Thursday, 1 November 2018

2018 EGYPT (2nd VISIT): Prelude 02

Oktober 2018

EGYPT (2nd VISIT) : PRELUDE

Prelude 2: KEMBARA KISAH AL QURAN
Turki: Sanliurfa & Sri Lanka: Adam's Peak

 SANLIURFA, TURKEY

Selepas Jordan, Kembara Kisah Al Quran kami yang kedua adalah ke sebuah bandar yang bernama Sanliurfa di Timur Turki. Walaupun digelar Kota Para Nabi (City Of The Prophets), bandar ini hampir tidak ada dalam peta pelancongan Turki kerana sejarah yang berada di sini adalah sejarah Nabi-Nabi dari perspektif Agama Islam. 

Bandar pelancongan agama yang terkenal di Turki sebaliknya adalah Ephesus yang menempatkan banyak sejarah Agama Kristian. Memang mudah nak berkunjung ke Ephesus kerana ada banyak agensi pelancongan Turki yang menawarkan pakej perjalanan ke sana. Tapi tak ada pakej perjalanan yang ditawarkan ke Sanliurfa.

Dua kawasan sejarah Nabi yang kami kunjungi di Sanliurfa adalah Eyyup Peygamber (Nabi Ayub) dan Balikili Gol (Nabi Ibrahim)
Pakej perjalanan ke Sanliurfa ini Myself temui secara tak sengaja sebenarnya. Selepas surfing berhari-hari di Internet, Myself akhirnya bertemu dengan sebuah pakej perjalanan yang ditawarkan oleh sebuah agensi pelancongan Turki ke sebuah kawasan arkeologi yang bernama Gobekli Tepe. Gobekli Tepe terletak berdekatan dengan Sanliurfa. Selepas bertanya dan berurusan dengan agensi ini, akhirnya dapatlah kami mengatur satu perjalanan secara Day Trip dari Istanbul ke kawasan-kawasan sejarah Nabi yang terdapat di Sanliurfa.

Part 5: Eyyup Peygamber, Sanliurfa
(Jejak Nabi Ayub)

Sejarah Nabi yang pertama kami selusuri di Sanliurfa adalah sejarah Nabi Ayub. Nabi Ayub adalah seorang yang kaya dan banyak hartanya. Kekayaannya meliputi unta-unta yang sihat, hamba sahaya, binatang ternakan dan tanah-tanah yang luas di Negeri Harran.

Pemandangan kawasan pertanian yang subur di Harran, berhampiran Sanliurfa.
Binatang ternakan juga banyak dilihat di Harran
Sebuah lagi kawasan pertanian di Harran
Allah memberi ujian kepada Nabi Ayub dengan kematian anak-anaknya dan memusnahkan harta kekayaannya. Selain itu, dia terkena bermacam-macam penyakit, sampai tidak ada anggota tubuhnya yang sihat, kecuali jantung/hati dan lidahnya yang selalu berzikir kepada Allah Azza wa Jalla.    

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran surah Al-Anbiya Ayat 83-84:  

[83] Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika dia berdoa kepada Tuhannya, "(Ya Tuhanku), sungguh, aku telah ditimpa penyakit, padahal Engkau Tuhan Yang Maha Penyayang dari semua yang penyayang."

[84] Maka kami kabulkan (doa)nya, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan (Kami lipat gandakan jumlah mereka), sebagai suatu rahmat dari Kami, dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Kami.

Eyyup Peygamber, kawasan sejarah Nabi Ayub di Sanliurfa
Sewaktu beliau sakit, Nabi Ayub mengasingkan diri untuk tinggal di dalam sebuah gua. Gua ini kini terletak di dalam sebuah kawasan yang bernama Eyyup Peygamber.

