Saturday, 27 February 2021

2021 TRAVEL REVIEW 06 - ASIA TENGGARA (THAILAND 2: CENTRAL THAILAND)

Februari 2021

Travel Review 06 - Asia Tenggara
THAILAND (Central Thailand)

Selain Southern Thailand dan Bangkok, Myself dan Husband juga berpeluang berkunjung ke beberapa buah tempat yang menarik di Central Thailand: Khao Yai, Ayutthaya dan Kanchanaburi. Walaupun bersejarah dan istimewa, tempat-tempat ini agak jarang dikunjungi oleh rakyat Malaysia. Mungkin kerana kurang promosi di samping sukar sedikit nak mendapatkan makanan Halal kerana tidak seperti di Bangkok dan Southern Thailand, tak ramai orang Islam tinggal di kawasan ini.

 Peta travel kami di Central Thailand

Khao Yai

Khao Yai terletak kira-kira 122 km di utara Bangkok. Selain Lopburi, ia adalah wilayah yang terkenal dengan penanaman Bunga Matahari.

Ladang Bunga Matahari di Khao Yai
Bunga Matahari yang paling handsome
Satu tarikan yang sempat kami kunjungi sewaktu di Khao Yai adalah Palio Khao Yai. Ia dibina bagaikan sebuah bandar di Tuscany, Italy. Pemandangan di sini memang menarik namun malangnya Myself ada terbaca yang ia telah ditutup sekarang kerana tak dapat bertahan penangan Covid-19.

 Palio Khao Yai
Juga sewaktu di Khao Yai, kami berkesempatan berkunjung ke Jim Thompson Farm. Ladang ini istimewa kerana di samping merupakan sebuah working farm, ia hanya dibuka untuk lawatan umum sebulan dalam setahun iaitu dalam bulan Disember. Bunga-bunga yang ditanam di Jim Thompson Farm ini membuatkan kita merasa seolah-olah berkunjung ke New Zealand dalam musim panas. Jim Thompson adalah warga Amerika yang bertanggungjawab memperkenalkan Thai Silk ke seluruh dunia. Dia hilang secara misteri sewaktu bercuti di Cameron Highlands, Malaysia pada tahun 1960-an dulu.

Jim Thompson Farm
Kenderaan Ladang
Pemandangan kebun bunga dari Ladang Marigold
 Kampung Isan di Jim Thompson Farm. Sebahagian besar pekerja di Jim Thompson Farm adalah terdiri dari Kaum Isan yang menghuni kawasan Thailand di sebelah sini.
Sawah padi berhampiran Kampung Isan di Jim Thompson Farm
Jim's Market yang menjual pelbagai barangan jenama Jim Thompson
Ladang Bunga Cosmos di Jim Thompson Farm

Ayutthaya

Ayutthaya adalah ibukota bagi Kerajaan Thailand sebelum berpindah ke Bangkok. Kota ini yang pernah menjadi kota terbesar di dunia musnah diserang oleh Kerajaan Burma dari Myanmar yang irihati dengan kemewahannya. 

Phra Mongkorn Bophit di Ayutthaya
Kota lama Ayutthaya kini hanya tinggal runtuhan-runtuhan kuil dan istana lama yang pernah berdiri megah di zaman kegemilangannya. Lost Kingdom ini juga telah mendapat pengiktirafan sebagai UNESCO World Heritage Site.

Runtuhan-runtuhan kuil purba di Ayutthaya

Kanchanaburi

Kanchanaburi yang terletak bersempadan dengan Myanmar adalah sebuah kota yang penuh dengan sejarah pedih kekejaman tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua. Di sinilah kita dapat melihat Landasan Keretapi Maut yang dibina oleh Tentera Jepun dalam usaha mereka ingin menakluk India.

Mengikut sejarahnya, Thailand adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Demi mengelakkan negaranya dari dijajah Jepun, Raja Thailand ketika itu telah memberi kebenaran kepada tentera Jepun untuk membina landasan keretapi dari Bangkok ke Burma (kini dipanggil Myanmar) untuk memudahkan pergerakan tentera mereka menuju ke India. Landasan ini dibina menggunakan tawanan perang yang terdiri dari tentera British, Australia, Belanda dan Amerika serta buruh-buruh paksa yang terdiri dari rakyat tempatan yang ditangkap oleh Jepun di negara jajahan takluk mereka ketika itu seperti Malaysia dan Singapura. Ramai yang terbunuh sewaktu pembinaannya disebabkan penyakit, kekurangan makanan dan disiksa oleh tentera Jepun kerana dianggap malas bekerja. Disebabkan sejarah pahit inilah landasan ini kini dikenali sebagai Landasan Keretapi Maut (Death Railway).

 Bridge on the River Kwai yang merupakan sebahagian dari laluan Keretapi Maut Burma-Thai. Jambatan ini dibina oleh buruh paksa tawanan perang Jepun.
Sejarah kekejaman Jepun ini masih boleh dilihat di JEATH War Museum dan War Cemetery di Kanchanaburi. JEATH War Museum dibina menyerupai kem tahanan perang Jepun pada ketika itu. Perkataan JEATH pada muzium ini adalah singkatan kepada nama negara-negara yang terlibat langsung dengan peristiwa pembinaan Landasan Keretapi Maut ketika itu ~ Japan, England, Australia, Thailand dan Holland. Kanchanaburi War Cemetery pula adalah tempat persemadian tentera-tentera British, Australia dan Holland yang terbunuh sewaktu menjadi buruh paksa dalam pembinaan landasan keretapi ini.

Kanchanaburi War Cemetery
JEATH Museum yang dibina menyerupai kem tawanan perang Tentera Jepun pada masa Perang Dunia Kedua
Senarai bilangan tahanan perang yang maut dalam pembinaan Landasan Keretapi Maut. Jumlah sebenarnya mungkin lebih besar lagi kerana yang direkodkan di sini cuma mayat-mayat yang ditemui.
Sebahagian Landasan Keretapi Maut ini masih digunakan oleh Thailand State Railway pada masa sekarang. Ia juga dibuka kepada pelancong yang ingin menyusuri sejarah ini. Kami berkesempatan menaiki keretapi Death Railway ini dari stesen di River Kwai Bridge sehingga ke Thamkrasae. 

Death Railway tiba di River Kwai Bridge Station
Pemandangan di dalam Death Railway
Pemandangan yang sangat tidak dilupakan sewaktu menaiki Death Railway ini ialah ketika melintasi jambatan kayu Wang Pho Viaduct di tepi River Kwai. Jambatan ini dibina sangat tinggi dan binaannya sangat menakjubkan. Ia sebenarnya layak menjadi World Heritage Site tetapi tidak diberi pengiktirafan begitu disebabkan sejarah pembinaannya yang menggunakan buruh paksa tawanan perang.

Jambatan kayu Wang Pho Viaduct di tepi River Kwai
Pemandangan ketika Death Railway sedang melintasi Wang Pho Viaduct
Jurang dalam di bawah Wang Pho Viaduct. Ngeri weyyy !!!
Untuk merasai secara first hand pengalaman yang dirasai oleh tawanan perang yang membina Landasan Keretapi Maut ini, kami dibawa pula ke Hellfire Pass. Di sini masih dapat dilihat kesan-kesan landasan lama yang belum sempat disiapkan sewaktu Perang Dunia Kedua tamat. Ada juga sebahagian landasan yang dimusnahkan oleh Tentera British selepas Tentera Jepun ditewaskan. Landasan ini sengaja dimusnahkan untuk memastikan ia tidak akan lagi dapat digunakan oleh Tentera Jepun jika mereka kembali berkuasa. Di kawasan ini jugalah kuburan beribu-ribu mayat tawanan buruh paksa ditemui selepas perang tamat. Memang seram berjalan di sini, seolah-olah ada roh-roh mereka yang sedang memerhatikan kita.

Hellfire Pass di Kanchanaburi
Kesan landasan yang telah dimusnahkan di Hellfire Pass
Jurang untuk laluan landasan keretapi ini dibina dengan tangan oleh buruh-buruh paksa Jepun. Bandingkan kedalamannya dengan pokok jati yang masih tegak berdiri.
Memorial Obelisk yang dibina oleh Kerajaan Australia untuk memperingati tawanan-tawanan perang yang dijadikan buruh paksa di sini.
Pemandangan keseluruhan Hellfire Pass


Kisah penuh perjalanan kami di Central Thailand boleh dibaca di sini:


TRAVEL REVIEW (1995 - 2020):

No comments: