Wednesday, 7 November 2018

2018 EGYPT (2nd VISIT) BHG. 04 (Suez)

Oktober 2018

EGYPT (2nd VISIT)
Cairo, Sinai, Giza, Alexandria & Fayoum

Bahagian 4: Sinai (1)
PERJALANAN KE SINAI (Terusan Suez)

HARI KETIGA (1)

Part 10: Perjalanan Ke Sinai

Belum pun hilang penat perjalanan semalam, kami terpaksa melalui satu lagi perjalanan yang melelahkan hari ini. Pada pagi ketiga ini, perjalanan dimulakan seawal jam 3 pagi menuju ke Semenanjung Sinai. Bayangkanlah, kalau bertolak pukul 3 pagi, pukul berapa kita terpaksa bangun hari ini?

Bergambar di lobi hotel sebelum bertolak ke Sinai
Nak tahu di mana letaknya Sinai? Tengok peta di bawah... Ia adalah semenanjung berbentuk segitiga yang menghubungkan benua Afrika dengan Asia.

Peta Egypt yang menunjukkan lokasi Sinai
Bukan sengaja sebenarnya perjalanan kami perlu bermula pada awal pagi. Ini adalah kerana destinasi kami pada hari ini ialah bandar Dahab, sebuah bandar peranginan di tepi Laut Merah yang berdekatan dengan Arab Saudi. Dahab terletak di seberang sana Semenanjung Sinai dari arah Cairo. Ini bermakna kami perlu menyeberang Terusan Suez dan seterusnya merentas Semenanjung Sinai dari arah Barat ke Timur untuk sampai ke sana. Tengok peta di bawah pulak...

Peta perjalanan kami dari Cairo ke Dahab
Selain menjadi sebahagian dari Holy Land, Sinai juga penting kerana di sinilah letaknya Terusan Suez, laluan perkapalan yang menyambungkan benua Eropah dengan benua Asia. Disebabkan lokasinya yang strategik ini, Sinai pernah ditakluk oleh Israel satu ketika dulu. Mesir berjaya menawan kembali Sinai dari Israel dalam satu peperangan pada tahun 1973. Semenjak itu, Mesir mengawal ketat keselamatan di Sinai.

Namun ini tidaklah bermakna Sinai telah bebas dari ancaman. Disebabkan ia bersempadan dengan Palestine, bekalan makanan dan senjata sering diseludup ke sana melalui Sinai. Dah pasti perkara ini tidak disenangi oleh Israel yang sedang berperang dengan Palestine. Oleh yang demikian, Sinai sentiasa terdedah kepada ancaman serangan dari Israel. 

Selain itu, sebahagian besar rupabumi Semenanjung Sinai terdiri dari padang pasir yang dihuni kaum-kaum Badwi yang terkenal dengan sikap mereka yang kasar. Mereka sering merompak pelancong yang datang melintas kawasan mereka. Kerana itulah juga setiap bas pelancong (seperti bas kami) yang masuk ke Sinai diwajibkan ada escort polis yang lengkap bersenjata. Pelancong juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka supaya mengelak melalui kawasan Badwi ini di waktu malam. Inilah sebabnya mengapa perjalanan kami perlu dimulakan seawal jam 3 pagi, untuk mengelak kemungkinan terpaksa melalui padang pasir di waktu malam gelap.

Sejak awal lagi, kami juga dimaklumkan yang kami akan berdepan dengan banyak sekatan tentera sepanjang perjalanan di Sinai. Ada ketikanya, pelancong akan diminta untuk membuka bagasi mereka di sekatan-sekatan tentera ini untuk pemeriksaan. Kerana itu jugalah kami dinasihatkan untuk tidak membawa bagasi besar dalam perjalanan ke Sinai. Cukup dengan hanya membawa pakaian dan kelengkapan bagi perjalanan selama 3 Hari 2 Malam. Bagasi besar disimpan di stor hotel di Cairo sepanjang perjalanan kami di Sinai. 

Jika terdapat ancaman keselamatan, semua laluan keluar-masuk ke Sinai melalui darat dan lautan akan ditutup mengikut tahap keselamatan ketika itu. Jika ini berlaku, satu-satunya jalan untuk keluar dari Sinai adalah melalui jalan udara. Kami juga dinasihatkan untuk bersedia menghadapi kemungkinan ini jika ia berlaku.

Takut tak nak datang melawat Sinai? Memanglah takut pada mulanya. Tapi berdasarkan pengalaman kami selepas tiba di sana, Sinai sebenarnya sangat aman dan selamat untuk dilawati. Malah dalam banyak-banyak tempat yang kami kunjungi di Egypt, Sinai adalah tempat yang paling menarik. Pemandangan paling indah di Egypt bagi Myself, juga terdapat di Sinai.

Okey, kita sambung balik kisah perjalanan kami menuju ke Sinai. Disebabkan kami bertolak pada awal pagi, pihak Kembara Sufi telah mengatur dengan hotel untuk membekalkan sarapan bungkus kepada kami. Isinya berbagai jenis roti, jem, mentega dan keju. Walaupun ia dimaksudkan hanya untuk sarapan, bekalan ini dapat kami jamah dari pagi sampai ke petang kerana perut Orang Melayu memang tak besar macam perut Orang Arab.

Sarapan pagi yang dibekalkan oleh Amarante Pyramids Hotel
Portion breakfast Orang Arab yang dapat dimakan sepanjang hari oleh Orang Melayu.
Dua orang polis bersenjata yang menjadi escort kami dah bersedia di awal pagi di luar hotel sewaktu kami bertolak. Bukan main besar senjata api yang mereka bawa. Walaupun bersarung dan diletakkan di bawah kot mereka, kita tetap suspen kerana tak pernah tengok senjata api sebenar dari dekat sebegitu. Kedua-dua mereka duduk di kerusi paling depan di belakang pemandu.