Pintu masuk ke kawasan sejarah Nabi Ayub di Eyyup Peygamber
Bangunan yang menempatkan gua kediaman Nabi Ayub
Pintu masuk ke gua kediaman Nabi Ayub
Selepas menderita kesakitan selama 18 tahun, Allah akhirnya mengurniakan kesembuhan kepada Nabi Ayub. Nabi Ayub disuruh menghentakkan kakinya ke tanah, dan keluarlah air yang memancar dari bumi. Nabi Ayub sembuh dari kesakitan setelah mandi dan minum dari air itu. Mata air ini kini menjadi sebuah telaga yang airnya dikatakan dapat menjadi penawar kepada pelbagai penyakit.

Firman Allah SWT dalam Surah Shad, Ayat 42: 

[42] (Allah berfirman), "Hentakkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum".

Telaga Nabi Ayub

Part 6: Balikli Gol, Sanliurfa
(Kisah Nabi Ibrahim Dibakar Namrud)

Sebuah destinasi Kembara Kisah Al Quran yang sangat menarik yang berkesempatan kami kunjungi di Sanliurfa ialah Balikli Gol. Di sinilah Nabi Allah Ibrahim AS dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud setelah baginda memusnahkan patung-patung berhala yang disembah Raja Namrud dan rakyat jelatanya.

Kisah Raja Namrud menjatuhkan hukuman kepada Nabi Ibrahim AS dikisahkan dalam Surah Al-Anbiya', Ayat 68 di dalam kitab suci Al Quran:

[68] Mereka berkata, "Bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak bertindak."

Balikli Gol
Dari tiang di atas bukit inilah Nabi Ibrahim dilastik (catapult) masuk ke dalam api yang dinyalakan oleh Raja Namrud untuk membakarnya.
Sebaik memasuki kawasan Balikli Gol, kita dapat melihat sebuah kota lama yang terletak di atas bukit. Pada kota ini terdapat dua batang tiang besar yang masih tegak berdiri. Menurut cerita penduduk tempatan, Nabi Ibrahim telah diikat kepada tiang tersebut dan dilastik (catapult) masuk ke dalam api yang dinyalakan oleh Namrud.

Firman Allah di dalam Surah As-Shaffat, Ayat 97-98: 

[97] Mereka berkata, "Buatlah bangunan (perapian) untuknya (membakar Ibrahim); lalu lemparkan dia ke dalam api yang menyala-nyala itu."

[98] Maka mereka bermaksud memperdayainya dengan (membakar)nya, (namun Allah menyelamatkannya), lalu kami jadikan mereka orang-orang yang hina.

Tasik ini adalah bekas nyalaan api yang disediakan oleh Raja Namrud untuk membakar Nabi Ibrahim.
Menurut cerita yang disampaikan kepada kami, api yang dinyalakan oleh Raja Namrud sangat besar. Kayu api yang digunakan untuk menyalakannya telah dikumpulkan oleh rakyat di bawah perintah Raja Namrud selama 6 bulan. Burung juga dikatakan tidak berani terbang melintasi api ini disebabkan kepanasannya. 

Firman Allah dalam Surah Al-Anbiya', Ayat 69:

[69] Kami (Allah) berfirman: "Wahai Api! Jadilah kamu dingin dan penyelamat bagi Ibrahim." 

Bila Allah memerintahkan api menjadi sejuk dan selamat kepada Nabi Ibrahim, api yang marak menyala terus bertukar menjadi air sebaik Nabi Ibrahim mendarat ke dalamnya. Bara-bara api pula bertukar menjadi ikan.

Tasik bekas api nyalaan Raja Namrud ini kini dikenali sebagai Tasik Halil-Ur Rahman sempena gelaran Khalilullah (Teman Bagi Allah) yang diberikan kepada Nabi Ibrahim AS. Penduduk tempatan juga memanggil tasik ini dengan nama Balikli Gol (bermaksud Fish Lake) kerana tasik ini dipenuhi dengan ikan yang dikatakan berasal dari bara-bara api yang dimaksudkan untuk membakar Nabi Ibrahim.

Tasik Halil-Ur-Rahman yang juga dikenali sebagai Balikli Gol (Fish Lake).
Tasik Halil-Ur-Rahman berasal dari api yang bertukar menjadi air bila Allah memerintahkan api supaya menjadi sejuk dan selamat kepada Nabi Ibrahim.
Bara-bara api pula bertukar menjadi ikan yang masih menghuni Tasik Halil-Ur-Rahman pada hari ini.
Sanliurfa yang menjadi tempat kediaman Nabi Ibrahim dan Raja Namrud ini adalah sebahagian dari tamadun Babylon yang terkenal pada masa dahulu. Setelah sekian lama berdakwah, pengikut Nabi Ibrahim hanya sedikit, padahal jumlah penduduk Babylon cukup ramai. Atas perintah Allah SWT, Nabi Ibrahim meninggalkan wilayah Babylon dan berhijrah ke Syria di wilayah Palestine.

Perkampungan di Harran ini dikatakan pernah didiami oleh Nabi Ibrahim bersama isterinya Siti Sarah dan anak mereka, Nabi Ishak sebelum mereka berhijrah ke Syria di Palestine.

Part 7: Gua Mevlid-I-Halil, Sanliurfa
(Gua Kelahiran Nabi Ibrahim)

Nabi Ibrahim adalah putera kepada Azar dari keturunan Syam bin Nuh. Pada masa itu Raja Namrud yang bertakhta mengeluarkan undang-undang yang memerintahkan agar setiap anak lelaki yang lahir dibunuh setelah beliau bermimpi akan dikalahkan oleh salah seorang di antara mereka. Keadaan ini sama dengan keadaan di zaman kelahiran Nabi Musa.

Namun berkat dan rahmat Allah, Nabi Ibrahim lahir dengan selamat di dalam sebuah gua yang kini dikenali sebagai Gua Mevlid-I-Halil yang terletak berhampiran kawasan Balikli Gol di Sanliurfa.

Pemandangan di kawasan Gua Mevlid-I-Halil
Bangunan yang telah didirikan di depan Gua Mevlid-I-Halil
Ada pintu masuk berasingan yang disediakan untuk lelaki dan wanita di Gua Mevlid-I-Halil.
Nabi Ibrahim tinggal di dalam gua ini bersendirian selama 15 bulan. Atas izin Allah Nabi Ibrahim tidak mati, padahal tidak seorang pun yang memeliharanya. Tak seekor pun binatang buas yang datang mengganggu. Bila lapar dan haus, Nabi Ibrahim yang masih bayi hanya menghisap ibu jarinya maka keluarlah air susu.

Nabi Ibrahim juga membesar dengan sangat cepat di dalam gua ini. Dia membesar pada kadar setahun setiap bulan berlalu. Selepas 15 bulan dilahirkan, dia telahpun menjadi remaja berusia 15 tahun dan dibawa keluar dari gua oleh ibu dan bapanya.

Pemandangan dalam gua tempat kelahiran Nabi Ibrahim
Ruang Solat untuk wanita dalam Gua Mevlid-i-Halil
Sejak kecil, Nabi Ibrahim telah terpelihara dari segala perbuatan jahat. Ketika usianya meningkat dewasa, Nabi Ibrahim mulai bertanya-tanya kepada dirinya sendiri, mengapa berhala-berhala yang dibuat dari batu dan tidak mampu berbuat apa-apa itu disembah dan dipuja-puja oleh kaumnya? Kemudian dia mula berfikir tentang Tuhan.

Kisah ini terkandung di dalam Al Quran, Surah Al-An 'Am, Ayat 74-83:

[74] Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata kepada ayahnya Azar, "Patutkah engkau menjadikan berhala-berhala itu sebagai tuhan? Sesungguhnya aku melihat engkau dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.

[75] Dan demikianlah kami memperlihatkan kepada Ibrahim kekuasaan (Kami yang terdapat) di langit dan di bumi, agar dia termasuk orang-orang yang yakin.

[76] Ketika malam telah menjadi gelap, dia (Ibrahim) melihat bintang (lalu) dia berkata, "Inilah Tuhanku." Maka ketika bintang itu terbenam, dia berkata, "Aku tidak suka kepada yang terbenam".

[77] Lalu ketika dia melihat bulan terbit dia berkata, "Inilah Tuhanku". Tetapi ketika bulan itu terbenam dia berkata, "Aku tidak suka kepada yang terbenam".

[78] Kemudian ketika dia melihat matahari terbit, dia berkata, "Inilah Tuhanku, ini lebih besar." Tetapi ketika matahari terbenam, dia berkata "Wahai kaumku! Sungguh, aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan".

[79] Aku hadapkan wajahku kepada (Allah) yang menciptakan langit dan bumi dengan penuh kepasrahan (mengikuti) agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang musyrik.

[80]  Dan kaumnya membantahnya. Dia (Ibrahim) berkata, "Apakah kamu hendak membantahku tentang Allah, padahal Dia telah benar-benar memberi petunjuk kepadaku? Aku tidak takut kepada (malapetaka dari) apa yang kamu persekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu. Ilmu Tuhanku meliputi segala sesuatu. Tidakkah kamu dapat mengambil pelajaran?

[81] Bagaimana aku takut kepada apa yang kamu persekutukan (dengan Allah), padahal kamu tidak takut dengan apa yang Allah sendiri tidak menurunkan keterangan kepadamu untuk mempersekutukan-Nya. Manakah dari kedua golongan itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari malapetaka), jika kamu mengetahui?"

[82] Orang-orang yang beriman dan tidak mempercampur adukkan iman mereka dengan syirik, mereka itulah orang-orang yang mendapat rasa aman dan mereka mendapat petunjuk.

[83] Dan itulah keterangan Kami yang Kami berikan kepada Ibrahim untuk menghadapi kaumnya. Kami tinggikan darjat siapa yang kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, Maha Mengetahui.

SRI LANKA

Part 8: Adam's Peak
(Nabi Adam Diturunkan Ke Bumi) 

Pada tahun berikutnya (2015), kami sekali lagi diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk melihat satu lagi jejak Kembara Kisah Al Quran sewaktu melawat ke Sri Lanka. Jejak tersebut adalah gunung yang bernama Adam's Peak, tempat di mana dikatakan Nabi Adam diturunkan ke bumi selepas melanggar perintah Allah supaya tidak memakan buah larangan di syurga.

Walaupun kami tak memanjat ke puncak Adam's Peak dan hanya melihatnya dari kejauhan, ia tetap memberi kesan kepada kami kerana ia mendekatkan kami kepada sebuah kisah yang tertulis di dalam kitab suci Al Quran.

Pergunungan biru di belakang sana adalah Adam's Peak, tempat di mana dikatakan Nabi Adam diturunkan ke bumi dari syurga.
Kisah Nabi Adam diturunkan ke bumi ini diceritakan di dalam Surah Al Baqarah, Ayat 35-37:

[35] Dan Kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga, dan makanlah dengan nikmat (berbagai makanan) yang ada di sana sesukamu. (Tetapi) janganlah kamu dekati pohon ini, nanti kamu termasuk orang-orang yang zalim!"

[36] Lalu syaitan memperdayakan keduanya dari syurga sehingga keduanya dikeluarkan dari (segala kenikmatan) ketika kedua-nya di sana (syurga). Dan kami berfirman, "Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain. Dan bagi kamu ada tempat tinggal dan kesenangan di bumi sampai waktu yang ditentukan."

[37] Kemudian Adam menerima beberapa kalimah dari Tuhannya. Lalu Dia pun menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.

Adam mahupun Hawa tidak diturunkan di satu tempat yang sama. Nabi Adam diturunkan di puncak bukit Sri Pada (Adam's Peak) di Sri Lanka. Sementara Hawa isterinya, diturunkan di Tanah Arab. Kedua-duanya bertahan hidup setiap hari, masing-masing bersendirian di bumi yang jauh berbeza dengan kehidupan di syurga. Setiap hari, keduanya juga saling mencari satu sama lain dan berdoa dengan tulus ikhlas kepada Allah agar kembali dipertemukan dan disatukan. 


 Bersambung ke Prelude 3...


CATATAN PERJALANAN (EGYPT 2nd VISIT: PRELUDE - 2018):