Oktober 2024
SOUTH KOREA (2nd VISIT)
Busan, Jeju & Seoul
Bahagian 16: Jeju Tour
NORTH JEJU (Gueom Stone Salt Flats)
HARI KELIMA (1)
Part 45: Suasana Pagi Di Benikea Hotel Jeju
Bila pagi menjelang, barulah kami dapat melihat suasana sebenar sekitar Benikea Hotel Jeju yang terletak di tepi laut. Di awal pagi begini juga, suasana di luar hotel menjadi agak riuh dengan sekumpulan Ajumma dan Ajusshi penginap hotel yang beriadah secara berkumpulan.
|
Pemandangan dari bilik penginapan kami yang menghadap ke laut |
|
Satu lagi pemandangan dari bilik penginapan kami |
Selepas bersiap-siap, kami turun bersarapan. Kompleks Hotel Benikea ini terdiri dari beberapa buah bangunan dan restoran sarapan paginya terletak di bangunan yang bersebelahan dengan blok penginapan kami.
Penghasilan garam menjadi sumber pendapatan bagi penduduk Gueom Village di Jeju selama 390 tahun. Ia diperkenalkan oleh Magistrate of Gangryeo yang ditugaskan ke Pulau Jeju pada tahun 1599. Garam dihasilkan dari pengeringan air laut yang terkumpul pada kolam-kolam batu sepanjang 300 meter dan selebar 50 meter di pinggir pantai Gueom. Industri garam ini terus menjadi mata pencarian utama penduduk Jeju sehingga ke tahun 1950-an.
|
Keterangan mengenai ladang garam tradisional di Gueom Village |
Ladang garam tradisional ini dinamakan Sogeumbille. Bille adalah perkataan dalam dialek tempatan Jeju yang menggambarkan batuan semulajadi di kawasan ini yang digunakan dalam perusahaan garam. Garam batu yang dihasilkan oleh Gueom ketika itu terkenal dengan warnanya yang cerah dan rasanya yang sedap.
|
Tempayan tradisional yang digunakan dalam industri penghasilan garam |
|
Pandangan lebih dekat tempayan tradisional |
|
Pemandangan batuan di sekitar kawasan penghasilan garam |
|
Keterangan mengenai Sogeumbille |
Penghasilan garam di Gueom dijalankan sepanjang tahun kecuali di musim dingin. Ini adalah kerana matahari yang bersinar di musim dingin tidak cukup kuat untuk mengeringkan garam. Di samping itu, arah angin yang bertiup dari darat ke laut dalam musim dingin tidak mengumpul air pada permukaan batuan yang diperlukan untuk menghasilkan garam.
|
Keterangan mengenai proses pembuatan garam secara tradisional |
|
Pemandangan ladang garam tradisional |
|
Mengikut Lucas turun ke kawasan penghasilan garam |
Selepas mendapat penerangan mengenai industri garam tradisional di sini, kami turun ke kawasan sebenar tempat penghasilan garam. Kawasan ini kini telah diisytiharkan sebagai tapak bersejarah oleh Kerajaan Jeju.
|
Grandfather Stones penjaga pintu masuk ke ladang garam. Kita akan berkenalan lebih dekat dengan Grandfather Stones ini dalam lawatan ke Songeup Folk Village nanti.
|
|
Jom turun ke bawah... |
|
Ladang garam yang sebenar |
Ladang garam di Geuom tidak dimonopoli oleh pengusaha tunggal. Ia sebaliknya dibahagikan untuk diusahakan secara kolektif oleh seluruh penduduk kampung. Setiap pemilik rumah diberikan kawasan seluas 20-30 pyeong untuk diusahakan. Ladang yang diusahakan turut dibenarkan untuk diwarisi. Secara tradisi, ia akan diwariskan kepada anak perempuan sulung di dalam keluarga.
|
Bentuk batuan yang rata inilah yang dinamakan sebagai Sogeumbille dalam dialek Jeju tempatan. |
|
Ladang garam ini dibahagikan mengikut keluasan tertentu untuk diusahakan oleh seluruh penduduk kampung |
|
Melihat ladang garam dengan lebih dekat |
Proses pembuatan garam lazimya dimulakan pada bulan April setiap tahun dan memakan masa 2 bulan. Kualiti batu garam yang terhasil sangat bergantung kepada elemen seperti cahaya matahari, angin dan suhu. Batu garam yang dihasilkan berkualiti tinggi dan harganya sebanding dengan 2 kotak barli. Disebabkan batu garam ini masih mengandungi kelembapan, ia akan dikeringkan dalam beg-beg jerami. Hasil garam ini terutamanya digunakan sebagai campuran dalam makanan lembu ternakan bertujuan untuk mendapatkan najis lembu bergaram yang dijual dan digunakan sebagai baja bermutu tinggi.
