Friday, 13 November 2026

2026 K. KANGSAR & TAIPING BHG. 05 (Zoo Taiping)

September 2026

PERAK, MALAYSIA
Kuala Kangsar & Taiping

Bahagian 5 : Taiping II
TAIPING [Zoo Taiping]
 
HARI KEDUA (2)
 
Part 11: Zoo Taiping
 
Ada beberapa tarikan pelancong yang terletak di sekitar Taman Tasik Taiping. Salah sebuah di antaranya ialah Zoo Taiping. Zoo yang dibuka pada tahun 1924 ini adalah zoo yang tertua di Malaysia. Disebabkan kita pun dah lama sangat tak melawat masuk ke zoo, marilah kita melawat ke Zoo Taiping. 😄
 
Berkereta menuju ke Zoo Taiping
Parking yang terletak betul-betul di sebelah Zoo Taiping telah penuh ketika kami tiba disebabkan Cuti Umum Hari Malaysia. Oleh itu, terpaksalah kita parking di sebuah tempat letak kereta yang terletak di seberang jalan. Namun begitu, tak perlu bimbang kerana ada sebuah terowong bawah tanah yang disediakan untuk kemudahan pengunjung menyeberang dari parking lot ini menuju ke Zoo.
 
Pemandangan ke arah Zoo Taiping dari parking lot di seberang jalan
Laluan pejalan kaki dari parking lot di seberang jalan menuju ke Zoo
Terowong di bawah jalan raya
Selamat Datang Ke Zoo Taiping & Night Safari
Pintu masuk ke Zoo Taiping
Zoo ini adalah sebahagian dari Jejak Warisan Taiping
Tiket dewasa yang dikenakan bagi warganegara Malaysia melawat ke Zoo Taiping ialah RM25 seorang. Kad pengenalan sebagai bukti warganegara perlu ditunjukkan kepada petugas sewaktu membeli tiket masuk.

Jom masuk ke dalam Zoo...
Pemandangan di kawasan pintu masuk ke Zoo
Sejarah Zoo Taiping
Pemeriksaan tiket
Sesuatu yang menarik mengenai lawatan ke Zoo Taiping ialah adanya tram ride percuma kepada semua pengunjung di pintu masuk. Tram ride ini akan membawa kita mengelilingi Zoo untuk menunjukkan semua kandang haiwan yang dipamerkan. Bagus juga begitu kerana kalau nak suruh pengunjung berjalan-jalan sendiri sahaja, kemungkinan besar memang tak sampailah ke seluruh zoo kerana kepenatan.
 
Selamatkan Hidupan Liar Kita
Tempat menunggu tram percuma
Selain perkhidmatan tram percuma, ada juga tram persendirian yang boleh disewa
Tram yang disediakan untuk membawa pengunjung berkeliling Zoo Taiping
Tiket masuk ke Zoo
Tram dah mula bergerak...
Tram mula bergerak membawa kita mengelilingi Zoo Taiping di sebelah Timur. Kita tengok haiwan-haiwan yang dapat kita lihat dari atas tram...

Kandang Serigala (Anjing Hutan)
Serigala menyorok di kejauhan
Kandang Itik Mandarin
Di beberapa kandang tertentu, ada dinding kaca sebegini yang disediakan untuk membolehkan kita melihat haiwan di dalam kandang dengan lebih jelas.
Keterangan tentang Itik Mandarin
Kolam
Ring Teal
Buaya Jejulong
Kemudian kita lalu di tepi kandang suku-sakat haiwan monyet. Antara yang dapat dilihat adalah Orang Utan, Chimpanzi dan Ungka.
 
Kandang Orang Utan
Orang Utan yang sedang berehat di atas batang pokok yang tinggi
Ada seekor yang sedang berehat di sini
Chimpanzi
Kolam Ikan Arapaima. Tak nampak ikannya dari atas tram.
Sekeluarga sedang melihat Ungka
Ungka Muka Putih
Lalu di tepi Kolam Buaya Tembaga
Buaya Tembaga
Lalu sekali lagi di tepi Kolam Buaya Jejulong
Buaya Jejulong
Seekor lagi buaya sedang berjemur di situ...
Sambil membawa kami mengelilingi Zoo, pemandu tram turut bercerita tentang haiwan-haiwan yang kami lihat. Dia juga macam dah hafal nama semua haiwan yang berada di sini. Ada kalanya, dia akan berhenti sebentar memanggil nama-nama mereka dan ada di antara haiwan yang akan memberi response bila nama mereka dipanggil.
 
