Wednesday, 17 July 2024

2024 ANDALUSIA BHG. 30 (Mezquita-Catedral : Mezquita)

Mei 2024

NORTHERN AFRICA & SOUTHERN EUROPE
Morocco, Spain & Portugal
[SPAIN: Tarifa, Granada, Cordoba & Seville]

Bahagian 30: Spain
CORDOBA
(Mezquita-Catedral de Cordoba: Mezquita)

HARI KETUJUH (4)

Part 83: Masjid Abdul Rahman I @ Mezquita-Catedral de Cordoba

Mezquita-Catedral kini diiktiraf sebagai sebuah Gereja Roman Katholik. Oleh yang demikian, semua pelawat lelaki diminta membuka topi sebagai tanda hormat sewaktu masuk ke dalam. Peraturan ini juga pernah Myself dan Husband alami sewaktu kami masuk melawat ke gereja-gereja Katholik lain di Hungary dan Italy.

Menurut Antonio, peraturan ini telah diterap sekian lama dalam gereja-gereja Katholik. Pada masa dahulu, lelaki memang tidak memakai topi bila masuk ke gereja. Perempuan yang memakai tudung seperti kami pula dibenarkan masuk ke gereja tanpa halangan kerana perempuan Kristian Katholik pada masa dahulu memang menutup rambut mereka dengan selendang sewaktu masuk ke gereja.

Ukiran Kristian pada pintu masuk ke Mezquita-Catedral
Mezquita-Catedral adalah perkataan Spanish yang bermaksud Mosque-Cathedral. Maka, kita mulakan lawatan dengan melawat bahagian bangunan yang merupakan masjid asal (Mezquita) yang dibina oleh Abdul Rahman I pada tahun 756 Masehi. Pemandangan yang mengkagumkan ialah gerbang yang bertindih-tindih dicat dengan belang-belang warna merah. Ini adalah juga senibina yang disalin dan diterapkan kepada Masjid Nabawi di Madinah.

Ruangan masjid asal yang dibina oleh Abdul Rahman I
Senibina ini juga disalin dan diterapkan kepada Masjid Nabawi di Madinah
Pada mulanya terdapat lebih 1,000 tiang di dalam masjid Mezquita-Catedral. Namun kini yang tinggal hanya 850 tiang bila sebahagian masjid ditukar menjadi gereja. Disebabkan bahagian asal masjid dibina dalam tempoh hanya setahun, kebanyakan bahan binaannya seperti batu-bata dan tiang-tiang diambil dari runtuhan bangunan era Rom Timur/Byzantine dan Visigoth termasuk gereja lama yang dibeli oleh Abdul Rahman. Ini bertepatan dengan ciri masjid-masjid di Afrika Utara yang juga memanfaatkan cara yang sama untuk mendapatkan bahan binaan. Antara masjid yang berkongsi ciri pembinaan yang sama ini ialah Masjid Agung Kairouan dan Masjid al-Zaytuna, yang kedua-duanya terletak di Tunisia. 

Jika diperhatikan betul-betul, tiang di bahagian masjid yang asal didirikan ini terdiri dari berbagai ragam dan tidak sekata.
Tiang-tiang pada bangunan masjid yang asal ini diambil dari bangunan-bangunan sedia ada pada ketika itu seperti kuil-kuil Roman dan bangunan-bangunan gereja lama.
Ada 4 pemerintah Islam yang bertanggungjawab dalam pembangunan Masjid Besar Cordoba ini: Abdul Rahman I, Abdul Rahman II, Al Hakam dan Al Mansur. Kawasan yang dibangun setiap seorang adalah seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di bawah. Namun demikian, selepas masjid ini diambilalih oleh Raja Kristian King Ferdinand III of Castile, sebuah gereja Kristian yang besar telah didirikan di tengah masjid di bahagian yang dibangunkan oleh Abdul Rahman II.

Pelan pembangunan keseluruhan Mezquita-Catedral de Cordoba

Part 84: Masjid Abdul Rahman II @ Mezquita-Catedral de Cordoba

Masjid Agung Cordoba ini telah dibesarkan oleh Abdul Rahman II pada tahun 833-848. Ia masih mengekalkan ciri-ciri pada masjid yang dibina oleh Abdul Rahman I di mana gerbang-gerbang masjid dihias dengan batu-bata.
 
Perluasan masjid oleh Abdul Rahman II masih mengekalkan gaya dan ciri-ciri binaan masjid asal.
Bahagian di mana kami berdiri adalah masjid asal yang dibina oleh Abdul Rahman I. Bahagian di belakang sana adalah masjid sambungan yang dibina oleh Abdul Rahman II.
Gerbang di dalam masjid ini masih cantik dan terpelihara
Antonio memberi penerangan tentang sejarah Mezquita-Cordoba. Dia banyak bercerita tentang perbezaan dan ciri-ciri Islam dan Kristian yang berada di dalam bangunan ini.
Ruang transisi antara masjid asal yang dibina oleh Abdul Rahman I (depan) dengan Abdul Rahman II (belakang)
Sewaktu Reconquista berlangsung, banyak masjid ditukar fungsi menjadi gereja Kristian. Masjid Besar Cordoba juga tidak terkecuali. Namun apabila Ferdinand III melihat kehebatan mercu tanda Islam di Cordoba ini, beliau merasa takjub dengan apa yang dilihat. Walaupun peranannya ditukar daripada masjid kepada gereja, beliau tidak mahu ia diperlakukan sewenang-wenangnya menjadi gereja. Lantas, satu titah dikeluarkan di mana sebarang pengubahsuaian terhadap struktur Masjid Agung Cordoba tidak dibenarkan. Jika ada sekalipun, ia mestilah sama sekali tidak mengubah keunikan dan keindahan kompleks bangunan tersebut.

Disebabkan titah dari Ferdinand III ini, altar dan gereja-gereja kecil yang dinamakan chapel diletakkan di celah-celah ruang masjid tanpa mengubah ciri binaannya. Disebabkan kedudukannya yang terletak paling ke tengah, masjid Abdul Rahman II inilah yang menjadi mangsa. Banyak gereja kecil yang dinamakan sebagai chapel dibangunkan di sini.

Disebabkan titah dari Ferdinand III supaya bangunan masjid ini tidak dipinda, chapel-chapel kecil disumbat di ruang-ruang masjid yang dibina oleh Abdul Rahman II ini.
Kebanyakan chapel ini kini dilindungi di belakang jeriji besi seperti Chapel of Our Lady of the Conception di sana.
Salah sebuah altar yang dibina di dalam masjid. Ia dinamakan Altar of the Santísimo Cristo del Punto (Holy Christ of the Point)
Ada beberapa buah Burial Vault yang dapat kita lihat pada lantai di depan Altar of the Holy Christ of the Point ini. Dalam amalan Kristian pada zaman dulu-dulu, memang menjadi penghormatan bagi orang yang meninggal dunia untuk dikebumikan di dalam gereja. Keranda mayat mereka akan diletakkan di dalam vault begini. Pengunjung gereja juga tidak dihalang dari berjalan memijak vault kerana bagi mereka ia adalah penghormatan rendah diri (humility) kalau orang yang dulunya hebat sewaktu hidup di dunia membenarkan jasad mereka dipijak orang lain setelah meninggal dunia.

Beberapa Burial Vault yang diperhatikan di depan Altar of the Holy Christ of the Point.
Pandangan lebih dekat Burial Vault. Tak pasti sama ada benar-benar ada orang yang dikebumikan di dalam Burial Vault ini atau sebaliknya
Lukisan-lukisan Kristian turut diletakkan di sana-sini di sekitar masjid
Sewaktu Mezquita-Catedral berfungsi sebagai sebuah masjid, ia adalah bangunan terbuka yang mempunyai banyak pintu. Namun demikian, pintu-pintu ini ditutup dan dipasang dengan dinding bila masjid dijadikan gereja. Oleh yang demikian, suasana di dalam Mezquita-Catedral kini sangat malap. Bagi Myself, ia seolah-olah meratapi pemergian sinar Islam dari dalam bangunan ini.

Sebahagian besar pintu Mezquita-Catedral telah ditutup bila bangunan ditukar fungsi menjadi gereja. Hanya beberapa pintu seperti di belakang sana sahaja yang masih dikekalkan.
Selama beberapa abad, titah Ferdinand III dipatuhi oleh raja-raja selepas baginda. Kemudian pada awal abad ke-16, pihak gereja menerusi Bishop Alonso Manrique merancang untuk membina ruang tambahan kepada kompleks Masjid Agung Cordoba. Kononnya, dengan berbuat demikian, ia dapat menampung bilangan penganut Kristian yang semakin bertambah mengunjungi bangunan berkenaan. Bagaimanapun, ia dibantah oleh pemilik-pemilik gereja persendirian di sekitarnya dan juga penduduk tempatan kerana berpotensi memusnahkan keunikan Masjid Agung Cordoba.

