Monday, 5 November 2018

2018 EGYPT (2nd VISIT) BHG. 02 (Cairo)

Oktober 2018

EGYPT (2nd VISIT)
Cairo, Sinai, Giza, Alexandria & Fayoum

Bahagian 2: Cairo (1)
CAIRO CITY (Malaysia Hall & Bukit Mokattam)

HARI KEDUA (1)

Part 5: Tiba di Cairo 

Selepas bas tiba, kami terus dibawa menuju ke kota Cairo. Dalam perjalanan ke pusat kota, Ustaz Faiz bercerita tentang latarbelakang negara Mesir. Antara penerangan yang sangat meninggalkan kesan di hati ialah bila kami diingatkan bahawa bumi Mesir adalah bumi Firaun dan juga bumi Nabi Musa. Oleh yang demikian, sesiapa yang datang ke sini boleh memilih untuk mengagungkan Firaun ataupun Nabi Musa.

Walaupun sekali imbas, negara Mesir nampak sedikit ketinggalan dalam pembangunan berbanding negara-negara lain, bumi Mesir istimewa kerana ia adalah bumi para Anbiya'. Selain Nabi Musa, bumi Mesir juga pernah dihuni dan dikunjungi Nabi Ibrahim, Nabi Yaakub, Nabi Yusuf dan juga Nabi Isa. Nabi Muhammad SAW juga membuat persinggahan singkat di Gunung Tursina di Mesir dalam perjalanan Israk dan Mikraj. Ramai para wali menetap di Mesir. Nama "Mesir" juga disebut secara langsung dan tidak langsung sebanyak lebih 30 kali di dalam kitab suci Al Quran.

Meninggalkan Airport Cairo
Salah sebuah bangunan terminal di Cairo International Airport
Pintu keluar kenderaan dari Cairo International Airport
Jalan menuju ke pusat bandar
Kami juga diberitahu yang Mesir adalah sebuah negara tentera. Memang banyak bangunan milik tentera dilihat di seluruh kota Cairo. Disebabkan kedudukannya yang terletak di kawasan Timur Tengah yang bergolak dan bersempadan dengan Israel dan Palestine, urusan sekuriti sangat diambil berat di Mesir. Antara pesanan yang diberi kepada kami sewaktu mula tiba di Cairo adalah supaya tidak mengambil gambar polis dan tentera dan apa saja milik mereka.

Welcome To Egypt
Penduduk Mesir berjumlah 96 juta orang. 30 juta di antara mereka tinggal di Cairo dan sekitarnya. Jumlah ini bolehlah diibaratkan seperti seluruh penduduk Malaysia yang juga berjumlah hampir 30 juta ditempatkan di dalam bandar Cairo. Kerana itulah kota Cairo sangat sesak. Sebagai perbandingan, penduduk Kuala Lumpur hanya berjumlah sekitar 2 juta orang.

Kesesakan jalan raya di Cairo
Cairo bukan saja sesak dengan manusia. Jalan raya-jalan raya di Cairo juga penuh sesak dengan kenderaan. Seperti juga di kota Manila, pemandu kereta di Cairo tidak memandu mengikut lorong. Mereka akan mencelah di mana saja mengikut kesempatan.

Kereta yang dipandu di Cairo juga banyak kereta lama. Model-model kereta tahun 1970-an yang sangat sukar dilihat di negara kita masih banyak terdapat di sekitar Cairo. Mereka juga sangat gemar membunyikan hon dan tidak memberi ruang langsung kepada pejalan kaki untuk melintas jalan. 

Cubalah cari Zebra Crossing kalau anda berkunjung ke  Cairo. Takkan jumpa punya, sebab memang tak ada! Memang ngeri melihat cara pejalan-pejalan kaki di Cairo melintas jalan. Dalam masa yang sama, kita juga kagum dengan keberanian yang mereka miliki melintas jalan yang sesak dengan kereta-kereta yang dipandu laju seperti itu.