Binturong
Kandang rusa
Mengambil gambar rusa dari dalam tram
Berebut-rebut nak makan bersama
Kandang Kucing Batu
Tak nampak kelibat Kucing Batu kerana haiwan ini cuma aktif di waktu malam
Musang Lamri
Seronok bila lalu di tepi kandang singa dan melihat seekor singa yang sedang tidur di situ. Teringat pengalaman melawat ke Lion Park di South Africa dulu. Singa juga adalah haiwan yang aktif di waktu malam dan menghabiskan masa dengan tidur untuk mengumpul tenaga di waktu siang.
 
Kandang Singa
Nampak tak Sang Raja Rimba yang tengah tidur di sana?
Mengintai Sang Landak di dalam kandang
Ada beberapa ekor Landak di sana
Dubuk Bertompok (Spotted Hyena)
Melihat Dubuk Bertompok
Hyena
Sedih bila pemandu tram bercerita tentang Beruang Matahari bila kami lalu di tepi kandangnya. Kata pemandu, beruang ini tinggal bersendirian sekarang kerana rakannya baru mati dipatuk ular. Ada juga kejadian begitu dalam zoo begini rupanya! Mudah-mudahan pihak Zoo dapat mencari pengganti beruang yang mati itu dengan segera supaya beruang yang seekor ini tidak lagi bersendirian.
 
Kandang Beruang Matahari
Beruang yang tinggal bersendiirian selepas rakannya mati dipatuk ular
Rusa Bawean yang berasal dari Indonesia
Rumah Ular
Penunjung yang nak masuk melawat ke Rumah Ular
Burung
Kawasan untuk pengunjung berehat
Kami kemudian dibawa pula melawat ke Zoo di bahagian Barat. Star attraction di sebelah sini adalah banyak haiwan yang berasal dari Afrika, tetapi adalah juga beberapa spesies haiwan lain yang turut dipamerkan.
 
Kolam Badak Air
Teringat kat Badak Air di Botswana dulu bila melihat Badak Air yang sedang berendam di sini
Rusa Nilgai yang berasal dari India
Sekawan rusa di dalam kandang
Burung Ibis Merah
Rumah Burung di Zoo Taiping
Kandang haiwan dari benua Australia
Petugas di kandang Burung Kasawari
Wallaby dan Emu di seberang kolam
Kandang Badak Sumbu Putih
Badak Sumbu Putih
Perkhidmatan tram percuma berakhir dekat dengan Kandang Gajah. Semua penumpang diminta turun dari tram di sini. Selepas turun dari tram, pengunjung boleh memilih sama ada nak keluar terus dari Zoo kerana pintu keluar juga terletak tidak jauh dari sini, atau nak berjalan-jalan sendiri mengelilingi Zoo sekali lagi.

Husband bergambar kenangan dengan pemandu tram
Kami memilih untuk berjalan lagi di dalam Zoo untuk melihat dengan lebih dekat beberapa haiwan menarik yang dilihat dari atas tram tadi.

Kandang Gajah dekat perhentian akhir tram
Ada sepasang gajah di sana
Selepas melihat gajah yang bersaiz besar di Afrika, terasa betapa kecilnya gajah di benua Asia begini
Kolam Bangau berdekatan kandang Gajah
Burung Bangau yang berdiri di atas sebelah kaki
Satu pemandangan menarik lain di Zoo Taiping ialah kawasan yang dinamakan Savannah yang menempatkan haiwan-haiwan herbivore dari Afrika. Memang seronok melihat haiwan-haiwan ini di sini tetapi disebabkan kita dah melihat mereka bergerak bebas sewaktu membuat Game Drive di Afrika baru-baru ini, terasa kasihan pulak melihat mereka terkurung begini. Tapi nak buat macam mana, kan?! Mereka memang perlu dikurung begini untuk membolehkan rakyat marhaen melihat dan mengenali mereka. Cuma agak seronok melihat kepungan mereka di dalam zoo ini agak besar dan haiwan-haiwan ini boleh bergerak dengan selesa.

Haiwan-haiwan Afrika di kawasan Savannah
Zirafah sedang memakan daun
Jom kita pergi tengok Zirafah dekat-dekat sikit...
Badak Air yang sedang berendam di dalam kolam
Selepas itu kami kembali ke Kandang Rusa sebab Husband teringin nak melihat semula Rusa Nilgai yang datang dari India itu.
 
