Friday, 17 September 2021

2021 TRAVEL REVIEW 34 - AFRIKA (EGYPT 2: ALEXANDRIA)

September 2021

Travel Review 34: Afrika Utara
EGYPT (Alexandria)

Alexandria (nama Arabnya: Iskandariah) adalah kota yang kedua terbesar di Egypt selepas Cairo. Ia terletak di pinggir Laut Mediterranean di utara negara Egypt.

 Peta lokasi Alexandria
Seperti Cairo, Myself juga pernah berpeluang melawat ke Alexandria sebanyak 2 kali.

 Alexandria
Disebabkan kedudukannya yang terletak di tepi Laut Mediterranean dan sangat hampir dengan negara Italy di benua Eropah, pemandangan di Alexandria sangat berbeza dengan pemandangan di Cairo. Malah ramai penduduk asal Alexandria dikatakan mempunyai darah keturunan Italy.

 Suasana seakan Italy di Alexandria
 Tram di Alexandria
Tempat yang popular untuk menikmati pemandangan Laut Mediterranean di Alexandria adalah dari tepi sebatang jalan yang bernama Corniche.

Corniche
 Pemandangan Citadel of Qaitbay dari Corniche
 Bersantai di pinggir Corniche
Alexandria juga terkenal sebagai tempat untuk menikmati hidangan makanan laut di Egypt. Ada banyak restoran yang menghidang makanan seafood di sepanjang Corniche.

 Fish Market
 Restoran seafood di pinggir Laut Mediterranean
 Restoran Al Kalea
 Tempat makan outdoor di Restoran Al Kalea. Panas sangat kalau nak makan di sini di sebelah siang.

Qaitbay Citadel

Pada zaman yang sama sewaktu piramid dibangunkan di seluruh negara Mesir, Alexandria juga mempunyai sebuah mercu tanda yang turut mendapat gelaran sebagai Wonder of the Ancient World seperti piramid. Mercu tanda tersebut adalah The Lighthouse of Alexandria yang juga dikenali sebagai Pharos. Rumah api ini dikatakan mempunyai sebuah cermin yang sangat besar untuk membalikkan cahaya matahari di sebelah siang dan membalikkan cahaya api di waktu malam sebagai panduan kepada kapal-kapal yang berlayar di lautan.

Kegemilangan Rumah Api Alexandria ini walau bagaimanapun lenyap bila ia runtuh setelah dilanda 2 buah gempa bumi yang sangat besar pada kurun ke-3 SM dahulu. Sejarah rumah api ini walau bagaimanapun masih diabadikan sebagai simbol pengangkutan awam di kota Alexandria sehingga ke hari ini.

Simbol Lighthouse of Alexandria yang masih digunakan pada pengangkutan awam di Alexandria
Di tapak Lighthouse of Alexandria ini kini berdiri sebuah kota pertahanan lama yang dinamakan sebagai Qaitbay Citadel. Ia didirikan oleh Sultan Qaitbay pada kurun ke-14M untuk mempertahankan Alexandria dari serangan Tentera Ottoman. Malah sebahagian bangunan kota ini dikatakan dibina dari batu runtuhan The Lighthouse of Alexandria.

Qaitbay Citadel di Alexandria
 Pintu masuk ke Qaitbay Citadel
 Suasana di dalam tembok pertahanan
 Pemandangan dari atas tembok yang menghadap ke Laut Mediterranean
 
Bibliotheca Alexandrina

Alexandria juga adalah sebuah pusat ilmu di zaman purba kerana di sinilah letaknya Library of Alexandria yang menyimpan beribu-ribu naskhah ilmu yang tertulis di atas lembaran kertas Papyrus. Perpustakaan ini walau bagaimanapun musnah dalam sebuah kebakaran. Di tapak perpustakaan purba ini kini berdiri sebuah perpustakaan moden bernama Bibliotheca Alexandrina yang dibina di bawah naungan UNESCO.

Bibliotheca Alexandrina
 Senibina menarik di pintu masuk ke Bibliotheca Alexandrina
Selain dibuka untuk kegunaan awam, pelawat juga boleh melawat ke dalam Bibliotheca Alexandrina menggunakan Guided Tours yang disediakan di dalam beberapa bahasa utama dunia.

Kenangan di lobi Bibliotheca Alexandrina
Tour Guide bagi English Tour di Bibliotheca Alexandrina
Suasana berjalan di dalam Bibliotheca Alexandrina memang bagaikan berjalan di dalam sebuah gedung ilmu. Sangat terasa betapa kecilnya kita jika dibanding dengan ilmu yang kesemuanya datang dari Allah SWT.

 Suasana di dalam Bibliotheca Alexandrina
Pemandangan di dalam Bibliotheca Alexandrina
Gedung Ilmu
Selain dari diberi penerangan tentang sejarah dan koleksi Bibliotheca Alexandrina, kita juga diberi penerangan tentang senibina bangunan Bibliotheca Alexandrina yang moden dengan sentuhan Mesir Purba ini.
 
 Senibina moden pada bumbung Bibliotheca Alexandrina
Elemen tulisan Mesir Purba (Hieroglyph) turut digunakan sebagai perhiasan di Bibliotheca Alexandrina. Hieroglyph adalah di antara sistem tulisan terawal yang dicipta oleh manusia.

Montazah Palace

Egypt adalah sebuah negara beraja sebelum menjadi sebuah negara republik pada tahun 1953. Raja Mesir yang terakhir adalah King Farouk yang dibuang negeri ke Itali dan meninggal dunia di sana pada tahun 1962. Montazah Palace di Alexandria adalah istana musim panas yang dimiliki oleh Keluarga Diraja Mesir pada masa dahulu.

Tembok luar Istana Montazah
Istana Montazah sangat luas dan mempunyai beberapa buah bangunan serta taman di dalamnya. Walaupun bangunan-bangunannya tidak boleh dilawati, taman di istana ini dibuka untuk kunjungan awam.

Pemandangan di dalam perkarangan Istana Montazah
Taman di dalam Istana Montazah
Bangunan utama Istana Montazah adalah Bangunan Selamlik yang satu masa dahulu pernah digunakan sebagai pejabat Sultan. Bangunan ini kini telah ditukar fungsi menjadi sebuah hotel mewah dan kasino.

 Bangunan Selamlik yang kini telah menjadi sebuah hotel mewah
 Bergambar di depan bahagian Bangunan Selamlik yang telah ditukar menjadi kasino
Taman di depan Bangunan Selamlik
Potret Raja Mesir yang terakhir ~ King Farouk
Haramlik pula adalah bangunan kediaman Keluarga Diraja pada masa dahulu. Ia kini digunakan sebagai Istana Tetamu Kerajaan Egypt.

Haramlik yang kini digunakan sebagai Istana Tetamu Kerajaan Egypt
Pantai di dalam Istana Montazah
 Jambatan menuju ke rumah kediaman kakitangan istana
 Pemandangan dari atas jambatan

Pompey's Pillar

Disebabkan kedudukannya yang sangat hampir dengan negara Italy, Alexandria pernah beberapa kali dijajah Tentera Rom. Hubungan Alexandria dengan Rom juga dikatakan telah wujud di zaman pemerintahan Firaun lagi bila seorang Firaun wanita yang bernama Cleopatra menjalin hubungan dengan seorang Jeneral Tentera Rom yang bernama Mark Antony.

Ada banyak peninggalan Roman yang boleh dilihat di Alexandria dan kesan peninggalan yang terbesar dikenali sebagai Pompey's Pillar.

Pintu masuk ke Pompey's Pillar
Tempat ini dinamakan sebagai Pompey's Pillar kerana Tentera Salib yang datang berperang di Mesir pada masa dulu menyangka Jeneral Tentera Rom yang bernama Pompey telah dikebumikan di bawah sebatang tiang yang terdapat di sini. Tiang tersebut sebenarnya adalah tugu peringatan yang dibina oleh penduduk Alexandria sebagai penghormatan kepada Maharaja Rom yang bernama Diocletian kerana telah menyelamatkan mereka dari kebuluran.

 Tiang yang disalah anggap oleh Tentera Salib sebagai pusara Jeneral Roman yang bernama Pompey
Pompey's Pillar adalah bekas tapak binaan sebuah kuil Roman purba. Sebelum kuil Roman dibina, ia adalah bekas tapak binaan sebuah kuil Mesir purba. Kedua-dua bekas kuil ini telah ditemui bila kawasan ini digali oleh pengkaji-pengkaji sejarah purba.

 Bekas tinggalan Kuil Mesir Purba yang dinamakan Nilometer
 Nilometer adalah tempat untuk mengukur aras Sungai Nil pada masa dahulu
Sebuah peninggalan Kuil Mesir Purba yang penting di Pompey's Pillar adalah Nilometer. Di kuil inilah aras air Sungai Nil diukur sebagai penentu aras cukai yang akan dikenakan kepada rakyat Mesir. Disebabkan kuil ini hanya boleh dimasuki oleh paderi-paderi Mesir Purba dan bukan rakyat biasa, mereka dikatakan sering menipu bacaan aras air Sungai Nil untuk memaksa rakyat membayar cukai yang lebih tinggi.

Jambatan yang dibina untuk membolehkan pengunjung melihat kesan runtuhan dengan lebih mudah
Tapak Kuil Isis dan Harpocrates yang merupakan Dewi Ibu dan Dewa Anak yang disembah oleh orang Mesir Purba
 Bekas runtuhan Kuil Roman

Peninggalan Sejarah Islam di Alexandria

Egypt adalah bumi Para Anbiya' dan Para Wali. Jadi hampir walau ke mana kita pergi di Egypt, pasti akan ada kesan sejarah peninggalan mereka di sana. Alexandria juga tidak terkecuali dari hakikat ini.

 Makam Abu Darda' di Alexandria. Dia adalah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW dan seorang Perawi Hadis yang terkenal.
 Masjid Imam Al Busiri
 Masjid Mursi Al Abbas
 Makam Mursi Al Abbas dan anak lelakinya di bawah Masjid Mursi Al Abbas
 Bangunan yang menempatkan 12 orang Wali Allah berhampiran Masjid Mursi Al Abbas. Salah seorang di antara mereka adalah cucunda Nabi Muhammad SAW.
Sebuah tempat di dalam kategori ini yang sangat memberi kesan di hati Myself adalah Masjid Nabi Daniel. Di masjid ini kita dapat melihat makam Nabi Daniel yang merupakan seorang Nabi yang tidak diceritakan di dalam Al Quran. Di samping makam baginda adalah makam Luqman Al Hakim, seorang manusia biasa yang kisahnya diabadikan di dalam Al Quran. Surah Luqman di dalam kitab suci Al Quran adalah dinamakan sempena nama beliau. Hanya Luqman bersama ibu Nabi Isa AS, Maryam sahaja yang merupakan dua orang manusia biasa bukan Nabi yang mendapat penghormatan dari Allah SWT di mana nama mereka diabadikan sebagai nama-nama surah di dalam Al Quran.

 Tangga turun ke Makam Nabi Daniel dan Luqman Al Hakim di dalam Masjid Nabi Daniel
 Pemandangan Makam Nabi Daniel (kiri) dan Makam Luqman Al Hakim (kanan) dari tangga turun ke bawah.



TRAVEL REVIEW (1995 - 2020):