Showing posts with label SOUTH ASIA 02 - India : Kerala. Show all posts
Showing posts with label SOUTH ASIA 02 - India : Kerala. Show all posts

Friday 25 June 2021

2021 TRAVEL REVIEW 22 - ASIA SELATAN (INDIA 2: KERALA)

Jun 2021

Travel Review 22: Asia Selatan
INDIA SELATAN (Kerala)

Lawatan kedua kami ke India adalah ke sebuah wilayah di India Selatan yang bernama Kerala. Bandar yang menjadi port dalam lawatan kami ke Kerala adalah Kochi.

Barisan Gajah yang menyambut kedatangan pengunjung di Cochin Airport, Kerala

Kochi

Kochi adalah bandar yang terbesar di wilayah Kerala. Ia adalah sebuah bandar yang bersejarah kerana menjadi tempat persinggahan penjajah-penjajah Barat dalam usaha mereka menguasai negara-negara di sebelah Timur. Kochi (yang dipanggil Cochin ketika itu) menjadi pilihan kerana kedudukannya yang menghadap ke Laut Arab di Semenanjung India.

Kochi
 Kochi adalah pusat perindustrian pembinaan kapal yang terbesar di India
Suasana di Kochi lebih mirip dengan suasana Malaysia berbanding di New Delhi. Ini adalah kerana selain Chennai, penduduk-penduduk berketurunan India di Malaysia ramai yang mempunyai asal-usul dari wilayah ini. Corak kehidupan seharian penduduk di Kochi ini sering kita lihat di Malaysia di tahun 1970-an dulu, terutama di bandar-bandar besar yang mempunyai ramai penduduk berketurunan India seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang.

Pemandangan lelaki India memakai kain dhoty seperti ini selalu dilihat di bandar-bandar besar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dulu
Portugis adalah penjajah asing yang pertama menjadikan Kochi sebagai pangkalan mereka di India. Ia kemudiannya diikuti oleh penjajah lain seperti British dan Belanda. Kesan-kesan peninggalan sejarah penjajah Eropah ini dapat dilihat di sebuah kawasan yang bernama Fort Kochi.

 Pemandangan Laut Arab di Mahathma Gandhi Beach di Fort Kochi
 Gereja St Francis yang pada asalnya dibina oleh Orang Portugis dan diambil alih kemudiannya oleh Belanda dan British.
 Pemandangan di dalam Gereja St Francis. Kain-kain panjang yang dipasang pada siling adalah kipas-kipas tradisional yang dinamakan Pankhas. Tali yang mengikatnya ditarik dan dilepaskan untuk menyejukkan pengunjung-pengunjung gereja yang sedang beribadat.
 Tempat persemadian penjajah Portugis Vasco Da Gama yang meninggal dunia di India sebelum jasadnya dibawa pulang ke Portugal.
Santa Cruz Basilica
Di Fort Kochi juga kami berkesempatan melihat kaedah penangkapan ikan tradisional yang dinamakan Chinese Fishing Net. Kaedah penangkapan ikan ini telah diperkenalkan oleh seorang laksamana dari China bernama Zheng He (Cheng Ho) yang telah membuat persinggahan di Kochi jauh lebih awal sebelum kedatangan Orang Eropah.

Chinese Fishing Net yang diperkenalkan oleh Laksamana Zheng He dari China
Tak tergamak nak memijak pantai berhampiran Chinese Fishing Net ini kerana penuh dengan sampah sarap.
Fort Kochi juga pernah mempunyai sebuah pusat penempatan Yahudi dari benua Eropah yang besar pada satu ketika dulu. Walaupun kesemua penduduk Yahudi ini telah berhijrah ke Israel selepas pembentukan negara tersebut dalam tahun 1948, kesan peninggalan mereka masih jelas kelihatan di sebuah kawasan yang dinamakan Jew Town.

Jew Town di Fort Kochi
Paradesi Synagogue adalah rumah ibadat Yahudi yang masih digunakan di Jew Town
 Antara peninggalan penduduk Yahudi yang masih dapat dilihat di Jew Town
 Mattancherry Dutch Palace berhampiran Jew Town
Walaupun ia adalah salah sebuah negara yang terbesar di dunia, India secara umumnya masih merupakan sebuah negara yang miskin. Di sana-sini di negara ini, kita masih dapat melihat industri seperti menenun kain yang masih dilaksanakan dengan menggunakan tenaga manusia. Di sebalik semua ini, kita akan sedar betapa perlunya India kepada kerja-kerja yang intensif buruh sebegini untuk membolehkan rakyatnya bekerja dan membina penghidupan. Kita juga akan kagum melihat kecekapan pekerja-pekerja ini membuat kerja mereka yang ada ketikanya macam setara dengan mesin-mesin yang berkapasiti rendah.