Kembali ke Kandang Rusa sebab nak melihat semula Rusa Nilgai
Rusa
Nilgai handsome yang berasal dari India
Nilgai yang hidup aman damai bersama rusa-rusa lain di Zoo Taiping
Pemandangan Savannah turut dapat dilihat dari kandang Rusa dan Nilgai. Pemandangan special yang dapat kami lihat ketika itu adalah sepasang Antelope yang sedang bergaduh. Sewaktu membuat Game Drive di Afrika dulu, kami pernah diberitahu yang Antelope jantan memang akan bergaduh untuk berebut menjadi "Abang Kawasan".
  
Kuda Belang dan Monyet di kawasan Savannah
Antelope jantan yang sedang bergaduh nak berebut menjadi "Abang Kawasan".
Burung Ibis Merah
Ibis Merah yang bertenggek di atas dahan pokok
Papan keterangan mengenai Burung Ibis Merah
Kami tidaklah berhasrat dan berjalan mengelilingi seluruh Zoo sekali lagi ketika itu. Cuma nak berjalan mengikut satu laluan lingkaran besar sahaja sebelum kembali ke pintu masuk. Sambil-sambil itu, kita lihatlah semua haiwan yang ada di dalam perjalanan.

Bersiar-siar di Zoo Taiping
Sejenis haiwan yang dapat kami lihat dengan dekat ketika itu adalah Harimau Kumbang (Black Panther) yang berwarna serba hitam. Satu fakta menarik yang kami pelajari ialah hutan di Semenanjung Malaysia adalah kawasan yang paling banyak dihuni oleh Harimau Kumbang di seluruh dunia.

Melihat kandang Harimau Kumbang
Ada seekor tengah tidur di atas sana
Ada seekor lagi di sana
Dekat kandang Harimau Kumbang, ada sebuah kandang besar yang menempatkan haiwan dari benua Australia. Haiwan yang ada di sini terdiri dari Wallaby dan Burung Emu.

Haiwan Wallaby dari Australia
Wallaby juga berasal dari keluarga Kangaroo, tetapi bersaiz jauh lebih kecil dari Kangaroo yang sebenar.
Burung Emu
Menikmati pemandangan di Zoo Taiping
Tram
Pengunjung yang sedang mengelilingi Zoo dengan tram
Kita singgah pula melihat kandang Lesser Whistling Duck. Menurut keterangan yang diberi, itik ini banyak ditemui di kawasan sawah padi di benua India dan Asia Tenggara.
 
Lesser Whistling Duck
Beginilah cara bila itik sedang tidur
Di sini juga ada sangkar besar yang menempatkan Burung Kasawari. Burung ini juga sekeluarga dengan Ostrich tetapi mereka terpaksa dikurung berasingan kerana sikapnya yang garang. Teringat kat Somali Ostrich garang yang kami lihat di South Africa dulu. Cuma bezanya Burung Kasawari ini mempunyai bulu yang berwarna cantik, sedangkan Somali Ostrich berwarna serba hitam.

Burung Kasawari yang garang
"Oyen, di mana Oyen?", begitulah yang terlintas di fikiran bila kita melihat Capybara di Zoo Taiping. Maklum sajalah kerana kalau di Zoo Negara di Kuala Lumpur, ada seekor kucing famous bernama Oyen yang menumpang tinggal bersama di kandang Capybara. Tetapi jangan dicari sebab memang tak ada Kucing Oyen yang tinggal bersama Capybara di Zoo Taiping.
 
Kandang Capybara
Capybara
Kandang Badak Sumbu Putih
Sepasang Badak di sebelah sana
Seladang Yang Perkasa
Mengikut keterangan yang diberi, Harimau takut berjumpa Seladang kerana mereka mampu memberikan rodokan dan injakan maut kepada Sang Belang.
Kita dah hampir sampai kembali ke pintu masuk. Tengok-tengok saja apa haiwan lain yang sedang berada di sini...

Tapir Malaya yang juga dikenali sebagai Badak Tampung bersama seekor Kijang
Berjalan kembali ke arah pintu masuk
Masih ada Badak Air yang sedang berendam di dalam kolam
Seekor dah naik ke darat di sebelah sana...
Arnab
Bergambar kenangan sebelum keluar dari Zoo
Kedai Cenderamata dekat pintu keluar