Wednesday, 24 April 2024

2024 LABUAN BHG. 08 (Labuan Chimney)

Februari 2024

LABUAN, MALAYSIA

Bahagian 8: Labuan Chimney
LAMAN VICTORIA & CHIMNEY WALKING TRAIL (1)

HARI KETIGA (1)

Part 19 : Makan Mee Kolok Di H&B Coffee Shop

Hasrat kami nak melihat pemandangan sunrise indah di Pantai Tanjung Batu di depan Hotel Tiara Labuan pada Hari Ketiga tidak kesampaian kerana hujan turun di awal pagi. Kami juga berharap hujan yang turun tidak berpanjangan kerana disebabkan event ofis yang perlu Myself hadiri adalah di sebelah petang, Ayu dah merancang nak membawa kami breakfast Mee Kolok di bandar Labuan dan seterusnya melawat ke Labuan Chimney pada pagi ini.

Naik kereta Ayu ke bandar Labuan
Hujan yang turun di Labuan pagi ini
Tiba di bandar Labuan
Kedai Mee Kolok yang dibawa Ayu terletak di Laman Victoria di tengah bandar Labuan. Victoria adalah nama lama Labuan sewaktu di zaman pemerintahan British. Kedainya bernama H&B Coffee Shop.

Laman Victoria
Pemandangan di Laman Victoria
H&B Coffee Shop
Suasana di dalam H&B Coffee Shop
Suasana di bandar Labuan yang sunyi sebab hari masih awal pagi
Sewaktu kami tiba, pelanggan di H&B Coffee Shop masih tidak ramai. Tetapi sekejap saja macam dah penuh semua meja. Begitulah popularnya kedai ini. Disebabkan Myself dan Husband tak biasa dengan makanan di sini, kami meminta Ayu saja yang membuat order.

Minta Ayu yang order makanan untuk kami
Jujur Myself katakan kami tidaklah begitu teruja bila Ayu memberitahu nak membawa kami makan Mee Kolok. Maklumlah, kami pernah mencuba makan Mee Kolok di Sarawak dan rasanya macam tak berapa nak kena dengan tekak kami. Tapi seriously, Mee Kolok di Labuan ini memang sedap. Ada pilihan nak letak ikan rebus atau ikan goreng di dalamnya. Sampai boleh habis semangkuk kami makan Mee Kolok ini dengan jayanya disebabkan kesedapannya.

Breakfast Mee Kolok
Ada pilihan nak letak Ikan Rebus atau Ikan Goreng dalam hidangan. Husband memilih Ikan Rebus
Myself memilih Ikan Goreng. Tapi tak kira Ikan Rebus ataupun Ikan Goreng, kedua-duanya memang sedap.
Jom breakfast makan Mee Kolok...

Part 20: Laman Victoria

Hujan yang turun di awal pagi tadi dah pun berhenti bila kami selesai breakfast. Oleh yang demikian, kami bersiar-siar dulu di Laman Victoria. Inilah tempat yang selalu menjadi tumpuan Myself dan rakan-rakan ofis sewaktu kami berulang-alik menyiapkan projek di Labuan 20 tahun dulu. Tapi of course, suasana di Laman Victoria ini dah jauh berbeza sekarang.

Laman Victoria
Kita nikmati dulu pemandangan dan suasana di sekitar Laman Victoria. 

Myself masih ingat sewaktu kami datang ke Labuan 20 tahun dulu, ada banyak kedai menjual arak di Labuan. Harga arak di sini lebih murah dari di Semenanjung Malaysia disebabkan status Labuan sebagai pulau bebas cukai seperti Langkawi. Waktu itu ada seorang rakan ofis berbangsa Cina yang cukup suka bila berpeluang datang ke Labuan kerana dia boleh membeli arak murah. Tetapi disebabkan syarat di mana setiap seorang yang meninggalkan Labuan cuma boleh membawa sebotol sahaja arak yang bebas cukai, awal-awal kami yang Muslim ini dah bagi warning yang kami tak mahu menolong membawa sebotol arak untuk dia. Kalau nak tolong bawak coklat anytime boleh. Frust betul dia bila kami cakap begitu. Hahaha!!


Part 20: Chimney Walk (1)

Kami meneruskan perjalanan ke destinasi utama kami pada pagi ini ~ Labuan Chimney. Ia terletak di sebuah kawasan yang bernama Tanjung Kubong.

Menuju ke Labuan Chimney
Tiba di Labuan Chimney
Pintu masuk ke Labuan Chimney
Seperti yang kita pelajari di Muzium Labuan semalam, kegiatan ekonomi terpenting di pulau ini sewaktu di bawah pemerintahan British adalah perlombongan arang batu. Labuan Chimney adalah sebahagian dari sejarah perlombongan arang batu itu.

Muzium Chimney
Labuan Chimney
Close-up
Keterangan mengenai Labuan Chimney
Disebabkan Muzium Chimney masih belum dibuka, Ayu mencadangkan supaya kami melawat ke Chimney dan membuat Chimney Walk terlebih dahulu. Kami mengikut sahaja cadangan Ayu.

Jom kita tengok Chimney
Mari kita jalan ke sana...
Sekali-sekala kita pandang juga ke belakang...
Chimney Walk terletak di belakang Chimney yang sebenar. Maka ke arah sanalah kami melangkah...

Dekat binaan Chimney ini juga ada disediakan laluan reflexology yang dibina dari batu-batu bulat untuk sesiapa yang nak mengurut-urut tapak kaki.