Aspek keselamatan jalan raya kurang diberi perhatian di Cairo
Banyak model kereta lama diperhatikan di kota Cairo. Kami diberitahu banyak kereta yang digunakan di Cairo adalah kereta-kereta terpakai yang dibawa masuk dari Singapura.
Bangga juga bila melihat ada banyak kereta Proton buatan Malaysia di jalan raya-jalan raya di Cairo.
Pemandangan di Jalan Salah Salim yang merupakan sebuah jalan utama di Kota Cairo.
Ada satu pengalaman menarik yang kami perolehi sewaktu melalui sebatang jalan utama di Cairo yang dinamakan Jalan Salah Salim. Ketika itu jalan sesak, dan ramai pemandu yang juga memintas keluar dari kesesakan itu dengan cara yang tak terfikir oleh pemandu-pemandu Malaysia. Bas kami juga cuba berbuat begitu tetapi tidak berjaya disebabkan saiznya yang besar.

Rupa-rupanya ada sebuah lori pick-up yang membawa peralatan hawa dingin terbalik ke sisi di depan sana. Di sinilah kami melihat satu sisi unik pemandu-pemandu Cairo. Walaupun pada mulanya mereka membunyikan hon dengan bising untuk mendesak kenderaan di depan bergerak cepat, bila menyedari ada kemalangan yang berlaku, mereka semua keluar dari kenderaaan masing-masing untuk membantu. 

Ada beberapa orang yang kami lihat secara sukarela membawa peralatan seperti tali dari kenderaan untuk membantu tow truck menegakkan semula lori yang terbalik. Bila lori dah dapat ditegakkan, pemandu-pemandu awam tadi beramai-ramai membantu mengalihkan lori tersebut ke tepi dan mengangkut kotak-kotak yang terjatuh ke tepi untuk membolehkan kenderaan lain lalu. Terpuji sungguh sikap mereka, walaupun cara pemanduan masing-masing sangat menyesakkan fikiran pemandu Malaysia macam kita.

Kesesakan di Jalan Salah Salim disebabkan kemalangan jalan raya.
Kesesakan disebabkan lori pick-up yang terbalik
Membantu menegakkan semula lori dan mengalihkannya ke tepi
Lori dah selamat dialih ke tepi
Bergotong-royong mengalihkan kotak-kotak yang terjatuh dari atas lori ke tepi.
Bila laluan dah clear semula, bergegas-gegas mereka berlari mendapatkan kembali kenderaan masing-masing. Maklum sajalah memandu di Cairo memang tak boleh lewat sikit bergerak, pasti akan menjadi mangsa hon orang lain tanpa belas kasihan.

Bergegas kembali mendapatkan kenderaan masing-masing.
Lori pick-up yang mengalami kemalangan

Part 6: Malaysia Hall, Cairo

Destinasi pertama kami di Cairo adalah Malaysia Hall untuk makan tengahari di sana.

Sebuah masjid yang dilalui dalam perjalanan menuju ke Malaysia Hall
Berdekatan dengan Malaysia Hall ada sebuah sekolah antarabangsa Islam yang menempatkan pelajar-pelajar sekolah menengah dari seluruh dunia. Sebahagian bangunan sekolah ini ditaja oleh Sultan Brunei.

Sekolah menengah antarabangsa Islam berdekatan Malaysia Hall Cairo
Sekolah ini terbuka untuk pelajar lelaki dan perempuan.
Malaysia Hall Cairo terletak di sebuah kawasan yang bernama Abassiah. Selain menempatkan asrama pelajar dan pejabat Education Malaysia, ia juga mempunyai beberapa kemudahan lain seperti kantin dan surau untuk kegunaan pelajar dan rakyat Malaysia yang berkunjung ke Cairo.

Malaysia Hall ini adalah pejabat Education Malaysia sahaja. Kedutaan Malaysia yang sebenar terletak di sebuah kawasan lain di Cairo.

Dewan Malaysia Abbasiah Cairo (Malaysia Hall Cairo)
Bas berhenti di depan Malaysia Hall
Perkarangan Malaysia Hall Cairo
Kantin Malaysia Hall terletak di tingkat 1, Bangunan Siswa. Ia dinamakan Kafe Seri Putra. Makanan yang dihidangkan adalah makanan tipikal Malaysia secara buffet. Rasa makanannya memang sedap. Tapi jangan tanya berapa harga makanan yang dijual sebab segalanya diurus bagi kami oleh pihak Kembara Sufi.

Kafe Seri Putra di Malaysia Hall Cairo terletak di tingkat atas bangunan ini.
Kafe Seri Putra
Juadah Malaysia yang disediakan di Kafe Seri Putra. Makanan yang disediakan memang sedap. Satay di sini juga menjadi rebutan semua pengunjung.
Makan Tengahari di Kafe Seri Putra
Harga makanan yang dijual. Kalau nak tahu berapa harganya dalam Ringgit Malaysia, bahagi 4 saja kerana 1 Ringgit Malaysia = 4 Egyptian Pound (LE).
Bangunan Siswi di Malaysia Hall Cairo
Husband bergambar kenangan dengan kakitangan Kedutaan Malaysia yang ditemui di sini.

Part 7: Bukit Mokattam

Destinasi lawatan kami yang pertama di Cairo adalah Citadel of Saladin yang dibina oleh seorang pemerintah Islam yang sangat kuat dan terkenal pada masa dahulu, Sultan Salahuddin Al Ayubi. Di kalangan orang Barat, baginda dikenali sebagai Saladin.

Citadel of Saladin
Citadel of Saladin dibina di atas sebuah bukit yang bernama Bukit Mokattam. Bukit ini adalah sebuah tempat suci menurut agama Nasrani. Bukit ini telah diminta oleh seorang pemerintah Nasrani dari Iskandariah yang bernama Al-Muqawqis kepada Gabenor Amru Al-As untuk dibeli dengan harga 70,000 Dirham pada satu ketika. Namun Gabenor merasa curiga untuk menjualkannya. Amru Al-As tertanya-tanya apakah keistimewaan bukit ini sehingga ia ingin dibeli dengan harga yang begitu mahal. Setelah diselidiki ternyata mengikut kepercayaan Nasrani ia adalah tanah syurga yang memberi keselamatan kepada penduduk di sekitarnya.

Pemandangan Bukit Mokattam yang terletak Citadel of Saladin di atasnya.
Hard Rock Cafe Cairo terletak di kaki Bukit Mokattam
Saluran air (Aqueduct) yang dibina untuk membekalkan air kepada Citadel of Saladin.
Setelah berita tentang Al-Muqawqis ingin membeli kawasan tanah Bukit Mokattam dengan tujuan kemulian agama Nasrani sampai kepadanya, Khalifah Umar Al-Khattab tidak membenarkannya dijual walaupun ditawarkan dengan harga yang tinggi. Umar Al-Khattab seterusnya memerintahkan Amru Al-As agar menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan pengkebumian ulama-ulama dan ahli ilmuan Islam. Kerana itulah terdapat sebuah kawasan perkuburan yang sangat besar di kaki Bukit Mokattam ini.

Tanah perkuburan di kaki Bukit Mokattam
Satu lagi pemandangan di kawasan perkuburan
Sewaktu melihat kali pertama, memang sukar nak menerima hakikat yang pemandangan ini adalah sebuah kawasan perkuburan. Tak seperti kawasan perkuburan di Malaysia yang sering terbuka, ada banyak bangunan didirikan di dalam kawasan perkuburan ini. Bangunan-bangunan ini lazimya menempatkan pusara-pusara dari ahli keluarga di dalamnya. Malah disebabkan kemiskinan, ada bangunan-bangunan perkuburan ini yang menjadi tempat kediaman.

Lazimnya bangunan-bangunan perkuburan ini hanya berbentuk segiempat. Beberapa bangunan pula dibina mengandungi kubah. Bangunan-bangunan yang berkubah ini lazimnya menempatkan pusara para Aulia'. Kami diberitahu Kerajaan Malaysia juga mempunyai sebuah bangunan di kawasan perkuburan ini untuk pengebumian jenazah rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Mesir dan tidak dibawa pulang ke tanah air.


 Bersambung ke Bahagian 3...



CATATAN PERJALANAN EGYPT (2nd VISIT) 2018