Namun pihak gereja terus berdegil dan tetap mahu meneruskannya. Pertelagahan ini memaksa Manrique meminta campur tangan pemerintah Sepanyol ketika itu, King Carlos V. Selepas mendengar pandangan semua pihak, pembinaan tersebut diluluskan dengan ingatan dekri Ferdinand III mesti dipatuhi sepanjang masa. Maka dengan itu, sebahagian bangunan di tengah masjid dirobohkan dan dibina sebuah bangunan gereja yang besar yang kini dinamakan sebagai Main Cathedral (Capilla Mayor) di dalamnya.

Gereja yang dibina oleh Bishop Alonso Manrique di tengah-tengah Mezquita-Cordoba.
Husband melihat binaan gereja di dalam masjid
Papan batu pada dinding ini mengabadikan nama-nama paderi gereja yang dibunuh dalam Spanish Civil War 1936-1939
Trascoro St. Peter
Pemandangan keseluruhan gereja dari luar
Bumbung gereja
Beberapa tahun selepas itu, Carlos V dan isterinya Isabella of Portugal singgah di Cordoba bagi meninjau perkembangan terbaru pembinaan yang dijalankan di Masjid Agung Cordoba. Pada ketika itu, Manrique telah memilih seorang pembina tempatan bernama Hernan Ruiz untuk menguruskan projek berkenaan.

Malangnya, sebaik sahaja Carlos V meninjau kerja-kerja yang dijalankan, tahulah baginda keunikan Masjid Agung Cordoba yang cuba dipelihara selama beberapa ratus tahun telah terhakis. Kerja-kerja pembinaan yang dibuat tidak langsung mencapai piawaian para pembina dan arkitek Muslim yang menghasilkan kompleks masjid tersebut dahulu.

Murka, Carlos V mengarahkan Ruiz menghadap baginda sebelum bertitah, “Kamu telah memusnahkan sesuatu yang unik bagi membina sesuatu yang bersifat biasa.” Tidak mustahil Manrique juga menjadi mangsa amukan beliau kerana telah memujuknya untuk meluluskan projek tersebut dahulu. Sehingga ke hari ini, binaan Ruiz terus mengundang kritikan dari semua pelawat.

Bahagian yang diubahsuai oleh Gereja Katholik
Arah ke Villaviciosa Chapel
Tiang Roman yang masih terpelihara di dalam masjid
Tiang-tiang lama yang juga masih terpelihara
Ukiran siling yang dibuat oleh gereja
Lantai marmar
Stained Glass Window
Villaviciosa Chapel yang pada asalnya adalah pintu masuk ke dalam Masjid
Ukiran asal masjid yang dikekalkan di atas Villaviciosa Chapel
Part 85: Masjid Al Hakam @ Mezquita-Catedral de Cordoba

Sebelum kita masuk melawat ke dalam Main Cathedral, kita habiskan dulu melawat ke bahagian masjid lain yang masih tinggal. Di belakang Main Cathedral yang dibina oleh Gereja Katholik itu, masih berdiri Mihrab Masjid Besar Cordoba yang dibina oleh Al Hakam.

Ruang masjid yang dibina oleh Al Hakam
Pemandangan menghala ke ruang masjid yang dibina oleh Abdul Rahman II
Seperti di masjid-masjid yang lain, Mihrab menjadi penunjuk arah kiblat di dalam Masjid. Namun demikian, Mihrab di Masjid Besar Cordoba ini tidak dibina menghadap ke Kaabah di Makkah. Ia tersasar 20 darjah dari arah Kiblat yang sebenar. Ada Myself terbaca yang Mihrab ini dibina mengikut arah Mihrab dalam masjid-masjid di Damascus kerana Khalifah Umayyah yang memerintah Cordoba ketika itu berasal dari sana. Disebabkan masjid ini terletak di Cordoba, sudah pasti arah kiblatnya berbeza dari di Damascus.

Mihrab di dalam Mezquita-Catedral de Cordoba
Mihrab ini walau bagaimanapun telah dipagar dan hanya boleh dipandang dari jauh. Ini adalah kerana sejak awal tahun 2000-an terdapat usaha dari Umat Islam Spain dan seluruh dunia supaya kita dibenarkan bersolat di dalam masjid ini dan usaha ini mendapat tentangan dari Kerajaan Spain dengan disokong oleh Vatican. Oleh yang demikian, Mihrab ini dipasang dengan pagar supaya Umat Islam tidak bersolat di sini.

Pemandangan Mihrab dari sebalik pagar.
Perhiasan pada Mihrab ini dibina oleh pekerja mahir yang dibawa khas dari Constantinople. Mereka dihantar oleh Emperor Byzantine Nikephoros II Phokas untuk membina Mihrab ini atas permohonan Khalifah Al Hakim II. Emperor Nikephoros bukan hanya menghantar pekerja, bahkan kepingan-kepingan emas untuk dijadikan perhiasan pada Mihrab. Ini adalah bukti keakraban hubungan Kerajaan Islam Cordoba dengan Empayar Byzantine pada masa dahulu.

Keindahan Mihrab yang dihiasi dengan tulisan khat kufi Ayat-Ayat Al Quran masih terserlah sehingga sekarang
Tulisan di bahagian luar Mihrab adalah petikan Ayat Al Quran Surah As Sajdah (Ayat 6) dan Surah Ghafir (Ayat 40) manakala tulisan di bahagian dalam pula adalah petikan Al Quran Surah Hasyr (Ayat 23) yang menggambarkan sifat-sifat Allah SWT.
Khat pada bahagian luar tulisan Mihrab ini dihiasi dengan petikan Ayat Al Quran Surah As-Sajdah (32): Ayat 6: "Yang demikian itu, ialah Tuhan yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Yang Maha Perkasa, Maha Penyayang" dan Surah Ghafir (40): Ayat 65: "Dialah yang hidup kekal, tidak ada tuhan selain Dia; maka sembahlah Dia dengan tulus ikhlas beragama kepada-Nya. Segala puji bagi Allah Tuhan seluruh alam". Tulisan bahagian dalam Mihrab pula dihiasi dengan petikan Ayat Al Quran Surah Al-Hasyr (59): Ayat 23: "Dialah Allah, tidak ada tuhan selain Dia. Maha Raja Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Menjaga Keamanan, Pemelihara Keselamatan, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki Segala Keagungan. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan".

Pintu di sebelah kanan Mihrab yang dinamakan Door of the Sabat (Puerta del Sabat) digunakan oleh Khalifah Cordoba untuk berulang-alik dari istana ke masjid untuk bersolat.
Kubah di atas Mihrab
Pemandangan keseluruhan Mihrab dengan Pintu Sabat di sebelahnya
Pengunjung-pengunjung ke Mezquita-Catedral de Cordoba yang ingin melihat keindahan Mihrab
Siling di atas Ruang Solat di hadapan Mihrab
Pemandangan keseluruhan
Chandelier di depan Mihrab

Part 86: Masjid Al Mansur @ Mezquita-Catedral de Cordoba

Bahagian masjid yang terbesar dan terakhir dibina di Zaman Kegemilangan Islam Cordoba dahulu adalah Masjid Al-Mansur. Masjid ini masih dibina dengan konsep gerbang seperti yang dipakai di Masjid Abdul Rahman I, Abdul Rahman II dan Al Hakam. Namun begitu, gerbang di bahagian ini hanya dibina menggunakan plaster semata-mata tanpa batu bata seperti di bahagian masjid lain.

Masjid Al Mansur
Gerbang di Masjid Al Mansur hanya dibina menggunakan plaster semata-mata.
Bangunan Masjid Besar Cordoba sebenarnya didirikan di atas tapak sebuah gereja pada zaman Visigoth yang bernama Basilica of St. Vincent. Bahagian Masjid Al Mansur ini kini digunakan sebagai muzium pameran bahan-bahan artifak dari Basilica of St. Vincent dan bahagian masjid Mezquita-Cordoba ini sendiri.

Tukang-tukang bina bangunan Mezquita-Catedral pada masa dahulu sering meninggalkan trademark masing-masing pada binaan yang dibuat.
Keterangan tentang trademark yang ditinggalkan oleh tukang-tukang bina Mezquita-Catedral dalam Bahasa Spanish
Pameran trademark tukang bina Mezquita-Catedral de Cordoba
Pameran artifak dari Basilica of St. Vincent yang dipamerkan di Masjid Al Mansur
Tiang lama dari Basilica of St. Vincent
Pada tiang ini juga ada terukir nama tukang bina yang memasangnya
Hiasan lama dari Basilica
Peralatan yang digunakan untuk membunyikan loceng gereja pada masa dahulu
Loceng gereja
Pemandangan menghala ke binaan gereja di tengah masjid
Penanda Burial Vault pada lantai


 Bersambung ke Bahagian 31...


CATATAN PERJALANAN (MOROCCO, SPAIN & PORTUGAL 2024):

No comments: