Friday, 23 November 2018

2018 EGYPT (2nd VISIT) BHG. 20 (Makam Nabi Daniel)

Oktober 2018

EGYPT (2nd VISIT)
Cairo, Sinai, Giza, Alexandria & Fayoum

Bahagian 20: Alexandria (4)
ALEXANDRIA (Masjid Nabi Daniel & Perjalanan Pulang Ke Cairo)

HARI KETUJUH (4)

Part 58: Masjid Nabi Daniel
(Makam Nabi Daniel & Makam Luqman Al Hakim)

Akhirnya kami tiba di Masjid Nabi Daniel. Bas memberhentikan kami di tepi jalan besar dan kami terpaksa berjalan melalui kedai-kedai untuk ke sana. Walau bagaimanapun tak dapat nak mengambil gambar kedai-kedai ini untuk ditunjukkan di dalam entry ini kerana Masjid Nabi Daniel terletak di sebelah sebuah bangunan tentera yang besar dan ada larangan fotografi di sini.

Masjid Nabi Daniel
Pemandangan di dalam Masjid Nabi Daniel
Masjid Nabi Daniel di Alexandria menjadi tumpuan pengunjung kerana di sini terdapat makam Nabi Allah Daniel dan Luqman Al Hakim. Kedua-dua makam ini terletak di dalam sebuah bilik di bawah tanah di masjid ini.

Makam Nabi Daniel dan Luqman Al Hakim berada di dalam bilik ini.
Kami diberi penerangan mengenai Nabi Daniel dan Luqman Al Hakim sebelum turun ke bilik di bawah tanah ini. Nabi Daniel adalah seorang Nabi Allah yang tidak termasuk dalam senarai 25 orang Rasul yang wajib kita imani. Luqman Al Hakim pula adalah seorang insan mulia yang namanya diabadikan pada Surah Luqman di dalam Al Quran.

Mendengar penerangan mengenai Nabi Allah Daniel dan Luqman Al Hakim sebelum berziarah ke makam mereka
Pemandangan tangga turun ke bawah yang menuju ke Makam Nabi Allah Daniel dan Luqman Al Hakim.
Pemandangan Makam Luqman Al Hakim dari atas tangga
Pemandangan Makam Nabi Daniel yang terletak betul-betul di bawah tangga.
Turun ke bawah untuk menziarahi makam
Walaupun kisah Nabi Daniel tidak diceritakan di dalam Al Quran, kisah beliau tercatat di dalam kitab Yahudi dan Kristian. Dia dipercayai seorang Nabi dari keturunan Bani Israel.

Nabi Daniel dikatakan hidup di zaman pemerintahan seorang raja yang sangat kejam bernama Nebuchadnezzar. Pada suatu saat, Nebuchadnezzar menawan ramai rakyatnya, termasuk kanak-kanak yang salah seorang di antara mereka adalah Nabi Daniel.

Suatu hari Nebuchadnezzar mengalami mimpi yang menakutkan. Dia bertanya kepada para dukun dan juru ramal saat itu, tetapi semuanya tidak dapat menafsirkan mimpinya tadi. Lalu datanglah seorang laki-laki yang pernah dipenjara bersama Nabi Daniel yang mengkhabarkan kepada Nebuchadnezzar tentang kebolehan beliau menafsir mimpi. Nabi Daniel dengan sangat jelas menafsirkan mimpi Nebuchadnezzar sehingga beliau kagum akan kehebatan Nabi Daniel. Nabi Daniel dibebaskan dari penjara dan dijadikan pegawai kepada Nebuchadnezzar.

Keakraban Nebuchadnezzar dengan Nabi Daniel menimbulkan kemarahan ketua-ketua agama Majusi. Mereka membuat perancangan untuk membunuh Nabi Daniel. Maka digalilah sebuah lubang besar dan dimasukkan Nabi Daniel ke dalamnya bersama binatang-binatang buas dan berbisa. Namun, selepas beberapa hari Nabi Daniel berada di dalam lubang tersebut, Nebuchadnezzar mendapati Nabi Daniel masih berada dalam keadaan selamat dan sejahtera.

Setelah Raja Nebuchadnezzar meninggal dunia, Nabi Daniel berangkat ke Alexandria dan menghabiskan sisa-sisa hidupnya untuk berdakwah di sana. Bahkan beliau meninggal dunia dan dikuburkan di sana. Menurut ahli sejarah Islam, kubur Nabi Daniel ditemui pada zaman Khalifah Umar bin Al Khattab, sewaktu pembukaan Mesir oleh Amru Al-'As.

Amru dan tenteranya melihat ada tempat tersembunyi yang dikunci dengan mangga besi. Bila mereka membukanya, terdapat di dalamnya sebuah lubang kecil yang ditutup dengan marmar berwarna hijau yang ditutup dengan marmar berwarna hijau lainnya. Ketika dibuka, ternyata di dalamnya ada jenazah seorang lelaki dengan kain kafan yang ditenun dengan benang emas dan memiliki tubuh yang sangat besar.

Kejadian itu dilaporkan kepada Khalifah Umar dan Umar segera bertanya kepada Ali bin Abi Talib. Dengan pengetahuan yang dikurniakan Allah SWT kepadanya, Ali menjawab bahawa jenazah tersebut adalah jenazah Nabi Daniel. Umar segera memerintahkan Amru Al-'As untuk mengkafani kembali jenazah tadi dan memintanya untuk menguburkan jenazah tersebut di sebuah tempat yang tidak dapat dijangkau orang. Amru Al-'As lalu membuatkan kuburan tersebut di kota Alexandria yang pada saat ini dibangunkan di atasnya sebuah masjid yang dinamakan Masjid Nabi Daniel.


Pemandangan lebih dekat Makam Nabi Daniel
Makam Nabi Daniel terletak betul-betul di bawah tangga. Tak dapat diterima akal mengapa tangga ini perlu dibina betul-betul di atas makam Nabi yang mulia ini.
Seperti yang Myself ceritakan di atas tadi, Nabi Daniel tidak tergolong dalam 25 orang Rasul yang wajib dipercayai oleh Umat Islam. Kisah mengenai Nabi-nabi yang tidak dicerita di dalam Al Quran ini terkandung di dalam Surah Al Ghafir (40) : Ayat 78: 

[78] Dan sungguh, Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum engkau (Muhammad), di antara mereka ada yang kami ceritakan kepadamu dan di antaranya ada (pula) yang tidak Kami ceritakan kepadamu. Tidak ada seorang rasul membawa suatu mukjizat, kecuali seizin Allah. Maka apabila telah datang perintah Allah, (untuk semua perkara) diputuskan dengan adil. Dan ketika itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada yang batil.

Kemudian kita berziarah pula ke Makam Luqman Al Hakim yang juga terletak di sini. Menurut pendapat majoriti ulama, Luqman hanyalah seorang ahli hikmah kerana di dalam Al Quran disebutkan bahawa Allah SWT memberikan hikmah kepadanya. Selain itu, dia terkenal dengan nasihat yang diberi kepada anaknya untuk berbakti kepada kedua orang tua dan tidak menyekutukan Allah. Di antara kata-kata bijak yang disampaikan Luqman adalah: "Diam itu hikmah, tapi hanya sedikit sekali pelakunya."

Makam Luqman Al Hakim
Luqman Al Hakim adalah seorang ahli hikmah yang namanya diabadikan pada sebuah surah di dalam Al Quran.
Keterangan tentang Luqman di dalam Al Quran diceritakan di dalam Surah Luqman (31): Ayat 12: 

[12] Dan sungguh, telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu, “Bersyukurlah kepada Allah! Dan barang siapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barang siapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, Maha Terpuji.” 

Hanya ada dua orang sahaja manusia yang bukan dari golongan Rasul yang nama mereka diabadikan sebagai nama surah di dalam Al Quran. Mereka adalah Maryam (ibu Nabi Isa AS) dan Luqman Al Hakim. Begitu tinggi ketakwaan mereka sehingga penghargaan sebegitu diberi oleh Allah SWT kepada keduanya.

Makam Luqman Al Hakim (kiri) dan Makam Nabi Daniel (kanan)

Part 59: Pulang ke Cairo

Selepas melawat Makam Nabi Daniel dan Luqman Al Hakim, kami kembali menaiki bas untuk pulang ke Cairo. Bas parking di tepi jalan besar dan dalam perjalanan ke sana, kami dapat melihat sebuah runtuhan peninggalan Rom di Alexandria yang dinamakan Ampitheatre.

Runtuhan Roman di balik pagar
Pemandangan lebih dekat runtuhan Roman yang dinamakan Ampitheatre ini.
Gambar Ampitheatre di Alexandria yang lebih jelas diambil dari Internet.
Disebabkan Alexandria terletak agar hampir dengan Itali, ia pernah dijarah beberapa kali oleh tentera Rome pada masa silam. Ada beberapa runtuhan peninggalan Roman di Alexandria. Kami tak melawat ke runtuhan Roman ini dalam lawatan kami, tetapi Myself pernah melawat ke runtuhan Roman terbesar di Alexandria yang dinamakan sebagai Pompey's Pillar sewaktu berkunjung ke sini pada tahun 2010.

Patung pemain bolasepak di luar Stadium Alexandria
Bangunan klasik di Alexandria
Pemandangan sewaktu bergerak meninggalkan Alexandria
Kesesakan petang di Alexandria
Circus
Perjalanan pulang ke Cairo yang memakan masa lebih 2 jam sangat hilarious dan penuh dengan gelak ketawa. Mana tidaknya, walaupun kami semua dah dewasa dan ramai yang dah lebih atau hampir berusia separuh abad, masih nak bermain teka-teki budak-budak.

Pemikiran orang dewasa pulak bukan macam budak-budak lagi bila mencari jawapan kepada teka-teki yang diberi. Maka keluarlah jawapan-jawapan kepada teka-teki yang dikategorikan sebagai jawapan orang beriman, jawapan ahli sufi dan jawapan para wali mengikut tahap innocent jawapan yang diberi.

Delta Sungai Nil
Goodbye, Alexandria.
Sunset di Delta Sungai Nil
Loji penapis minyak
Kawasan perindustrian
Plaza Tol Alexandria
Antara teka-teki yang masih diingat ialah: Bila kancil bertukar menjadi babi? Jawapan: Bila kita cari parking dan nampak satu lot kosong, rupa-rupanya ada kereta Kancil parking kat situ. Dah marah, terhamburlah perkataan "Babi!" dari mulut kita. Masa itulah Kancil bertukar menjadi Babi.

Kemudian ada pulak soalan: Apa binatang yang paling kaya? Jawapan: Beruang (sebenarnya berwang). Apa pulak binatang yang paling miskin? Jawapan: Beruk (sebenarnya broke). Adoi, macam-macam. Myself masih tersenyum sendiri bila mengenang kesemua soalan dan jawapan yang diberi.

Pokok kurma yang melambai ditiup angin
Lorong lori di lebuhraya menuju ke Cairo. Myself perhatikan lori-lori di Egypt memang jauh lebih panjang dari lori-lori di Malaysia. Sebab itulah mereka memerlukan lorong mereka sendiri di lebuhraya.
Cairo (Al Qahirah dalam Bahasa Arab) masih 149 km dari sini.
Kawasan pertanian
Rumah Burung Merpati
Kawasan pembangunan baru di antara Alexandria dan Cairo
Memandangkan jarak perjalanan yang jauh, bas kami membuat persinggahan di sebuah kawasan Rest Area di lebuhraya. Tapi persinggahan ini tidak lama, hanya sekadar membuat Toilet Stop saja.

Pemandangan mentari terbenam di Rest Area di lebuhraya
Bendera Egypt yang berkibar megah di Rest Area
Menghabiskan saki baki breakfast pagi tadi.
Selepas kira-kira dua setengah jam, kami tiba kembali ke Giza. Suasana agak sesak sewaktu kami masuk ke kawasan bandar kerana ramai warga yang sedang pulang dari kerja.

Tiba di Giza
Kesesakan sewaktu awal malam di Kota Giza
Makan malam kami pada hari ini adalah Nasi Arab. Tapi Nasi Arab kali ini tidak disediakan oleh Hotel Amarante Pyramids. Nasi Arab untuk makan malam hari ini dipesan dari sebuah restoran di luar. Ada pilihan Ayam dan Kambing. Oleh kerana kami tak makan Kambing, kami memilih lauk Ayam.

Makanan ini dipesan oleh Ustaz Faiz dari restoran tersebut sejak dari dalam bas lagi. Oleh yang demikian, ia dah menunggu sewaktu kami tiba di Hotel Amarante Pyramids. Nasi Arab malam ini memang sedap. Walaupun portion makanannya besar mengikut saiz makanan Arab, kali ini kami tak komplen kerana boleh menghabiskannya sebab ia sedap.

Nasi Arab yang sangat sedap untuk dinner.


 Bersambung ke Bahagian 21...


CATATAN PERJALANAN EGYPT (2nd VISIT) 2018