Friday, 12 August 2022

2022 TURKEY (2nd VISIT) BHG. 16 (Topkapi 2)

Jun 2022

TURKEY (2nd VISIT)
Ankara, Istanbul, Denizli & Pamukkale

Bahagian 16: Curi-Curi Jalan Istanbul 7
TOPKAPI PALACE (3rd & 4th Courtyard)

HARI KETUJUH (2)

Part 38: Third Courtyard @ Topkapi Palace

Pintu masuk ke Third Courtyard di Topkapi Palace dinamakan Gate of Felicity. Halaman di hadapan pintu ini dikhaskan bagi kegunaan upacara-upacara tertentu dan tak sesiapa pun boleh melepasi pintu ini tanpa kebenaran dari Sultan yang memerintah.

Gate of Felicity untuk masuk ke Third Courtyard
Pemandangan Gate of Felicity dari hadapan
Ada sebuah tempat istimewa yang ditandakan di hadapan Gate of Felicity. Di sinilah panji (bendera) perang Sancak-ı Şerif dibuka dan diserahkan kepada ketua tentera yang dihantar untuk pergi berperang. Bendera ini bukan sebarang bendera. Ia adalah bendera yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW setiap kali baginda keluar untuk berperang. Menurut ceritanya selepas tamat pemerintahan Khulafa Al-Rasyidin, bendera ini diserahkan kepada Khalifah Umayyah dan seterusnya kepada Khalifah Abassiyah. Ia kemudiannya menjadi milik Kerajaan Ottoman setelah Sultan Selim I berjaya menawan Mesir pada tahun 1517. Bendera ini sentiasa dibawa oleh Tentera Ottoman yang keluar berperang bermula dengan penaklukan Hungary pada tahun 1593. Ia kini disimpan bersama artifak Islam yang lain di Museum of Holy Relics di Istana Topkapi.

Lokasi penyerahan bendera perang Sancak-i Serif
Keterangan tentang Gate of Felicity yang juga dikenali sebagai Gate of White Eunuchs.
Gate of Felicity dikawal oleh Ketua Eunuch di Harem Sultan dan kakitangannya. Eunuch adalah pengawal-pengawal istana yang telah dikembiri. Oleh kerana Third Chamber adalah kawasan peribadi Sultan, perbuatan menceroboh masuk ke sini menjadi satu kesalahan yang serius.

Pemandangan di luar Gate of Felicity
Patung White Eunuch yang bertanggungjawab menjaga Gate of Felicity
Bangunan yang terletak betul-betul di belakang Gate of Felicity adalah Audience Chamber. Di bangunan inilah Sultan akan menerima kedatangan duta-duta asing dan mengadakan pertemuan sulit dengan pembesar-pembesar negara. Ada cerita yang mengatakan jarang sangat Sultan akan bertemu dengan pembesar negara di sini. Sekiranya ia berlaku, itu bermaksud hal yang dibincangkan sangat serius. Kalau Sultan tidak berpuas hati dengan isu yang dibincangkan, mungkin pembesar yang masuk akan menerima hukuman bunuh.

Audience Chamber
Lambang kebesaran Sultan Ottoman yang terpapar pada dinding Audience Chamber.
Bangunan di sekeliling Audience Chamber banyak digunakan sebagai tempat tinggal White Eunuch yang menjaga istana.
Lorong menuju ke Taman Third Courtyard
Sebelum kita tinjau dengan lebih jauh, tengok dulu kedudukan tempat-tempat yang kami lawat di dalam Third Courtyard pada peta di bawah...

Peta Third Courtyard
Taman di Third Courtyard
Bangunan berwarna coklat di depan sana adalah Mosque of the Ağas
Keterangan tentang Third Courtyard yang juga dikenali sebagai Enderun (Inner) Courtyard.
Laluan yang licin selepas hujan turun
Sebahagian besar bangunan di Third Courtyard ini sedang ditutup untuk pembaikan sewaktu kami tiba di sana. Jadi kami cuma dapat melawat ke Museum of Holy Relics sahaja.

Tarikan yang terdapat di Third Courtyard
Bunga-bunga cantik di Third Courtyard
Bangunan tersendiri yang terletak di tengah Third Courtyard ini adalah Library of Ahmet III. Menurut keterangan yang diberi perpustakaan ini pernah menyimpan lebih 3,500 naskhah buku berkait teologi dan perundangan Islam. Kesemua manuskripnya kini telah dipindahkan ke tempat lain. 

Library of Ahmet III. Kami tak melawat ke dalam bangunan ini.
Fountain di luar perpustakaan
Pemandangan fountain dari depan
Fountain Inscription
Pohon herba yang ditanam di tepi perpustakaan. Wangi sungguh baunya.
Penunjuk arah
Satu artifak menarik yang kami lihat di Third Courtyard ini adalah sebuah bekas batu yang dinamakan Alms Stone. Menurut keterangan yang diberi, Alms Stone begini banyak digunakan di zaman Ottoman bagi tujuan sedekah.

Bekas batu ini sengaja dibuat berdinding tinggi. Dengan cara yang demikian, rakyat yang ingin bersedekah perlu memasukkan tangan sedalam-dalamnya untuk meletakkan sedekah mereka. Rakyat miskin yang ingin mengambil sedekah pun perlu memasukkan tangan dalam-dalam ke dalam bekas batu ini untuk mengambil sedekah. Cara ini dapat mengelakkan rakyat yang ingin mengambil sedekah dari merasa malu kerana baik yang ingin bersedekah dan mengambil sedekah, kedua-duanya perlu memasukkan tangan dalam-dalam ke dalam bekas batu bagi menyelesaikan urusan masing-masing.

Alms Stone yang diletakkan di tengah-tengah Courtyard.
Selain Alms Stone, di tengah taman di Third Courtyard juga ada sebuah Jam Matahari (Sundial). Jam Matahari sering digunakan untuk menentukan masuk waktu solat pada masa dahulu.

Keterangan mengenai Sundial
Jam Matahari (Sundial)
Fountain air minuman di Topkapi. Sultan Ottoman gemar membina fountain air minuman seperti ini sebagai amal jariah.
Museum of Holy Relics
Satu tempat yang tidak seharusnya anda lepaskan jika berkunjung ke Topkapi Palace ialah Museum of Holy Relics di Third Courtyard. Muzium ini menyimpan banyak barang milik Nabi Muhammad SAW dan nabi-nabi terdahulu yang dikumpulkan oleh Sultan Ottoman dari wilayah-wilayah yang menjadi jajahan takluk mereka dahulu. Antara barang yang dipamerkan termasuklah jubah, pedang dan panji perang Nabi Muhammad SAW, serta cop mohor yang digunakan baginda sewaktu menghantar surat kepada pembesar-pembesar asing untuk menyeru mereka menerima agama Islam.

Bangunan yang menempatkan Museum of Holy Relics di Third Courtyard, Topkapi Palace.
Pemandangan Museum of Holy Relics dari seberang taman Third Courtyard
Oleh kerana ketika itu dikira masih awal lagi, barisan pengunjung yang ingin melawat ke dalam muzium belum panjang lagi. Memandangkan muzium ini diberi taraf seperti sebuah masjid oleh Kerajaan Turkey, pengunjung-pengunjung perlu menutup aurat sebelum masuk ke dalam. Mereka yang berpakaian terdedah akan diarahkan untuk menutup aurat sebelum masuk ke dalam.

Pintu masuk ke Museum of Holy Relics
Antara bahan pameran lain yang menarik perhatian di muzium ini adalah janggut Rasullullah serta sebatang gigi baginda yang tercabut sewaktu di dalam Perang Uhud. Bahan-bahan lain termasuk serban Nabi Yusuf, tongkat Nabi Musa, pedang Nabi Daud dan kunci-kunci Kaabah. Bacaan ayat suci Al Quran secara live turut dialunkan tanpa henti oleh qari yang bertugas bergilir-gilir di muzium ini. Myself akui memang sangat terasa betapa dekatnya kita dengan Nabi-Nabi Allah SWT sewaktu melihat bahan pameran ini. Cuma sayangnya, fotografi tidak dibenarkan langsung di dalam muzium ini.

Suasana di dalam Museum of Holy Relics (Gambar dari Internet)
Debu-debu yang dikumpul dari penyelenggaraan Museum of Holy Relics dikumpul di dalam bekas ini di luar muzium. Memandangkan barang-barang yang dipamerkan adalah milik para Nabi, mungkin tak ada sangat pun habuk dan debu yang terlekat pada mereka.
Pemandangan keseluruhan Third Courtyard di Topkapi Palace

Part 39: Fourth Courtyard @ Topkapi Palace

Courtyard Keempat di Topkapi Palace adalah tempat Sultan bersiar-siar dan beristirahat pada masa dahulu. Kalau berkunjung ke sini pada musim bunga, ia penuh dengan bunga-bunga Tulip. Oleh kerana kami tiba pada musim panas, tak dapatlah melihat keindahan bunga Tulip ini.

Lorong menuju ke Courtyard Keempat dari Courtyard Ketiga
Di lorong menuju ke Courtyard Keempat dari Courtyard Ketiga, kami bertemu dengan dua orang kakak yang berasal dari Malaysia. Kagum kami melihat mereka kerana pada usia yang begitu senior di antara 75-85 tahun, mereka mengembara bersendirian ke Turkey, tanpa mengikut Group. Malah ada di antara mereka yang dah berjalan dengan menggunakan tongkat! Sebelum datang ke Istanbul, mereka dah terlebih dulu melawat Ankara seperti kami. Memang bertenaga betul Kakak-Kakak ini kerana Myself dan Siti boleh bayangkan betapa penatnya kami berdua turun-naik flight pergi ke Ankara tempoh hari.

Siti bergambar dengan kakak-kakak senior dari Malaysia. Mereka sebenarnya datang bertiga. Kakak yang ketiga sedang berada di dalam Museum of Holy Relics untuk mencuba mencuri menangkap gambar barang-barang peninggalan Nabi sebagai kenangan, kata mereka. Hebat, Kakak!
Penunjuk arah di Fourth Courtyard
Seperti juga di Third Courtyard, banyak bangunan di Fourth Courtyard sedang ditutup untuk pembaikan. 

Terrace Mosque (Sofa Camii) di Courtyard Keempat yang dibina untuk petugas-petugas di Perbendaharaan Sultan beribadah.
Pemandangan Terrace Mosque dari belakang
Disebabkan banyak bangunannya tak boleh dimasuki, pengunjung ke Fourth Courtyard hanya boleh berkunjung ke sebuah teres di bahagian belakang untuk melihat pemandangan Laut Marmara yang terbentang luas di sana.

Teres di belakang Fourth Courtyard
Pemandangan Laut Marmara dari teres di belakang Fourth Courtyard
Menikmati pemandangan Laut Marmara
Pertemuan Laut Marmara, Selat Golden Horn dan Selat Bosphorus di belakang Istana Topkapi.
Pemandangan tembok istana dan tembok kota (dekat laut sana)
Pengunjung-pengunjung ke Fourth Courtyard
Selepas puas melihat keindahan laut di Fourth Courtyard, kami keluar kembali menuju ke Second Courtyard kerana ada sebuah seksyen lagi yang ingin kami lawati di sana ~ Harem.

Kembali menuju ke Gate of Felicity
Bahagian belakang Gate of Felicity


Bersambung ke Bahagian 17...


CATATAN PERJALANAN TURKEY (2nd VISIT) 2022:


No comments: