Friday 30 July 2021

2021 TRAVEL REVIEW 27 - ASIA BARAT (ARAB SAUDI 3 : MADINAH & MADAIN SALEH)

Julai 2021

Travel Review 27 - Asia Barat
ARAB SAUDI (Madinah & Madain Saleh)

Madinah

Madinah Al Munawwarah yang terletak lebih 500 km ke utara kota Makkah adalah bandar yang kedua suci di dalam agama Islam. Di sinilah Nabi Muhammad SAW mengembangkan agama Islam sehingga ke seluruh dunia selepas berhijrah dari Makkah. Di sinilah juga Rasullullah SAW wafat dan dikebumikan. Masjid Nabawi yang terletak di kota Madinah ini adalah masjid yang kedua suci di dalam agama Islam selepas Masjidil Haram.

 Masjid Nabawi
 Pintu masuk ke Masjid Nabawi
 Makam Rasullullah SAW terletak di bawah kubah ini
Payung yang berkembangan di perkarangan Masjid ini juga adalah ciri istimewa Masjid Nabawi
Kalau nak lebih memahami dan menghargai sejarah Masjid Nabawi, kenalah tahu terlebih dahulu keadaan asal masjid ini di zaman Nabi. Pada zaman Nabi, masjid ini dibina dari batu dan tanah liat dengan atap terbuka seperti ini...

 Gambaran rupa sebenar Masjid Nabawi di zaman Rasullullah SAW sebelum mendapat perintah untuk menukar arah kiblat dari Baitulmaqdis ke Baitullah.
 Ubahsuai yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW dengan para sahabat ke atas Masjid Nabawi selepas mendapat perintah pertukaran arah kiblat dari Baitulmaqdis ke Baitullah di Makkah.
Bila tengok gambar ini barulah kita faham sikit kedudukan sebenar Raudhah dan makam Rasullullah SAW yang kita lihat dalam Masjid Nabawi itu, kan? Myself pun mula faham selepas kita study sikit gambar ini yang Myself lihat di Refuge of Faith Museum di Masjid Quba' di Madinah ini. Selepas dah faham barulah terasa yang kunjungan ke Raudhah menjadi lebih bermakna.

 Kawasan Masjid Nabi yang asal ditandakan dengan tiang-tiang yang berwarna hijau di bahagian atas. Di sinilah letaknya dinding tanah liat masjid sewaktu di zaman Nabi dahulu.
 Pemandangan lebih dekat tiang penanda kawasan Masjid Nabi yang asal.
 Inilah salah sebuah pintu masuk ke Masjid Nabawi yang asal dibina di zaman Nabi dahulu.
 Di belakang pagar hijau sanalah letaknya Makam Rasullullah SAW dengan dua orang sahabatnya: Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab
 Kedudukan makam dari kiri ke kanan: Nabi Muhammad SAW, Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al Khattab
Raudhah yang terletak di antara rumah Nabi Muhammad SAW dengan Mimbar Nabi adalah salah sebuah tempat makbul doa di dalam Masjid Nabawi. Kerana itulah tempat ini sentiasa sesak dengan manusia. Berbeza dengan karpet di bahagian lain masjid yang berwarna merah, karpet di kawasan Raudhah berwarna hijau untuk memudahkan ruangan ini dikenali.

Raudhah (Ihsan dari Google)
Kalau Makkah berbangga dengan Perkuburan Ma'ala, Madinah pula berbangga dengan Perkuburan Baqi' yang terletak betul-betul bersebelahan dengan Masjid Nabawi. Ada Hadis Nabi yang menyebut, ahli Perkuburan Baqi' adalah yang terawal dibangkitkan di Hari Kiamat kelak. Kedua-dua Perkuburan Baqi' dan Perkuburan Ma'ala tidak boleh dimasuki oleh perempuan. Tetapi kita tetap boleh melihat suasana di dalam perkuburan ini dari luar di beberapa tempat yang tertentu.

Pintu masuk ke Perkuburan Baqi'
 Perkuburan Baqi'
Madinah juga adalah lokasi bagi Masjid Quba' yang merupakan masjid yang keempat terpenting dalam agama Islam. (Masjid yang ketiga adalah Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis). Keistimewaan masjid ini seperti yang diceritakan di dalam sebuah Hadis Nabi adalah sesiapa yang berwuduk di rumah dan bersolat di masjid ini akan mendapat pahala seperti menunaikan Umrah.

Masjid Quba'
Di zaman permulaan Islam, orang Islam bersolat menghadap ke Baitulmaqdis. Perkara ini sangat tidak disenangi oleh Nabi Muhammad SAW kerana orang Yahudi dan Nasrani sering mencemuh dengan mengatakan walaupun umat Islam tidak menerima agama Yahudi dan Nasrani, namun tetap bersolat menghadap ke kiblat yang sama seperti mereka. Selepas berdoa selama 16 bulan lamanya, Allah SWT mengabulkan permohonan Nabi Muhammad SAW untuk mengubah arah kiblat umat Islam dari Baitulmaqdis ke Makkah. Peristiwa itu berlaku sewaktu Nabi Muhammad SAW dengan para sahabat sedang bersolat Zohor di Masjid Bani Salamah. Sebagai mengenang sejarah ini, Masjid Bani Salamah telah dinamakan semula sebagai Masjid Qiblatain (Masjid Dua Kiblat).

Masjid Qiblatain
Arah kiblat asal umat Islam yang menghadap ke Baitulmaqdis masih dikekalkan di Masjid Qiblatain sebagai satu kesan sejarah.
Jabal Uhud pula adalah lokasi satu-satunya peperangan di mana umat Islam tewas kepada tentera kafir Quraisy di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW. Punca kekalahan adalah kerana keingkaran sekumpulan tentera Islam ketika itu kepada arahan Nabi Muhammad SAW.

Jabal Uhud
Dalam Perang Uhud, Nabi Muhammad SAW telah menempatkan 50 orang pemanah dari pasukan tentera Islam di atas sebuah bukit yang bernama Bukit Rummat. Nabi telah berpesan supaya mereka tetap kekal di sana sehingga mendapat arahan untuk meninggalkannya. Malangnya, sebahagian besar mereka telah ingkar kepada perintah Nabi untuk kekal menunggu di atas bukit sewaktu melihat rakan-rakan mereka mengumpulkan harta rampasan perang di bawah. Kesempatan ini telah diambil oleh tentera kafir Quraisy untuk kembali menyerang dan seterusnya mengalahkan tentera Islam.

Bukit Rummat
Perang Uhud telah menyaksikan seramai 70 orang tentera Islam gugur syahid di Medan Perang. Di antara mereka adalah bapa saudara Nabi sendiri yang bernama Hamzah Bin Abdul Mutalib. Para syuhada ini sebenarnya telah dikebumikan langsung di tempat mereka terbunuh. Namun demikian, satu kejadian banjir besar telah mengeluarkan mayat-mayat ini dari tempat mereka dikebumikan. Kesemua mereka kemudiannya telah dikebumikan semula di satu kawasan yang dipagar di kawasan Bukit Uhud ini.

Makam Syuhada di Jabal Uhud
Perang Khandak (Perang Parit) adalah sebuah lagi perang besar yang berlaku di zaman Rasullullah SAW di mana umat Islam telah menggali parit di sekeliling kota Madinah bagi tujuan pertahanan. Umat Islam ketika itu telah dibahagikan kepada 7 buah kumpulan di bawah 7 orang sahabat termasuk Nabi Muhammad SAW sendiri untuk melaksanakan kerja-kerja penggalian parit tersebut. Parit ini tidak lagi dapat dilihat sekarang tetapi di tapak pos-pos penggalian ini telah dibina masjid-masjid kecil untuk memperingati peristiwa tersebut. Beberapa buah di antara binaan masjid ini masih dapat dilihat sekarang.

 Jalan raya di sekeliling bukit ini adalah bekas tapak parit yang dibina semasa Perang Khandak.
Sebuah masjid besar yang bernama Masjid Khandak (Masjid Tujuh) kini telah dibina di kawasan ini sempena 7 pos penggalian yang diketuai oleh para sahabat sewaktu Perang Khandak.
 Masjid Fatah di belakang Masjid Tujuh ini adalah pos penggalian yang diselia oleh Nabi Muhammad SAW sendiri. Di sinilah baginda berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kemenangan kepada Umat Islam dalam Perang Khandak.
 Pemandangan Masjid Salman Al Farisi dari Masjid Fatah. Salman yang berketurunan Farsi adalah sahabat yang telah mencadangkan penggalian parit pertahanan ini kepada Nabi Muhammad SAW.
Sewaktu di Madinah juga kami ditunjukkan beberapa tapak sejarah yang jarang ditunjukkan kepada Jemaah Umrah lain. Di antaranya termasuklah Masjid Ghamamah, Masjid Ijabah, Masjid Jumaah dan Bukit Tsaniyatul Wada'.

