Tuesday, 29 November 2022

2022 BALKANS BHG. 15 (Dubrovnik Old City 1)

Oktober 2022

SOUTHEASTERN EUROPE (BALKANS)
Croatia, Bosnia-Herzegovina, Montenegro, Albania, Kosovo, North Macedonia, Greece & Turkiye (3rd Visit)
(CROATIA: Dubrovnik)

Bahagian 15: Croatia 4
DUBROVNIK (Dubrovnik Old City 1)

HARI KEEMPAT (3)

Part 46: Dubrovnik Old City (1)

Melangkah masuk ke dalam kota Dubrovnik bagai melangkah masuk ke masa silam. Tembok kota ini sangat tinggi dan tebal. Kalau dah berada di dalam kota, memang tak tahu apa yang berlaku di luar sana. Mungkin inilah perasaan penduduk Dubrovnik yang tinggal di dalam kota ini pada masa dahulu.

Pemandangan di belakang Pile Gate, sebaik masuk ke dalam kota
Penjual cenderamata yang memakai pakaian tradisional Croatia
Tembok kota Dubrovnik
Tangga turun ke bawah...
Kalau anda seorang peminat Game of Thrones tentu anda ingat adegan ini yang dirakamkan di sini...

Adegan dari Game of Thrones
Kota Dubrovnik tak boleh dimasuki oleh sebarang kenderaan. Cuma pejalan kaki sahaja dibenarkan di dalam kota ini.

Pemandangan ke dalam kota...
Peta Dubrovnik Old Town

ONOFRIO FOUNTAIN

Sebaik masuk ke dalam kota, Janna menunjukkan Onofrio Fountain kepada kami. Onofrio Fountain yang dibina pada tahun 1438 adalah sebahagian dari sistem bekalan air di kota Dubrovnik. Fountain ini dialirkan dari sebuah sumber air yang terletak 12 km di luar kota Dubrovnik. Air ini bersih dan masih selamat diminum langsung sehingga sekarang.

Onofrio Fountain
Onofrio Fountain mempunyai 16 paip air yang setiap satunya dihias dengan muka bertopeng (maskeron).
Maskeron di Onofrio Fountain. Air paip ini masih selamat diminum terus sehingga sekarang.

SAINT SAVIOUR CHURCH
 
Gereja Saint Saviour dibina pada tahun 1520 sebagai tanda kesyukuran setelah kota Dubrovnik terselamat dari kerosakan dalam gempa bumi. Ia terletak betul-betul bersebelahan dengan tembok kota, berhampiran Onofrio Fountain.

Gereja St. Saviour
Gereja St. Saviour ini terletak di sebelah Onofrio Fountain
Inskripsi pada plak di atas pintu masuk ke gereja tertera perasaan syukur penduduk Dubrovnik setelah kota mereka terselamat dalam kejadian gempa bumi.
Tingkap Rosetta pada façade bangunan gereja

DUBROVNIK CITY WALLS

Tembok kota Dubrovnik dibina setinggi 25 meter dengan ketebalan 3 meter. Pengunjung boleh berjalan di atas tembok ini untuk mengelilingi seluruh kota. Namun demikian kalau nak naik ke atas sana, kenalah memanjat tangga yang tinggi, sempit dan curam. Tiket Euro 30 turut dikenakan untuk sesiapa yang nak naik ke atas tembok. Tangga naiknya terletak di sebelah Gereja St. Saviour.

Tangga naik ke City Wall di sebelah Gereja St. Saviour
Janna menunjukkan kepada kami tangga untuk naik ke atas tembok kota.
Tiket untuk naik ke atas Tembok Dubrovnik dijual di sini
Tak teringin pun kami nak naik ke atas sana bila tengok tangga yang tinggi begitu.
Penghibur di depan St. Saviour Cathedral

STRADUN (MAIN STREET)

Janna seterusnya membawa kami menyelusuri laluan utama di dalam Kota Dubrovnik yang dinamakan Stradun. Stradun dibina bermula dari Pile Gate sehingga ke Pelabuhan Dubrovnik. Ia kini dibarisi dengan kedai-kedai dan kafe-kafe di sepanjang jalan.

Laluan utama di dalam Kota Dubrovnik yang dinamakan Stradun
Bangunan-bangunan lama di Stradun telah ditukar menjadi kedai dan kafe.
Kedai cenderamata
Berehat di tepi bangunan setelah penat berjalan
Ukiran di atas pintu bangunan
Nama salah sebuah side street di Stradun
Pemandangan side street di Stradun
Pelancong yang datang menikmati keindahan kota lama Dubrovnik
Pintu antik
Sebuah kefe di tepi lorong
Kafe lagi
Beberapa bangunan juga telah ditukar fungsi menjadi pejabat dan hotel-hotel butik.
Kota Dubrovnik mempunyai beberapa buah menara kawalan di sepanjang tembok kota. Sambil berjalan di Stradun, kami dapat melihat salah sebuah menara yang dinamakan Minčeta Tower. Menara ini yang dipasang dengan bendera negara Croatia di atasnya adalah menara yang tertinggi di kota Dubrovnik.

Minčeta Tower
Minčeta Tower digambarkan sebagai House of the Undying di dalam Game of Thrones.
Kota lama Dubrovnik bukan dikunjungi pelancong semata-mata. Ia juga masih menjadi tempat kediaman penduduk tempatan sehingga kini.
Franciscan Monastery
Bangunan Franciscan Monastery
Masih berjalan menyusuri Stradun
Bakery
Sebuah lagi side street yang menarik
Souvenirs
Minum petang sambil people watching di Stradun
Stradun berakhir di Clock Tower sana

CLOCK TOWER

Clock Tower setinggi 31 meter yang dibina pada kurun ke-15 adalah sebuah mercu tanda utama di Dubrovnik Old City. Ia terletak di Luža Square, di penghujung Stradun dan bersebelahan dengan Sponza Palace.

Dubrovnik Clock Tower
Jam pada menara ini masih berfungsi sehingga sekarang dan loceng pada jam ini akan berdenting pada setiap jam. Disebabkan kami berada di Dubrovnik selama 3 jam, sempat jugalah mendengar dentingan jam ini beberapa kali.

Loceng pada jam ini berdenting pada setiap jam
'Petugas' yang sangat setia mengetuk loceng sehingga berdenting pada setiap jam ini adalah 2 buah patung zelenci (disebut: zey-len-si) yang bermaksud hijau kerana kedua-dua mereka berwarna hijau. Nama timangan yang diberi oleh penduduk Dubrovnik kepada mereka pula adalah Maro dan Baro.

Patung zelenci yang begitu setia mengetuk loceng pada setiap jam sehingga berdenting
Cuma nampak Maro saja dari sebelah sini. Baro terlindung di belakang loceng.
Minum petang di bawah dentingan loceng Maro dan Baro
Sewaktu kami melawat Salzburg di Austria dulu, kami pernah diberitahu yang dentingan loceng dibuat pada menara jam untuk memberitahu waktu kepada orang awam. Ini adalah kerana kebanyakan penduduk pada zaman itu tidak tahu membaca dan menulis. Dentingan loceng jam pada zaman sekarang pula mungkin lebih berfungsi untuk menyedarkan waktu kepada pengunjung Dubrovnik yang mungkin leka membelek handphone sambil minum petang di kafe-kafe di sini.

Pemandangan Clock Tower dari sudut lain.
Pintu masuk ke Pelabuhan Dubrovnik terletak di bawah Menara Jam ini
Ada sebuah fountain kecil di depan Clock Tower. Ia dinamakan Small Onofrio Fountain dan digunakan untuk membekal air untuk kegunaan kedai-kedai berhampiran.

Small Onofrio Fountain di depan Clock Tower
Pandangan lebih dekat Small Onofrio Fountain
Ukiran-ukiran pada Small Onofrio Fountain

ST. BLAISE CHURCH

St. Blaise Church di depan Clock Tower adalah juga sebuah bangunan yang menarik. St. Blaise (Sveti Vlho) adalah patron saint Dubrovnik. Menurut ceritanya pada tahun 971, tentera Venice tiba di Dubrovnik. Mereka menyamar sebagai pedagang yang ingin singgah berehat sambil membeli bekalan untuk berlayar ke timur.

Seorang penduduk Dubrovnik yang bernama Stojko telah berkunjung ke Gereja St. Stephen dan bertemu dengan seorang tua beruban bernama Vlaho (Blaise). Vlaho (Blaise) meminta Stojko memberi amaran kepada pemerintah tentang rancangan orang Venice yang hendak menyerang dan menakluk Dubrovnik. 

Penduduk Dubrovnik terus bertindak menutup pintu kota dan berkawal di sekeliling tembok. Bila orang Venice menyedari bahawa rancangan mereka telah terdedah, mereka terus berlayar pergi tanpa menyerang kota Dubrovnik. Semenjak itu, Vlaho diangkat sebagai St. Blaise, Patron Saint of Dubrovnik. Sebagai penghormatan, Gereja St. Blaise dibina pada tahun 1715. 

St. Blaise Church
Ukiran patung-patung di bumbung dan pintu masuk ke gereja
Patung St. Blaise di bumbung gereja
Patung perhiasan di pintu masuk gereja
Corinthian Columns yang menghiasi bangunan St. Blaise Church
Di depan Gereja St. Blaise sebenarnya ada sebuah tugu yang dinamakan Orlando's Column. Tugu ini walau bagaimanapun sedang ditutup untuk pembaikan sewaktu kami di sana. Menurut kisahnya juga, Orlando adalah seorang laksamana tentera laut yang telah menyelamatkan Dubrovnik bersama pasukan tenteranya dari kepungan Tentera Saracen pada kurun ke-9M. Tugu Orlando didirikan oleh penduduk Dubrovnik sebagai tanda penghormatan dan terima kasih kepada beliau. 

Orlando's Column di depan St. Blaise Church yang sedang ditutup untuk pembaikan.
Patung Orlando seperti ini sebenarnya bukan hanya ada di Dubrovnik. Kami juga pernah melihat patung Orlando di Slovakia. Kisah Orlando, atau lebih dikenali sebagai Roland sebenarnya sangat terkenal di seluruh Eropah. Patung Roland sering dibina di bandar-bandar di bawah pemerintahan Raja Hungarian-Croatian, seperti bandar Dubrovnik, sebagai simbol ketaatan.

Rupa sebenar Orlando's Column (Sumber: Internet)
Bangunan-bangunan berhampiran St. Blaise Church dan Orlando's Column


Bersambung ke Bahagian 16...


CATATAN PERJALANAN BALKANS (2022):