Jeddah adalah bandaraya terbesar di Arab Saudi dan sering menjadi pintu masuk umat Islam yang ingin menunaikan Haji dan Umrah. Setiap tahun dianggarkan 2 juta umat Islam datang menunaikan ibadah Haji dan sebahagian besar mereka menggunakan Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah sebagai pintu masuk.
|
King Abdul Aziz Airport di Jeddah |
|
Terminal Haji di King Abdul Aziz Airport |
Kedudukan bandar Jeddah di tepi pantai Laut Merah juga menjadikan ia tempat persinggahan popular di kalangan jemaah Haji dan Umrah.
|
Selamat Datang Ke Jeddah |
|
Pelabuhan Jeddah |
|
Pemandangan Laut Merah di Jeddah |
|
Arca ukiran di tepi pantai Laut Merah |
Masjid Terapung di pinggir pantai Laut Merah adalah tempat persinggahan wajib bagi kebanyakan jemaah Umrah dan Haji. Nama sebenar masjid ini ialah Masjid Al Rahmah dan ia dikatakan didirikan oleh seorang wanita bagi membayar nazarnya.
|
Masjid Terapung di Jeddah |
|
Pintu masuk ke Masjid Terapung |
|
Pondok-pondok untuk berehat di tepi Masjid Terapung |
|
Pantai Laut Merah di tepi Masjid Terapung |
Walaupun kedudukannya berdekatan kota Makkah, Jeddah tidak terletak di dalam Tanah Haram. Jadi ada ramai orang bukan Islam yang berada di sini. Janganlah terkejut pulak bila melihat wanita-wanita yang kebanyakannya dari Filipina yang tidak menutup aurat dengan sempurna keluar-masuk ke pusat membeli-belah di Jeddah.
|
Corniche Commercial Centre di Al Balad, Jeddah |
Makkah
Kota Makkah adalah kota paling suci di dalam agama Islam. Menurut cerita yang pernah disampaikan kepada kami, setelah Nabi Ibrahim AS selesai membangunkan Kaabah bersama anakanda baginda Nabi Ismail AS, Malaikat Jibril telah menghentakkan kakinya ke tanah berhampiran Kaabah. Tanah di mana debu-debu pasir ini berterbangan dari hentakan kaki Jibril inilah yang menjadi Tanah Haram. Tanah Haram adalah kawasan larangan bagi orang kafir. Kerana itulah sempadan Tanah Haram dijaga rapi oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
|
Sempadan Kota Makkah |
|
Sempadan Tanah Haram dalam perjalanan menuju ke Jeddah |
|
Sempadan Tanah Haram di Tanaim berhampiran Masjid Siti Aisyah |
|
Sempadan Tanah Haram di Hudaibiyah |
Masjidil Haram di Makkah adalah masjid paling utama dalam agama Islam kerana di sinilah letaknya Kaabah yang merupakan kiblat Orang Islam sewaktu bersolat. Masjid ini telah dibesarkan berkali-kali untuk menampung keperluan umat Islam sewaktu Umrah dan Haji dan projek pembesaran terkini telah dimulakan pada tahun 2006 yang lalu, sebaik kami selesai menunaikan Haji. Menurut jadualnya, projek pembesaran ini sepatutnya siap pada tahun 2020. Disebabkan sekarang dah pun tahun 2021, mungkin kerja-kerja ini telah siap sepenuhnya.
|
Masjidil Haram |
|
Kaabah |
|
Laluan tempat bertawaf di sekeliling Kaabah dinamakan Mataf |
|
Pintu Kaabah (dipanggil Multazam) dan Maqam Ibrahim adalah juga tempat-tempat makbul doa di Kaabah |
Masjidil Haram adalah juga tempat di mana dua rukun Umrah dan Haji dilaksanakan: Tawaf dan Saei. Tawaf dibuat di sekeliling Kaabah manakala Saie pula dibuat di kawasan yang dinamakan Masa'a di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.
|
Tempat Saie di Masjidil Haram yang dinamakan Masa'a |
|
Bukit Safa yang merupakan tempat permulaan Saie |
|
Bukit Marwah yang merupakan tempat berakhir Saie |
|
Pemandangan tempat Saie dari luar Masjidil Haram |
Saie adalah perbuatan di dalam ibadah Haji dan Umrah yang dilaksanakan sebagai mengenang ketabahan seorang wanita bernama Siti Hajar yang berlari-lari di antara 2 buah bukit yang bernama Safa dan Marwah sewaktu mencari air untuk anaknya Nabi Ismail AS. Nabi Ismail yang masih bayi kemudian menghentak-hentakkan kakinya ke tanah, lalu keluarlah mata air yang kini dikenali sebagai Perigi Zam Zam. Perigi ini sebenarnya terletak di bawah Mataf tetapi telah ditutup kepada orang awam sekarang. Walau bagaimanapun air dari perigi ini telah disalurkan kepada paip-paip di sekitar Masjidil Haram untuk kegunaan para Jemaah.
|
Tempat minum Air Zam Zam banyak terdapat di sekitar Masjidil Haram |
Secara umumnya, Tanah Suci Makkah dan Madinah adalah tempat makbul doa. Kerana itulah kita sangat disarankan untuk menjaga kata-kata dan fikiran sewaktu berada di sini. Setiap kata dan amalan kita akan menjadi doa kerana memang ada ramai Malaikat yang akan mengaminkannya. Tetapi makbul atau tidaknya doa kita akan tetap bergantung kepada keikhlasan hati dan amalan seharian kita.
Teringat pulak satu kisah yang Myself alami sewaktu mengerjakan Haji dulu. Seperti yang telah Myself ceritakan di entry yang lepas, Myself dan Husband bertolak ke Makkah untuk menunaikan Haji melalui penerbangan peringkat akhir. Ketika kami tiba, kota Makkah memang sangat sesak dengan pengunjung, memang tak tipu kalau diceritakan kesesakannya sampai hampir tak nampak tanah tempat kita berpijak di sesetengah tempat.
|
Suasana di jalanan kota Makkah seminggu sebelum Wukuf |
Biasalah juga kalau di Musim Haji... menjadi rutin kita kena keluar awal ke masjid untuk mendapatkan tempat bersolat di dalam bangunan masjid. Kalau tidak, bersedia sajalah untuk bersolat di sebelah luar, itu pun kalau kita dapat menjejak ke sana. Memang cubaan sungguh kena duduk atas lantai di dalam masjid sehingga 2 jam sebelum solat bermula. Pada Musim Haji, semua karpet di dalam masjid yang selalu kita nampak semasa Umrah tidak dipasang. Nak bentang sejadah sendiri pun tidak mungkin kerana tidak ada ruang. Duduklah kita diam-diam di atas lantai yang sejuk itu sambil menahan kebas kaki dan punggung sewaktu menunggu solat bermula.
Syukurlah kita masih muda ketika Allah jemput untuk menunaikan Haji. Jadi memang kita punya ketahanan fizikal yang mantap masa itu. Memang kasihan melihat orang-orang tua yang datang berhaji. Terasa sangat kita nak membantu tetapi pada kebanyakan masa, memang kita tak punya keupayaan. Hanya dapat berdoa kepada Allah supaya kami semua diberi keupayaan dan kekuatan untuk mengharungi ujian begitu.
Tempat solat pun tak boleh nak pilih-pilih masa Haji. Di mana ada ruang yang dijumpa, di situ sajalah kita bersolat. Jadi Myself selalu saja mendapat tempat di tingkat bawah Masjidil Haram. Sewaktu menunggu solat bermula, kita selalu melihat pemandangan ruang atas masjid dari tempat kita duduk. Selalu saja terfikir di dalam hati, macam manalah rupa tempat solat kat atas sana? Macam mana kalau kita nak naik ke atas sana, sebab tak pernah pun terjumpa tangga di dalam Masjidil Haram ketika itu?
Setiap fikiran adalah juga satu doa di Masjidil Haram. Pada suatu hari, sewaktu selepas solat fardu, Myself mengikut arus orang ramai-ramai berjalan keluar dari masjid. Tanpa disedari, kita sebenarnya termasuk ke dalam ramp untuk orang kurang upaya naik ke tingkat atas. Sedar-sedar kita dah sampai ke tepi pintu keluar dari tingkat atas. Oh, begini rupanya suasana kat atas sana! Kita tak sesat tau masa itu, masih keluar dari pintu yang betul, cuma dari tingkat atas!
Masa Umrah pertama, teringat juga yang kita selalu berdoa di dalam Masjidil Haram semoga Allah murahkan rezeki supaya kita dapat mengembara ke seluruh dunia. Maklumlah, pada masa itu kita ada seorang Pakcik yang selalu travel bekerja di oversea. Bila time Hari Raya dia selalu buat slide show tunjuk kepada keluarga gambar-gambar tempat menarik di oversea yang dia telah kunjungi. (Maklumlah zaman itu masih belum ada social media lagi!) Disebabkan teringin tetapi kurang berkemampuan pada masa itu, bila berpeluang datang ke Masjidil Haram, kita pun berdoa kepada Allah semoga kita juga diberikan rezeki untuk selalu dapat travel ke oversea begitu. Alhamdulillah, Myself rasa inilah satu doa Myself yang Allah kabulkan. Kita bercerita bukan sebab riya' atau nak menunjuk-nunjuk, sekadar nak berkongsi pengalaman bagaimana doa yang kecil sekali pun, Allah akan makbulkan di Tanah Suci.
|
Ruang solat di tingkat atas Masjidil Haram. Kalau di Musim Haji, semua karpet yang ada itu dicabut keluar oleh Pengurusan Masjid. |
|
Ruang solat di bumbung Masjidil Haram |
Jika orang yang telah berada di Tanah Haram ingin menunaikan Umrah, mereka perlu berihram di miqat yang terletak di luar Tanah Haram. Tiga tempat miqat yang paling popular di kalangan jemaah Umrah dan Haji adalah Masjid Siti Aisyah di Tanaim, Masjid Jaaranah dan Masjid Hudaibiyah.
|
Masjid Siti Aisyah di Tanaim |
|
Masjid Jaaranah |
|
Masjid Miqat di Hudaibiyah |
|
Runtuhan Masjid Hudaibiyah Lama ini adalah tempat di mana Perjanjian Hudaibiyah dimeterai di antara Rasullullah SAW dengan Orang-orang Musyrikin Makkah. |
|
Ladang unta di Hudaibiyah |
Sewaktu di Makkah, Jemaah juga akan dibawa melawat ke kawasan yang dinamakan sebagai Masya'ir Haram yang merupakan tempat di mana rukun-rukun Haji di luar Masjidil Haram dilaksanakan. Dalam perjalanan ke sana juga kita akan ditunjukkan dengan 2 buah bukit yang bersejarah: Gua Tsur yang menjadi tempat persembunyian Nabi Muhammad SAW bersama Abu Bakar As-Siddiq sewaktu berhijrah dari Makkah ke Madinah dan juga Jabal Nur di mana letaknya Gua Hira', tempat di mana Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama.
|
Jabal Tsur yang merupakan tempat persembunyian Nabi Muhammad SAW bersama sahabat karibnya Abu Bakar As-Siddiq sewaktu berhijrah dari Makkah ke Madinah. |
|
Jabal Nur yang menempatkan Gua Hira' di mana Rasullullah SAW menerima wahyu yang pertama. |
Tempat pertama di Masya'ir Haram yang akan ditunjukkan kepada para Jemaah adalah Padang Arafah, tempat di mana ibadah Wukuf dilaksanakan dalam Musim Haji. Padang Arafah memang sibuk di Musim Haji tetapi sepi sekali bila dilawat di luar musim ini.
|
Padang Arafah di mana ibadah Wukuf dilaksanakan dalam Musim Haji. |
Satu persinggahan wajib di Padang Arafah ini adalah sebuah bukit kecil yang bernama Jabal Rahmah. Di bukit inilah dipercayai Nabi Adam AS telah bertemu semula dengan isterinya Siti Hawa selepas kedua mereka diusir ke bumi dari syurga.
Dari puncak Jabal Rahmah juga, kita dapat melihat sebuah masjid besar yang bernama Masjid Namirah. Masjid ini special kerana sebahagian bangunannya terletak di dalam kawasan Arafah manakala sebahagian lagi terkeluar dari kawasan Arafah. Kerana itulah Jemaah Haji Malaysia tidak digalakkan masuk ke dalam masjid ini sewaktu berwukuf kerana bimbang kita tidak mematuhi syarat Wukuf Di Arafah yang menjadi tonggak kepada Rukun Haji kalau kita duduk di bahagian masjid yang terletak di luar kawasan Arafah.
Destinasi seterusnya bagi Jemaah Haji selepas berwukuf di Arafah adalah Mina di mana kita perlu melontar Jamrah. Lontaran perlu dibuat di 3 buah Jamrah (Ula, Wusta dan Aqabah) mengikut waktu dan peraturan yang tertentu. Sewaktu kami membuat Haji dulu, bangunan Jamrah ini cuma 2 tingkat. Sekarang, ia telahpun dibina semula setinggi 5 tingkat.
|
Mina |
|
Binaan di atas bukit di belakang sana adalah tempat berlakunya peristiwa penyembelihan Nabi Ismail oleh ayahnya Nabi Ibrahim. Disebabkan ketaatan kedua beranak ini, Allah telah menggantikan sembelihan Nabi Ismail dengan seekor qibas. |
Berdekatan kawasan Jamrah ini juga, kita dapat melihat Masjid Bai'ah Aqabah. Di sinilah Nabi Muhammad SAW telah bertemu dengan dua kumpulan jemaah dari Madinah yang telah memeluk agama Islam dan seterusnya membawa kepada penghijrahan baginda dari Makkah ke Madinah.
|
Masjid Bai'ah Aqabah |
Di Makkah jugalah letaknya Pusara Ma'ala yang menempatkan jasad ramai para sahabat Nabi yang paling awal memeluk agama Islam yang termasuk di kalangan mereka isteri pertama Nabi Muhammad SAW yang bernama Siti Khadijah. Ada hadis Nabi yang menyebut Perkuburan Ma'ala adalah perkuburan kedua yang ahlinya akan dibangkitkan di Hari Kiamat selepas Perkuburan Baqi' di Madinah.
|
Perkuburan Ma'ala |
|
Pemandangan di dalam Perkuburan Ma'ala |
Taif
Taif adalah sebuah kota yang terletak di tanah tinggi tidak jauh dari kota Makkah. Disebabkan iklimnya yang nyaman ia menjadi tumpuan rakyat Saudi untuk bercuti.
|
Disebabkan Taif adalah tempat tumpuan percutian di kalangan rakyat Saudi, ada banyak pusat hiburan keluarga sebegini di sana. |
Walaupun dikelilingi padang pasir yang gersang, tanah di sekitar Taif sangat subur sehingga menjadikan kota ini sebagai pusat tanaman buah-buahan dan bunga-bungaan. Kesuburan tanah di sekeliling Taif dikatakan berpunca dari keberkatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sewaktu baginda dipelihara oleh ibu susuan baginda yang bernama Halimatus Saadiah di kawasan ini.
|
Pasar buah-buahan di Taif |
Taif juga menjadi tempat kediaman seorang ilmuwan dan perawi hadis yang terkenal bernama Abdullah bin Abbas. Dia adalah sepupu Nabi Muhammad SAW dan lebih dikenali sebagai Ibnu Abbas. Ibnu Abbas memilih untuk tinggal di Taif selepas kewafatan Rasullullah SAW dan dikebumikan di sini selepas kematiannya pada usia 71 tahun.
Ruang solat di bumbung Masjidil Haram.
ReplyDeleteSolat Zohor/Jumaat & Asar jgn buat hal, Kak. Menggelegak kepala di buat nya atas tu, apa tah lagi jika dah botak, kopiah takde time tu.
Hahahaa... Memang berani solat kat situ masa Subuh je. Bila matahari mula naik, cepat-cepat turun ke bawah.
ReplyDelete