Monday, 9 March 2026

2026 UMRAH KE-7 BHG. 12 (Badar & Jabal Malaikat)

Februari 2026

ARAB SAUDI
Makkah, Madinah & Badar

Bahagian 12: Badar
TAPAK PERANG BADAR, MAKAM SYUHADA' BADAR & JABAL MALAIKAT

Part 44: Tapak Perang Badar (Masjid Al Arish)

Badar terletak 130 km di barat kota Madinah dan terletak di sebuah kawasan padang pasir dan gunung-gunung yang tinggi. Sebelum kedatangan Islam, ia adalah sebuah persinggahan kafilah-kafilah Arab yang berdagang di antara Makkah dan Damsyik. Ia menjadi persinggahan penting kerana Badar mempunyai banyak telaga yang menjadi sumber air kepada para pedagang.

Pemandangan padang pasir di sekeliling Badar
Badar juga dikelilingi pergunungan yang tinggi
Haiwan-haiwan ternakan di padang pasir
Penggembala di tengah padang pasir
Sumber air di tengah padang pasir
Tiba di Badar
Selamat Datang Ke Badar
Menara
Destinasi kami di Badar adalah Masjid Al Arish yang terletak di Tapak Peperangan Badar yang berlangsung pada Tahun 2 Hijrah (624 Masehi).

Masjid Al Arish
Masjid Al Arish
Masjid Arish didirikan di tapak khemah Rasullullah SAW sewaktu Perang Badar. Dari sinilah Baginda memberikan arahan-arahan peperangan kepada Tentera Islam. Khemah Rasullullah SAW dibina di belakang barisan tentera Islam atas cadangan Saad bin Muaz. Tujuannya adalah sekiranya Allah memuliakan mereka dengan kemenangan, itulah yang mereka sukai. Tetapi jika tewas, Baginda boleh menaiki tunggangannya dan kembali menyertai orang Islam di Madinah. Begitulah kecintaan pasukan Tentera Islam kepada Rasullullah SAW pada ketika itu.

Pada malam sebelum peperangan bermula Nabi Muhammad SAW pulang ke khemah bersama Abu Bakar RA dengan dikawal oleh Saad bin Muaz yang siap menghunuskan pedangnya. Rasullullah SAW mula berdoa. Antara doa Baginda berbunyi: "Ya Allah, aku menagih janji dan jaminan-Mu. Ya Allah, jika Engkau binasakan kelompok ini (pejuang-pejuang Mukmin), nescaya Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi." Baginda memanjangkan sujudnya, sehingga Abu Bakar berkata: "Cukuplah. Sesungguhnya AlIah akan melaksanakan janji-Nya untukmu." 

Kemudian peperangan meletus dan berakhir dengan kemenangan Tentera Islam. Kira-kira 70 orang musyrik telah terbunuh termasuk ketua mereka yang paling tegar dengan kesyirikannya, Abu Jahal. Turut terbunuh adalah sebahagian pemimpin mereka. Mereka yang ditawan pula berjumlah kira-kira 70 orang. 

Rasullullah SAW telah memerintahkan agar semua yang terbunuh dikebumikan. Baginda pulang ke Madinah dan bermesyuarat dengan para sahabat tentang urusan tawanan perang. Umar mencadangkan supaya para tawanan dibunuh. Abu Bakar pula mencadangkan supaya mereka menebus diri mereka. Rasullullah SAW menerima cadangan Abu Bakar. Oleh itu, orang musyrik telah menebus tawanan mereka dengan harta.

Melihat Tapak Perang Badar dari tepi Masjid Arish
Pemandangan Tapak Perang Badar
Di sinilah peperangan yang pertama dalam Islam berlaku pada Tahun 2 Hijrah
Mendengar penerangan dari Mutawif tentang Perang Badar
Bukit Al-Aqanqal (juga dikenali sebagai Udwatul Quswa) di belakang sana adalah tempat perkhemahan Tentera Musyrik sewaktu Perang Badar
Bila Perang Badar bermula, Nabi Muhammad SAW membaling pasir ke arah musuh sebagai mukjizat yang membantu kemenangan Islam. Baginda mengambil segenggam pasir, lalu melemparkannya ke wajah pasukan kafir Quraisy sambil berkata, "Semoga wajah kalian rosak!", menyebabkan pasir masuk ke mata dan telinga musuh.  