|
Pyeong adalah ukuran keluasan tradisional yang digunakan dalam pembahagian kawasan ladang garam |
|
Pelancong di ladang garam |
Selain digunakan dalam makanan lembu, garam Jeju juga digunakan dalam penghasilan kepingan soya yang dinamakan Gimjang. Secara tradisi, penghasilan Gimjang dilaksanakan pada musim winter. Oleh yang demikian, garam yang dikumpul sepanjang musim bunga, panas dan luruh akan dijual kepada pengusaha-pengusaha Gimjang pada musim dingin sewaktu penghasilan garam tidak dapat dilaksanakan.
|
Posing-posing di ladang garam. Angin kencang yang bertiup bagai boleh menerbangkan kita di sini. |
|
Pemandangan menghala ke darat dari ladang garam |
|
Gambar kami yang diambil oleh Lucas. Husband dah jumpa cara nak mengelak topi dari ditiup angin kencang ~ pakai topi dan cover dengan hoodie jaket |
Sambil melawat ladang garam, kita perhatikan juga pemandangan batuan volkanik yang terdapat di sini.
Memang ngeri bila membayangkan yang satu masa dulu, batuan hitam ini adalah adalah lava gunung berapi yang panas pijar mengalir masuk ke dalam lautan.
|
Beginilah rupa sebenar lava panas dari gunung berapi yang masih cair sewaktu mengalir masuk ke lautan [Gambar dari internet] |
|
Aliran lava sebegini masih dapat dilihat di Kepulauan Hawaii pada hari ini [Gambar dari internet] |
Disebabkan permukaan batuan gunung berapinya yang unik, ramai volcanologist datang ke Jeju untuk membuat kajian. Jika nak mengkaji tentang lava yang masih lembut dan mengalir, ramai yang akan pergi ke Kepulauan Hawaii. Sebaliknya jika mereka nak mengkaji apa yang akan berlaku setelah lava sejuk dan mengeras, mereka akan berkunjung ke Pulau Jeju.
|
Pemandangan menghala ke Pelabuhan Gueom |
|
Rumah api |
|
Meninggalkan Gueom Salt Flats |
|
Keterangan bergambar tentang Gueom Stone Salt Flats. Sayangnya semua ditulis dalam Bahasa Korea |
|
QR Code yang disediakan jika ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang Gueom Stone Salt Flats |
|
Hotel Aewol Stay yang terletak bertentangan dengan Gueom Stone Salt Flats |
Part 47: Perjalanan Ke East Jeju
Selepas melawat Gueom Stone Salt Flats, kami meneruskan perjalanan ke East Jeju untuk lawatan yang seterusnya. Perjalanan ke sana memakan masa kira-kira sejam kerana Pulau Jeju adalah sebenarnya pulau yang besar dengan kepanjangan dari utara-selatan 31 km dan timur-barat 73 km. Secara kasarnya keluasan Pulau Jeju adalah 2.5 kali ganda keluasan Singapura.
|
Meninggalkan Gueom Stone Salt Flats |
Dalam perjalanan menuju ke East Jeju, kami melalui kawasan-kawasan pertanian yang kebanyakannya kini ditanam dengan sayur-sayuran. Suatu pemandangan yang pasti menarik perhatian sesiapa sahaja ialah tembok-tembok batu yang dibina untuk menandakan sempadan kawasan ladang.
|
Tembok batu yang banyak ditemui di seluruh Pulau Jeju |
|
Tembok ladang ini dibina dari batuan basalt |
Tembok batu sempadan ladang ini dinamakan sebagai batdam. Ia dibina dari batuan basalt yang merupakan batuan lava keras yang berlubang-lubang. Di sebalik kehadiran batuan basalt yang menyukarkan usaha untuk bercucuk tanam, ia memudahkan pembinaan tembok-tembok sempadan ladang.
|
Tembok sempadan ladang yang dinamakan batdam |
Tembok batdam ini juga ada sejarahnya yang tersendiri. Sewaktu seorang pegawai kerajaan Dinasti Goryeo yang bernama Kim Gu datang ke Jeju, dia mendapati tanah-tanah ladang di pulau ini tidak mempunyai sempadan yang nyata. Sering berlaku kejadian di mana tuan-tuan tanah yang kaya dan berkuasa menceroboh masuk ke ladang bersebelahan. Oleh kerana dia bersimpati dengan pemilik-pemilik ladang yang lemah, Kim Gu telah mengarahkan supaya batdam dibina untuk menanda sempadan kawasan. Dia juga turut membentuk sebuah mahkamah yang dinamakan pangwan untuk menyelesaikan isu pertikaian pemilikan tanah.
|
Pertanian moden di Jeju yang banyak menggunakan teknologi greenhouse |
|
Perjalanan ke East Jeju |
|
Arah ke Songeup Folk Village |
Bersambung ke Bahagian 17...
CATATAN PERJALANAN (SOUTH KOREA 2nd VISIT) 2024:
No comments:
New comments are not allowed.