Friday, 26 August 2022

2022 TURKEY (2nd VISIT) BHG. 23 (Laodikeia 1)

 Jun 2022

TURKEY (2nd VISIT)
Ankara, Istanbul, Denizli & Pamukkale

Bahagian 23: Denizli 4
LAODIKEIA (Syria Street)

HARI KELAPAN (4)

Part 51: Laodikeia

Lawatan seterusnya adalah ke sebuah runtuhan kota Rom purba yang bernama Laodikeia (disebut: Lao-di-kei-ya). Ia juga dikenali sebagai Laodicea on the Lycus.

Perjalanan ke Laodikeia. Batuan putih di kejauhan sana adalah Cotton Castle di Pamukkale
Pejabat Tiket untuk masuk ke Laodikeia
Seperti Kaklik Cave yang tenggelam dengan populariti Cotton Castle di Pamukkale, Laodikeia juga tenggelam dengan populariti sebuah lagi Roman ancient ruin di kawasan berdekatan yang bernama Hierapolis. Tetapi ini tidaklah bermakna Laodikeia tidak menarik untuk dilawati.

Penunjuk arah di Laodikeia
Ada sebuah kisah menarik mengenai penubuhan kota Laodikeia. Mengikut sejarahnya, Laodikeia dibina oleh seorang raja dari Dinasti Seleucid yang bernama Antiochus II Theos. Kota ini dinamakan beliau sempena isterinya Laodice yang juga merupakan sepupunya. 

Pada tahun 250 SM, Anthiocus membuat pakatan bersama seorang Raja Mesir yang bernama Ptolemy II Philadelphus. Untuk menguatkan pakatan ini, Anthiocus mengahwini anak perempuan Ptolemy yang bernama Berenice. Laodice bersama anak-anaknya dibuang negeri ke Ephesus. 
 
Empat tahun selepas kematian Ptolemy II, Anthiocus mengahwini semula Laodice dan meninggal dunia pada tahun yang sama. Kematian mengejut Anthiocus menimbulkan desas-desus yang kononnya dia mati diracun oleh Laodice. Desas-desus ini semakin kuat bila Berenice dan anaknya dibunuh oleh Laodice.

Kesan runtuhan yang pertama kami lihat di Laodikeia
Lagi kesan-kesan runtuhan
Runtuhan di sebelah sana juga adalah sebahagian dari Laodikeia. Bayangkan betapa besarnya kota ini pada masa dahulu.
Laodikeia terdiri dari beberapa bahagian. Kita lihat gambaran peta Laodikeia ini di bawah...

Gambaran keseluruhan Laodikeia (Gambar dari internet)
Kita mulakan dengan melawat kawasan pasarnya yang dinamakan Syria Street.

Part 52 : Syria Street @ Laodikeia

Menurut sejarahnya, kota Laodikeia kini berusia 2,300 tahun. Ia dibina pada tahun 260 SM. Kota ini pernah musnah dan dibina semula sebanyak beberapa kali, terutama kesan dari gempa bumi. Ia dipercayai telah ditinggalkan selepas hancur dalam kejadian sebuah gempa bumi besar pada tahun 1200. Kerja-kerja penggalian semula kota ini pula telah dimulakan pada tahun 2000-an.

Kesan runtuhan pusat bandar Laodikeia
Di zaman kegemilangannya, Laodikeia adalah sebuah pusat perdagangan yang juga terkenal sebagai sebuah pusat industri dan perubatan. Laluan utamanya dinamakan Syria Street. Tapi tak ada pulak keterangan mengapa ia dinamakan sedemikian. Laluan ini dibarisi dengan kedai-kedai perniagaan di kiri-kanan jalan.

Syria Street
Lekukan pada batuan di jalan Syria Street adalah kesan dari roda kereta kuda yang keluar-masuk ke Laodikea pada masa dahulu.
Walaupun cuma tinggal runtuhan, kegemilangan Laodikeia sebagai sebuah bandaraya hebat di masa lampau memang boleh dirasakan.
Pasti ada sebuah bangunan penting pernah berdiri di sini di satu masa dahulu.
Mengikut Ali melawat kesan runtuhan Laodikeia
Walau telah wujud lebih 2,300 tahun yang lampau, kajian arkeologi menunjukkan Laodikeia mempunyai sistem bekalan air yang hampir sama dengan sistem moden yang digunakan sekarang. Bekalan air untuk kegunaan kota ini diambil dari beberapa buah mata air mineral panas di luar kota. Kami tak explore habis runtuhan Laodikea. Kalau kita berbuat begitu, pasti kita akan dapat melihat paip-paip air lama yang diperbuat dari porselin untuk mengangkut air ke Laodikeia. Menurut ceritanya, disebabkan air yang digunakan adalah air mineral, paip air ini sering tersumbat dengan bahan-bahan mineral yang menimbulkan masalah kepada penduduk bandar.

Bukan sekadar bekalan air bersih, sebahagian paip dan saluran air bawah tanah ini juga turut disediakan untuk sistem kumbahan.

Paip-paip bekalan air ke Laodikeia ditanam di bawah tanah. Bata-bata kecil yang disusun begini menunjukkan ada paip air yang diletakkan di bawahnya.
Sebahagian paip boleh dilihat melalui rekahan seperti ini.
Bulatan pada bongkah batu ini adalah bekas pemasangan sebuah paip air lama.
Penyumbang utama kepada kemakmuran ekonomi di zaman kegemilangan Laodikeia adalah aktiviti perdagangan, lebih-lebih lagi kerana kota ini terletak di dalam laluan perdagangan utama ketika itu. Eksport yang terpenting bagi Laodikeia ialah tekstil dan bulu kambing hitam yang turut ditemui dalam catatan proklamasi seorang Maharaja Roman yang bernama Emperor Diocletian. Rekod perdagangan lama juga ada menyebut tentang jubah khas penghasilan bandar Laodikeia yang dinamakan Trimata. Ia sangat terkenal sehingga menyebabkan Laodikeia turut digelar sebagai Trimataria. Kemakmuran industri pakaian masih diwarisi oleh Wilayah Denizli moden yang terletak di sekeliling Laodikeia sehingga ke hari ini. Penghasilan lain kota Laodikeia adalah batu marmar, daging lembu dan bijirin.

Runtuhan bangunan di belakang tiang ini adalah bekas kedai-kedai perdagangan
Pemandangan lebih dekat petak-petak kedai perniagaan di Laodikeia.
Syria Street sangat panjang. Boleh dibayangkan yang suasana melalui jalan ini pada masa dahulu mungkin sama seperti suasana kita melalui Istiklal Street di Istanbul pada masa sekarang.

Part 53 : House A @ Laodikeia

Penggalian arkeologi di Syria Street juga telah menemui sebuah rumah kediaman yang kini digelar sebagai House A. Penemuan ini penting kerana ia memberi gambaran tentang cara kehidupan seharian penduduk Laodikeia pada masa dahulu. Ia juga menunjukkan bahawa selain dari tempat-tempat awam, rumah-rumah kediaman di Laodikeia seperti House A turut menerima bekalan air awam menerusi paip.

Runtuhan House A di depan sana.
Tiang-tiang yang kelihatan di belakang House A di sana adalah Temple A.
Batu-bata yang digunakan dalam binaan House A
Pintu masuk ke House A
Menjenguk ruang di dalam House A. Menurut keterangan yang diberi, House A mempunyai keluasan 2,000 kaki persegi dan mempunyai beberapa buah bilik seperti ruang makan dan ruang tamu. Bukaan yang kat sana itu mungkin pintu ke ruang makannya.
Keterangan tentang House A. Kalau mengikut pelan rumah yang ditunjukkan mungkin ia dimiliki oleh seorang penduduk yang kaya-raya.
Secara umumnya, seperti juga kebanyakan kota-kota Rom purba yang lain, susunatur kota Laodikea memang rapi dan terancang. Bukan sekadar kedudukan pasar dan rumah-rumah kediaman, laluan sistem bekalan air dan kumbahan turut dirancang dengan baik. Kemudian sosial seperti stadium, gimnasium dan teater juga dibina untuk kegunaan penduduk kota. Asas yang digunakan dalam perancangan bandar-bandar Rom purba ini masih digunapakai dalam perancangan bandar-bandar moden di seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Laodikeia dibina menggunakan prinsip asas perancangan bandar Rom purba
Mengikut Ali lagi melawat Laodikeia
Ali sedang memberi penerangan tentang kesan-kesan runtuhan
Simen yang digunakan dalam pembinaan bangunan
Tak tahu apa binaan ini. Meja marmar ke sinki?
Laluan menuju ke Church of Laodikeia


Bersambung ke Bahagian 24...


CATATAN PERJALANAN TURKEY (2nd VISIT) 2022:

No comments: