Thursday, 21 July 2022

2022 TURKEY (2nd VISIT) BHG. 05 (Ankara Castle)

Jun 2022

TURKEY (2nd VISIT)
Ankara, Istanbul, Denizli & Pamukkale

Bahagian 5: Ankara 3
ANKARA CASTLE & TURKISH GENERAL ASSEMBLY

HARI KEDUA (4)

Part 9: Ankara Castle

Dari Anitkabir, Fahrettin membawa kami ke Ankara Castle.

Pemandangan bandaraya moden Ankara bertukar menjadi sebuah bandaraya lama dengan jalan yang sempit dan mendaki bukit bila kami menghampiri Ankara Castle.

Masjid lama berhampiran Ankara Castle
Kedai-kedai di tepi jalan yang sempit dan mendaki bukit
Bandar lama Ankara
Kedai karpet
Barisan kedai yang menarik berhampiran Ankara Castle
Perhentian teksi berhampiran Ankara Castle
Ankara Castle adalah sebenarnya binaan sebuah kubu pertahanan dan bukan istana kediaman. Laluan masuk utamanya adalah menerusi sebuah pintu yang dinamakan Finger Gate (Parmak Kapısı). Laluan ini agak sesak pada petang itu kerana ada sebuah pentas persembahan sedang dibina.

Pintu masuk ke Ankara Castle
Pentas persembahan yang sedang dibina di depan pintu masuk ke Ankara Castle
Menara jam dekat pintu masuk ke Ankara Castle
Sebaik masuk ke dalam kota, kita dapat melihat bangunan-bangunan lama yang kini digunakan sebagai kedai-kedai untuk menjual cenderamata dan kraftangan.

Kedai-kedai cenderamata di dalam Ankara Castle
Pelbagai cenderamata yang dijual
Permaidani dan kraftangan
Kemudian kita akan bertemu sebuah dataran yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan yang dibina pada zaman Ottoman.

Dataran di dalam Ankara Castle
Dataran ini juga ada banyak bunga yang cantik dan segar. Memang tak sangka yang kami masih boleh melihat bunga-bunga yang masih mekar berkembang walau sedang berada di dalam musim panas. Suhu sekitar 18'C di Ankara ketika itu juga sangat nyaman.

Restoran berhampiran dataran
Kedai-kedai berhampiran dataran
Penunjuk arah
Bila berjalan lebih jauh lagi ke dalam selepas dataran ini, semakin banyak bangunan lama yang kita temui. Ada di antaranya yang dijadikan kedai, kafe dan masih digunakan sebagai rumah-rumah kediaman. Sebahagiannya juga telah diubahsuai menjadi hotel-hotel butik.

Kedai cenderamata
Ankara Castle telah dibina semenjak dari zaman Rom. Oleh kerana ia dibina sebagai kota pertahanan, binaannya mengelilingi sebuah bukit yang tinggi. Jenuh juga kita berjalan sambil mendaki bukit yang curam dan tinggi ini.

Berjalan sambil mendaki bukit
Bagaikan kembali ke zaman silam...
"Takkan dah letih, kot? Baru naik bukit sikit je ni..." mungkin itulah kata mereka kepada kita.
Kalau diperhatikan binaan tembok kota ini, kita dapat melihat ia dibina dengan menggunakan pelbagai jenis batuan. Di tengah-tengah bata berbentuk segiempat yang sekata, ada pula beberapa pecahan batu marmar yang ada ukiran dan tulisan Latin padanya. Menurut ceritanya, sebelum Ankara Castle dibina, telah ada runtuhan sebuah kota lama Rom di sini. Bila kekurangan batu bata dalam pembinaannya, kepingan-kepingan runtuhan marmar dari kota lama Rom inilah yang digunakan.

Batu-batu putih pada dinding kota ini adalah kepingan batuan dari kota lama Rom yang pernah berdiri di sini sebelum Ankara Castle dibina.
Menara Pertahanan
Walaupun jalannya sempit, ada sebahagian jalan di dalam Ankara Castle yang dibuka untuk kegunaan kenderaan ringan. Terperanjat kita bila tiba-tiba berselisih pulak dengan sebuah kereta yang lalu di jalan sempit ini.

Ketika ini sebenarnya baru saja ada sebuah kereta kecil lalu di sini.
Naik tangga yang ini pulak naik ke atas...
Tiba ke Kota Pertahanan yang sebenar
Kota pertahanan Ankara Castle yang sebenar terletak di puncak bukit. Kota ini dibina setinggi 4 tingkat. Memanjat lagi kita naik ke atas sana! Siksa nak memanjat naik sebab tangganya sempit, curam dan tak disediakan tempat pemegang. Tapi bila sampai ke atas, pendakian memang berbaloi kerana kita disajikan dengan pemandangan kota Ankara yang indah.

Pemandangan dari puncak kota pertahanan

Kota pertahanan yang kita daki ini bukanlah bahagian tertinggi pada Ankara Castle sebenarnya. Bahagian tertinggi yang dinamakan sebagai White Fort (Ak Kale) terletak di seberang sana, tetapi tidak boleh dimasuki. Bahagian kota ini ditanda dengan sebuah bendera Turkey yang berkibar di atasnya.

White Fort (Ak Kale)
Ada sebuah menara masjid lama yang jelas kelihatan dari kota pertahanan ini. Ia adalah menara Masjid Sultan Alaeddin (Sultan Alaeddin Camii). Masjid yang dibina pada tahun 1197 ini adalah masjid yang tertua di Ankara. Ia dibina oleh Muhyiddin Mesud Şah, anak kepada Sultan Seljuk Kılıç Arslan II, menggunakan serpihan batuan dari binaan-binaan lama Rom and Byzantine.

Menara masjid lama
Masjid Sultan Alaeddin
Melike Hatun Mosque
Kena berhati-hati berjalan di kota pertahanan ini kerana tak semua tempatnya dipasang dengan pagar untuk keselamatan.

Pagar hanya dipasang di sebahagian tempat pada kota ini.
Saiz kota Ankara yang besar sangat terserlah dari sini. Selain pemandangannya indah, suasananya juga sangat hening.

Pemandangan kota Ankara
Pengunjung-pengunjung ke kota pertahanan
Dah puas melihat pemandangan kota Ankara dari kota ini, kami bergerak kembali turun ke bawah.

Tangga turun ke bawah
Tinggilah juga tangga ini...
Kembali ke pintu gerbang
Pintu gerbang lama
Sambil berjalan keluar, kita perhatikan binaan-binaan lama pada bangunan di sekitar. Memang mengkagumkan kerana mereka masih bertahan sehingga sekarang walau mungkin dah berusia beratus-ratus tahun.

Kaedah pembinaan lama yang masih dapat dilihat di Ankara Castle
Kagum melihat ia masih bertahan sehingga ke hari ini
Serpihan-serpihan binaan Roman dapat dilihat dengan jelas di sana sini
Lorong yang cantik
Kembali ke dataran yang penuh dengan bunga-bungaan
Kedai-kedai souvenir
Ais kerim tradisional Turki yang dinamakan Dondurma
Anggota polis yang bertugas di luar Ankara Castle
Kerusi batu antik
Kami singgah di sebuah kedai makan di luar Ankara Castle untuk makan tengahari.

Kedai di depan Ankara Castle
Satu lagi pemandangan kedai yang sama
Kedai makan berhampiran Ankara Castle
Singgah di sebuah kedai makan
Kedai makan yang kami singgah adalah sebuah restoran yang menjual makanan tradisional Turki. Makanannya cuma hanya ada 2 pilihan: Doner ataupun Kofte. Pada pandangan orang Malaysia macam kita, baik Doner ataupun Kofte, kedua-duanya nampak macam sama. Perbezaan sebenarnya ialah Doner merupakan kepingan daging manakala Kofte pula adalah meatball. Yang seronok makan di restoran ini ialah bila kedua-dua Doner dan Kofte ini dihidang bersama Butter Rice. Maklumlah perut Melayu, memang seronok kalau dapat makan nasi.

Kofte
Doner

Part 10: Turkish General Assembly

Ankara bermula sebagai sebuah penempatan kecil dengan penduduk berjumlah beberapa ribu orang yang tinggal di sekitar Ankara Castle pada permulaan kurun ke-20. Ia berubah wajah apabila Mustafa Kemal Atatürk menjadikan Ankara sebagai pusat gerakan penentangan terhadap Tentera Bersekutu pada tahun 1920. Selepas menewaskan Tentera Bersekutu dan kemudiannya menamatkan pemerintahan Kesultanan Ottoman, Atatürk menubuhkan Republic of Turkey.

Kawasan kediaman di Ankara
Bendera Turkey yang berkibar di Ankara Castle
Hujan renyai mula turun di Ankara
Bangunan Turkish Religious Foundation
Fakulti Pergigian Universiti Ankara
Status Ankara sebagai pusat pemerintahan Kerajaan Turki yang diasaskan oleh Mustafa Kemal Atatürk masih kekal sehingga sekarang. Memandangkan kita dah berada di Ankara, kami meminta Fahrettin untuk membawa kami melihat bangunan Parlimen Turkey yang dinamakan sebagai Turkish General Assembly.

Seperti yang kita maklum, Turkey terkenal sebagai sebuah negara sekular yang mengasingkan agama dari pemerintahan mengikut fahaman yang diasaskan oleh Atatürk. Jadi memang terperanjat juga bila melihat ada sebuah masjid yang besar dibina di depan bangunan Parlimen Turkey ini. Compound Bangunan Parlimen di Malaysia pun tak ada binaan masjid begini.

Bangunan Masjid di depan Parlimen Turkey di Ankara
Pemandangan lebih dekat bangunan Masjid Parlimen
Pintu masuk sebenar ke dalam Bangunan Parlimen Turkey
Bangunan Parlimen Turkey ini walau bagaimanapun adalah sebuah kawasan yang sensitif dari segi keselamatan. Ia turut mengalami serangan sewaktu cubaan rampasan kuasa tentera yang berlaku pada tahun 2016 dulu. Oleh itu, pelawat seperti kami hanya boleh melihat bangunan ini dari dalam kenderaan sahaja. Kami tidak dibenarkan turun untuk melawat bangunan ini dengan lebih dekat.

Turkish General Assembly Building
Kami cuma dibenarkan melihat bangunan ini dari dalam kereta sahaja dan tidak dibenarkan turun di mana-mana kawasan berhampiran bangunan.


Bersambung ke Bahagian 6...


CATATAN PERJALANAN TURKEY (2nd VISIT) 2022: