedah dan berselirat
Kami kemudian berjalan semula ke arah Shadervan melalui lorong yang tidak kami lalui tadi untuk melihat-lihat apa yang ada di situ.

Menghala kembali ke Shadervan
Kehadiran kafe-kafe yang banyak begini jelas menunjukkan yang Prizren Old City adalah tempat popular untuk pelancong dan warga tempatan berkumpul untuk bersosial.
Sepanjang lorong ini dipenuhi kafe-kafe
Memang jelas yang Prizren Old City adalah tempat popular untuk pelancong dan penduduk tempatan berkumpul.
Cherry Blossom
Lorong yang dihias dengan payung-payung cantik
Permainan Ular dan Tangga gergasi di Shadervan


Bersambung ke Bahagian 28...


CATATAN PERJALANAN BALKANS (2022):