 Masjid Ghamamah adalah masjid di mana Nabi Muhammad SAW telah melaksanakan Solat Ghaib ke atas jenazah Raja Najasyi dari Habsyah yang telah meninggal dunia.
 Masjid Ijabah adalah tempat di mana Nabi Muhammad SAW telah bermohon kepada Allah SWT supaya umat baginda tidak dihancurkan dengan bencana kemarau, tenggelam dan permusuhan di antara mereka. Cuma doa baginda untuk menyelamatkan umat dari bencana kemarau dan tenggelam dalam banjir besar yang diterima.
 Masjid Jumaah adalah tempat di mana Nabi Muhammad SAW mendirikan Solat Jumaat yang pertama selepas berhijrah ke Madinah dari Makkah.
Bukit Tsaniyatul Wada' adalah tempat di mana penduduk Madinah menyambut kedatangan Nabi Muhammad SAW bersama Abu Bakar As-Siddiq selepas mereka berhijrah dari Makkah ke Madinah.
Kami juga dibawa melawat ke Sokaifat Bani Saedah di mana umat Islam berkumpul untuk mencari pengganti setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW. Di sinilah umat Islam bersepakat melantik Abu Bakar As-Siddiq sebagai Khalifah yang pertama dengan mengambil kira fakta di mana Rasullullah SAW pernah meminta beliau mengimamkan solat sewaktu baginda sedang gering.

Sokaifat Bani Saedah
Bumi Madinah mengandungi 3 kali keberkatan berbanding bumi Makkah kerana ia didoakan oleh Nabi Muhammad SAW. Keberkatan bumi Makkah pula didoakan oleh Nabi Ibrahim AS sewaktu baginda meninggalkan isteri dan anaknya di sana. Dari maklumat yang pernah diberi kepada kami, udara dan tanah di Madinah adalah ubat. Oleh yang demikian, memang ramai Jemaah yang akan membeli Buah Kurma dari Madinah sebagai cenderamata untuk dibawa pulang ke tanah air. Salah sebuah spesis kurma ini yang dinamakan sebagai Kurma Ajwa (Kurma Nabi) telah diriwayatkan di dalam sebuah Hadis Nabi mampu menjadi penawar kepada racun.

Pasar Kurma di Madinah
Ladang Kurma

Madain Saleh

Sewaktu perjalanan Umrah kami yang kelima, Myself dan Husband berpeluang membuat satu perjalanan ke Madain Saleh yang terletak kira-kira 4 jam perjalanan dengan bas dari Madinah. Kawasan ini yang juga dikenali sebagai Al Hijr adalah tempat tinggal Kaum Tsamud yang disebutkan di dalam Al Quran.

 Perjalanan menuju ke Madain Saleh dari Madinah adalah merentas padang pasir gersang yang luas.
Kawasan bersejarah Madain Saleh telah mendapat pengiktirafan sebagai UNESCO World Heritage Site pada tahun 2008. Malah, ia adalah satu-satunya Tapak Warisan Dunia yang terdapat di Arab Saudi pada masa kini.
   
 Pengiktirafan Madain Saleh sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO
Selain kesan sejarah Kaum Tsamud, Madain Saleh juga adalah bekas persinggahan laluan keretapi Hijaz Railway yang dibina oleh Kerajaan Ottoman dari Turki pada masa dahulu. Laluan keretapi ini dirancang pembinaannya dari Damsyik di Syria sehingga ke Makkah untuk kemudahan rakyat Turki menunaikan Ibadah Haji. Pembinaannya walau bagaimanapun hanya sempat dilaksanakan sehingga sampai ke Madinah.

 Stesen Hijaz Railway di Madain Saleh
Suasana di dalam bengkel keretapi Hijaz Railway di Madain Saleh
Selain dari di Madain Saleh, ada juga beberapa buah stesen keretapi lama lain yang telah dijadikan muzium oleh Kerajaan Arab Saudi. Di Madinah juga ada stesen keretapi Hijaz Railway yang boleh dilawati. Walau bagaimanapun, dari maklumat yang Myself baca stesen di Madain Saleh ini adalah stesen keretapi yang terbesar.

Selepas melawat stesen keretapi Hijaz Railway ini barulah kami dibawa melawat ke tempat Kaum Tsamud yang terletak di belakangnya. Myself akui memang seram melawat Madain Saleh. Malah ada Hadis Nabi yang melarang kita bersuka-ria di sini disebabkan ada azab Allah yang sangat dahsyat pernah diturunkan di tempat ini. Jadi kalau berkunjung ke sini, jagalah fikiran dan janganlah berlebih-lebihan. Niatkan kedatangan kita hanya sekadar ingin melihat kesan sejarah dan mengambil iktibar dari kisah yang pernah terjadi kepada Kaum Tsamud di sini.

 Istana Kaum Tsamud
Rumah kediaman rakyat jelata Kaum Tsamud yang biasa pada masa dahulu
Tempat ini benar-benar seiras dengan Petra di Jordan yang pernah kami lawati sebelum datang ke sini. Ini adalah kerana Kaum Tsamud yang menetap di sini adalah juga Kaum Tsamud yang sama menetap di Petra. Cuma perbezaan yang ketara di antara keduanya ialah ukiran-ukiran dewa dan haiwan seperti burung helang pada binaan-binaan di sini telah dimusnahkan sehingga hampir tak nampak langsung rupa bentuknya di Madain Saleh. Myself tak tahu siapa sebenarnya yang telah memusnahkan ukiran-ukiran ini. Ada Myself terbaca yang Nabi Muhammad SAW pernah memerintahkan Saidina Umar Al Khattab memusnahkan kesemua patung dan ukiran di sini. Oleh yang demikian, mungkin kesemua ukiran patung ini telahpun dimusnahkan sejak dari zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Lubang seperti gua pada batu ini dinamakan Diwan. Ia pernah dipenuhi dengan patung-patung sembahan Kaum Tsamud pada masa dahulu.
 Tulisan Arab Moden pada hari ini adalah dikatakan evolusi dari tulisan Kaum Tsamud ini.
Nabi yang diutus untuk berdakwah kepada Kaum Tsamud adalah Nabi Saleh AS. Namun dakwah Nabi Saleh tidak diterima dengan baik oleh Kaum Tsamud. Sebagai bukti akan kebenaran ajaran Nabi Saleh, Allah SWT telah mengeluarkan seekor unta betina yang besar dari sebuah batu di situ. Kaum Tsamud dilarang dari menyakiti unta ini dan diberi amaran bahawa bala akan diturunkan sekiranya mereka ingkar. Kaum Tsamud tidak memperdulikan larangan Allah dengan membunuh unta betina tersebut. Akibatnya mereka dimusnahkan dengan bala gempa bumi yang Allah turunkan kepada mereka.

Dekat kawasan sembahan utama Kaum Tsamud yang dinamakan Diwan ada sebuah batu besar yang telah terpecah. Di hadapannya pula ada sebuah batu besar yang berbentuk seperti kepala unta. Tak ada sebarang keterangan tertulis di situ tetapi dikatakan dari batu inilah unta betina Nabi Salleh dikeluarkan oleh Allah SWT untuk menguji Kaum Tsamud.

Dari batu inilah dikatakan unta betina Nabi Salleh dikeluarkan oleh Allah SWT sebagai ujian untuk Kaum Tsamud.
Seronok dan lega bila kami akhirnya kembali ke Madinah selepas melawat Madain Saleh. Perasaan seronok melawat ke sini adalah kerana kita dapat melihat sendiri kebenaran secebis kisah yang tertulis di dalam kitab suci Al Quran. Rasa lega pula adalah kerana Myself memang merasa seram sewaktu berjalan di tempat Kaum Tsamud ini. Memang terasa sehingga kini kehebatan kesan azab yang Allah turunkan kepada Kaum Tsamud sewaktu melawat Madain Saleh. 

Kami pernah melawat ke Laut Mati di Jordan yang juga merupakan tempat di mana azab Allah diturunkan kepada Kaum Nabi Lut. Tapi tak adalah perasaan yang seram seperti melawat ke Madain Saleh sewaktu melawat ke sana walaupun kita tahu ada azab Allah yang besar juga pernah diturunkan di sana. Tapi ini cuma perasaan Myself sajalah, mungkin tak terasa pun pada orang lain yang melawat ke Madain Saleh. Kata Mutawif kami juga, bukan sesuatu yang luar biasa jika ada pengunjung yang demam semacam selepas kembali dari melawat Madain Saleh.

Satu pengalaman lain yang juga tidak dilupakan sewaktu pulang ke Madinah dari Madain Saleh adalah ketika berdepan dengan ribut pasir yang agak kuat. Meremang bulu roma bila melihat pasir berterbangan menghempas cermin tingkap bas dan jalan di hadapan mula dipenuhi dengan pasir. Perasaannya macam berdepan dengan hujan ribut yang kuat membawa banjir di Malaysia!

 Ribut pasir

Kisah penuh perjalanan kami di Arab Saudi boleh dibaca di sini:


TRAVEL REVIEW (1995 - 2020):

3 comments:

  1. Salam. Puan pergi ke Madain soleh dgn travel ejen ke?

    ReplyDelete
  2. Salam. Ya dengan agen Umrah Mursyid Alharamain Travel. Pejabat mereka di Shah Alam. Trip ke Madain Saleh tu dah termasuk dalam program Umrah kami.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tk. Saya bekas student Univ Islam Madinah, graduated 1985.

      Delete