Pemandangan awal subuh di Cairo
Bas berhenti sebentar di sini untuk membeli air mineral sebagai bekalan sepanjang perjalanan kami.
Menyeberang Sungai Nil di waktu subuh

Part 11: Sinai Rest Area

Selepas perjalanan kira-kira 2 jam, kami tiba di Sinai Rest Area yang terletak di bandar Suez. Bas membuat perhentian di sini untuk membolehkan kami menunaikan Solat Subuh.

Pemandangan Sinai Rest Area di waktu siang
Masjid yang kami singgahi di Sinai Rest Area untuk menunaikan Solat Subuh
Ruang solat lelaki
Ruang solat wanita
Selepas Solat Subuh, kami masuk ke sebuah kedai kopi untuk bersarapan pagi. Kami telah dinasihatkan untuk membawa roti yang dibekalkan oleh pihak hotel saja bersama kami dan jangan membawa beg kertas hotel ke dalam kedai kopi ini untuk mengelakkan masalah dengan pemilik kedai. Untuk mengambil hati tuan kedai, kami beramai-ramai membeli minuman panas di sini walaupun harganya sangat mahal.

Pemandangan di kedai kopi
Pemandangan ke luar dari dalam kedai kopi
Membeli Hot Chocolate untuk breakfast
Sarapan pagi ini
Paderi Kristian Koptik di luar kedai kopi.
Selepas bersarapan, kami meninjau-ninjau kedai cenderamata di Sinai Rest Area ini. Sambil membeli-belah dan menjamu mata, kami dihidangkan dengan muzik lagu dangdut yang dimainkan di kedai ini dengan sekuat hati. Tak percaya? Memang betul, memang lagu dangdut yang dimainkan untuk hiburan kami.... "Sakitnya Tuh Di Sini" nyanyian penyanyi Indonesia Cita Citata. Mungkin tuan kedai ni menyangka yang kami datang dari Indonesia.

Di kedai inilah kami dihiburkan dengan muzik lagu dangdut "Sakitnya Tuh Di Sini".
Antara barangan cenderamata yang dijual.

Part 12: Terowong Ahmad Hamdi

Untuk masuk ke Semenanjung Sinai dari arah Cairo, kita perlu menyeberang Terusan Suez. Terusan kapal sepanjang 163 km ini menghubungkan Port Said di Laut Mediterranean dengan Suez di Laut Merah. Terusan yang dirasmikan pada tahun 1869 ini dibina oleh seorang jurutera Perancis yang bernama Ferdinand Vicomte de Lesseps.

Peta Terusan Suez
Pembinaan Terusan Suez telah menjimatkan perjalanan sejauh lebih 7,000 km bagi kapal-kapal yang berlayar dari Eropah ke benua Asia. Dengan adanya terusan ini, kapal-kapal yang hendak ke Asia dari benua Eropah tidak perlu lagi mengelilingi benua Afrika seperti yang dibuat oleh penjajah-penjajah Eropah pada masa dulu.

Perjalanan laut yang dipendekkan dengan pembinaan Terusan Suez
Kami menyeberang Terusan Suez di bandar Suez sendiri. Satu-satunya laluan untuk menyeberang Terusan Suez dari sini ialah menggunakan Terowong Ahmad Hamdi. Terowong sepanjang 1.6 km ini dinamakan sempena Ahmad Hamdi, seorang jurutera dan jeneral tentera Mesir yang terbunuh dalam Perang Yom Kippur dengan Israel pada tahun 1973.

Terjenguk-jenguk kita nak tengok kapal sewaktu masuk ke dalam terowong, tapi haram tak nampak. Maklumlah pintu masuk ke terowong ini sebenarnya jauh dari terusan yang sebenar.

Terowong ini dikawal oleh Tentera Mesir dan merupakan kawasan larangan fotografi. Kami diingatkan supaya tak mencuri mengambil gambar di kawasan ini kerana ada banyak kamera di sepanjang terowong. Untuk mengabadikan kenangan, terpaksalah gigih kita Google kat internet untuk mencari gambar.

Gambar dari internet ~ Terowong Ahmad Hamdi
Gambar dari internet ~ Terowong Ahmad Hamdi
Terowong Ahmad Hamdi sempit. Hanya satu lorong sehala. Kami diberitahu semua lori yang melalui terowong ini perlu melalui pemeriksaan X-Ray sebelum dibenarkan melaluinya.

Gambar dari internet ~ Pemandangan dalam Terowong Ahmad Hamdi

Part 13: Selamat Datang Ke Sinai

Selepas melalui Terowong Ahmad Hamdi maka kita pun sampai di Sinai. Pemandangan pertama Sinai adalah ia memang dipenuhi padang pasir. Terasa dekat sekali kita dengan Nabi Musa AS kerana Sinai penuh dengan sejarah beliau.

Pemandangan pertama bumi Sinai
Satu lagi pemandangan pertama di bumi Sinai
Dah selamat masuk ke Sinai, barulah kita dapat melihat Terusan Suez. Itupun dari kejauhan.

Terusan Suez
Kapal kontena besar berlayar di Terusan Suez
Satu lagi pemandangan kapal kontena besar yang berlayar di Terusan Suez. Terfikir kat dalam hati, berapalah yuran yang dibayar oleh kapal sebesar ini untuk melalui Terusan Suez?
Satu lagi pemandangan kapal kontena besar tadi sedang melalui Terusan Suez
Di sesetengah tempat pemandangan Terusan Suez terhalang dengan tembok-tembok begini.
Jalan ini juga turut menuju ke Gaza di Palestine


 Bersambung ke Bahagian 5...



CATATAN PERJALANAN EGYPT (2nd VISIT) 2018