Menenun kain sari
 Memintal benang
Di Fort Kochi juga, kami berkesempatan melawat ke sebuah pusat pendobian tradisional yang bernama Dhoby Khana. Memang kasihan melihat pekerja-pekerja di pusat dobi ini yang masih membanting tulang 4 kerat melakukan kerja-kerja pendobian ketika di tempat lain seperti di Malaysia, tugas-tugas tersebut telah diambilalih oleh mesin-mesin basuh. Aspek keselamatan pekerja juga kurang diberi perhatian di pusat dobi ini. Kita dapat melihat bagaimana pekerja-pekerja membasuh linen dan pakaian menggunakan bahan kimia peluntur tanpa pelindungan diri dan menggunakan seterika yang wayar elektriknya tidak ditebat dengan selamat.

 Pusat pendobian manual Dhoby Khana di Fort Kochi
Kain jemuran
 Memang kasihan melihat pekerja-pekerja di dobi tradisional ini bekerja dengan kimia peluntur tanpa sebarang perlindungan.
Kerja-kerja menseterika baju di Dhoby Khana
Satu persinggahan yang sangat Myself recommend kepada mana-mana pelawat ke Fort Kochi adalah Greenix Village di mana kita boleh melihat pelbagai persembahan kebudayaan tradisi Kerala seperti Kathakali.

Greenix Village di Fort Kochi
Muzium Kebudayaan Kerala di Greenix Village
Persembahan Kathakali

Kerala Backwaters

Tak sah berkunjung ke Kerala kalau tak membuat cruise di Kerala Backwaters. Kerala Backwaters adalah lembangan yang terdiri dari 5 buah tasik dan 38 batang sungai yang bersambung-sambung di Kerala. Ia turut meliputi terusan-terusan buatan manusia di antaranya. Secara gabungan, sistem lembangan waterway ini mempunyai kepanjangan kira-kira 900 km.

Kerala Backwaters
Seperti juga di Kashmir, kami bermalam di dalam Houseboat sewaktu mengikut cruise 2 Hari 1 Malam di Kerala Backwaters. Houseboat ini dinamakan Kettuvaloom. Bukan sekadar tempat penginapan, kita juga ada tukang masak peribadi di dalam Kettuvaloom ini yang akan memasakkan makanan tradisi Kerala yang sangat menambat selera.

Kettuvaloom
 Perlayaran yang penuh santai dengan Kettuvaloom
 Pemandangan bilik tidur di dalam Kettuvaloom
 Tandas moden di dalam Kettuvaloom
 Makanan tradisional Kerala yang dihidangkan di dalam cruise. Hidangan adalah mengikut cara tradisi Kerala menggunakan daun pisang.
Terusan dan tasik di Kerala Backwaters Cruise ini dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan air. Walaupun dari segi saintifiknya, kehadiran tumbuhan ini menandakan pencemaran air disebabkan baja pokok tanaman, ia memberikan pemandangan yang unik kepada Kerala Backwaters.

 Kerala Backwaters yang penuh dengan tumbuhan air
 Membelah tumbuhan air sewaktu berlayar di Kerala Backwaters
Selain berlayar dengan Kettuvaloom, kita juga berpeluang bersampan menyusuri perkampungan penduduk tempatan di sekitar Kerala Backwaters. Di sini kita dapat menyaksikan kehidupan mereka yang walaupun simple, sangat tenang dan bahagia.

 Membuat Village Cruise di Kerala Backwaters
 Pelancong-pelancong yang turut bersama kami membuat Village Cruise
 Menguak tumbuhan air untuk mandi di dalam terusan
 Tumbuhan air yang terapung di Kerala Backwaters
 Membasuh pakaian
Memancing ikan
Jangan sesekali lepaskan cruise di Kerala Backwaters kalau anda berkunjung ke Kerala. Ia pasti akan menjadi satu memori yang indah dalam hidup anda.

Mentari terbenam di Kerala Backwaters


Kisah penuh perjalanan kami ke Kerala boleh dibaca di sini:


TRAVEL REVIEW (1995 - 2020):