Monday, 18 February 2013

2013 YOGYAKARTA BHG. 2

Februari 2013

JAWA TENGAH, INDONESIA
Yogyakarta

Bahagian 2: CANDI BOROBUDUR, TAMAN SARI & KRATON

HARI KEDUA (2)

Part 8: Candi Borobudur

Candi Borobudur
Inilah Candi Borobudur, sebuah lagi Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh UNESCO di Yogyakarta. Tidak seperti kompleks Candi Prambanan, yang terdiri dari berpuluh-puluh candi, Candi Borobudur hanya mempunyai sebuah candi yang saiznya amat besar.

Pengiktifaran dari UNESCO akan Candi Borobudur sebagai Tapak Warisan Dunia yang ke-592.
Laluan ke candi dari pintu masuk utama
Seperti juga di Candi Prambanan, pengunjung ke Candi Borobudur dikehendaki memakai sarung batik untuk masuk ke sana.

Berkain batik untuk masuk ke Candi Borobudur. Terpaksa juga berpayung kerana ketika itu hujan renyai-renyai.
Candi yang besar ini sebenarnya dibina dalam 10 tingkat.
Oleh kerana besar candinya, tangganya juga cukup tinggi. Tiga hari selepas balik ke Malaysia, barulah hilang rasa tegang urat kaki kerana memanjat naik ke atas sana
Candi Borobudur dibina bertingkat-tingkat. Bahagian dasar Borobudur melambangkan manusia yang masih terikat nafsu.

Bergambar kenangan di dasar Candi Borobudur
Ukiran-ukiran batu pada bahagian bawah Candi Borobudur menggambarkan keadaan manusia yang masih terikat dengan hawa nafsu
Setiap tingkat memiliki relief-relief indah yang menunjukkan kemahiran pengukirnya. Selain ukiran-ukiran mengenai kepercayaan agama Buddha, terdapat juga ukiran yang menggambarkan keadaan masyarakat pada masa itu.

Papan keterangan di sebelah ukiran.
Penerangan mengenai Hukum Karma
Empat tingkat di atasnya melambangkan manusia yang telah dapat membebaskan diri dari nafsu namun masih terikat rupa dan bentuk. Pada  tingkat tersebut, patung-patung Buddha diletakkan secara terbuka.

Terdapat lebih 500 buah patung Buddha di Candi Borobudur. Sebahagian besar darinya telah rosak.
Pemandangan di lorong pada tingkat tengah candi.
Satu lagi pemandangan di lorong pada tingkat tengah candi.
Sebahagian ajaran Buddha disampaikan dalam bentuk cerita-cerita teladan menggunakan binatang yang dinamakan Jataka.
Berdasarkan ukiran ini, seorang ahli sejarah Eropah dengan sokongan Kerajaan Indonesia telah membina semula kapal tersebut dan membuktikan rekabentuk kapal ini benar-benar boleh berlayar sehingga ke Afrika.
Sementara, tiga tingkat paling atas di mana Buddha diletakkan di dalam stupa yang berlubang-lubang melambangkan manusia yang telah terbebas dari nafsu, rupa, dan bentuk. Bahagian yang paling atas melambangkan nirwana, tempat Buddha bersemayam.

Cuaca semakin gelap dengan awan mendung dan hujan sewaktu kami tiba di puncak candi yang menggambarkan 'nirwana'.


Patung singa penjaga nirwana
Stupa-stupa berlubang di tingkat paling tinggi Candi Borobudur
Ketika kami berada di 'nirwana' ini, hujan renyai-renyai tadi bertukar menjadi lebat dengan disertai angin kencang. Semua pengunjung bertempiaran lari mencari perlindungan. Walaupun berpayung, kami tetap basah lencun.

Hujan ribut di "Nirwana"
Selepas sekian lama, hujan tidak menunjukkan tanda akan berhenti. Di tengah-tengah hujan ribut itu, pengunjung-pengunjung termasuklah kami, mula bergerak ke arah tangga untuk turun ke bawah. 

Sementara menanti hujan berhenti, Pak Nurzaein membawa kami melawat ke Museum Samudraraksa di perkarangan Candi Borobudur. Muzium ini menempatkan kapal Samudraraksa yang dibina berdasarkan ukiran batu di Candi Borobudur. Apa yang menakjubkan walaupun binaannya sangat simple kerana menggunakan teknologi pembinaan kapal zaman dahulukala sepenuhnya, ternyata ia mampu berlayar sehingga ke Madagascar dan Ghana di Afrika.

Pintu masuk ke Muzium Samudraraksa
Kapal Samudraraksa
Sejarah pelayaran kapal Samudraraksa sehingga ke Afrika
Kompleks Candi Borobudur ditutup untuk kunjungan bermula pukul 5 petang. Sehingga ke waktu itu, hujan lebat dan angin kencang masih belum reda.

Kami akhirnya pulang ke Yogyakarta tanpa melawat Candi Borobudur dengan lebih lanjut. Namun demikian, hati tetap merasa puas dapat melihat sendiri Warisan Dunia ini. Dalam hati juga bersyukur kerana kami hanya diuji dengan hujan lebat dan angin kencang dan bukan sesuatu yang lebih hebat seperti gempa bumi atau letusan Merapi sewaktu berada di sana.

Dalam perjalanan pulang, kami melalui Candi Mendut. Pak Nurzaein menawarkan untuk membawa kami singgah sebentar di sini, tetapi memandangkan dah basah kuyup kehujanan, kami membuat keputusan untuk hanya mengambil gambar dari dalam kereta sahaja.

Candi Mendut

Part 9: Restoran Pesta Perak

Malam itu, kami dibawa makan malam di sebuah restoran yang bernama Pesta Perak. Makanan yang disediakan adalah masakan tradisional Jawa yang dihidang secara buffet.

Restoran Pesta Perak
Hidangan masakan tradisional Jawa

HARI KETIGA

Part 10: Jalan Malioboro

Disebabkan kunjungan ke kota Yogyakarta amat singkat, kami sebenarnya tak berkesempatan mengelilingi kota ini. Oleh yang demikian, pada pagi terakhir di sana kami mencuri kesempatan di awal pagi berkunjung ke kawasan komersil utama Yogyakarta yang dinamakan Jalan Malioboro.

Becak-becak yang menunggu penumpang di depan Ibis Styles Hotel
Kereta kuda beroda empat banyak sekali di Yogyakarta
Pelajar-pelajar menengah sedang berjalan kaki ke sekolah
Hotel penginapan kami, Ibis Styles Hotel terletak tidak sampai 10 minit berjalan kaki ke Jalan Malioboro. Namun begitu, mungkin disebabkan kami nampak sangat berbeza dari orang tempatan, kami sentiasa dihimpit pemandu-pemandu beca (dipanggil becak di sini) yang menyuruh kami menggunakan perkhidmatan mereka.

Pemandangan di Jalan Malioboro
Pusat membeli-belah Mal Malioboro
Satu lagi pemandangan di Jalan Malioboro. Ibis Styles Hotel terletak di sebalik pintu gerbang ini.
Penduduk tempatan sedang bersarapan pagi di Jalan Malioboro
Pemandangan bersarapan pagi di tepi jalan begini mungkin tidak terdapat di Malaysia.
Peniaga kasut sedang menyusun barangan untuk memulakan jualan
Masjid Malioboro

Part 11: Taman Sari 

Masih ada lagi tempat menarik yang dikunjungi pada pagi terakhir di Yogyakarta. Sebaik selepas check-out dari hotel, kami dibawa ke Taman Sari.

Pada masa dahulu, Taman Sari adalah istana yang menempatkan gundik-gundik raja. Ia sebenarnya dibina dikelilingi takungan air seperti pulau. Sekarang, istana ini hanyalah runtuhan yang sedang dibaikpulih dan tidak langsung dikelilingi air.

Pemandangan dari Pasar Ngasem. Runtuhan di belakang sana adalah istana Taman Sari yang sebenarnya dibina bagai sebuah pulau. Seluruh kawasan pasar ini dipenuhi dengan air pada masa dahulu.
Pak Nurzaein membawa kami masuk ke Taman Sari dari bahagian belakang yang kini menempatkan Pasar Ngasem. Pasar ini menjual barang makanan mentah, namun ia sangat bersih dan tidak berbau.

Penjual ayam di Pasar Ngasem
Penjual sayur di Pasar Ngasem
Kuih-kuih tempatan yang dijual di Pasar Ngasem.

TAMAN SARI 

Taman Sari sebenarnya  terdiri daripada beberapa bahagian. Pada zaman dahulu, Taman Sari ini dikawal ketat dan lelaki dilarang masuk sama sekali. Hanya wanita (yang terdiri dari gundik-gundik dan puteri-puteri raja)  sahaja yang dibenarkan masuk. Satu-satunya lelaki yang dibenarkan masuk ke sini ialah Sultan. Tapi tak dapat dipastikan sama ada larangan ini untuk seluruh istana atau di kawasan-kawasan tertentu sahaja.

Pada masa dahulu, kawasan ini dipenuhi dengan air.
Ini adalah tambatan perahu untuk masuk ke istana Taman Sari. Pada masa kini, terdapat banyak rumah telah dibina di sekeliling istana dan juga di kawasan lapang dalam perkarangan istana.
Pintu masuk ke istana dari tambatan perahu.
Bahagian belakang Taman Sari menempatkan aktiviti-aktiviti kurang glamour di istana seperti dapur dan bilik-bilik kediaman gundik. Sebahagian besar struktur bangunan di sini mengalami kerosakan akibat gempa bumi tahun 2006 dan kini sedang diperbaiki dengan bantuan UNESCO.

Pemandangan bahagian belakang istana
Kawasan lapang di sekeliling dan juga di dalam Taman Sari sendiri yang dahulunya dipenuhi air kini dipenuhi dengan rumah - rumah, yang mana bagi Myself mencacatkan suasana sebenar kota ini. Kata Pak Nurzaein, penduduk ini tinggal di sana dengan kebenaran dari Sultan Yogjakarta.

Di tengah-tengah perkampungan (yang dulunya kawasan berair), kami dapat melihat sebuah bangunan bulat yang merupakan masjid Taman Sari yang sebahagian besarnya dibina di bawah tanah (dulunya, di bawah air).

Masjid Taman Sari
Pintu masuk ke Masjid Taman Sari
Pemandangan di dalam lorong bawah tanah untuk masuk ke dalam Masjid
Bukaan seperti pintu yang kelihatan adalah sebenarnya mihrab masjid
Di tengah – tengah masjid terdapat ruangan yang terbuka dengan cahaya matahari. Di situ, terdapat tangga yang menghubungkan tingkat atas dan tingkat bawah.

Bergambar di ruang tengah masjid yang open-air.
Binaan tangga di tengah masjid ini ada 5 buah semuanya: 4 naik ke atas platform dan hanya 1 dari platform ke tingkat atas. Falsafah di sebalik pembinaan tangga begini adalah jika kita berada di persimpangan (digambarkan dengan platform di tengah), ada 4 cara mudah turun ke bawah (kebanyakannya berkait dengan amalan dosa) dan 1 jalan sukar naik ke atas (yang berkait dengan amalan pahala).

Pemandangan platform dari tingkat atas.
Walaupun ada jalan yang lebih sejuk dari Masjid menuju ke bangunan utama Taman Sari, kami memilih melalui kawasan perkampungan.

Pemandangan kawasan perkampungan dalam Taman Sari
Binaan bangunan utama Taman Sari adalah tempat pemandian gundik-gundik (yang dalam bahasa Indonesia dipanggil Selir) Sultan. Jika kita masuk ke Taman Sari dari arah depan, inilah tempat pertama yang akan kita temui.

Dataran di hadapan kawasan pemandian
Pintu masuk ke kawasan pemandian. Binaannya berciri Eropah kerana ia direka oleh seorang arkitek berbangsa Portugis.
Halaman berhampiran pintu masuk ke kawasan pemandian
Ada 3 buah kolam di kawasan pemandian Taman Sari. Satu kolam dikhaskan untuk puteri-puteri raja, satu untuk gundik-gundik raja manakala sebuah lagi yang terasing dari kolam untuk puteri dan gundik raja, dikhaskan untuk kegunaan Sultan dan gundik yang terpilih untuk menemani Sultan.

Kolam pemandian di Taman Sari
Kolam untuk gundik dan puteri-puteri raja dibina bersebelahan.
Ada sebuah menara yang dibina untuk Sultan mengintai gundik-gundiknya bersiram. Dari situlah Sultan akan memilih gundik yang akan menemaninya mandi di kolam bersebelahan.

Menara tempat Sultan memilih gundik yang berkenan di hati.
Pintu masuk rasmi ke Kompleks Taman Sari.

Part 12: Kraton

Walaupun Indonesia merupakan sebuah negara republik, Yogyakarta mempunyai Sultan yang masih berkuasa sebagai Gabenor di sini. Kami juga diberitahu, beliau adalah satu-satunya Sultan yang masih mempunyai kuasa di Indonesia.

Keistimewaan ini diberikan kerana menghargai jasa baginda sebagai satu-satunya Sultan yang membantu menentang penjajahan Belanda pada masa dahulu. Tidak sekadar itu, malah jawatan Gabenor Yogyakarta juga boleh diwarisi oleh keturunan baginda.

Sultan Yogyakarta tinggal di sebuah istana yang dipanggil Kraton. Istana ini dipenuhi dengan pameran-pameran tentang sejarah kesultanan Yogyakarta.

Tempat membeli tiket untuk masuk ke dalam Kraton
Penjaja-penjaja di halaman depan Kraton
Untuk melawat ke dalam Kraton, kita perlu menggunakan khidmat Tourist Guide dalaman Kraton.

Makcik ini adalah Tourist Guide kami sewaktu melawat Kraton.
Kraton masih didiami oleh Sultan Yogyakarta dan keluarganya. Kraton ini masih terurus rapi dan terpelihara kerana Sultan masih mempunyai pendapatan tetap sebagai Gabenor Yogyakarta. Kami dimaklumkan Kraton-kraton lain di Jawa tidak berkeadaan seperti ini.

Pemandangan dalam perkarangan Kraton
Koleksi pasu porselin Sultan
Satu lagi pemandangan di dalam perkarangan Kraton
Kraton ini mempunyai banyak bahagian. Ada kawasan kediaman khas bagi Sultan dan Permaisuri, kawasan kediaman putera-putera Sultan, kawasan kediaman puteri-puteri Sultan dan juga oleh kerana Sultan pada masa dahulu mempunyai ramai gundik (selir) ada juga kawasan kediaman yang dikhaskan untuk mereka.

Pada masa kini, hanya kawasan kediaman untuk Sultan dan Permaisuri serta kawasan kediaman untuk puteri-puteri Sultan sahaja yang dihuni kerana Sultan sekarang hanya mempunyai seorang isteri dan 5 orang puteri. Kawasan untuk putera Sultan kosong kerana Sultan tak punya anak lelaki dan kawasan kediaman selir juga kosong kerana Sultan sekarang tidak lagi mengamalkan menyimpan gundik. 

Pegawai-pegawai kraton dinamakan Abdi Dalem dan mereka begitu taat berkhidmat kepada Sultan. Mereka juga sangat jelas berpegang kuat kepada adat.

Abdi-abdi Dalem yang sedia berkhidmat untuk Sultan
Sebelum duduk di kawasan yang ditetapkan, Abdi Dalem akan mengadap bangunan utama di mana Sultan bersemayam dan mengangkat sembah tanda hormat.
Abdi Dalem ini duduk di atas tanah berasingan dari abdi-abdi lain kerana dia masih junior dan belum layak duduk bersama abdi-abdi yang senior.
Kami juga dibawa melawat barang-barang koleksi peribadi dan hadiah-hadiah dari pelbagai pembesar negara luar yang disimpan di Kraton. Malah sebahagian besar lawatan berkisar kepada perkara tersebut sampai kami rasa tak larat lagi nak ikut.

Koleksi hadiah-hadiah yang diterima oleh Sultan
Porselin pemberian seorang raja dari benua Eropah ini retak dalam kejadian gempa bumi pada tahun 2006.
Di akhir lawatan, kami berhenti sebentar di pentas utama Kraton untuk menyaksikan persembahan muzik dan nyanyian gamelan. Agak malang kerana kami tak dapat menyaksikan persembahan tarian tradisional Jawa dan wayang kulit yang hanya diadakan pada hari minggu.

Alat muzik gamelan sebelum persembahan dimulakan.
Penyanyi gamelan di tengah tu sangat cantik. Kalau dia hidup di zaman dulu, pasti dah terpilih menjadi selir raja.

Part 13: Berakhir Sebuah Pengembaraan 

RESTORAN SAPTOHOEDOJO 

Percutian singkat 3 Hari 2 Malam ke Yogyakarta berakhir juga. Sebelum berlepas pulang, kami singgah makan tengahari di Restoran Saptohoedojo.

Restoran Saptohoedojo
Selain merupakan sebuah restoran, ia juga mempunyai sebuah kedai kraftangan batik di sini.

Perhiasan di dalam Restoran Saptohoedojo
Ruang makan di restoran
Restoran Saptoheodojo terletak kurang 5 minit dari Lapangan Terbang Adisucipto.

Tempat check-in di Lapangan Terbang Adisucipto
Ruang menunggu internasional di Lapangan Terbang Adisucipto. Mereka semua ini adalah penumpang Air Asia ke Kuala Lumpur seperti kami.
Dalam masa 2 jam kami menunggu di Airport, ada lebih kurang 10 buah pesawat tiba dan berlepas dari sini ke seluruh destinasi di Indonesia. Begitulah sibuknya Lapangan Terbang Adisucipto. Ada sebuah flight tu (Express Air namanya) tiba di Yogyakarta setelah singgah di 6 destinasi sebelumnya!

Pesawat Garuda yang baru tiba dari Jakarta
Pertama kali Myself melihat peramugari Garuda Airways dari dekat
Flight Air Asia kami terlewat tiba di Yogyakarta selama hampir 30 minit. Sebaik semua penumpang dari KL turun, kami terus dibenarkan naik ke dalam pesawat.

Menaiki pesawat untuk balik ke Kuala Lumpur
Walaupun lewat berlepas 20 minit dari jadual, kami tetap tiba di Kuala Lumpur mengikut jadual. Terasa sungguh pilot kapalterbang tu memecut bukan main laju lagi, walaupun banyak berdepan dengan turbulence sepanjang perjalanan!


CATATAN PERJALANAN YOGYAKARTA (2013):

CATATAN PERJALANAN LAIN (JAWA, INDONESIA):