Februari 2024
LABUAN, MALAYSIA
Bahagian 5: Bersiar-siar Di Labuan
MUZIUM LABUAN (2) & KAMPUNG AIR PATAU-PATAU
HARI KEDUA (4)
Part 13 : Muzium Labuan (2)
Selepas melihat pameran mengenai sejarah Labuan di Aras Bawah Muzium Labuan, kita naik ke Aras Satu pula untuk melihat pameran mengenai kebudayaan Labuan.
Tangga naik ke Aras Satu |
Gambar perhiasan pada tangga |
Di Aras Satu ini, kita diperkenalkan dengan suku-suku kaum yang mendiami Pulau Labuan. Majoriti penduduk Labuan adalah berketurunan Melayu-Brunei dan Kadayan. Mereka beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu dialek Kadayan-Brunei atau lebih dikenali sebagai dialek Labuan. Dialek Labuan mempunyai beberapa perbezaan berbanding Bahasa Melayu standard.
Segmen Kaum Melayu Brunei |
Pakaian tradisi perkahwinan masyarakat Melayu Brunei |
Kaum Kadayan pula dikatakan merupakan antara penduduk asal di negara Brunei. Ketika di bawah pemerintahan Sultan Bolkiah (1485-1524), Brunei mempunyai jajahan takluk yang amat luas meliputi Pulau Borneo sehingga ke kepulauan Sulu di Filipina. Kekuatan dan keluasan empayar Brunei pada ketika itu memungkinkan berlakunya penghijrahan penduduk Brunei ke wilayah-wilayah yang ditakluki termasuk Labuan. Masyarakat Kadayan memiliki ciri fizikal yang sama seperti Melayu-Brunei. Mereka bertutur dalam dialek Kadayan yang berada di bawah rumpun bahasa Melayu. Kehidupan tradisi masyarakat Kadayan adalah berkait rapat dengan pertanian dan penanaman padi merupakan aktiviti ekonomi utama mereka.
Diorama Rumah Kaum Kadayan |
Peralatan-peralatan yang digunakan oleh suku Kaum Kadayan |
Suasana pameran di Aras Satu |
Pameran penggunaan tembaga di kalangan masyarakat Labuan |
Diorama Kampung Air |
Seperti di banyak kawasan lain di Pulau Borneo, Kampung Air merupakan sebahagian cara hidup penduduk tradisional Labuan. Keunikannya terletak bukan sahaja pada struktur kampung itu sendiri tetapi pada kehidupan budaya masyarakatnya yang menambahkan lagi keunikan sedia ada. Bagi meraikan budaya ini, terdapat sebuah diorama Kampung Air disediakan di Muzium Labuan.
Pemandangan di Kampung Air |
Selain kaum Melayu-Brunei dan Kadayan, kaum-kaum minoriti lain turut diberi penghormatan di dalam muzium ini.
Pameran Kaum Kadazandusun |
Diorama perkahwinan tradisi Kaum India |
Keterangan tentang budaya masyarakat India di Labuan |
Pameran budaya Kaum Cina di Labuan |
Pandangan dari sisi |
Kata Husband, Muzium Labuan memang merupakan sebuah destinasi yang menarik bagi pengunjung-pengunjung ke Labuan. Walaupun tidak besar, pamerannya sangat menarik dan terjaga rapi. Di luar bangunan Muzium Labuan juga ada beberapa lagi pameran kesan sejarah yang menarik. Koleksi pameran di luar bangunan Muzium Labuan ini dinamakan sebagai Memorial Pulau Maida sempena nama lama Labuan sewaktu di zaman Perang Dunia Kedua.
Tema pameran di luar bangunan muzium ini adalah Memorial Pulau Maida |
Dari papan keterangan ini barulah kita tahu yang nama 'Labuan' berasal dari pekataan 'labohan (pelabuhan)'. |
Batu yang berbentuk seperti kubur di depan Muzium Labuan dibina oleh Tentera Jepun atas arahan General Tojo yang datang ke pulau ini pada bulan Julai 1945. Ia dibina sebagai penghormatan kepada General Maida yang merupakan Commander-In-Chief bagi pasukan Tentera Jepun di British Borneo ketika itu. General Maida terbunuh sewaktu pesawat yang dinaikinya terhempas di Bintulu pada bulan September 1942. Ketika itu beliau sedang dalam perjalanan untuk pembukaan sebuah landasan terbang di Labuan yang dibina oleh Jepun menggunakan buruh paksa dari Pulau Jawa. Malah sewaktu pemerintahan Jepun, Pulau Labuan turut dinamakan sebagai Maidashima (Pulau Maida) sempena nama beliau.
Memorial penghormatan untuk General Maida |
Plak peringatan di Memorial General Maida |
Tidak jauh dari memorial yang dibina oleh Tentera Jepun untuk memperingati General Maida, ada sebuah memorial yang dibina oleh Tentera Bersekutu untuk memperingati peristiwa pendaratan 9th Division Australian Imperial Forces pada 10 Jun 1945 yang seterusnya membebaskan Pulau Labuan dan British Borneo dari penjajahan Jepun.
Memorial peringatan yang dibina oleh Tentera Bersekutu sempena pembebasan Labuan dari pemerintahan Jepun |
Plak keterangan pada memorial yang dibina oleh Tentera Bersekutu |
Sebagai Crown Colony British pada masa dahulu, Labuan turut menerima kunjungan dari Keluarga Diraja Britain. Antara yang pernah melawat Labuan adalah King Edward VIII sewaktu baginda masih memegang gelaran Prince of Wales.
Plak peringatan lawatan Prince of Wales ke Labuan pada 17 Mei 1922. Baginda kemudiannya telah ditabalkan sebagai Raja Inggeris dengan gelaran King Edward VIII pada tahun 1936. |
Sebagai koloni Britain ketika itu, masyarakat Labuan turut meraikan pertabalan Queen Elizabeth II sebagai Ratu Inggeris pada 2 Jun 1953. Di perkarangan muzium ini, kita dapat melihat dua batang pokok yang setiap satunya ditanam oleh Masyarakat Melayu dan Masyarakat India di Labuan sempena peritiwa pertabalan yang berlangsung.
Pokok yang ditanam oleh Masyarakat Melayu sempena pertabalan Queen Elizabeth II sebagai Ratu Inggeris pada tahun 1953. |
Pokok yang ini pula ditanam oleh Masyarakat India sempena pertabalan Queen Elizabeth II sebagai Ratu Inggeris. |
Meninggalkan Muzium Labuan |
Part 14: Kampung Patau-Patau
Selepas melihat diorama Kampung Air di Labuan, Husband teringin nak melawat ke kampung air yang sebenar. Berdasarkan research yang dibuat, dia terus memesan Grab untuk membawanya ke Kampung Patau-Patau.
Bandar Labuan |
Pejabat Harrisons Sabah Sdn Bhd |
Ada Tarian Singa sedang dibuat di pejabat Harrisons sempena perayaan Tahun Baru Cina |
Perhiasan seperti Gardens By The Bay di Singapore di tengah sebuah roundabout di Labuan |
Kata pemandu Grab, ada dua buah Kampung Air Patau-Patau sebenarnya. Kampung Air Patau-Patau 1 adalah lebih tradisional berbanding Kampung Air Patau-Patau 2. Husband walau bagaimanapun cuma melawat Kampung Air Patau-Patau 2 atas cadangan dari pemandu Grab.
Selamat Datang Ke Kampung Patau-Patau 2 |
Mengikut sejarahnya, Kampung Air Patau-Patau ditubuhkan pada tahun 1930-an dan musnah sewaktu Perang Dunia Kedua. Namun demikian, ia telah dibina semula selepas perang berakhir.
Penduduk di kampung ini ramai yang terdiri dari kaum Melayu-Brunei. Maka tidak hairanlah jika rumah-rumah di kampung air ini dibina menggunakan konsep dan senibina Melayu-Brunei. Kebanyakan rumahnya juga dibina dengan menggunakan kayu belian yang sangat keras. Di samping menjalani kehidupan moden, penduduk di kampung air ini juga kuat berpegang dengan adat Kadayan Brunei.
Suasana di Kampung Patau-Patau 2 |
Seiring dengan kemodenan, pelantar-pelantar kayu yang menjadi penghubung rumah-rumah kediaman kini telah digantikan dengan pelantar konkrit. |
Pemandangan dari luar sebahagian rumah kediaman di Kampung Patau-Patau 2 |
Generasi asal penduduk di kampung ini berhijrah dari Brunei dan bekerja sebagai pedagang, pelaut dan nelayan. Suasana di perkampungan ini juga sangat ceria kerana rumah-rumahnya dicat dengan berwarna-warni. Kalau dah duduk di kampung air begini, pastilah akan ada ramai penduduk yang memiliki bot sendiri.
Berjalan-jalan di Kampung Patau-Patau 2 |
Bot yang parking di depan rumah |
Pili Bomba |
Kalau berminat nak merasai kehidupan di Kampung Air Patau-Patau, ada homestay yang disediakan di sini. |
Sewaktu Husband melawat, dia mendapati pintu dan tingkap rumah-rumah di sekitar kampung memang dibuka luas-luas. Kata penduduk yang Husband temui, suasana siang di perkampungan ini memang begitu kerana disebabkan kedudukan rumah yang berada di atas laut, hawa di dalam rumah memang panas. Hawa panas ini walau bagaimanapun akan bertukar menjadi sejuk di sebelah malam.
Seperti di kawasan luar bandar lain di Malaysia, penduduk di Kampung Patau-Patau 2 juga menerima kemudahan bekalan air dan elektrik. Malah ada sebuah surau disediakan di sini yang turut digunakan untuk Solat Jumaat.
Surau Darussalam di Kampung Patau-Patau 2 |
Pemandangan surau dari sudut lain |
Pulang ke hotel dengan Grab selepas melawat Kampung Patau-Patau 2 |
Bersambung ke Bahagian 6...
CATATAN PERJALANAN LABUAN (2024):
- Bhg. 01 : Kuala Lumpur Ke Labuan
- Bhg. 02 : Pantai Tanjung Batu & Taman Awam Tanjung Purun
- Bhg. 03 : Menara Jam Labuan & Muzium Marin Labuan
- Bhg. 04 : Muzium Labuan 1
- Bhg. 05 : Muzium Labuan 2 & Kampung Patau-Patau
- Bhg. 06 : Labuan War Cemetery & Masjid An-Nur Labuan
- Bhg. 07 : Taman Damai & Pantai Layang-Layangan
- Bhg. 08 : Laman Victoria & Chimney Walking Trail 1
- Bhg. 09 : Chimney Walking Trail 2 & Muzium Chimney
- Bhg. 10 : Pondok Cahaya Mentari & Mawilla Yacht Club Restaurant
- Bhg. 11 : Labuan - Miri - Kuala Lumpur
No comments:
New comments are not allowed.