Laluan reflexology dekat Chimney
Boleh urut-urut kaki di laluan reflexology ini
Pemandangan laluan reflexology menghala ke Muzium Chimney
Dekat sini juga ada papan penerangan mengenai Chimney yang unik dan bersejarah di Wilayah Persekutuan Labuan. Di kalangan masyarakat tempatan, Chimney lebih dikenali sebagai 'Punil'. Ia dipercayai dibina pada awal 1900-an ketika kemuncak industri perlombongan arang batu di Tanjung Kubong di bawah pemerintahan British North Borneo Chartered Company. Persekitaran Chimney adalah sebahagian daripada kawasan utama industri perlombongan arang batu Labuan ketika pendudukan Inggeris.

Membaca keterangan tentang Chimney
Papan keterangan tentang Chimney
Posing dengan Chimney
Deskripsi fizikal Chimney
Penghargaan dari The Green Organization, UK
Posing lagi dengan Chimney
Banyak andaian telah dibuat mengenai fungsi sebenar Chimney. Salah sebuah andaian tersebut mengenai Chimney sebagai tempat pengaliran udara untuk terowong bawah tanah didapati tidak berasas kerana kerja-kerja penggalian tidak menemui sebarang struktur terowong di bawahnya. Ia juga tidak mungkin berfungsi sebagai sebuah cerobong asap seperti namanya kerana tidak ditemui juga sebarang jelaga pembakaran pada dinding sebelah dalam. Oleh itu, ada juga teori yang mengatakan Chimney adalah sebenarnya sebuah rumah api yang memberi isyarat kepada kapal-kapal yang berlalu, lebih-lebih lagi kerana kedudukannya tinggi berhampiran laut. Sebuah pelabuhan bernama Raffles Anchorage juga pernah wujud di kawasan perairan Tanjung Kubong pada suatu ketika dulu. Chimney turut dikatakan sebagai sebuah menara loceng yang digunakan untuk memaklumkan tentang ketibaan kapal.

Menjenguk ke dalam Chimney
Seperti keterangan yang diberi, tidak ada kesan jelaga pembakaran di dalamnya. Yang ada hanya lumut kesan dari kelembapan.
Kepelbagaian andaian mengenai Chimney menjadikan ia sebuah monumen yang penuh misteri dan sentiasa menggamit kekaguman serta persoalan pengunjung. Mengambilkira kepentingan monumen ini kepada sejarah Labuan, Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia telah melaksanakan kerja-kerja konservasi ke atas Chimney pada tahun 1997 untuk mengembalikan kekukuhan dan rekabentuk asalnya.

Meninggalkan Chimney
Selepas dah puas melawat Chimney, tibalah masa untuk kita beriadah. Kita akan berjalan menyusuri Chimney Walking Trail sepanjang 2 km di belakang Chimney menuju ke pantai Laut China Selatan.

Peta Labuan Chimney Walking Trail
Membaca maklumat Labuan Chimney Walking Trail bersama Ayu
Jom kita mula...
Jika dibanding dengan hiking trail yang pernah kami lalui di Taman Negara Bako dekat Kuching, Sarawak dulu, Labuan Chimney Walking Trail adalah sangat mudah. Laluannya santai dan mudah dilalui oleh seisi keluarga.

Chimney Walking Trail
Syukur Alhamdulillah kerana cuaca di pagi ini sangat baik
Disebabkan laluannya yang santai dan mudah, Chimney Walking Trail memang menjadi tempat riadah penduduk Labuan di hujung minggu seperti ketika itu. Oleh yang demikian, walking trail ini tidak sunyi. Dari semasa ke semasa kita akan bertemu dengan ramai orang yang berjalan santai beriadah di laluan ini.

Mudah saja nak berjalan di sini. Syaratnya kenalah pakai kasut yang sesuai.
Pemandangan di walking trail ini juga sangat indah. Ia memang mengingatkan kami kepada pengalaman sewaktu melawat ke Orakei Korako di New Zealand dulu.

Pemandangan yang mengingatkan kami kepada Orakei Korako di New Zealand yang pernah kami lawati dahulu
Pokok-pokok paku seperti yang banyak dilihat di Orakei Korako dulu
Laluannya mudah dan santai
Pokok-pokok paku yang mati kekeringan ini juga seakan pemandangan pokok paku yang terbakar dengan kepanasan thermal di Orakei Korako
Awan di Labuan memang cantik. Myself rasa kecantikan awan juga boleh dipromosikan sebagai tarikan pelancongan di Labuan.
Lalang yang persis pemandangan di New Zealand
Pemandangan indah yang tidak menjemukan
Lalang yang rebah ke sisi kesan kekuatan tiupan angin
Kita nikmati lagi pemandangan indah di Labuan Chimney Walking Trail.

Memang tak sangka yang Labuan mempunyai pemandangan indah begini. Kita tengok lagi gambar-gambar yang sempat kami capture sambil berjalan di Labuan Chimney Walking Trail.

Bila jumpa spot-spot yang menarik, kita berhenti ambil gambar.

Belum sempat nak merasa penat berjalan, kita dah sampai ke pinggir Laut China Selatan. Mercu tanda di sini adalah sebuah bangunan lama yang dinamakan sebagai Gedung Ubat.

Tiba di Laut China Selatan
Masa di awal walking trail, sewaktu diberitahu yang kami akan berjalan sampai ke Gedung Ubat, Myself sangka kita akan sampai ke hospital lama British pada masa perang. Rupa-rupanya Gedung Ubat adalah gedung simpanan ubat bedil yang dibina oleh Jepun. Ia dinamakan Gedung Ubat sempena Ubat Bedil. Hahaha!!

Tiba di Gedung Ubat
Gedung Ubat
Pemandangan Gedung Ubat dari belakang
Mari kita lihat apa yang ada di dalam Gedung Ubat...
Ruang simpanan Ubat Bedil di zaman Perang Dunia Kedua
Siling Gedung Ubat

No comments: