Saturday, 23 December 2017

2017 EASTERN EUROPE BHG. 23 (Mirabell Garden)

November 2017

EASTERN EUROPE
Germany (2nd Visit), Czech Republic, Slovakia, Hungary & Austria
(AUSTRIA: Vienna & Salzburg)

Bahagian 23: Austria (6)
SALZBURG (Mirabell Garden, Mozart Wohnhaus & Makartsteg)

HARI KELAPAN (2)

Part 98: Mirabell Garden

Setibanya di Salzburg, bas menurunkan kami berhampiran sebuah gereja yang bernama Holy Trinity Church. Di sanalah kami bertemu dengan Local Tour Guide kami yang bernama Konstantin.

Holy Trinity Church
Local Tour Guide kami di Salzburg, Konstantin
Hotel Bristol berhampiran Holy Trinity Church
Konstantin memberi penerangan tentang bandar Salzburg
Bandar Salzburg yang baru dan yang lama dipisahkan oleh sebatang sungai yang bernama Salzach (disebut: Salzak)
Konstantin membawa kami memulakan Tour kami di Salzburg dengan melawat Mirabell Garden. Sebelum bergerak ke sana dia menasihatkan kami untuk membawa payung sekiranya ada, kerana ramalan cuaca menjangkakan yang hujan akan turun di Salzburg pada pukul 5 petang.

Mirabell Gardens
Sebaik masuk ke Mirabell Gardens, kami terkesima melihat betapa banyaknya bunga di sini sedangkan sekarang adalah musim luruh di Eropah. Kata Konstantin, bunga memang sentiasa ada di sini kerana apalah maknanya taman tanpa bunga yang berkembang? 

Kagum melihat ada banyak bunga di taman ini dalam musim luruh begini
Untuk memastikan yang taman ini sentiasa berbunga, City of Salzburg menanam bunga-bunga di sini mengikut musim. Umpamanya, bunga yang dilihat sekarang adalah winter flowers yang dapat bertahan hidup dalam cuaca yang sangat sejuk.

Winter flowers di Mirabell Garden
Kami juga diberi penerangan ringkas oleh Konstantin tentang sejarah kota Salzburg. Kota ini bermula sebagai sebuah church-state yang dikuasai oleh gereja. Pemerintahnya dipanggil Prince Archbishop. Satu ketika dulu ada banyak church-state seperti Salzburg di seluruh Eropah. Kini, satu-satunya church-state yang tinggal adalah Vatican City di Itali.

Salah sebuah pintu masuk ke Mirabell Garden
Mirabell Gardens dibina pada tahun 1730. Namun ia menjadi popular ke seluruh dunia selepas dipilih menjadi lokasi perfileman "Sound of Music", sebuah filem Hollywood yang dibuat pada tahun 1965 dan dibintangi oleh Julie Andrews.

Sehingga kini, Sound of Music menjadi tema kebanyakan lawatan ke Salzburg. Mengikut pengalaman Konstantin, lawatan bertemakan Sound of Music ini sangat popular dengan pelancong dari Tanah Besar China. Namun ramai di kalangan mereka yang langsung tak tahu tentang filem ini. Bila ditanya mengapa mereka menyertai lawatan Sound of Music, mereka memberitahu mereka berbuat begitu sekadar mengikut arus kerana semua orang berbuat begitu!

Konstantin akan membuat perhentian di tempat-tempat tertentu di Mirabell Garden untuk memberi penerangan kepada kami
Mirabell Palace yang kini digunakan sebagai pejabat City of Salzburg juga terletak di Mirabell Garden. Ia sebenarnya dibina dalam tahun 1606 oleh Prince Archbishop Wolf Deitrich Raiteneau untuk wanita simpanannya Salome Alt.

Mirabell Palace
Memang memeranjatkan kerana sebagai Archbishop beragama Katholik yang memerintah Salzburg, Raiteneau sepatutnya tak boleh berkahwin apatah lagi mempunyai wanita simpanan. Namun menurut Konstantin, tak siapa berani menegur Archbishop kerana dia adalah anak saudara kepada Pope yang memerintah di Vatican ketika itu. Malah Prince Archbishop Raiteneau turut mempunyai 12 orang anak bersama Salome Alt.

Mirabell Palace yang dibina oleh Prince Archbishop Salzburg, Wolf Deitrich Raiteneau untuk wanita simpanannya Salome Alt.
Taman di dalam pagar Mirabell Palace dipenuhi dengan pokok-pokok bunga ros.
Bercerita tentang Mirabell Garden, kita tak boleh lari dari bercerita tentang filem Sound of Music yang sebahagian penggambarannya dibuat di sini. Sound of Music menceritakan tentang keluarga Von Trapp yang hidup di zaman pemerintahan Nazi. Kata Konstantin, filem versi Hollywood ini dibuat berdasarkan kisah sebenar keluarga Von Trapp dan pernah dijadikan filem dalam Bahasa Jerman jauh lebih awal dari filem yang dihasilkan oleh Hollywood.

Filem versi Jerman ini walau bagaimanapun tidaklah seberjaya filem Sound of Music yang dibuat oleh Hollywood. Oleh yang demikian, ada ramai orang berketurunan Jerman yang juga tak tahu mengenai filem ini, samalah seperti pelancong dari China yang diceritakan oleh Konstantin tadi. Cuma bezanya, disebabkan mereka tak tahu tentang filem Sound of Music, mereka tidaklah tergila-gila nak mengikut Sound of Music Tour sepertimana pelancong China tadi.

Pelancong-pelancong di Mirabell Garden
Dalam filem Sound of Music versi Hollywood, keluarga Von Trapp digambarkan menemui kebebasan selepas melarikan diri ke Switzerland dari Austria. Hakikat sebenarnya, keluarga Von Trapp telah melarikan diri dari Austria ke Amerika Syarikat melalui Itali. Bapa keluarga tersebut, Kapten Von Trapp adalah ketua pasukan tentera laut Austria. Kita semua tahu yang Austria adalah sebuah landlocked country. Jadi bagaimana pula Kapten Von Trapp boleh menjadi ketua tentera laut Austria?

Pegasus Fountain
Sebenarnya keluarga Von Trapp hidup di zaman kejatuhan empayar Austria-Hungary yang dikuasai pemerintah Habsburg pada masa dulu. Sebahagian Empayar Austria-Hungary ketika itu turut meliputi bahagian utara Itali sampai ke Laut Mediterranean. Kerana itulah terdapat pasukan tentera laut Austria pada ketika itu.

Sebahagian penggambaran filem Sound of Music dibuat di sekitar Pegasus Fountain ini.
Ketika bersiar di Mirabell Garden, kami dapat mendengar bunyi loceng jam dari bangunan Salzburg City Hall yang berhampiran. Konstantin seterusnya mengajar kami bagaimana nak memberitahu waktu berdasarkan bunyi dentingan loceng jam. Memang betul, kita boleh memberitahu waktu hanya dengan mendengar bunyi ini. Kata Konstantin, dentingan loceng ini dibuat sedemikian kerana pada zaman dulu, tak ramai orang yang boleh membaca. Jadi inilah cara yang digunakan memberitahu waktu kepada orang ramai.

Kita boleh memberitahu waktu dengan hanya mendengar dentingan dari loceng jam ini.
Pemandangan musim luruh di Mirabell Garden
Kata Konstantin lagi, masih terdapat 500 orang waris sah keturunan Habsburg sehingga sekarang. 200 orang di antara mereka masih menetap di Austria dan selebihnya telah bertaburan ke seluruh Eropah. Tapi tak perlu bersimpati dengan mereka, kata Konstantin kerana mereka semua kaya-raya dan berharta.

Pemandangan indah di Mirabell Garden
Kumpulan "jiran" yang datang dari negara China
Kami juga bertemu dengan sekumpulan pelancong dari Tanah Besar China di sini. Tour Leader mereka menegur kami kerana menyangka kami datang dari Thailand. Bila diberitahu yang kami datang dari Malaysia, terus dia berkata, "We are your neighbours from China!"

Patung-patung dewa di penghujung Mirabell Garden
Salzburg Puppet Theatre
Persembahan terkenal di teater ini dah pasti Sound of Music
Ada patung-patung dewa dengan pelbagai cara hidup di penghujung Mirabell Garden. Kata Konstantin, patung-patung ini dibina begitu untuk menunjukkan cara hidup yang sihat kepada penduduk Salzburg.

Patung-patung ini memberi mesej kepada penduduk Salzburg tentang cara hidup yang dianggap "sihat". Contohnya, makan banyak buah anggur dan banyak bersenam untuk mendapatkan body yang cantik macam dewa.
Konstantin memberi penerangan tentang cara hidup yang dianggap sihat oleh penduduk Salzburg pada masa dahulu.
Pintu keluar dari Mirabell Garden
Human Statue di luar Mirabell Garden

Part 99: Mozart Wohnhaus

Selepas keluar dari Mirabell Garden, kami ditunjukkan pula rumah kediaman keluarga komposer muzik terkenal, Wolfgang Amadeus Mozart yang kini dikenali sebagai Mozart Wohnhaus.

Berjalan keluar dari Mirabell Garden
State Theater
Pemandangan sewaktu berjalan keluar dari Mirabell Garden
Makartplatz
Holy Trinity Church di Makartplatz
Mozart dan keluarganya berpindah ke rumah ini selepas mereka kembali dari membuat persembahan muzik di seluruh Eropah pada tahun 1773. Di sinilah Mozart mencipta beberapa hasil karyanya yang terkemuka sehingga membolehkan beliau dan keluarganya mendapat status sosial yang lebih baik.

Mozart Wohnhaus berhampiran Makartplatz
Namun selepas 8 tahun tinggal di sini, Mozart berpindah ke Vienna selepas berbalah dengan Prince Archbishop of Salzburg yang dikatakan cuba mengongkong cara beliau berkarya. Hanya ayahnya, Leopold dan adik perempuannya yang bernama Nannerl tinggal di sini. Nannerl berpindah ke Saint Gilgen selepas berkahwin dua tahun kemudian, meninggalkan Leopold bersendirian di sini. Rumah ini berpindah milik beberapa kali selepas kematian Leopold pada tahun 1787 dan mengalami kerosakan teruk dalam pengeboman Perang Dunia Kedua.

Rumah kediaman Mozart terletak di tingkat tiga
Wajah Wolfgang Amadeus Mozart dan adiknya Nannerl diabadikan pada tingkap Mozart Wohnhaus
Menyeberang jalan dari Mozart Wohnhaus menuju ke Salzburg Old City

Part 100: Makartsteg

Destinasi lawatan kami yang seterusnya dari Mirabell Garden ialah Salzburg Old City yang terletak di seberang Sungai Salzach. Ada beberapa buah jambatan yang dibina menyeberang Sungai Salzach dan Konstantin membawa kami menyeberang menggunakan Jambatan Makartsteg.

Makartsteg
Makartsteg adalah salah sebuah dari beberapa buah jambatan yang dibina menyeberang Sungai Salzach di Salzburg.
Pemandangan Saint Maria Church dari atas Makartsteg
Jambatan Makartsteg adalah sebuah jambatan pejalan kaki. Seperti juga banyak jambatan lain di Eropah, ada banyak love locks yang dilekatkan pada jambatan ini. Pasangan yang bercinta akan melekatkan kunci yang ditulis nama mereka di sini dan anak kunci akan dibuang ke dasar sungai, kononnya untuk memastikan cinta mereka terkunci mati. Menurut Konstantin, dia pun tak faham kenapa mereka perlu berbuat begitu. Kan bagus kalau kunci itu disimpan saja di rumah sebab dalam keadaan sekarang, kalau cinta dah tak bahagia dan pasangan ini berpisah, bolehlah kunci ini dibuka dan tak perlu nak menyelam ke dasar sungai mencari anak kunci, katanya.

Kunci-kunci cinta di Makartsteg
Pemandangan sebahagian Salzburg Old Town dari Makartsteg
Sungai Salzach
Bermacam-macam kunci dilekatkan di Makartsteg. Yang paling mengejutkan ialah banyak kunci-kunci yang tertulis nama pasangan dalam Bahasa Arab. Tak sangkalah pulak yang orang-orang Arab yang pasti majoritinya beragama Islam pun boleh terpengaruh dengan benda-benda begini.

Banyak betul kunci-kunci cinta di sini
Banyak sebenarnya kunci yang tertulis dengan nama dalam Bahasa Arab begini.
Macam-macam bentuk kunci di sini
Cinta yang berbatas waktu?
Pemandangan State Bridge dari Makartsteg
Tak seperti Makartsteg yang dikhaskan untuk pejalan kaki, State Bridge boleh dilalui kenderaan.
Pemandangan Salzburg Old City di penghujung State Bridge
Bot persiaran di Sungai Salzach
Penghujung Makartsteg
Pemandangan di seberang Sungai Salzach
Menyeberang jalan menuju ke Salzburg Old City


 Bersambung ke Bhg. 24...


CATATAN PERJALANAN EROPAH TIMUR (2017):