Sunday 18 November 2018

2018 EGYPT (2nd VISIT) BHG. 15 (Makam Imam Syafie)

Oktober 2018

EGYPT (2nd VISIT)
Cairo, Sinai, Giza, Alexandria & Fayoum

Bahagian 15: Cairo (4)
CAIRO (Masjid Sayyidah Nafisah & Makam Imam Syafie)

HARI KEENAM (2)

Part 41: Masjid Sayyidah Nafisah

Dari Masjid Amru Al-'As, kami dibawa pula melawat ke Masjid Sayyidah Nafisah. Beliau adalah seorang Wali Allah wanita yang merupakan cicit kepada Rasulullah SAW.

Aqueduct lama dalam perjalanan ke Masjid Sayyidah Nafisah
Lagi pemandangan Aqueduct lama dalam perjalanan menuju ke Masjid Sayyidah Nafisah.
Sayyidah Nafisah berhijrah ke Mesir bersama suaminya, Ishaq al-Mu'tasim bin Ja'far as-Siddiq, pada tahun 193H. Beliau menetap di Mesir selama 7 tahun. Penduduk Mesir sangat menyayanginya dan percaya akan karamahnya. Mereka selalu mendatanginya untuk mendengar pelajaran darinya dan memohon doanya. Hal ini membuat suaminya berfikir untuk mengajaknya berpindah ke tanah Hijjaz, namun beliau menolak dan menjawab: “Aku tidak boleh pergi ke Hijjaz kerana aku bermimpi bertemu Rasulullah SAW. Beliau berkata kepadaku: "Janganlah kamu pergi dari Mesir kerana nanti Allah akan mewafatkanmu di sana (di Mesir).”

Masjid Sayyidah Nafisah
Secara kebetulan, sewaktu kami tiba di masjid ini ada sebuah ambulan membawa jenazah tiba di sana. Di sinilah kami melihat satu pemandangan yang tidak pernah dilihat di Malaysia. Berduyun-duyun lelaki yang berada di luar masjid berlari sekuat hati mengejar ambulan itu. Kemudian mereka berebut-rebut nak mengangkat jenazah masuk ke dalam masjid untuk disolatkan. Begitu sekali mereka berusaha mengejar pahala membantu menguruskan jenazah sesama Muslim walaupun mereka tidak mengenali jenazah itu.

Ambulan membawa jenazah tiba di Masjid Sayyidah Nafisah
Berebut-rebut nak membantu menguruskan jenazah.
Pintu masuk ke Masjid Sayyidah Nafisah
Sayyidah Nafisah adalah seorang yang sangat kuat beribadah kepada Allah. Siang hari dia berpuasa sunat sedangkan pada malamnya dia bertahajjud menghidupkan malam dengan berzikir dan membaca Al Quran. Dia sungguh zuhud dengan kehidupannya. Hatinya langsung tidak terpaut dengan kehidupan dunia. Jiwanya rindu dengan syurga Allah. Di samping itu Sayyidah Nafisah sangat taatkan suaminya. Beliau sangat mematuhi perintah suami dan melayan suaminya dengan sebaik-baiknya. 

Pernah satu ketika, beliau menerima wang sebanyak 1000 dirham dari raja untuk keperluan dirinya. Beliau telah membahagikan wang tersebut kepada fakir miskin sebelum sempat memasuki rumahnya. Wang hadiah dari raja itu sedikit pun tidak diambilnya untuk kepentingan dirinya. Semuanya disedekahkan kepada fakir dan miskin. Demikianlah dermawannya Sayyidah Nafisah terhadap fakir miskin.

Kubah Masjid Sayyidah Nafisah
Pintu masuk
Tempat letak kasut di masjid. Biasalah di masjid-masjid di Mesir ini, kita perlu membayar untuk meletakkan kasut di luar masjid.
Pintu masuk berasingan disediakan di masjid ini untuk pengunjung lelaki dan wanita. Kita lihat dulu gambar-gambar dari pintu masuk lelaki yang diambil oleh Husband.

Sayyidah Nafisah hidup pada masa yang sama dengan Imam Syafie. Keduanya saling menghormati. Diceritakan bahawa Imam Syafie meriwayatkan hadis dari Sayyidah Nafisah. Setiap kali berkunjung ke kediaman Sayyidah Nafisah, Imam Syafie dan pengikutnya sangat menjunjung tinggi adab dan sopan santun terhadap beliau. 

