Friday, 26 March 2021

2021 - TRAVEL REVIEW 09 - ASIA TENGGARA (PHILIPPINES 2: CEBU & BOHOL)

Mac 2020

Travel Review 09 - Asia Tenggara
PHILIPPINES (Cebu & Bohol Islands) 

Lawatan kedua kami ke Philippines adalah ke dua buah pulau yang terletak di tengah-tengah Philippines: Pulau Cebu dan Pulau Bohol. Pulau-pulau yang terletak di tengah Philippines di antara Pulau Luzon di utara dan Pulau Mindanao di selatan seperti kedua-dua pulau Cebu dan Bohol ini dikategorikan sebagai Kepulauan Visayas.

Peta Pulau Cebu dan Pulau Bohol yang membentuk sebahagian dari Kepulauan Visayas di Philippines

Sewaktu perjalanan kami ke sana, ada 2 buah syarikat penerbangan yang membuat penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Cebu City: Philippines Air Asia dan Cebu Pacific. Kedua-duanya kapalterbang Philippines, jadi buatlah pesanan makanan Halal awal-awal sebelum naik flight ke sana. Tapi jangan gusar sebab kedua-duanya mempunyai pilihan makanan Halal dalam menu makanan mereka. Pengembaraan kami ke Pulau Cebu dan Bohol ini juga turut disertai oleh 2 orang rakan.

Pulau Cebu

Cebu City yang merupakan ibu negeri Pulau Cebu adalah juga bandar yang kedua terbesar di Philippines selepas Manila. Suasana di bandar ini walau bagaimanapun sangat berbeza dengan kesesakan dan hiruk-pikuk Manila.

Cebu City
Cebu City juga adalah kota yang sangat bersejarah di Philippines kerana di sinilah tentera Spanish mula bertapak di negara itu dan dari sinilah juga agama Kristian berkembang sehingga menjadi agama rasmi di Philippines. Secara ringkasnya, melawat ke Cebu City di Philippines samalah seperti melawat ke Melaka Bandaraya Bersejarah di Malaysia.

Sejarah Cebu secara sepintas lalu boleh dilihat pada sebuah monumen di tengah Cebu City yang dinamakan Heritage of Cebu Monument.

Heritage of Cebu Monument
Walaupun ada penganut Islam di Cebu dan Bohol, mereka hampir tidak kelihatan. Oleh yang demikian, makanan Halal memang sangat sukar diperolehi di sini. Disebabkan masalah inilah kami memilih untuk menggunakan pakej Private Tour yang turut termasuk makanan Halal di dalamnya sewaktu melawat ke Cebu dan Bohol.

Inilah makanan popular di seluruh Philippines ~ babi panggang yang dinamakan Lechon.
Tidak seperti di Manila, tidak ada hotel yang mempunyai Halal Kitchen di Cebu City. Walau bagaimanapun, kami bertuah kerana memilih untuk menginap di sebuah hotel bertaraf 4 bintang di Cebu City yang bernama Harolds Hotel. Atas permintaan, hotel ini menyediakan breakfast Halal yang dihidang khas untuk kami setiap hari tanpa caj tambahan. Chef di hotel ini juga yang bernama Chef Remy adalah seorang rakyat Malaysia dari Sabah yang sangat faham tentang makanan Halal.

Harolds Hotel di Cebu City
 Bergambar kenangan dengan Chef Remy di Harolds Hotel sebelum pulang ke Malaysia
Lawatan kami di Cebu dimulakan dengan melawat ke Pulau Mactan yang bersebelahan. Walaupun ia pulau yang berasingan, ia masih dianggap sebagai sebahagian Pulau Cebu kerana ada 2 buah jambatan (mungkin dah ada 3 buah pun sekarang) yang menghubungi kedua-duanya. Malah Cebu Airport turut terletak di atas Pulau Mactan.

Di Pulau Mactan, kami dibawa melawat ke Mactan Shrine. Ia adalah sebuah kawasan bersejarah kerana di sinilah seorang pahlawan Islam tempatan Philippine yang bernama Lapu-Lapu telah membunuh penjajah terkenal Spanish yang bernama Ferdinand Magellan. Sebuah tugu untuk Lapu-Lapu dan sebuah tugu untuk Magellan dibina di Mactan Shrine ini. Dari pengamatan Myself juga, rakyat Philippines sebenarnya mempunyai love-hate relationship dengan Ferdinand Magellan. Magellan dibenci kerana dia adalah seorang penjajah Spanish namun pada masa yang sama dia juga dihormati kerana membawa ajaran Kristian ke Philippines.

Mactan Shrine
Tugu Lapu-Lapu di Mactan Shrine. Patung beliau dibina memegang senjata dan perisai tradisional yang digunakan untuk berperang dan membunuh Magellan.
Tugu Magellan di Mactan Shrine ini didirikan di tempat sebenar di mana beliau tewas di tangan Lapu-Lapu.
Di Mactan juga kami dibawa melawat ke sebuah kilang gitar yang bernama Alegre Guitars. Disebabkan kami bukan ahli muzik, kita cuma melihat proses bagaimana gitar-gitar dihasilkan. Menurut ceritanya, gitar yang dihasilkan oleh Alegre Guitars sangat berkualiti sehingga ramai pemain gitar dari seluruh dunia membuat tempahan gitar di sini.

Bengkel pembuatan Alegre Guitars. Semua gitar di Alegre dibuat menggunakan tangan.
Gitar tradisional Philippines yang dinamakan Cocolele ini masih separuh siap sebab belum dipasangkan dengan tali lagi.
Selepas lawatan ke Mactan Island, barulah kami dibawa membuat City Tour di Cebu City sendiri. 

Philippine Taoist Temple
Yap - Sandiego Ancestral House
Pemandangan di dalam Yap - Sandiego Ancestral House
Basilica Minore del Santo Nino
 Spanish Garden di dalam Basilica Minore del Santo Nino
Bangunan yang menempatkan Cross of Magellan berhampiran Basilica Minore del Santo Nino
Salib kayu ini dikatakan telah dipacak oleh Ferdinand Magellan selepas beliau mendarat di Cebu
Lawatan kami di Pulau Cebu bukan hanya sekadar di Cebu City. Kami turut dibawa melawat ke Oslob yang terletak di selatan Pulau Cebu untuk melihat Whale Shark di sana. Seronok melihat Whale Shark di Oslob kerana aktiviti ini dikawal oleh Kerajaan Philippines bagi memastikan kelestarian ikan besar ini. Ia hanya boleh dibuat bermula dari pukul 8-10 pagi setiap hari. Memandangkan perjalanan dari Cebu City ke Oslob memakan masa 4 jam, terpaksalah kami bertolak sebelum Subuh lagi ke sana.

 Aktiviti melihat Whale Shark di Oslob. Disebabkan lautnya dalam, tak perlu nak berdayung jauh ke tengah laut untuk melihat Whale Shark ini.
Whale Shark
Pengunjung juga boleh berenang dengan Whale Shark selama 30 minit kalau ingin berbuat begitu.
Melihat Whale Shark di Oslob memang sangat menarik dan boleh diikuti oleh sesiapa sahaja. Jangan sesekali lepaskan aktiviti ini kalau anda berkunjung ke Cebu.

Dari Oslob kami dibawa pula merentas Pulau Cebu ke sebelah sana untuk melawat ke sebuah air terjun yang bernama Kawasan Falls. Sungai di air terjun ini berwarna biru jernih dan sangat cantik.

Kawasan Falls
Air sungai di Kawasan Falls yang berwarna biru jernih
 Naik motor modified yang bernama Habal-Habal untuk masuk ke Kawasan Falls.
Disebabkan kami kurang adventurous, kami cuma menikmati keindahan air terjun di Kawasan Falls ini sahaja. Sebenarnya di bahagian sebelah sini Pulau Cebu ada beberapa buah air terjun yang bersambung-sambung. Mereka yang adventurous boleh mengikut aktiviti Canyoneering menyusuri kesemua air terjun ini (biasanya dari Tumalog Falls) sehingga sampai ke Kawasan Falls yang terletak di paling hilir.

Aktiviti Canyoneering yang bermula dari air terjun yang lebih jauh di belakang Kawasan Falls
Berenang di Kawasan Falls

Pulau Bohol

Dari Pulau Cebu, kami mengambil kesempatan  berkunjung ke Pulau Bohol yang terletak bersebelahan secara Day Trip. Perjalanan dari Cebu City ke pelabuhan Tagbilaran di Pulau Bohol mengambil masa 2 jam dengan menaiki sebuah feri laju.

Feri Oceanjet menuju ke Pulau Bohol
Pemandangan di dalam feri
Behold... Bohol
Pulau Bohol lebih tenang berbanding Pulau Cebu kerana tidak ada bandar besar di pulau ini. Tarikan-tarikan pelancongan di Pulau Bohol adalah lebih bersifat alam semulajadi.

Pemandangan Chocolate Hills di Pulau Bohol yang bagaikan lukisan
Pusat Konservasi Tarsier
Tarsier adalah spesies monyet terkecil di dunia yang banyak terdapat di Pulau Bohol. Saiz Tarsier dewasa hanya sebesar tapak tangan orang dewasa dan haiwan ini akan membunuh diri dengan menghantuk-hantuk kepala kepada benda keras kalau merasa stress.
Bilar Man-Made Forest di Pulau Bohol
Highlight kepada lawatan kami di Pulau Bohol adalah Loboc River Cruise. Seperti juga sungai di Kawasan Falls di Pulau Cebu yang berwarna biru jernih, air di Sungai Loboc ini pula berwarna hijau jernih. Malah Sungai Loboc di Pulau Bohol ini telah dinobatkan sebagai sungai yang paling cantik di Philippines.

Loboc River Cruise
Pemandangan bot Loboc River Cruise dari hadapan
Pemandangan bot Loboc River Cruise dari belakang
Sewaktu melawat ke Pulau Bohol, lunch kami juga disediakan di dalam Loboc River Cruise. Disebabkan kami dah awal-awal request makanan Halal dari travel agent, ada petugas Cruise yang menunjukkan kepada kami makanan yang boleh dimakan. Ada juga telur goreng yang dibuat khas untuk kami dan dihidang terus ke meja.

Lunch sewaktu Loboc River Cruise
Dalam perlayarannya, Loboc River Cruise akan membuat perhentian di tepi-tepi kampung di mana kita akan dihiburkan dengan tarian-tarian tradisional yang dipersembahkan oleh penduduk kampung sendiri. Tak ada bayaran dikenakan untuk menyaksikan persembahan ini, cuma sumbangan seikhlas hati sahaja yang dimasukkan ke dalam tabung yang diletakkan di tepi pentas.

Persembahan tarian kebudayaan oleh penduduk-penduduk kampung di tepi Sungai Loboc
Bot cruise yang berhenti di tepi pentas persembahan
Mood percutian kami ke Pulau Bohol walau bagaimanapun sedikit terganggu bila berdepan dengan hujan lebat di akhir trip. Myself akui kami tak memeriksa betul-betul ramalan cuaca di Philippines sewaku menempah percutian ke Cebu dan Bohol. Mood semakin merudum bila terpaksa pulak berkongsi feri dengan sekumpulan pelancong dari Tanah Besar China yang sangat kecoh sewaktu pulang ke Cebu City dari Tagbilaran. "Dahlah hujan lebat kat Bohol, dalam feri pun hujan lebat," komen seorang rakan. Nasiblah, begitu!

Waktu yang bagus untuk berkunjung ke Philippines umumnya adalah di awal tahun. Bulan Julai seperti perjalanan kami ketika itu adalah sebenarnya permulaan musim taufan. Namun syukur Alhamdulillah, kami tak ditakdirkan berdepan dengan taufan sewaktu berada di sana. Dua minggu selepas kami pulang ke Malaysia, kami dikejutkan dengan berita taufan yang melanda Cebu dan Bohol sehingga menyebabkan perkhidmatan feri di antara kedua-dua pulau ini dihentikan. Untuk consideration kalau nak melawat ke Philippines, negara ini selalunya diserang taufan bermula dari bulan Ogos - November.

 Hujan lebat sewaktu Loboc River Cruise

Kisah penuh perjalanan kami ke Pulau Cebu dan Bohol di Philippines boleh dibaca di sini:


TRAVEL REVIEW (1995 - 2020):

No comments: