Saturday 17 November 2018

2018 EGYPT (2nd VISIT) BHG. 14 (Masjid Amru Al 'As)

Oktober 2018

EGYPT (2nd VISIT)
Cairo, Sinai, Giza, Alexandria & Fayoum

Bahagian 14: Cairo (3)
CAIRO (Sungai Nil & Masjid Amru Al 'As)

HARI KEENAM (1)

Part 38: Sarapan Pagi Di Amarante Hotel

Pada hari ini, kami berada di kota Cairo. Disebabkan waktu Subuh masuk seawal pukul 4.20 pagi dan waktu syuruknya sekitar 5.40 pagi, kami terpaksa bangun awal. Seawal jam 6.30 pagi, kami turun bersarapan.

Pemandangan dari bilik kami
Kolam renang di Amarante Pyramids Hotel
Banyak burung merpati yang tumpang mandi-manda di kolam renang hotel di awal pagi begini.
Sarapan pagi di hotel disediakan di Pyramids Cafe yang terletak di seberang kolam renang dari bilik kami.

Pyramids Cafe
Pemandangan di dalam Pyramids Cafe
Pilihan sarapan pagi Myself untuk hari ini.
Menikmati sarapan pagi di Pyramids Cafe
Menunggu program lawatan bermula selepas sarapan pagi.
Program hari ini adalah berziarah ke beberapa buah masjid utama di Cairo dan menziarah beberapa makam para Aulia'. Perjalanan kami dimulakan dari Hotel Amarante sekitar pukul 9 pagi.

Suasana pagi berhampiran kawasan hotel di Giza
Kenderaan yang seperti Angkutan Kota di Indonesia ini dinamakan Tramco di Mesir. Semua Tramco yang berkhidmat di Giza diwajibkan dicat dengan warna putih. Kalau di Cairo, Tramco dicat dengan warna biru.
Kesesakan awal pagi menuju ke Cairo
Tak seperti di negara-negara Arab lain, banyak kedai pakaian moden dilihat di Cairo.
Sekolah
Pemandangan dari lebuhraya dari Giza menuju ke Cairo
Jalan keretapi
Satu lagi pemandangan dari lebuhraya
Perhentian Tramco di Giza
Pemandangan di awal pagi
Kesibukan di awal pagi
Kemodenan kota Cairo
Sesak
Keindahan kota Cairo

Part 39: Sungai Nil 

Sungai Nil yang memisahkan kota Cairo dan Giza adalah antara sungai yang terpanjang di dunia, mengalir menerusi 9 buah negara: Ethiopia, Zaire, Kenya, Uganda, Tanzania, Rwanda, Burundi, Sudan dan Mesir dengan kepanjangan sungai mencapai 6,650 km. Aliran airnya berasal dari pergunungan Kilimanjaro di Afrika Timur dan mengalir dari arah selatan ke utara sehingga ke Laut Mediterranean.

Ia adalah salah sebuah dari empat batang sungai yang dikatakan sebagai sungai syurga. Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Seihan, Jeihan, Nil dan Eufrat, semuanya adalah sungai-sungai syurga.’’(Hadis Riwayat Muslim).

Sungai Nil
Inilah sungai yang menghanyutkan Nabi Musa AS ketika beliau masih bayi.
Sungai Nil juga mempunyai perkaitan dengan Nabi Musa AS. Nabi Musa AS dilahirkan di saat yang amat mencemaskan kerana Firaun memerintahkan supaya setiap bayi lelaki yang dilahirkan ketika itu terus dibunuh. Tindakan itu diambil kerana Firaun bermimpi Mesir terbakar dan penduduknya mati, melainkan dari kalangan Bani Israel. Ahli nujum yang mentafsirkan mimpinya mengatakan bahawa kuasa negara Mesir akan jatuh ke tangan lelaki Bani Israel. Disebabkan khuatir, Firaun memerintahkan setiap rumah digeledah dan jika mendapati bayi lelaki perlu dibunuh.