Setiap kali Imam Syafie tertimpa penyakit, beliau selalu mengirim utusan kepada Sayyidah Nafisah agar berkenan mendoakan kesembuhannya. Dan benar, setelah itu Imam Syafie mendapat kesembuhan. Ketika Imam Syafie tertimpa penyakit yang menyebabkan beliau wafat, Sayyidah Nafisah berkata kepada utusan Imam Syafie: "Semoga Allah memberikan kenikmatan kepada Syafie dengan melihat wajah-Nya yang mulia.” Bila perkataan Sayyidah Nafisah disampaikan kepadanya, Imam Syafie tahu yang ajalnya telah tiba. 

Sambil itu kita lihat lagi gambar-gambar lain yang diambil oleh Husband di ruang lelaki...

Ketika Sayyidah Nafisah merasakan ajalnya sudah dekat, beliau menulis surat wasiat untuk suaminya, dan menggali kubur beliau sendiri di rumahnya. Kubur itu digalinya untuk beliau sentiasa mengingatkan akan kematian. Kemudian beliau turun ke liang kubur itu, memperbanyak solat dan mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 109 kali. Kalau tidak mampu berdiri, beliau solat dengan duduk, memperbanyakkan tasbih dan menangis. Ketika sudah sampai ajalnya dan beliau sampai kepada Surah Al-An’am Ayat 127: [127] Bagi mereka (disediakan) tempat kedamaian (syurga) di sisi Tuhannya dan Dialah Pelindung mereka disebabkan amal-amal soleh yang selalu mereka kerjakan, beliau langsung pengsan dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Sewaktu jenazahnya disolatkan, sangat ramai orang yang hadir. Sehingga kini makamnya diziarahi oleh pengunjung dari seluruh pelusuk dunia. Demikianlah kehebatan yang Allah SWT anugerahkan kepada Sayyidah Nafisah yang terkenal dengan ketaatannya kepada Allah dan ketaatan kepada suaminya. Semoga beliau menjadi contoh untuk generasi di akhir zaman ini, khususnya kepada kaum wanita.

Make Google view image button visible again: https://goo.gl/DYGbub

Pemandangan makam Sayyidah Nafisah dari sebelah ruang lelaki.
Pemandangan lebih dekat ke dalam Makam Sayyidah Nafisah
Suami  Sayyidah Nafisah  pernah berkeinginan untuk memindahkan makam beliau ke pemakaman Baqi’ di Madinah. Tetapi penduduk Mesir meminta suami Sayyidah Nafisah untuk tidak berbuat demikian kerana mereka ingin mendapatkan berkah darinya. Akhirnya, pada suatu malam suami Sayyidah Nafisah bermimpi bertemu Rasulullah SAW. Beliau bersabda, “Wahai Abu Ishaq, janganlah kamu menentang keinginan penduduk Mesir, karena Allah akan memberikan berkah-Nya kepada penduduk Mesir melalui Sayyidah Nafisah”.

Sekarang, Myself bawa pula anda melawat ke Makam Sayyidah Nafisah di dalam masjid ini melalui pintu wanita...

Pintu masuk wanita terletak di belakang masjid. Kena melalui lorong di sebelah kiri ini untuk mendapatkannya.
Pintu masuk bagi wanita terletak di belakang masjid. Ada satu lorong di sebelah kiri masjid yang perlu dilalui untuk mendapatkannya. Di sepanjang lorong ini ada penjaja-penaja yang menjual berbagai barang jualan. Antara yang dijual adalah bunga-bunga ros hidup.

Lorong sempit menuju ke pintu masuk wanita
Pemandangan di celah lorong
Pemandangan di ruang solat wanita
Makam Sayyidah Nafisah terletak di dalam bilik ini.
Pemandangan makam Sayyidah Nafisah dari bahagian wanita. Ada banyak bunga ros hidup diselitkan pada pagar makam. Kerana itulah ada orang yang menjual bunga ros di lorong masuk tadi.
Penjual bunga ros di lorong masuk ke pintu wanita
Sewaktu kami meninggalkan Masjid Sayyidah Nafisah, datang sebuah lagi ambulan menghantar jenazah untuk disolatkan di sini. Sekali lagi kami melihat lelaki-lelaki Mesir berkejar-kejar mendapatkan ambulan ini untuk membantu menguruskan jenazah.

Sebuah lagi ambulan tiba menghantar satu lagi jenazah

Part 42: Makam Imam Syafie

Dari Makam Sayyidah Nafisah, perjalanan kami diteruskan lagi ke Makam Imam Syafie. Beliau adalah pengasas Mazhab Syafie yang menjadi ikutan penganut-penganut Islam di seluruh Asia Tenggara, sesetengah kawasan di India, sebahagian Mesir, Kurdistan, sebahagian Yaman, Dagestan di selatan Russia dan lain-lain lagi.

Kereta keldai di tepi aqueduct.
Pengangkutan awam
Kereta keldai lagi
Disebabkan wanita Arab selalunya berbadan besar, mereka sering mendukung anak dengan cara begini.
Makam Imam Syafie sebenarnya terletak di dalam sebuah masjid berhampiran tanah perkuburan besar di kaki Bukit Mokattam. Perjalanan menuju ke sana adalah sebenarnya perjalanan menuju ke satu sudut kawasan perkuburan ini.

Lukisan pada dinding kawasan perkuburan
Aqueduct
Lagi pemandangan Aqueduct
Sebelum tiba di Makam Imam Syafie, Tour Leader kami Ustaz Faiz memberi penerangan tentang Imam Syafie. Dia juga meminta kami bersedia kerana kawasan Makam Imam Syafie ini dipenuhi dengan pengemis-pengemis yang sering bersikap agresif dalam meminta sedekah. Memang sedih mendengar bagaimana makam seseorang yang agung seperti Imam Syafie ini kini terletak di kawasan miskin di Cairo. Namun itulah hakikat sebenar kehidupan di sini, memang ramai rakyatnya yang miskin dan meminta-minta untuk meneruskan kehidupan.

Kedai-kedai berhampiran Makam Imam Syafie
Kedai buah-buahan
Kedai daging
Pemandangan kawasan perkuburan berhampiran Masjid Imam Syafie
Tiba di kawasan berhampiran Masjid Imam Syafie
Seperti yang dimaklumkan kepada kami, kawasan sekitar Masjid Imam Syafie dihuni penduduk-penduduk miskin.
Imam Syafie dikebumikan di dalam masjid tempat beliau mengajar pengajian agama semasa hidupnya. Masjid ini kini dinamakan sebagai Masjid Imam Syafie.

Berjalan menuju ke Masjid Imam Syafie
Kedai makan
Masjid Imam Syafie
Kami tidak bernasib baik kerana Masjid Imam Syafie sedang ditutup untuk kerja-kerja pembaikan dan ubahsuai. Jadi kami hanya dapat melihatnya dari luar saja. Seperti yang dimaklumkan oleh Ustaz Faiz kepada kami, memang kami diekori oleh peminta-peminta sedekah di sini. Bila kita tak melayan, mereka akan meninggikan suara dan mencucuk-cucuk kita dengan jari meminta untuk diberikan wang. Nak bersedekah kepada mereka pun bukannya mudah kerana mereka agak ramai dan gemar memaksa-maksa.

Masjid Imam Syafie sedang ditutup untuk pembaikan dan ubahsuai
Oleh kerana masjid ditutup, terpaksalah kita melihat dari luar pagar sahaja.
Ada papan keterangan mengenai Masjid dan Imam Syafie di sini
Imam Syafie atau nama sebenarnya Muhammad bin Idris As-Syafie adalah ahli fiqh Islam yang terkemuka. Beliau dilahirkan di Gaza, Palestine pada tahun 767 Masihi / 150 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 820 Masihi / 204 Hijrah. Berketurunan Quraisy sama seperti Rasullulah SAW, beliau banyak merantau mencari ilmu dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat Islam.

Maklumat pada papan keterangan ini ditulis dalam Bahasa Arab dan Inggeris
Mendengar penerangan tentang Imam Syafie
Mendengar Ustaz Toyyib menyampaikan penerangan
Pengemis sentiasa mengekori kami di Masjid Imam Syafie
Sewaktu hayatnya Imam Syafie sangat terkenal dengan sikapnya yang pemurah dan gemar bersedekah. Kerana itulah beliau sering didampingi oleh orang-orang miskin. Pengemis-pengemis di sini kini adalah keturunan orang-orang tersebut. Bagi Myself memang sedih melihat mereka terus menjadikan mengemis sebagai punca pendapatan sehingga ke hari ini. Tapi tak bolehlah juga kita nak menyalahkan mereka kerana kita tak tahu kesusahan dan perkara sebenar yang menyebabkan mereka memilih cara hidup sebegitu.

Pintu masuk ke Makam Imam Syafie
Kubah Masjid Imam Syafie sebenarnya istimewa kerana terdapat replika kapal di atasnya. Sayang sekali kami tak dapat melihatnya kerana ia sedang ditutup untuk pembaikan. Kubah masjid ini dibuat berbentuk kapal sebagai penghormatan kepada Imam Syafie yang banyak merantau ke serata tempat untuk menuntut ilmu. Inilah juga satu-satunya masjid yang mempunyai replika kapal pada kubahnya.

Pemandangan kubah dengan replika kapal yang sedang ditutup
Inilah rupa sebenar kubah di masjid ini.
Wali-wali Allah seperti Sayyidah Nafisah dan Imam Syafie mempunyai banyak karamah dan kelebihan yang diberikan Allah SWT yang kadang-kala sukar bagi manusia biasa untuk menerima dan membayangkannya. Di masjid di mana Imam Syafie mengajar ini, beliau sering berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW secara yaqodzoh atau sedar. Dalam satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW akan menziarahi makam ini setiap hari Jumaat selepas waktu Asar.

Meninggalkan Masjid Imam Syafie

MAKAM IMAM WAKI'

Tidak jauh dari Masjid Imam Syafie, kami berhenti di makam Imam Waki'. Beliau adalah guru kepada Imam Syafie.

Makam Imam Waki'
Mengintai ke dalam Makam Imam Waki'.
Pemandangan ke dalam Makam Imam Waki'
Pemandangan lebih dekat Makam Imam Waki'
Imam Waki’ terkenal sebagai ulama yang sangat kuat hafalannya, sekaligus ahli hadis yang sangat masyhur dari negeri Iraq (daerah Kufah pada waktu itu). Imam Waki’ tidak pernah membawa kitab di tangannya, beliau mengajar berdasarkan kepada hafalannya.

Imam Waki’ wafat pada tahun 197H sepulang dari menunaikan Ibadah Haji. Ketika itu Imam Syafie berusia 40 tahun. Mengikut ceritanya, Imam Syafie berhijrah ke Mesir karena ingin dimakamkan dekat makam guru yang sangat dicintainya ini. Mesir juga ada banyak Ahlul Bait keturunan Rasulullah SAW yang semakin menambah keinginan Imam Syafie agar dimakamkan di sekeliling orang-orang yang dicintainya.

Pemandangan Makam Imam Waki'. Walaupun kelihatan sangat simple dari luar, sudah pasti makam ini penuh dengan keberkahan.
Pengemis-pengemis masih mengekori sewaktu kami naik ke dalam bas. Ada yang mengetuk dinding bas kerana tidak mendapat sedekah yang diminta.

Part 43: Lunch di Malaysia Hall

Selepas melawat Makam Imam Syafie, kami dibawa sekali lagi ke Malaysia Hall untuk makan tengahari. Disebabkan dah berkali-kali lalu di jalan yang sama, kami dah familiar dengan landmark yang terdapat di kiri-kanan jalan.

Ada banyak kedai-kedai perniagaan di kawasan berhampiran Masjid Imam Syafie ini sehingga menyebabkan kawasan ini dinamakan sebagai Pasar Imam Syafie. Berbagai jualan ada di sini, termasuklah haiwan-haiwan peliharaan seperti burung dan kucing. Kata Ustaz Faiz, kawasan ini paling sesak pada petang hari Jumaat.

Kawasan sekitar Masjid Imam Syafie ini dipanggil Pasar Imam Syafie
Tembikar
Barangan kulit
 Barangan perhiasan
Bijirin
Kedai runcit
Haiwan-haiwan peliharaan
Makanan-makanan kering
Kemudian kami melalui kawasan Bukit Mokattam dengan kawasan perkuburan yang besar di kaki bukit ini. Citadel of Saladin yang kami lawati di hari pertama dulu terletak di puncak bukit ini.

Citadel Plaza di kaki Bukit Mokattam
Hard Rock Cafe Cairo di Citadel Plaza
Kawasan perkuburan di kaki Bukit Mokattam
Kubah-kubah di kawasan perkuburan ini menunjukkan ada seseorang yang mulia dikuburkan di sana.
Sekolah Antarabangsa Islam di sebelah Malaysia Hall
Malaysia Hall Abbasiah Cairo
Malaysia Hall ini dijaga oleh Kedutaan Malaysia di Cairo
Setibanya di Malaysia Hall, perkara pertama yang kami lakukan adalah menunaikan Solat Jamak Zohor dan Asar di suraunya yang sangat selesa itu.

Perkarangan Malaysia Hall, Cairo
Surau di Malaysia Hall, Cairo
Menunaikan kewajiban kepada Allah SWT bersama-sama pelajar-pelajar kita di sana.
Selepas selesai solat, barulah kami makan tengahari di Kafe Seri Putra di sini. Makanan di sini memang tidak mengecewakan. Disebabkan dah rindu, kami turut memesan Teh Tarik di sini. Harganya LE8 (RM2) secawan. Lebih kurang juga dengan harga di Malaysia.

Kafe Seri Putra
Hidangan Nasi dan Mee untuk makan tengahari
Menunggu ahli kumpulan berkumpul untuk lawatan yang seterusnya.


 Bersambung ke Bahagian 16...


CATATAN PERJALANAN EGYPT (2nd VISIT) 2018