Sunday, 25 November 2018

2018 EGYPT (2nd VISIT) BHG. 22 (Khan Al Khalili)

Oktober 2018

EGYPT (2nd VISIT)
Cairo, Sinai, Giza, Alexandria & Fayoum

Bahagian 22: Cairo (6)
CAIRO (Masjid Al Azhar, Masjid Al Hussein & Khan Al Khalili)

HARI KELAPAN (2)

Part 64: Lunch Di Malaysia Hall Lagi

Selepas melawat Piramid dan Sphinx, kami dibawa kembali ke Cairo untuk makan tengahari di Malaysia Hall Cairo.

Rumah-rumah di Cairo banyak yang sengaja dibiarkan nampak macam tak siap untuk mengelak dari membayar cukai kepada Kerajaan.
Pembinaan Gereja Kristian ini pernah menjadi kontroversi satu ketika dulu kerana penduduk di sekitar menyangka sebuah masjid yang sedang dibina dan bukannya sebuah gereja.
Perumahan moden di Cairo
Sungai Nil
Bandaraya Moden Cairo terletak di sebelah sana
Lebuhraya di tengah kota
UFO ~ Tangki air sebenarnya
Kawasan perkuburan
Setibanya di Malaysia Hall, perkara pertama yang kami lakukan adalah membuat Solat Jamak Zohor dan Asar di sini. Selepas itu barulah kami makan tengahari di Kafe Seri Putra. Walau ini kunjungan ketiga kami ke sini, semua kami ternanti-nanti kerana makanan di sini sangat sedap dan tidak mengecewakan.

Malaysia Hall Cairo
Pemandangan di perkarangan Malaysia Hall Cairo
Surau Wanita di Malaysia Hall Cairo
Kafe Seri Putra di Malaysia Hall Cairo
Hidangan makanan yang tak pernah mengecewakan
Rakyat Malaysia memang tak boleh dipisahkan dengan Teh Tarik.

Part 65: Masjid Al Azhar

Selepas makan tengahari, program ziarah kami diteruskan dengan melawat ke Masjid Al Azhar yang terletak di kampus Universiti Al Azhar yang terkenal sebagai pusat pengajian Islam yang tersohor di dunia.

Sebahagian dari Al Azhar Park yang terletak di tengah kota Cairo
Hospital berhampiran Universiti Al Azhar
Bas tidak menurunkan kami betul-betul di depan Masjid Al Azhar. Sebaliknya kami turun di seberang jalan dari masjid. Merasa jugalah kami pengalaman menyeberang jalan yang teramat sibuk di Cairo ini. Melihat kereta yang dipandu laju bagai tak berhenti, teragak-agak kami nak melintas sehingga dimarahi oleh orang tempatan kerana menghalang pergerakan mereka. Maklumlah, bagi mereka dah selamat nak melintas dah tu... tapi bagi kita suasana itu masih bagaikan nak menyabung nyawa di jalan raya.

Masjid Al Azhar terletak di seberang jalan di depan sana
Kedai-kedai jualan di tepi jalan
Kerajinan logam untuk jualan
Pengalaman yang mendebarkan nak menyeberang jalan ke seberang sana...
Masjid Al Azhar kini dikelilingi bangunan-bangunan Universiti Al Azhar. Memang tidak salah jika Mesir mendapat jolokan Negeri Para Ulama. Banyak alumni dari Universiti Al Azhar kini yang menjadi ulama dunia.

Rasa macam menyabung nyawa nak menyeberang jalan di Cairo ni... Hahaha!
Tahukah anda bahawa Universiti Al Azhar yang terkenal sebagai pusat pengajian Islam Sunnah Wal Jamaah yang terkemuka di dunia sebenarnya bermula sebagai sebuah pusat pengajian Syiah? Ia adalah fakta yang benar kerana Masjid Al Azhar (yang merupakan asal usul universiti ini) didirikan oleh Kerajaan Fathimiah yang memegang fahaman Syiah. Nama Al Azhar juga berasal dari perkataan Zahra' yang merupakan gelaran kepada puteri Rasullullah SAW Fatimah Az Zahra' yang bermaksud bercahaya dan berkilauan.

Namun Allah SWT tidak mengizinkan fahaman Syiah menguasai bumi Mesir. Lalu ditakdirkan Sultan Salahuddin Al Ayubi yang berpegang kepada fahaman Sunnah Wal Jamaah menakluk bumi Mesir dan menyingkirkan fahaman Syiah dari bumi Anbiya ini. Bermula dari saat itu sehingga kini, Universiti Al Azhar menjadi pusat pengajian Islam mengikut fahaman Sunnah Wal Jamaah dan semua pengajian dari aliran Syiah tidak lagi dibenarkan.

Pintu masuk ke Masjid Al Azhar
Sebaik kami masuk ke dalam masjid, terus kami yang wanita ini ditahan oleh pihak sekuriti masjid. Rupa-rupanya wanita tak dibenarkan berseluar untuk masuk ke kawasan masjid. Terpaksalah kami bergaya dengan kain yang disediakan oleh pihak masjid.

Di sinilah kami yang wanita ini ditahan kerana memakai seluar masuk ke dalam masjid.
Bergaya dengan kain yang diberi oleh pihak masjid.
Masjid Al Azhar terkenal dengan tradisi pengajaran ilmu yang dinamakan Halaqah. Halaqah bermaksud berkumpul pada waktu tertentu untuk mempelajari dan mendalami agama Islam. Tradisi ini adalah juga pemandangan pertama yang kami lihat sewaktu masuk ke dalam masjid.

Halaqah di dalam Masjid Al Azhar
Pemandangan Courtyard di dalam Masjid Al Azhar
Berkumpul sebentar di sini untuk membuat Solat Sunat Tahiyatul Masjid
Masjid Al Azhar terkenal dengan menara kubah uniknya yang mempunyai dua 'cabang' kubah kecil. 

Pemandangan menara kubah yang unik di Masjid Al Azhar
Suasana pusat ilmu masih jelas dilihat di Masjid Al Azhar hari ini. Di ruang-ruang masjid masih kelihatan penuntut-penuntut berkumpul berbincang tentang ilmu yang dipelajari. Apa yang membanggakan bagi Myself ialah sebahagian penuntut yang berkumpul adalah penuntut-penuntut wanita. Jelas sekali yang Al Azhar tidak menafikan hak wanita untuk menuntut ilmu sepertimana penuntut lelaki.

Ruang ini disediakan untuk para pelajar berkumpul mentelaah pelajaran.
Bangga melihat pelajar wanita juga ada di sini.
Berkumpul untuk mendengar penerangan dari Ustaz Faiz dan Ustaz Toyyib mengenai sejarah Masjid Al Azhar
Sebelum sistem kuliah dan peperiksaan sekarang diperkenalkan, semua pembelajaran di Al Azhar dikendalikan secara Halaqah. Pengajar-pengajar kebanyakannya terdiri dari keturunan Arab. Jadi pelajar-pelajar yang datang dari seluruh dunia ada ketikanya sukar memahami ilmu yang diajarkan kerana pengetahuan Bahasa Arab mereka agak terhad.

Disebabkan perkara inilah ketika itu ada ruang-ruang pengajian yang dinamakan Ruwaq (bermaksud: Anjung) disediakan di Courtyard Masjid Al Azhar. Di Ruwaq-Ruwaq ini tok-tok guru dari pelbagai bangsa yang tinggi pengetahuan Bahasa Arab mereka akan membantu memberi penjelasan kepada pelajar-pelajar yang sebangsa dengan mereka. Kerana itulah terdapat Ruwaq Magharibah (Maghribi), Ruwaq Syawam (Syam), Ruwaq Atrak (Turki) dan sebagainya. Ada juga beberapa Ruwaq lain seperti Ruwaq Sinni (China) yang terletak di luar bangunan masjid walaupun mereka masih dinaungi oleh Masjid Al Azhar. 

Untuk penuntut-penuntut dari Asia Tenggara ada sebuah Ruwaq disediakan. Ruwaq ini dikenali sebagai Ruwaq Jawi kerana pelajar-pelajar dari Asia Tenggara ketika itu semuanya dianggap datang dari Pulau Jawa. Ruwaq Jawi ketika itu terletak betul-betul di bawah Mimbar Khutbah di Courtyard ini.

Ruwaq-Ruwaq ini walau bagaimanapun tidak lagi berfungsi selepas sistem kuliah dan peperiksaan diperkenalkan di Universiti Al Azhar. Namun Ruwaq Jawi masih wujud di bawah naungan Kedutaan Besar Malaysia di Cairo dengan kerjasama dari Universiti Al Azhar sendiri. Cuma ia kini tidak lagi terletak di dalam masjid. 

Pemandangan menara kubah yang unik di Masjid Al Azhar
Ruwaq Jawi dulu terletak di bawah Mimbar Khutbah ini
Halaqah masih berlangsung sewaktu kami nak keluar dari masjid
Pintu besar Masjid Al Azhar
Pintu pagar Masjid Al Azhar
Sedang kami nak meninggalkan Masjid Al Azhar, kami terperanjat bila ada ramai orang berlari merempuh kami untuk masuk ke dalam masjid. Seriously Myself terperanjat sebab macam ada rusuhan je gayanya. Kenderaan pun banyak tiba dengan membunyikan hon.

 Berlari masuk ke dalam masjid
Kenderaan masuk ke dalam masjid
Rupa-rupanya ada berlaku kematian dan jenazah sedang dibawa masuk ke dalam masjid. Seperti juga yang kami lihat sewaktu melawat ke Masjid Sayyidah Nafisah dulu, memang budaya orang Mesir berebut-rebut nak membantu menguruskan jenazah walaupun mereka tak mengenali Si Mati. Apa yang mereka harapkan hanyalah ganjaran pahala dari Allah SWT.

Jenazah sedang dibawa ke dalam masjid untuk disolatkan. Berebut-rebut mereka berkejar nak membantu.

Part 66: Masjid Al Hussein

Dari Masjid Al Azhar kami dibawa melawat ke Masjid Al Hussein pula. Syukurlah ada sebuah terowong pejalan kaki yang boleh digunakan nak ke sana. Tak perlulah nak menyabung nyawa menyeberang jalan sekali lagi.

Terowong menuju ke Masjid Al Hussein
Tangga keluar dari terowong
Tiba di Masjid Al Hussein
Masjid Al Hussein terletak di kawasan pasar paling sibuk di Cairo yang bernama Khan Al Khalili. Ia dinamakan Masjid Al Hussein sempena makam milik cucu Rasullullah SAW, Imam Hussein bin Ali bin Abu Talib yang berada di dalamnya. Makam Saidina Hussein ini sebenarnya hanya menguburkan kepala beliau sementara jasad Saidina Hussein dikebumikan di Karbala, Iraq.

Masjid Al Hussein
Menara Masjid Al Hussein
Kawasan di depan masjid ini dinamakan Imam Al Hussein Square
Pintu masuk utama ke Masjid Al Hussein
Pemandangan di ruang solat lelaki
Pintu masuk wanita terletak di belakang masjid. 

Berjalan ke pintu masuk wanita dengan ditemani Ustaz Toyyib dan Thoha
Gerai-gerai jualan di sepanjang laluan menuju ke pintu masuk wanita
Pemandangan di ruang solat wanita
Pasti anda tertanya kenapa hanya kepala Imam Hussein sahaja yang dikebumikan di sini, bukan? Sewaktu peristiwa di Padang Karbala, hampir seluruh keluarga dan pengikut Imam Hussein dibunuh dan dipenggal kepala mereka. Sewaktu jenazah-jenazah dikumpul untuk dikebumikan, sudah tak dapat lagi dikenali yang mana satu jasad milik Imam Hussein. Maka jasad Imam Hussein dimakamkan di Padang Karbala bersama para pengikut beliau. Kepala Imam Hussein dibawa ke Mesir oleh adik beliau yang bernama Zainab.

Makam Imam Hussein dari bahagian lelaki.
Makam Imam Hussein dari bahagian wanita.
Satu lagi pemandangan menara masjid

Part 67: Khan Al Khalili

Akhirnya tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh ramai ahli kumpulan kami ~ shopping di Pasar Khan Al Khalili. Ramai yang menarik nafas lega dan gembira kerana selepas 8 hari berada di Mesir, barulah mereka mendapat peluang nak membeli-belah.

Ada beratus-ratus kedai di Pasar Khan Al Khalili dan kesemuanya menjual barangan yang hampir-hampir sama. Untuk membantu kami, Ustaz Faiz menunjukkan sebuah kedai yang banyak menjual barangan cenderamata yang sering dicari oleh pelancong-pelancong dari Malaysia dan Indonesia.

Kedai ini bernama Galal (disebut: Jalal) dan terletak agak tersorok sedikit kedudukannya. Tapi seperti kata Ustaz Faiz, barangan yang dijual sesuai dengan citarasa kita. Harga barangan yang dijual juga terjangkau, kata Orang Indonesia.

Kedai Galal terletak di atas sana
Inilah kedainya...
Kedai Galal agak sempit tapi sarat dengan pelbagai barangan
Penuh dengan barangan dari lantai sampai ke siling
Cenderamata
Inilah Papyrus ~ kertas pertama di dunia yang dicipta oleh Orang Mesir.
Kami diberi masa yang panjang di Khan Al Khalili. Disebabkan kami bukan kaki shopping, Myself dan Husband cuma bersiar-siar menjamu mata melihat kedai-kedai di sini sampai waktu yang ditetapkan untuk bergerak pulang.

Potret penyanyi veteran yang popular Mesir, Umi Kalsum di sebelah kiri. Lagu nyanyian beliau sentiasa berkumandang di kedai-kedai di Khan Al Khalili.
Kalau usia anda sebaya atau hampir sebaya dengan kami, pasti anda pernah mendengar program Irama Padang Pasir di Radio RTM masa kecil-kecil dulu. Lagu yang selalu dimainkan adalah dendangan seorang penyanyi Mesir yang bernama Umi Kalsum. 

Sewaktu berjalan-jalan di Khan Al Khalili, kami sentiasa mendengar lagu nyanyian Umi Kalsum dimainkan di kedai-kedai di sini. Memang membangkitkan nostalgia mendengar radio RTM waktu kecil-kecil dulu.

Dinner malam itu disediakan di Hotel Amarante Pyramids. Dah pasti hidangannya makanan Arab. Telan sajalah kerana itulah rezeki yang Allah beri kepada kami malam itu. Enjoy sajalah kerana ini adalah dinner kami yang terakhir di hotel ini sebelum pulang ke Malaysia...


 Bersambung ke Bahagian 23...


CATATAN PERJALANAN EGYPT (2nd VISIT) 2018