Ibu Nabi Musa, Yukabad ketika itu baru melahirkan seorang bayi lelaki (Musa). Merasa bimbang dengan keselamatan Musa,  dia menghanyutkan Musa ke Sungai Nil sewaktu berusia 3 bulan. Musa yang terapung di sungai itu ditemui isteri Firaun sendiri yang bernama Asiah ketika sedang mandi dan tanpa berlengah dibawanya Musa ke istana. Melihat isterinya membawa seorang bayi, Firaun dengan tidak teragak-agak menghunuskan pedang untuk membunuh Musa. Asiah berkata: “Janganlah dibunuh anak ini kerana aku menyayanginya. Baik kita menjadikannya seperti anak sendiri kerana aku tidak mempunyai anak.” Dengan kata-kata dari Asiah tersebut, Firaun tidak sampai hati untuk membunuh Musa.

Kemudian Asiah mencari pengasuh tetapi tidak seorang pun yang dapat mengasuh Musa, malah dia asyik menangis dan tidak mahu disusui. Selepas itu, ibunya sendiri tampil untuk mengasuh dan membesarkannya di istana Firaun. Sejak berusia tiga bulan sehingga dewasa, Musa tinggal di istana itu sehingga orang memanggilnya Musa bin Firaun. Nama Musa sendiri diberi oleh keluarga Firaun.


Kisah Nabi Musa dihanyutkan ke Sungai Nil diceritakan di dalam Al Quran Surah Al Qasas (28): Ayat 7-13: 

[7] Dan Kami ilhamkan kepada ibunya Musa, “Susuilah dia (Musa), dan apabila engkau takut terhadapnya maka hanyutkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu takut dan jangan bersedih hati, sesungguhnya Kami akan kembalikannya kepadamu, dan menjadikannya salah seorang rasul.”

[8] Maka dia dipungut oleh keluarga Firaun agar (kelak) dia menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka. Sungguh, Firaun dan Haman bersama bala tenteranya adalah orang-orang yang bersalah.

[9] Dan isteri Firaun berkata, “(Dia) adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita atau kita mengambil dia menjadi anak,” sedang mereka tidak menyedari.

[10] Dan hati ibu Musa menjadi kosong. Sungguh, hampir saja dia menyatakannya (rahsia tentang Musa), seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, agar dia termasuk orang-orang yang beriman (kepada janji Allah).

[11] Dan dia (ibunya Musa) berkata kepada saudara perempuan Musa, “Ikutilah dia (Musa).” Maka kelihatan olehnya (Musa) dari jauh, sedang mereka tidak menyedarinya.

[12] Dan Kami cegah dia (Musa) menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusui(nya) sebelum itu; maka berkatalah dia (saudaranya Musa), “Mahukah aku tunjukkan kepadamu, keluarga yang akan memeliharanya untukmu dan mereka dapat berlaku baik padanya?”

[13] Maka kami kembalikan dia (Musa) kepada ibunya, agar senang hatinya dan tidak bersedih hati, dan agar dia mengetahui bahawa janji Allah adalah benar, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya.

Sungai Nil juga menjadi saksi kepada satu karamah yang dimiliki oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab. Mengikut sejarahnya seperti yang tertulis di dalam kitab Al-Azhamah, air Sungai Nil pernah berhenti mengalir di zaman pimpinan Amru bin Al-'As sebagai gabenor. Penduduk Mesir mencadangkan supaya satu upacara sakral mengorbankan perawan untuk diberi kepada Sungai Nil diadakan seperti yang sering dibuat sebelum kedatangan Islam. Namun cadangan ini ditolak Amru bin Al-'As kerana bercanggah dengan ajaran Islam.

Amru bin Al-'As menulis surat kepada Umar bin Al-Khattab yang berada di Madinah. Dalam surat itu dia menerangkan permasalahan yang dihadapi.

Umar menulis surat kepada Amru bin Al-'As yang di dalamnya ada nota kecil. Dalam surat itu Umar menulis: Sesungguhnya saya telah mengirim kepadamu dalam suratku satu nota kecil, maka lemparkanlah nota kecil itu ke Sungai Nil.

Bila surat Umar sampai kepada Amru bin Al-'As, dia mengambil nota kecil itu dan membukanya. Ternyata di dalamnya berisi tulisan seperti berikut:
Dari hamba Allah, Amirul Mukminin, Umar bin Khattab. Amma Ba’du.
Jika kau (Sungai Nil) mengalir karena dirimu maka janganlah engkau mengalir. Namun jika yang mengalirkanmu adalah Allah, maka mintalah kepada Allah yang Maha Kuasa untuk mengalirkanmu kembali.
Amru bin Al-'As kemudian melemparkan nota kecil itu ke Sungai Nil. Sungai Nil mengalir dengan banyaknya pada malam itu. Dengan terjadinya peristiwa itu, Allah telah menghancurkan tradisi jahiliyah penduduk Mesir tersebut sehingga sekarang. Sungai Nil juga tak pernah lagi berhenti mengalir.

Part 40: Masjid Amru Al-'As

Mesir adalah sebuah negara yang penuh dengan bangunan-bangunan yang bersejarah. Salah sebuah di antaranya adalah Masjid Amru bin Al-'As yang merupakan masjid yang pertama didirikan di Mesir dan seluruh benua Afrika. Ia didirikan di kawasan Fustat, yang merupakan bahagian asal kota Cairo.

Sumber Artikel : Pesona Arsitektur Masjid Amru Bin Ash, Masjid Pertama di Mesir http://sekolahumroh.com/?p=3549
Masjid Amru Al-'As
Menara di Masjid Amru Al-'As
Pintu masuk ke Masjid Amru Al-'As
Pemandangan lebih dekat pintu masuk ke Masjid Amru Al-'As
Amru Al-'As adalah seorang sahabat Rasulullah SAW dan juga seorang panglima perang Islam yang telah membebaskan Mesir dari kekuasaan Rome. Sebagai mengenang jasa beliau, Khalifah Umar Bin Al Khattab telah memilih dan mengangkat beliau menjadi Gabenor Mesir.

Bangunan masjid yang berdiri pada hari ini bukanlah bangunan masjid yang asal. Masjid ini mula dibangunkan pada tahun 641M dan selesai setahun kemudian. Meskipun bukan bangunan yang asli dan telah diubahsuai berkali-kali, masjid ini tetap dianggap sebagai masjid yang sama.

Pemandangan mengahala ke Courtyard
Ada banyak kerusi disediakan di dalam masjid untuk kegunaan jemaah
Sebelum Masjid Al-Azhar didirikan, Masjid Amru Al-'As menjadi pusat pendidikan Islam di Mesir. Para pengajarnya terdiri dari para sahabat Rasulullah SAW. Imam As-Syafie juga pernah mengajar di masjid ini. Sehingga kini Masjid Amru Al-'As masih digunakan oleh para pelajar Al-Azhar untuk belajar dan menghafal Al-Quran.

Marmar di Courtyard masjid ini terasa sejuk bila dipijak, seperti marmar di Masjidil Haram di Makkah.
Tempat wuduk di tengah Courtyard
Pemandangan lebih dekat tempat wuduk di tengah Courtyard
Pada  tahun 1169, seluruh kota Fustat termasuk Masjid Amru Al-'As dibakar oleh seorang Menteri yang bernama Shawar untuk menghindari serangan Tentera Salib. Namun demikian, pada tahun 1179 setelah Salahuddin Al-Ayyubi menduduki Mesir, Masjid Amru Al-'As ini dibangunkan kembali.

Pemandangan ke arah masjid dari Courtyard
Pemandangan ke arah mihrab utama dari Courtyard
Masjid Amru Al-'As juga menyimpan cerita tentang keadilan Khalifah Umar Al-Khattab. Ketika itu, disebutkan bahawa Amru Al-'As berniat untuk membangunkan masjid besar ini di atas tanah yang cukup luas tidak jauh dari kediaman seorang wanita Yahudi tua. Walau dah puas berunding dengannya, wanita Yahudi tetap menolak untuk menyerahkan tanah miliknya kerana tanah itu adalah satu-satunya harta yang dimiliki. Hal itu membuatkan Amru Al-'As berang dan memerintahkan pembongkaran paksa ke atas rumah wanita itu. 

Kecewa dengan tindakan Gabenor, wanita Yahudi tua itu memutuskan untuk mengadu kepada Khalifah Umar di Madinah. Ketika bertemu dengan Umar, beliau kaget bila mendapati walaupun seorang Gabenor, Khalifah Umar hidup dengan sederhana dan jauh dari kemewahan. Dia lebih kaget kerana setelah mengadukan masalahnya, Khalifah Umar ternyata marah dan memintanya untuk mengambil sepotong tulang. Dengan hujung pedangnya, Umar menoreh garis lurus dengan potongan pada hujung tulang tersebut dan meminta beliau untuk memberikan tulang tersebut kepada Amru Al-'As di Mesir.

Setelah menerima potongan tulang dari Yahudi tua itu, Amru Al-'As pucat lesi dan memerintahkan semua pegawainya untuk memberhentikan pembangunan masjid di tanah Yahudi tua itu. Dia turut memerintahkan untuk menghancurkan bangunan masjid yang telah separuh siap itu.

Tentu saja tindakan itu membuatkan Yahudi tua semakin kehairanan. Amru Al-'As meminta maaf atas tindakannya dan menjelaskan bahawa tulang itu adalah perintah langsung dari Khalifah kepada dirinya selaku Gabenor untuk sentiasa bertindak adil dan lurus baik dari kalangan atasan ataupun bawahan seperti huruf alif yang digoreskan Umar di atas tulang itu. Jika beliau tidak mampu berlaku adil, maka pedang Umar yang akan memenggal kepalanya seperti potongan yang dibuat pada garis lurus itu. Itulah sebabnya Amru Al-'As menjadi pucat ketika menerima tulang dari Yahudi tua itu.

Terkesan dengan kejadian itu, Yahudi tua meminta Amru Al-'As untuk menghentikan pembongkaran masjid. Dia mengaku kagum dengan kepemimpinan Umar Al Khattab yang begitu adil, dan sangat kagum dengan ajaran Islam. Lantas dia meminta Amru Al-'As untuk membimbingnya masuk Islam.


Kerusi-kerusi wakaf di dalam masjid ditandakan sebegini.
Ada banyak mihrab dan mimbar dalam masjid ini kerana ia adalah pusat pengajian agama. Tok-tok guru selalunya akan mengajar di tepi mihrab-mihrab ini.
Di satu sudut masjid ini terdapat makam anak lelaki Amru Al-'As yang bernama Abdullah bin Amru Al-'As. Namun disebabkan penempatan kubur ini pernah menjadi kontroversi, makam ini tidak diberi tanda. Namun tetap dipercayai makam ini berada pada satu sudut perpustakaan di dalam masjid ini.

Perpustakaan Masjid Amru Al-'As
Makam anak kepada Amru Al-'As yang bernama Abdullah dikatakan terletak di tiang di sebelah kiri perpustakaan ini.
Mengintai ke dalam perpustakaan
Masjid Amru Al-'As ialah sebuah masjid yang aktif. Ia sentiasa dikunjungi ramai jemaah yang datang beribadah setiap hari dan selain waktu solat, masjid ini dibuka untuk pelancong dan penziarah. Masjid ini juga menjadi tumpuan orang ramai pada malam 27 Ramadan setiap tahun di mana malam itu dikatakan sangat hampir dengan Lailatul Qadar. Pada malam tersebut jumlah orang yang datang berjemaah tidak dapat ditampung oleh binaan masjid yang besar ini. Saf-saf solat akan melimpah-ruah sehingga hampir 1 km di luar masjid.

Salah sebuah mihrab kecil yang terdapat di dalam Masjid Amru Al-'As
Pemandangan di dalam masjid
Mihrab utama
Di dalam masjid ini ada sebuah telaga yang tak lagi digunakan. Tak tahu apa sejarah sebenar telaga ini. Tapi berdasarkan pengalaman kami, masjid-masjid lama di Mesir memang selalu ada telaga seperti ini.

Telaga di dalam Masjid Amru Al-'As
Telaga ini dikatakan digali sendiri oleh Amru Al-'As
Telaga ini telah ditutup kini untuk mengelakkan perkara khurafat. Kalau diperhatikan ke dalam telaga ini, kelihatan duit-duit syiling yang dibuang ke dalamnya oleh pengunjung-pengunjung terdahulu.
Bergambar dengan Mihrab Utama
Kenangan di Masjid Amru Al-'As
Sebuah kawasan pengajian agama di dalam masjid
Berkumpul untuk keluar dari masjid
Pemandangan di luar Masjid Amru Al-'As
Meninggalkan Masjid Amru Al-'As


 Bersambung ke Bahagian 15...



CATATAN PERJALANAN EGYPT (2nd VISIT) 2018