Friday, 2 November 2018

2018 EGYPT (2nd VISIT): Prelude 03

Oktober 2018

EGYPT (2nd VISIT): PRELUDE

Prelude 3: KEMBARA KISAH AL QURAN
Arab Saudi: Makkah & Taif

MAKKAH, ARAB SAUDI

Walau dah beberapa kali berkunjung ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, kunjungan kami pada tahun 2017 adalah sangat istimewa. Ini kerana kami berpeluang mengikut sebuah program yang dinamakan Umrah Khas di mana selain dari menunaikan Umrah, kami juga dibawa berziarah dan menghayati dengan mendalam sejarah tempat-tempat berkaitan Rasul dan Manusia-manusia Pilihan di sekitar kota Makkah dan Madinah.

Part 9: Makkah Al Mukarramah

JEJAK KELUARGA NABI IBRAHIM

Kota Makkah yang penuh rahmat mempunyai sejarah yang cukup istimewa, kerana di sinilah rumah Allah yang pertama didirikan untuk manusia. Rumah Allah yang dinamakan Baitullah (Kaabah) ini pertama kali dibangunkan oleh Nabi Adam AS.  Kemudian Nabi Adam meninggal dunia dan berlalulah abad demi abad sehingga rumah itu hilang dan tersembunyi tempatnya. 

Setelah beberapa waktu selepas kelahiran Nabi Ismail, Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim pergi membawa isterinya Siti Hajar dan Nabi Ismail ke Makkah. Maka Nabi Ibrahim memenuhi perintah itu dengan membawa keduanya ke Makkah di dekat tempat yang nantinya akan dibangunkan Kaabah. 

Tidak lama setelah sampai di sana, Nabi Ibrahim meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail dan ingin kembali ke Syam. Ketika Hajar melihat Nabi Ibrahim pulang, dia segera mengejarnya dan memegang bajunya sambil berkata, “Wahai Ibrahim, kamu mahu pergi ke mana? Apakah kamu akan meninggalkan kami di lembah yang tidak ada seorang manusia dan tidak ada sesuatu apa pun ini?”  

Hajar terus mengulang-ulang pertanyaannya berkali-kali hingga akhirnya Nabi Ibrahim tidak lagi menoleh kepadanya. Akhirnya Hajar bertanya, “Apakah Allah yang memerintahkan kamu atas semua ini?” Ibrahim menjawab, “Ya.” Hajar berkata, “Kalau begitu, Allah tidak akan membiarkan kami.”

Lembah Bakkah (Kota Makkah) di mana Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail atas perintah Allah.
Pemandangan di Kota Makkah
Kemudian Hajar kembali dan Nabi Ibrahim melanjutkan perjalanannya hingga ketika sampai ke sebuah bukit. Bila mereka tidak melihatnya lagi, Nabi Ibrahim menghadap ke arah Kaabah lalu berdoa untuk mereka dengan mengangkat kedua belah tangannya, yang tercatit doanya di dalam Al Quran, Surah Ibrahim Ayat 37:

[37] “Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati. Ya Tuhan (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.”

Masjidil Haram di Makkah
Allah kemudiannya memerintahkan Nabi Ibrahim untuk membangunkan kali kedua Baitullah agar rumah itu tetap berdiri sampai Hari Kiamat dengan keizinan-Nya. Oleh yang demikian, Nabi Ibrahim mula membangunkan Kaabah dengan bantuan anaknya Nabi Ismail. 

Kisah ini dicatatkan di dalam Al Quran, Surah Al Baqarah Ayat 127-128:

[127] Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan binaan Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa), "Ya Tuhan kami, terimalah (amal) dari kami. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui." 

[128] Ya Tuhan kami, jadikanlah kami orang yang berserah diri kepada-Mu, dan anak cucu kami (juga) umat yang berserah diri kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara melakukan (ibadah) haji kami, dan terimalah taubat kami. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.

Kaabah
Telaga Zam Zam mengikut sejarahnya bermula dari kegelisahan Siti Hajar bersama puteranya Nabi Ismail, yang ditinggal oleh Nabi Ibrahim AS di sebuah lembah yang tandus. Setelah habis bekalannya, Siti Hajar berusaha mencari makanan atau orang-orang yang kemungkinan berada di sekitarnya. Dia berlari ke Bukit Marwah, kembali lagi ke Bukit Safa, dan kembali lagi ke Bukit Marwah. Nabi Ismail yang masih bayi dan kehausan, menghentak-hentakkan kakinya ke tanah dan terbitlah mata air yang kini dikenali sebagai Telaga Zam Zam dari bumi.

Penutup Telaga Zam Zam yang dipamerkan di Muzium Dua Masjid Suci di Makkah.
Telaga Zam Zam sebenarnya terletak di bawah Dataran Kaabah. Dalam tiga kunjungan pertama Myself ke Tanah Suci Makkah dulu, telaga ini masih boleh dikunjungi. Namun begitu, setelah projek pembesaran Masjidil Haram dilaksanakan, tangga ke telaga ini telah ditutup dan tak lagi boleh dikunjungi sekarang. 

Tercatat dalam sejarah, Siti Hajar berulang alik tujuh kali di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. Perbuatan beliau itu kini menjadi Saie, salah sebuah rukun yang wajib dilaksanakan Umat Islam yang melaksanakan Haji dan Umrah. Ternyata, ketakwaan wanita ini mendapat tingkat yang tinggi dari Allah sehingga penghormatan sebegitu diberikan kepadanya.

Pemandangan di Bukit Safa, tempat permulaan Saie.
Firman Allah dalam Surah Al Baqarah, Ayat 158 di dalam Al Quran: 

[158] Sesungguhnya Safa dan Marwah merupakan sebahagian syiar (agama) Allah. Maka barang siapa beribadah haji ke Baitullah atau berumrah, tidak ada dosa baginya mengerjakan saie antara keduanya. Dan barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka Allah Maha Mensyukuri, Maha Mengetahui.

SEJARAH NABI MUHAMMAD SAW

Makkah juga adalah kota kelahiran junjungan kita, Nabi Muhammad SAW. Tapak rumah kelahiran Rasullullah telah didirikan sebuah bangunan perpustakaan. Seperti juga tangga masuk ke Telaga Zam Zam, bangunan ini mudah dilihat sebelum adanya projek pembesaran bangunan Masjidil Haram. Selepas pelaksanaan projek ini, Myself tak pasti sama ada bangunan ini telah dirobohkan atau dah terlindung dari pandangan.

Firman Allah dalam Al Quran, Surah Al Anbiya' Ayat 107: 

[107] Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.

Bangunan Perpustakaan yang didirikan di atas tapak rumah kelahiran Rasullullah SAW.
Bangunan Masjidil Haram juga banyak menyimpan sejarah awal kehidupan Rasullullah SAW. Ada beberapa pintu Masjidil Haram yang dinamakan sempena sejarah yang pernah berlaku di situ. Antaranya adalah seperti Pintu Darun Nadwah. Pintu ini dulu adalah tempat Orang Quraisy bermesyuarat. Antara keputusan penting yang pernah dibuat di sini ialah bagaimana hendak meletakkan kembali Batu Hajar Aswad ke tempatnya selepas berlaku banjir besar ketika itu.

Dalam mesyuarat inilah diputuskan orang yang pertama masuk ke masjid dari pintu Bani Syaibah, dialah yang paling berhak untuk meletakkan Hajar Aswad di Kaabah. Ditakdirkan oleh Allah, orang tersebut adalah Rasulullah SAW. Dengan kebijaksanaan Rasullullah, Hajar Aswad diletakkan di tengah-tengah kain dan dibawa oleh semua kabilah Quraisy. Kemudian baginda sendiri meletakkan Hajar Aswad tersebut ke tempatnya semula.

Kawasan berhampiran Pintu Darun Nadwah
Wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sewaktu baginda berusia 40 tahun. Ketika itu baginda sedang bermunajat seorang diri di Gua Hira' bila tiba-tiba Malaikat Jibril muncul dan meminta baginda membaca. Selepas tiga kali baginda memberitahu baginda tidak tahu membaca, Malaikat Jibril membacakan wahyu tersebut kepada Rasullullah seperti yang tertulis di dalam Al Quran, Surah Al Alaq, Ayat 1-5:

[1] Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. 

[2] Dia telah mencipta manusia dari segumpal darah.

[3] Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia.

[4] Yang mengajar (manusia) dengan pena.

[5] Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.


Jabal Nur di mana letaknya Gua Hira', tempat wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Penentangan demi penentangan ditemui Nabi Muhammad SAW dalam usaha baginda untuk menyebarkan Islam di Makkah. Sewaktu penentangan ini memuncak, Allah SWT memerintahkan baginda untuk berhijrah ke Madinah menerusi Surah An Anfal, Ayat 30 di dalam Al Quran: 

[30] Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan tipu daya terhadapmu (Muhammad) untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka membuat tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya. 

Dalam perjalanan ke Madinah, Nabi Muhammad ditemani sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq. Mereka bersembunyi di dalam Gua Tsur selama beberapa hari ketika orang-orang kafir Quraisy memperhebatkan gerakan memburu mereka. Kesetiaan Abu Bakar menemani Nabi di saat yang genting itu juga diceritakan oleh Allah di dalam Al Quran, Surah At Taubah, Ayat 40: 

[40] Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad), sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir mengusirnya (dari Makkah); sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya, "Jangan engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya (Muhammad) dan membantu dengan bala tentera (malaikat-malaikat) yang tak terlihat olehmu, dan Dia menjadikan seruan orang-orang kafir itu rendah. Dan firman Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.

Jabal Tsur di mana letaknya Gua Tsur, tempat persembunyian Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar As-Siddiq sewaktu hijrah ke Madinah

Part 10: Arafah

Jika berkunjung ke Makkah, Jemaah Haji dan Umrah pasti akan dibawa berkunjung ke Masya'ir Haram yang merupakan tempat-tempat di luar kota Makkah di mana beberapa rukun dalam ibadah Haji perlu disempurnakan. Salah sebuah tempat yang pasti akan dikunjungi adalah Padang Arafah di mana ibadah Wukuf dilaksanakan pada tarikh 9 Zulhijjah pada setiap tahun.

Padang Arafah
Satu tempat bersejarah yang sering dikunjungi ketika ziarah di Arafah adalah Jabal Rahmah. Di sinilah Nabi Adam dan Siti Hawa dipertemukan kembali oleh Allah SWT selepas dikeluarkan dari syurga.

Dalam kekesalan, kedua-dua Nabi Adam dan Siti Hawa berdoa dengan doa yang diabadikan di dalam Al Quran, Surah Al-A'raf Ayat 23:  

[23] Keduanya berkata, "Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi."

Setelah saling mencari sekian lama, dengan petunjuk Allah dan bimbingan dari Malaikat Jibril, Nabi Adam dan Siti Hawa akhirnya dipertemukan di Jabal Rahmah di Padang Arafah. Adam dan Hawa memulakan hidup baru di bumi dengan selalu bertawakal dan patuh kepada perintah dan larangan Allah. Mereka juga telah dikurniai dengan banyak keturunan.

Jabal Rahmah di Arafah yang dikatakan sebagai tempat pertemuan Nabi Adam dan Siti Hawa setelah mereka diturunkan ke bumi.

Part 11: Mina
(Qurban Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail)

Dalam lawatan ke Masya'ir Haram dalam perjalanan Umrah biasa, Jemaah selalunya hanya akan ditunjukkan khemah-khemah Haji di Mina di mana Jemaah Haji akan bermalam sewaktu melontar Jamrah.

Khemah-khemah Haji di Mina
Semua Jemaah akan diceritakan tentang peristiwa Qurban Nabi Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail yang berlaku di Mina. Namun tak ramai yang ditunjukkan tempat di mana peristiwa Qurban ini benar-benar berlaku. Lokasi sebenar peristiwa ini adalah di atas sebuah bukit di belakang khemah-khemah Haji ini yang ditandakan dengan sebuah binaan di atasnya.

Peristiwa Qurban ini berlaku di atas sebuah bukit di belakang sana
Binaan yang dibina di atas bukit untuk menandakan tempat berlakunya peristiwa Qurban Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS
Kisah pengorbanan ini diabadikan di dalam Al Quran, Surah As-Shaffat, Ayat 102-107:

[104] Lalu kami panggil dia, "Wahai Ibrahim!

[105] Sungguh, engkau telah membenarkan mimpi itu. Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

[106] Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata.

[107] Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.

Dari sinilah asal permulaan sunah berkorban yang dilakukan oleh umat Islam pada setiap Hari Raya Aidil Adha di seluruh pelusuk dunia. 

Seterusnya, Firman Allah dalam Al Quran, Surah As-Shaffat Ayat 108-109: 

[108] Dan kami abadikan untuk Ibrahim (pujian) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.

[109] Selamat sejahtera bagi Ibrahim." 


Dalam perjalanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail untuk mematuhi perintah Allah bagi melaksanakan Qurban ini, mereka telah diganggu syaitan yang cuba menggoda supaya tidak melaksanakan perintah ini. Dikatakan Siti Hajar, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah melontar syaitan yang mengganggu dengan batu. Perbuatan Melontar di Jamrah yang dijadikan rukun dalam ibadah Haji adalah simbolik bagi mengenangkan peristiwa ini.

Amalan Melontar di tiga Jamrah di Mina dilakukan dalam ibadat Haji sebagai simbolik penentangan keluarga Nabi Ibrahim kepada syaitan sewaktu melaksanakan perintah Qurban dari Allah SWT.

Part 12: Wadi Muhassir
(Kisah Tentera Bergajah Abrahah) 

Wadi Muhassir adalah sebuah lembah yang terletak di antara Mina dan Muzdalifah. Jemaah Haji yang hendak melontar jamrah dan bermalam di Mina akan melalui lembah ini. Di sinilah lokasi di mana tentera Abrahah yang hendak menyerang Kaabah dihancurkan oleh Allah SWT dengan batu-batu dari neraka Sijjil yang dibawa oleh Burung Ababil. Sunnah untuk berjalan dengan cepat atau mempercepatkan kenderaan ketika melalui Wadi Muhassir.

Wadi Muhassir - tempat di mana tentera bergajah Abrahah dihancurkan oleh burung Ababil yang membawa batu dari Neraka Sijjil
Kisah tentera bergajah Abrahah yang cuba menghancurkan Kaabah ini diceritakan di dalam Al Quran, Surah Al-Fil, Ayat 1-5:

[1] Tidakkah engkau (Muhammad) memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap pasukan bergajah?

[2] Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia?

[3] Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong

[4] Yang melempari mereka dengan batu dari tanah liat yang dibakar

[5] Sehingga mereka dijadikan-Nya seperti daun-daun yang dimakan (ulat).


TAIF, ARAB SAUDI

Part 13: Taif
(Dakwah Nabi Muhammad SAW Di Awal Islam)

Kami juga berkesempatan dibawa berziarah ke Kota Taif yang terletak tidak berapa jauh dari Makkah untuk menghayati dakwah Nabi Muhammad SAW di awal pengembangan Islam. Tidak seperti di Makkah, cuaca di kota ini sangat nyaman kerana ia terletak di kawasan tanah tinggi.

Kota Taif
Bunga-bungaan yang tumbuh mekar di kota Taif kerana udaranya yang dingin.
Usaha Rasullullah untuk berdakwah kepada Kaum Thaqif yang menetap di kawasan ini tidak berhasil. Malah Nabi turut dibaling dengan batu oleh pemuda-pemuda nakal atas arahan pemuka-pemuka mereka. Hinaan dan cacian memang membuat baginda sedih namun Allah SWT telah memberikan jalan kepada baginda untuk mengatasi hal tersebut.

Firman Allah di dalam Surah Al Hijr, Ayat 96-99:

[96] (Iaitu) orang yang menganggap adanya tuhan selain Allah; mereka kelak akan mengetahui (akibatnya).

[97] Dan sungguh, Kami mengetahui dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan. 

[98] Maka bertasbihlah dan memuji Tuhanmu dan jadilah engkau di antara orang yang bersujud (solat).

[99] Dan sembahlah Tuhanmu sampai yakin (ajal) datang kepadamu.

Di sinilah Nabi Muhammad SAW berehat selepas dilempar dengan batu oleh pemuda-pemuda nakal di Kota Taif. Kawasan ini kini dinamakan Masjid Ku' (Masjid Siku). Lekuk pada batu yang terletak di sebelah kanan gambar ini di luar masjid adalah dikatakan kesan dari sandaran siku Rasullullah SAW di situ.
Batu-batu di belakang Masjid Ku' dikatakan tergantung sedemikian rupa kerana telah ditahan oleh Malaikat dari mengenai Nabi sewaktu pemuda-pemuda Taif cuba menggolekkan mereka ke bawah untuk mencederakan Rasulullah.
Bumi Taif subur dan hijau. Kesuburan bumi Taif dikatakan berpunca dari keberkatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sewaktu baginda tinggal bersama ibu susuan baginda Halimatus Saadiah di sini. Tak seorang pun wanita Bani Saad ketika itu ingin mengambil Nabi Muhammad SAW sebagai anak susuan mereka kerana baginda adalah seorang anak yatim. Hanya Halimatus Saadiah dan suaminya sahaja yang sudi berbuat begitu. Namun pasangan ini tidak menyesal dengan keputusan mereka kerana keberkatan telah mereka rasakan sebaik Nabi diambil menjadi anak susuan. 

Surah Al-Dhuha Ayat 6-11 di dalam Al Quran menceritakan kisah kehidupan Nabi di zaman kanak-kanak: 

[6] Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang anak yatim, lalu Dia melindungi(mu). 

[7] Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk.

[8] Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.

[9] Maka terhadap anak yatim janganlah engkau berlaku sewenang-wenang.

[10] Dan terhadap orang yang meminta-minta, janganlah engkau mengherdik(nya).

[11] Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan (dengan bersyukur)".


Kesuburan Taif dikatakan berpunca dari keberkatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sewaktu baginda tinggal di sini bersama ibu susuan baginda, Halimatus Saadiah
Pasar buah-buahan di Kota Taif


 Bersambung ke Prelude 4...