Thursday 26 December 2013

2013 HONG KONG (3rd Visit) & MACAU (DAY 4 - Hong Kong)

Disember 2013

Hong Kong (3rd Visit) & Macau

Hari 4: PULAU HONG KONG & KUALA LUMPUR

Part 13 : Hong Kong Tour 

Hari keempat tiba dan bermakna tiba masanya untuk pulang ke Kuala Lumpur. Penerbangan pulang kami dijadualkan pada pukul 2.45 petang. Jadi, di sebelah pagi masih ada program Hong Kong Tour.

Catherine mempunyai assignment lain pada pagi ini. Jadi tempat beliau digantikan dengan Tourist Guide lain bernama Eric.

Hari sebelumnya kami tak dapat duduk di sini kerana tempat duduk di lobi ini diconquer oleh pelancong-pelancong Filipina.
Hotel Silka Seaview kecil dan tak punya taman ataupun tempat bas berhenti untuk menurunkan penumpang dan bagasi. Namun begitu, betul-betul di seberang Public Square Street di depan hotel terdapat sebuah taman yang dinamakan Yau Ma Tei Community Centre Rest Garden. Bas pelancongan kami selalunya berhenti di tepi taman ini.

Signboard taman awam kecil di depan Hotel Silka Seaview
Pemandangan di dalam taman. Hanya terdapat beberapa batang pokok dan bangku tempat duduk sahaja di taman ini.
Bas membawa kami ke Pulau Hong Kong menerusi Cross Harbour Tunnel yang dibina di bawah laut Victoria Harbour. Dalam perjalanan ke sana, kami melintasi bandar Kowloon.

Pemandangan pagi di Kowloon. Ketika ini suasana masih tenang kerana masih awal lagi.
Farmasi Guardian di Hong Kong dikenali dengan nama Mannings.
Satu lagi pemandangan pagi di Kowloon
Kampus Hong Kong Polytechnic University yang dilalui dalam perjalanan ke Pulau Hong Kong.
Cross Harbour Tunnel adalah terowong utama yang menyambungkan Semenanjung Kowloon dengan Pulau Hong Kong. Purata 2 juta orang melalui terowong ini setiap hari, justeru tidak hairanlah jika sewa papan iklan berhampiran terowong ini menjadi yang termahal di seluruh Hong Kong.

Plaza tol sebelum memasuki Cross Harbour Tunnel
Laluan masuk ke terowong di sebelah Kowloon
Pemandangan selepas melepasi terowong di Pulau Hong Kong

SEJARAH PULAU HONG KONG 

Pemandangan di Pulau Hong Kong sangat berbeza dengan di Kowloon kerana seluruh pulau ini benar-benar bercirikan British. Mengikut sejarah, pulau Hong Kong diperolehi oleh British selepas menewaskan Maharaja China dalam Perang Candu. Disebabkan pulau ini terlalu kecil, British kemudiannya memajak Semenanjung Kowloon dan kawasan yang dinamakan New Territories untuk menyokong aktiviti di pulau ini. 

Pajakan selama 99 tahun ini berakhir pada tahun 1997, menyebabkan Kowloon dan New Territories dikembalikan kepada China. Namun demikian, disebabkan Pulau Hong Kong tidak dapat berdikari tanpa Kowloon dan New Territories, British membuat keputusan untuk turut menyerahkan kembali pulau ini kepada China.

Disebabkan Hong Kong (dan juga Macau) diperintah mengikut undang-undang yang sangat berbeza dari undang-undang China untuk sekian lama, Kerajaan China memberikan tempoh peralihan selama 50 tahun kepada kedua-dua wilayah tersebut bermula dari tahun 1997 - 2047. Dalam tempoh ini, Hong Kong dan Macau ditadbirkan secara "One Country, Two Systems". Bila berakhir tahun 2047 nanti, undang-undang China akan dikenakan sepenuhnya ke atas kedua-dua wilayah ini.

MID-LEVEL VICTORIA PEAK 

Victoria Peak adalah pergunungan tinggi yang terletak di sebelah barat Pulau Hong Kong. Disebabkan pemandangannya yang cantik, ia menjadi tumpuan orang-orang kaya untuk membina kediaman mereka di sana.

Kami dibawa dengan bas ke sebuah kawasan yang dinamakan Stubbs Road Lookout yang terletak di kawasan Mid-Level Victoria Peak untuk menikmati pemandangan bandaraya Hong Kong. Disebabkan hari masih awal, cuma kami saja yang berada di sana.


Stubbs Road Lookout di Mid-Level Victoria Peak
Pemandangan di Stubbs Road Lookout
Cuaca sangat sejuk pada pagi itu. Eric memberitahu berdasarkan ramalan cuaca yang dikeluarkan, suhu di Hong Kong akan jatuh lebih rendah pada malam nanti.

Jika cuaca cerah, pemandangan bandar Hong Kong dan Semenanjung Kowloon dapat dilihat dengan jelas dari sini. Malangnya, disebabkan cuaca suram dan berjerebu, pemandangan bandar Kowloon tidak kelihatan.

Kalau nak tengok pemandangan dari sini dalam cuaca yang cantik boleh lihat blog Myself sewaktu melawat ke sini pada tahun 2008 dulu (Hong Kong 1st Visit).

Menurut Eric, Hong Kong kini semakin berjerebu kerana negara China telah membuka pusat-pusat perindustrian baru berhampiran dengan sempadan Hong Kong. Ini bertujuan untuk memudahkan pengeksportan barang-barang kilang menerusi pelabuhan Hong Kong.

Pemandangan bandaraya Hong Kong dari Mid-Level Victoria Peak.
Satu lagi pemandangan bandaraya Hong Kong
Stubbs Road Lookout
Selepas kami pergi, kami melihat banyak bas pelancong menaiki ke Mid-Level. Pasti sesak di atas sana nanti!

REPULSE BAY 

Satu lagi tempat yang kami kunjungi adalah pantai di Repulse Bay. Pantai ini adalah sebuah pantai buatan manusia yang sangat cantik dan dijaga rapi.

Pantai buatan di Repulse Bay
Setiap 3 tahun, Kerajaan Hong Kong akan menambak pasir di pantai ini untuk mengelakkan hakisan dan pasir yang digunakan adalah pasir yang sama dengan pasir pembinaan. Oleh yang demikian, memang sakit kaki jika berjalan di pantai ini dengan tidak memakai kasut. Pasir halus hanya terdapat berhampiran gigi air di pantai.

Pasir binaan yang digunakan untuk menambak pantai di Repulse Bay - kasar dan berbatu.
Menikmati pemandangan indah di Repulse Bay
Bermain ombak di Repulse Bay
Berjogging di Repulse Bay
Menurut Eric, orang Hong Kong gemar memakan shark fin. Makanya, 25 tahun yang lalu, jerung membalas dendam kepada penduduk Hong Kong. Seorang pengunjung ke Repulse Bay cedera digigit ikan jerung sewaktu bermandi-manda di pantai ini. Semenjak itu, Kerajaan Hong Kong telah memasang shark net untuk keselamatan pengunjung kini.

Jaring yang dipasang di tengah laut untuk mengelakkan pengunjung dari gigitan jerung.
Bermain jet ski di belakang shark net di Repulse Bay
Disebabkan pemandangan yang indah di kawasan ini, ramai orang-orang ternama Hong Kong memilih untuk tinggal di kawasan berhampiran Repulse Bay. Salah sebuah rumah yang menarik perhatian kami adalah rumah kediaman pelakon Jacky Chan.

Rumah-rumah kediaman mewah berhampiran Repulse Bay
Rumah kediaman Jacky Chan yang dapat dilihat dari pantai Repulse Bay. Menurut Eric, Jacky Chan tidak berada di Hong Kong ketika ini kerana sibuk membuat penggambaran filem di negara China.
Pemandangan Ocean Park di belakang rumah Jacky Chan

PELABUHAN ABERDEEN 

Dari Repulse Bay, kami dibawa ke destinasi terakhir dalam lawatan kami ke Pulau Hong Kong - Pelabuhan Nelayan Aberdeen.


Pemandangan pantai Repulse Bay dari atas bas
Persisiran pantai dari Repulse Bay menuju ke Aberdeen. Memang tak dinafikan Hong Kong memiliki pemandangan laut yang cantik
Jika Portugis pertama kali menjejak Macau di A-Ma Temple, British pula pertama kali menjejak Hong Kong di Aberdeen Harbour. Namun begitu, tidak seperti Macau yang memelihara tempat-tempat bersejarahnya dengan begitu baik, tiada usaha begitu dilihat di Hong Kong. Sejarah Aberdeen hanya disampaikan secara lisan dari satu generasi ke generasi yang lain.

Pelabuhan Aberdeen
Pelabuhan Aberdeen adalah sebenarnya sebuah perkampungan nelayan. Namun bila kita tiba di sini buat pertama kali, memang sukar nak percaya. Di kawasan ini terdapat sebuah Yacht Club dan marina yang menempatkan bot-bot mewah. Di sekelilingnya pula berdiri megah apartment-apartment mewah.

Aberdeen Harbour dikelilingi pangsapuri-pangsapuri mewah
Bot-bot persiaran mewah di marina Aberdeen
Untuk melihat perkampungan nelayan, kita perlu menaiki sampan bermotor ke tengah laut. Setiap bot boleh memuatkan 10 orang penumpang dan setiap penumpang dikenakan bayaran HK$60 (RM25) untuk bersiar-siar di sini.

Pemandangan jeti Aberdeen dari darat
Sampan Ride di Aberdeen
Pemandangan jeti sampan di Aberdeen dari laut
Sampan Cruise di Aberdeen Harbour
Baru dan lama di Aberdeen Harbour
Jumbo Floating Restaurant
Restoran terapung ini dimiliki oleh seorang jutawan dari Macau.
Nelayan-nelayan Aberdeen tinggal di dalam bot. Mereka telah tinggal di sini sejak beberapa generasi yang lalu. Pelabuhan ini juga selamat kerana terlindung dari taufan yang melanda Hong Kong setiap tahun.

Perkampungan nelayan yang sebenar di Aberdeen
Disebabkan dasar Kerajaan yang tegas memulihara perairan di sekitar negara tersebut, nelayan-nelayan di Hong Kong tidak dibenarkan menangkap ikan secara komersil.
Tidak seperti perkampungan air di Sabah, Brunei dan Cambodia, bot-bot di sini hanyalah rumah nelayan semata-mata. Para nelayan terpaksa naik ke darat untuk urusan persekolahan dan sebagainya.
Pemandangan ini akan hilang tidak lama lagi bila projek tebus guna tanah dilaksanakan oleh Kerajaan Hong Kong.
Kunjungan ketiga Myself ke Aberdeen Harbour ini mungkin menjadi kali terakhir. Ini adalah kerana tidak lama lagi seluruh kawasan pelabuhan akan ditebusguna oleh Kerajaan Hong Kong untuk pembangunan hartanah. 

Part 14: Hong Kong Sepintas Lalu

Disebabkan pesawat pulang kami berlepas pada pukul 2.45 petang, kami perlu berada di Hong Kong Airport selewat-lewatnya pada pukul 12.30 tengahari. Jadi selepas meninggalkan Aberdeen Harbour pada pukul 11 pagi, kami terus dibawa dengan bas ke Airport.

Sebaik kembali ke Central Hong Kong, kami melalui sebuah kawasan perkuburan yang terletak betul-betul di pinggir bandaraya. Disebabkan kepercayaan Feng Shui yang menebal di kalangan masyarakat Cina di Hong Kong, satu-satunya syarikat yang berani mendirikan bangunan di tepi tanah kubur ini ialah AIA, sebuah syarikat insuran Amerika.

Setelah keputusan mendirikan bangunan dibuat oleh AIA, timbul pula masalah orang tempatan enggan bekerja di situ kerana beranggapan "bad luck" bekerja di tepi kubur. Atas nasihat pakar Feng Shui tempatan, tingkap bangunan AIA ini dibuat berbentuk keranda untuk menghalau "bad luck" tersebut.

Tingkap bangunan AIA yang dibina di tepi tanah perkuburan ini dibuat seperti bentuk keranda atas nasihat pakar Feng Shui.
Bak kata Eric, disebabkan sesaknya pulau Hong Kong, kubur-kubur di tanah perkuburan ini terpaksa di "kitar semula" dan mayat-mayat yang ditanam di kawasan perkuburan ini perlu "bangun" selepas 10 tahun. Kubur-kubur yang berusia lebih 10 tahun akan dikorek dan keranda beserta mayat akan dibakar untuk memberi laluan kepada mayat baru.

Legasi pemerintahan British masih tebal di pulau Hong Kong. Di sini ada kelab kriket dan kelab lumba kuda yang menjadi kemegahan bangsawan British, tetapi tidak begitu memanfaatkan rakyat tempatan. Kerana itulah kebanyakan orang Hong Kong mengalu-alukan pemulangan pulau ini kepada China.


Happy Valley Racecourse dibina British kerana Ratu Inggeris sangat suka perlumbaan kuda. Pertaruhan lumba kuda dan Sports Betting adalah bentuk-bentuk perjudian yang dibenarkan di Hong Kong.
Di Central Hong Kong dalam perjalanan ke Airport, lebuhraya dibina sangat hampir dengan rumah-rumah kediaman. Pemandu dan penumpang kenderaan yang melalui lebuhraya dapat menjenguk apa yang sedang dibuat oleh penghuni di dalam rumah. Kerana itulah semakin tinggi kedudukan tingkat di perumahan, semakin mahal harganya.

Rumah-rumah kediaman di Central Hong Kong dibina sangat hampir dengan jalan raya.
Harga rumah di tingkat-tingkat berhampiran jalan raya sangat murah kerana rumah-rumah ini tidak mempunyai privacy.
Apartment-apartment moden di Hong Kong mempunyai purata ketinggian 40-50 tingkat.
Pasar-pasar basah banyak terdapat di Hong Kong kerana tidak seperti penduduk-penduduk bandar besar lain yang gemar memakan makanan proses, penduduk Hong Kong sukakan makanan segar yang dibawa masuk dari negara China.
Berbeza dengan negara China yang ditadbir secara komunis, Hong Kong ditadbir bagaikan sebuah entiti perniagaan sehingga ketua negaranya digelar Chief Executive Officer (CEO). Empat sektor utama ekonomi Hong Kong adalah kewangan, pelabuhan, hartanah dan pelancongan. 

Daerah perniagaan di Central Hong Kong
Pelabuhan Hong Kong adalah antara pelabuhan tersibuk di dunia.
ATL Logistics Centre ini adalah bangunan gudang terbesar di dunia. Bangunan ini sangat besar sehinggakan lori-lori kargo boleh dipandu di setiap tingkat bangunan ini.
Dari pulau Hong Kong, kami melintasi semula Semenanjung Kowloon. Di sini, kami ditunjukkan sebuah kem tentera China yang dulunya didiami tentera British. Walaupun Hong Kong diberikan kuasa pemerintahan sendiri selama 50 tahun, ketenteraan dan dasar luarnya terletak di bawah tanggungjawab penuh Kerajaan China.

Kem tentera China di Kowloon.
Perjalanan seterusnya adalah melalui Jambatan Tsing Ma (disebut: Ching-Ma) yang merupakan suspension bridge terbesar di dunia. Jambatan ini menyambungkan Semenanjung Kowloon dengan Pulau Lantau. Hong Kong Airport dan juga Hong Kong Disneyland terletak di Pulau Lantau.

Jambatan Tsing Ma yang menyambungkan Kowloon/New Territories dengan Pulau Lantau
Pemandangan dari Jambatan Tsing Ma
Pemandangan di atas Jambatan Tsing Ma
Jambatan Tsing Ma terdiri dari 2 tingkat. Tingkat atas dikhaskan untuk laluan kenderaan manakala tingkat bawah pula dikhususkan untuk kegunaan keretapi. Namun demikian, sekiranya angin kencang terutama di musim taufan (Mei-Oktober), laluan atas akan ditutup untuk keselamatan dan kenderaan terpaksa berkongsi laluan dengan keretapi di tingkat bawah.

Pulau Lantau juga akan mendapat mercu tanda baru tidak lama lagi apabila jambatan yang menghubungkan Hong Kong dengan Macau yang sedang dalam pembinaan siap. Dengan adanya jambatan ini kelak, perjalanan dari Hong Kong ke Macau akan mengambil masa 45 minit sahaja berbanding 1 jam perjalanan dengan feri sekarang. Jika berkereta dari Hong Kong ke Macau pula, perjalanan sekarang memakan masa 4 jam kerana terpaksa melalui tanah besar China.

Plaza tol di Pulau Lantau

Part 15: Pulang ke Malaysia 

Tiba di Hong Kong Airport, kaunter Malaysia Airlines telah dibuka. Jadi kami terus sahaja membuat Bag Drop (dah buat online check-in semasa di Hotel Silka Seaview).


Kaunter daftar masuk di Hong Kong Airport
Kami kemudiannya makan tengahari di Restoran Popeye berhampiran. Restoran ini adalah sebuah restoran Fast Food yang menjual makanan Halal.

Restoran Popeye yang menjual makanan segera Halal di Hong Kong Airport
Pemandangan di dalam Restoran Popeye
Pilihan makanannya tak banyak, tapi mengenyangkan.
Selepas makan, kami masuk ke pemeriksaan imigresen untuk ke pintu perlepasan. Di sini, masih sempat singgah sebentar di Kedai Disney dan Giordano untuk membeli cenderamata last minute.

Airtrain ke Gate Perlepasan
Dalam Airtrain ke Gate Perlepasan
Pintu perlepasan pesawat kami ialah di Gate 62 tetapi sebelum ke sana, kami mencari dulu Gate 41 kerana ada bilik sembahyang (yang dipanggil Meditation Room) di sebelahnya. Bilik sembahyang ini sebenarnya boleh digunapakai oleh penganut semua agama. Tapi jelas sekali, ia paling banyak dipakai oleh orang-orang Islam kerana agama lain tidak mempunyai tuntutan bersolat 5 waktu sehari semalam seperti kita.

Pemandangan berhampiran Gate 41 di mana letaknya bilik sembahyang.
Akhirnya, kami berlepas pulang ke Kuala Lumpur dengan pesawat Airbus A380 Malaysia Airlines yang sama membawa kami ke Hong Kong dulu.

Pesawat Airbus yang sama membawa kami pulang ke Kuala Lumpur.
Dalam pesawat pulang ke Kuala Lumpur.
Menunggu pesawat berlepas.
Penerbangan pulang memakan masa 3 jam 30 minit. Perjalanan juga lancar walaupun sedikit hujan sewaktu kami berlepas. Kami selamat tiba di Kuala Lumpur dalam hujan renyai pada pukul 6.35 petang.

Peta penerbangan sewaktu pesawat berlepas dari Hong Kong.
Pilihan sajian penerbangan dari Hong Kong ke Kuala Lumpur - Pasta & Shrimp.
Selamat mendarat di KLIA dalam hujan renyai.


CATATAN PERJALANAN HONG KONG (3rd VISIT) & MACAU (2013):

CATATAN PERJALANAN LAIN (HONG KONG):