Allah berfirman di dalam Al Quran [Surah Al-Anfal (8): Ayat 17] yang bermaksud: "[17] Maka (sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka, melainkan Allah yang membunuh mereka, dan bukan engkau yang melempar ketika engkau melempar, tetapi Allah yang melempar. (Allah berbuat demikian untuk membinasakan mereka) dan untuk memberi kemenangan kepada orang-orang Mukmin, dengan kemenangan yang baik. Sungguh, Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui." Pengertian ayat ini adalah segenggam pasir yang dilemparkan Nabi kepada orang-orang kafir bukanlah dengan kekuatan Nabi sendiri, tetapi sampai ke mata orang-orang kafir melalui kehendak Allah.

Tentera Islam semakin bersemangat dengan kehadiran Rasullullah di kalangan mereka walaupun nisbah mereka dengan Tentera Musyrik adalah 1:3. Dengan sokongan dari Tentera Malaikat yang diturunkan Allah SWT untuk membantu, Tentera Islam terus mara menyerang Tentera Quraisy. Seorang demi seorang Tentera Quraisy tumbang dan akhirnya mengundur diri.

Syaitan yang turut hadir dalam peperangan dengan menyamar sebagai seorang sahabat bernama Suraqah bin Malik dapat melihat kehadiran Tentera Malaikat. Dia ketakutan lalu melarikan diri dengan terjun ke dalam Laut Merah.

Pengunjung-pengunjung ke Tapak Perang Badar
Kami turut turun melawat ke Tapak Perang Badar. Sebelum membuat keputusan perang, Nabi Muhammad SAW telah bermesyuarat dengan orang-orang Muhajirin dan Ansar di Madinah. Memandangkan peperangan ini lebih merupakan tindakan untuk mendapatkan kembali harta orang-orang Muhajirin yang telah dirampas oleh Quraisy Musyrik di Makkah, Nabi telah bertanya sama ada orang Ansar ingin turut serta. Orang-orang Ansar berikrar untuk turut serta kerana mereka telah bersaudara dengan orang Muhajirin. Oleh yang demikian, masalah orang-orang Muhajirin juga telah menjadi masalah mereka.

Berjalan di Tapak Peperangan Badar
Sesekali ada bau hamis seperti sampah dapat dihidu ketika berjalan di sini
Bau hamis ini dikatakan berasal dari darah Tentera Musyrik yang terbunuh di sini
Sewaktu berjalan di Tapak Perang Badar, memang sekali-sekala dapat dihidu bau yang hamis seperti bau longgokan sampah dibawa angin sedangkan padang ini bukanlah tempat pembuangan sampah begitu. Kalau ada pun, cumalah sedikit kepingan kertas pembalut dan botol-botol plastik kering di sana-sini. Pernah Myself terbaca yang bau yang hamis ini adalah sebenarnya berasal dari darah tentera-tentera Musyrik yang terbunuh di tapak ini. Salah seorang tentera Musyrik ini adalah Abu Jahal yang sangat memusuhi Nabi Muhammad SAW.
 
Timbunan batu ini adalah tempat di mana Abu Jahal dikuburkan
Abu Jahal mati di medan Perang Badar selepas dibunuh oleh 2 remaja dari Tentera Islam
Abu Jahal atau nama sebenarnya Amru bin Hisyam dibunuh oleh dua remaja beriman dari Kabilah Ansar ketika Perang Badar. Dua pahlawan muda itu adalah Muaz ibn ‘Amru ibn al-Jamuh dan Mu’awwiz ibn Afra’ yang dikatakan cuma berusia 13 dan 14 tahun. Kedua-dua mereka diletakkan di bawah pasukan Abdul Rahman bin Auf. Disebabkan mereka tidak mengenali Abu Jahal, mereka telah meminta Abdul Rahman untuk menunjukkannya kepada mereka, lalu kedua-duanya meluru untuk membunuh Abu Jahal. Walaupun berasal dari Kabilah Ansar (penduduk asal Madinah), mereka ingin sekali membunuh Abu Jahal kerana telah menyakiti Nabi Muhammad SAW.

Selepas kematian Abu Jahal dan selesainya peperangan Badar, Rasulullah SAW mengumpulkan mayat-mayat orang kafir dan meminta digali sebuah lubang besar yang dipanggil sebagai qalib. Sebelum dikambus, Rasulullah SAW berucap kepada mayat tersebut dengan menyatakan: “Wahai Abu Jahal bin Hisyam, wahai Umayyah bin Khalaf, wahai Utbah bin Rabi’ah, wahai Syaibah bin Rabi’ah, bukankah kamu telah menemui kebenaran janji Rabb kamu? Sesungguhnya aku telah menemui kebenaran janji Rabbku yang dijanjikan padaku.” 

Saidina Umar RA yang mendengar ucapan Nabi SAW lalu berkata, “Wahai Rasulullah, bagaimana mereka dapat mendengar dan bagaimana mereka dapat menjawab. Lihatlah mereka telah menjadi bangkai.” Nabi SAW bersabda: ”Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu tidak lebih mendengar ucapanku melebihi mereka. Hanya sahaja mereka tidak dapat menjawab.” 

Pemandangan menghala ke Masjid Arish yang merupakan kawasan tapak perkhemahan Tentera Islam dalam Perang Badar
Pemandangan menghala ke Bukit Al-Aqanqal yang merupakan tempat perkhemahan Tentera Musyrik sewaktu Perang Badar
Mihrab di dalam Masjid Arish adalah dikatakan sebagai lokasi sebenar penempatan khemah Nabi Muhammad SAW dalam Perang Badar
Bangunan-bangunan di sekeliling Tapak Perang Badar
Bukit di belakang sana adalah Jabal Malaikat di mana 1,000 malaikat diturunkan dari Langit Ketiga untuk membantu Tentera Islam dalam Perang Badar
Melihat Kubur Abu Jahal dengan lebih dekat
Berjalan kembali menuju ke Masjid Arish
Husband berjalan menuju ke Masjid Arish
One last look Tapak Perang Badar sebelum melangkah pergi
Srikandi Islam di Tapak Perang Badar
Kenangan di Tapak Perang Badar

Part 45: Perkuburan Syuhada Badar

Kami seterusnya menziarahi Perkuburan Syuhada Badar, tempat di mana 14 tentera Islam yang gugur syahid dalam Peperangan Badar telah dikebumikan. Ziarah ini bukan sahaja merupakan penghormatan kepada para syuhada, tetapi juga bagi menghayati kisah Peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadan.

Menuju ke Perkuburan Syuhada Badar
Jalan menuju ke Perkuburan Syuhada Badar ini dinamakan sebagai Syuhada Street
Shari' Al Syuhada (Syuhada Street)
Pemandangan Perkuburan Syuhada Badar dari kejauhan
Peperangan Badar memberi pengajaran penting tentang hakikat kemenangan. Kejayaan dalam peperangan tidak bergantung kepada bilangan tentera atau kelengkapan senjata yang dimiliki, tetapi lebih kepada kekuatan jiwa dan keteguhan iman. Pasukan Muslimin pada waktu itu memegang teguh akidah yang benar, dengan keinginan yang kuat untuk meraih syuhada, pahala, serta nikmat syurga.

Syuhada Street
Tiba di Perkuburan Syuhada Badar
Suasana di sekitar Perkuburan Syuhada Badar
Ketika berdiri di hadapan Perkuburan Syuhada Badar, kita dapat merasakan kedekatan dengan perjuangan besar yang telah mereka lakukan. Sebagai umat Islam, kita selalu diajar untuk berdoa agar kehidupan ini penuh dengan kebahagiaan, kedamaian dan keberkahan. Ziarah ke makam Syuhada Badar adalah salah satu cara untuk merasakan kedamaian tersebut. Ini adalah kerana perjuangan mereka bukan hanya untuk diri mereka sendiri, tetapi untuk umat Islam secara keseluruhan. Tanpa jasa mereka, Umat Islam seperti kita mungkin tidak dapat berdiri tegak seperti sekarang.

Mengintai ke dalam Perkuburan Syuhada Badar
Keterangan mengenai Perkuburan Syuhada Badar dalam berbagai bahasa
Keterangan dalam Bahasa Inggeris
Mereka yang gugur syahid dalam Peperangan Badar adalah mereka yang memiliki keistimewaan di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya. Mereka dijanjikan Syurga Firdaus disebabkan pengorbanan mereka dalam menegakkan dan mempertahankan Islam sehingga gugur di medan perang. 

Hal ini boleh dilihat melalui sebuah Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa beliau berkata, maksudnya: “Harithah meninggal dunia (syahid) ketika perang Badar ketika umurnya masih muda. Lalu ibunya datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, engkau telah mengetahui kedudukan Harithah di sisiku (yakni daku amat menyayanginya). Sekiranya dia berada di syurga, maka aku akan bersabar dan mengharapkan pahala daripada Allah semata-mata. Tetapi jika selain itu nescaya engkau akan lihat apa yang aku akan lakukan.” Baginda SAW bersabda: “Bertuahnya betul kamu ini! Adakah kamu sudah hilang akal? Adakah engkau kira syurga hanya ada satu sahaja? Sungguh, dia syurga-syurga itu banyak, dan sungguh dia berada di syurga Firdaus.” [Riwayat Bukhari]

Justeru berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa para Syuhada’ Badar mendapat kedudukan yang sangat mulia di akhirat. Mereka dijanjikan Syurga Firdaus sebagai ganjaran atas pengorbanan besar mereka dalam mempertahankan dan menyebarkan Islam. Ini menunjukkan betapa tingginya nilai pengorbanan dan keberanian mereka di sisi Allah SWT. Benarlah apa yang  dijanjikan oleh Allah kepada mereka sebagaimana firman-Nya dalam Al Quran [Surah Al-Taubah (9): Ayat 111] yang bermaksud:

"[111] Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang Mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung."

Pemandangan ke dalam Perkuburan Syuhada Badar
14 Syuhada Badar dikebumi di kawasan yang ditandakan dengan arrow merah. Perkuburan selebihnya adalah milik penduduk-penduduk kampung di sekitar.
Bukit di seberang sana perkuburan adalah Jabal Malaikat
Nama 14 Syuhada Badar juga diabadikan pada sebuah tugu berhampiran Perkuburan Syuhada Badar. Salah seorang di antara mereka ialah Mu’awwiz ibn Afra’ yang telah membunuh Abu Jahal. Dia telah dibunuh oleh anak Abu Jahal yang bernama Ikrimah bin Abu Jahal yang ketika itu belum memeluk Islam.

Tugu Syuhada Badar di seberang jalan
Pandangan lebih dekat Tugu Syuhada Badar
Nama-nama para Syuhada yang diabadikan
Bergambar kenangan dengan Tugu Syuhada Badar
Penjaja berhampiran Tugu Syuhada Badar
Melihat barang-barang jualan
Bas kami parking di sana

Part 46: Jabal Malaikat
 
Jabal Malaikat merupakan gunung yang dipercayai menjadi tempat turunnya ribuan malaikat membantu pasukan Rasulullah SAW dalam menghadapi pasukan Musyrik Quraisy pada saat perang Badar.
 
Lokasi Key Points dalam Peperangan Badar [Gambar dari internet]
Perjalanan menuju ke Jabal Malaikat
Pemandangan pertama Jabal Malaikat
Terperanjat melihat betapa tingginya bukit ini!
Jabal Malaikat
Sewaktu Perang Badar berlangsung, ribuan malaikat turut bergabung dalam pasukan Muslim yang melawan pasukan Musyrik. Bantuan para malaikat ini membantu kemenangan pasukan Islam. Kisah ini tercatat di dalam Al-Quran [Surah Ali Imran (2): Ayat 123-127] yang bermaksud:

"[123] Dan sungguh Allah telah menolong kamu dalam Perang Badar, padahal kamu dalam keadaan lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, agar kamu mensyukuri-Nya.

[124] (Ingatlah), ketika engkau (Muhammad) mengatakan kepada orang-orang beriman, "Apakah tidak cukup bagimu bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan (dari langit)?"

[125] "Ya" (cukup). Jika kamu bersabar dan bertakwa ketika mereka datang menyerang kamu dengan tiba-tiba, nescaya Allah menolongmu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda.

[126] Dan Allah tidak menjadikannya (pemberian bala bantuan itu) melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan)mu, dan agar hatimu tenang kerananya. Dan tidak ada kemenangan itu, selain dari Allah Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana.

[127] (Allah menolong kamu dalam Perang Badar dan memberi bantuan) adalah untuk membinasakan segolongan orang kafir, atau untuk menjadikan mereka hina, sehingga mereka kembali tanpa memperoleh apa pun."

Abu Ishaq As-Subai’i meriwayatkan dari Harisah ibnu Mudarrib, dari Ali ibnu Abu Thalib yang telah mengatakan bahawa tanda malaikat dalam Perang Badar ialah memakai kain bulu berwarna putih dan tanda yang lainnya pula terdapat pada ubun-ubun kuda mereka.

Jabal Malaikat
Jabal Malaikat
Jabal Malaikat adalah satu-satunya bukit berpasir di kawasan ini. Bukit-bukit lain yang mengelilinginya terdiri dari bukit-bukit batu. Batu-batu di Jabal Malaikat dikatakan pecah menjadi pasir bila Malaikat turun di sini. Pasir di Jabal Malaikat juga sangat halus, lebih halus dari pasir-pasir yang terdapat di tempat lain.
 
Pasir di Jabal Malaikat
Pasir di Jabal Malaikat sangat halus berbanding pasir di tempat lain
Pemandangan sewaktu matahari terbenam di Jabal Malaikat
Suasana sewaktu matahari terbenam
Banyak riwayat berbicara tentang penampakan malaikat dalam Perang Badar. Dalam Sahih Muslim, Abbas RA berkata: “Pada hari itu seorang Muslim mengejar seorang kafir yang berjalan di depannya, dia mendengar desir sebatan dan suara pengendara yang mengatakan padanya: ‘Ayuh, Haizum!’ Muslim tersebut melirik musyrik yang telah pun jatuh terlentang. Ketika Muslim melihat Musyrik tersebut dengan hati-hati, dia menemukan bahawa ada bekas luka di hidungnya dan wajahnya robek seolah-olah telah disebat dan berubah menjadi hijau kerana racunnya. Seorang Ansar mendatangi Nabi dan menceritakan peristiwa ini kepadanya. Nabi SAW berkata: "Kamu telah mengatakan yang sebenarnya. Ini adalah bantuan dari langit ketiga." Haizum adalah nama kuda yang dinaiki oleh Malaikat Jibril.

Insiden lain melaporkan Abbas bin Abdul Muthalib (yang ketika itu belum Islam dan menyertai pasukan Musyrik), telah ditangkap oleh seorang Ansar. Seorang Ansar mengaku dialah yang menangkap Abbas. Abbas berkata: “Wahai Rasulullah! Demi Allah, orang ini tidak menangkapku. Saya ditangkap oleh seorang lelaki yang botak dan berwajah paling tampan, dan yang sedang menunggang kuda. Saya tidak biasa melihatnya di sini di antara orang-orang yang ada”. Lelaki dari Ansar terus berkata: “Saya yang menangkapnya, ya Rasulullah!”. Nabi SAW menjawab: “Diamlah, Allah Yang Maha Perkasa, menguatkanmu dengan bantuan Malaikat yang mulia.”

Diriwayatkan juga bahawa setelah pertempuran, orang-orang yang dibunuh oleh malaikat dapat dikenali dengan luka di leher, jari tangan dan kaki mereka, kerana bahagian-bahagian itu memiliki tanda seolah-olah dicap dengan api.

Mengabadi kenangan di Jabal Malaikat
Kita pun nak juga...
Pengunjung-pengunjung ke Jabal Malaikat
Ramai yang memanjat naik ke puncak bukit
Tinggi juga sebenarnya bukit ini...
Kedai kopi di kaki Jabal Malaikat
Pejabat tiket untuk membuat Desert Safari
Pintu masuk ke Desert Safari
Pejabat tiket untuk Desert Safari
Bila mentari dah betul-betul tenggelam dan malam dah mula menjelang barulah kami meninggalkan Jabal Malaikat.

Keindahan sunset di Jabal Malaikat
Sunset
Perlahan-lahan, mereka mula turun ke bawah
Meninggalkan Jabal Malaikat

Part 47: Dinner Di Restoran Seafood

Badar sebenarnya terletak tidak jauh dari laut ~ hanya kira-kira 30 km dari Laut Merah. Kerana itulah syaitan yang menyertai Perang Badar melarikan diri dan terjun ke dalam Laut Merah setelah melihat kehadiran Tentera Malaikat membantu Tentera Islam. Oleh yang demikian, sebelum meninggalkan Badar, kami dibawa menikmati dinner di sebuah Restoran Seafood.

I Love Badar
Restoran yang kami kunjungi bernama Ayed Al-Subhi Restaurant yang terletak di pinggir kota Badar, dalam laluan pulang menuju ke Madinah.

Tiba di restoran
Ayed Al-Subhi Restaurant
Masjid di seberang restoran
Restoran ini adalah sebuah restoran Arab yang tipikal. Oleh yang demikian, makanan disediakan di dalam bilik-bilik yang boleh memuatkan keluarga ataupun 4-5 pengunjung dewasa. Walaupun restoran ini besar dan menjadi persinggahan popular di kalangan pengunjung ke Badar ~ bak kata Husband ~ pemiliknya tak kisah langsung nak mengindah atau menaiktaraf fasiliti di restorannya. Cukup sekadar hanya menyediakan tempat untuk makan bagi pelanggan. 😅
 
Suasana di dalam restoran
Makanan disediakan dalam bilik-bilik kecil begini
Makanan juga dihidangkan di atas saprah plastik yang dibentang di atas lantai di dalam bilik dan dikongsi beramai-ramai. Oleh kerana ini adalah restoran seafood, lauk yang dihidangkan terdiri dari ikan dan udang yang dibakar. Walaupun makanannya simple, ia agak menyelerakan.

Makanan yang dihidangkan dan perlu dikongsi bersama-sama
Pemandangan sewaktu meninggalkan restoran untuk kembali ke Madinah
Bergambar kenangan di depan restoran


Bersambung ke Bahagian 13...


CATATAN PERJALANAN (UMRAH KE-7) 2026 :

No comments: