Monday, 6 November 2023

2023 NORTH TAIWAN BHG. 06 (Chiang Kai Shek Memorial - 1)

Oktober 2023

NORTHERN TAIWAN
Taipei, Yehliu, Tamsui & Shifen

Bahagian 6: Taipei
CHIANG KAI SHEK MEMORIAL - 1

HARI KEDUA (2)

Part 19: Chiang Kai Shek Memorial (1)

Jika Turkiye sangat mengagungkan pemimpin mereka Mustafa Kemal Ataturk, Taiwan pula mengagungkan pemimpin mereka Chiang Kai Shek. Oleh itu, destinasi lawatan pertama kami di dalam Taipei City Tour adalah ke Chiang Kai Shek Memorial.

Tiba di Chiang Kai Shek Memorial
Pintu masuk ke Chiang Kai Shek Memorial. Perkataan yang tertulis di pintu gerbang ini adalah Dazhong Gate
Tembok yang mengelilingi Chiang Kai Shek Memorial
Jom kita masuk...
Mengintai ke dalam Chiang Kai Shek Memorial
Taman di sekeliling Chiang Kai Shek Memorial
Pemandangan bangunan Chiang Kai Shek Memorial bagaikan sebuah Mausoleum. Ia benar-benar mengingatkan Myself kepada Ataturk Mausoleum (Anitkabir) yang pernah dilawati di Ankara dulu. Walau bagaimanapun Chiang Kai Shek tidak dikebumikan di sini. Dia sebaliknya disemadikan di kediaman favourite beliau di Taoyuan City.

Sebelum masuk ke dalam, kita lihat-lihat dulu pemandangan dan suasana di sekitar...

Bergambar dulu dengan bendera Taiwan di depan Chiang Kai Shek Memorial
Landskap yang dijaga rapi di Chiang Kai Shek Memorial
Sebuah lagi pintu masuk ke Chiang Kai Shek Memorial dari sebelah sana
Pemandangan ke arah Dazhong Gate. Kami masuk menerusi pintu ini tadi.
Landskap yang cantik di depan Dazhong Gate
Bangunan memorial ini mempunyai bumbung bersegi lapan (oktagon) yang melambangkan angka 8 ~ simbol good luck dan kemakmuran di kalangan bangsa Cina. Tangga naik ke tingkat atas bangunan ini pula dibina dengan 89 anak tangga yang melambangkan usia Chiang Kai Shek sewaktu kematian beliau pada usia 89 tahun.

Bangunan Memorial Chiang Kai Shek
89 anak tangga yang dibina naik ke bangunan ini melambangkan usia kematian Chiang Kai Shek pada umur 89 tahun.
Bumbung bangunan pula dibina bersegi lapan untuk melambangkan good luck dan kemakmuran
Philips membawa kami melawat ke tingkat bawah Chiang Kai Shek Memorial terlebih dahulu...

Pintu masuk ke tingkat bawah Chiang Kai Shek Memorial
Jom lawat ke tingkat bawah dulu...
Selamat Datang
Suasana di tingkat bawah bangunan Chiang Kai Shek Memorial
Pelbagai info disediakan di sini
Lukisan 3D yang menarik pada lantai
Di tingkat bawah ini juga ada disediakan sebuah Pejabat Pos untuk kegunaan awam.

Pejabat Pos
Sebelum meninjau lebih jauh, kita lihat dulu model kompleks keseluruhan Chiang Kai Shek Memorial di sini...

Pengunjung mengerumun model kompleks Chiang Kai Shek Memorial
Mengambil gambar model kompleks Chiang Kai Shek Memorial
Model keseluruhan Kompleks Chiang Kai Shek Memorial. Dua bangunan berbumbung merah di depan ini adalah National Theater dan National Concert Hall
Dataran besar di antara National Concert Hall dan National Theater ini dinamakan Liberty Square
Model pintu gerbang di depan Liberty Square. Kami tak masuk menerusi pintu ini tadi
Tak pasti ini model bangunan yang mana satu: National Theater ataupun National Concert Hall? Tak boleh nak Myself bezakan sebab senibina kedua-duanya serupa.
Sejarah pembinaan Chiang Kai Shek Memorial
Kanak-kanak sekolah yang datang melawat
Bumbung dengan lukisan tradisional Cina di Chiang Kai Shek Memorial
Cantik

TEMPORARY EXHIBITION HALL

Ada dua wing pameran di tingkat bawah Chiang Kai Shek Memorial ini. Satu wing dikhaskan untuk pameran tetap dan satu wing lagi untuk pameran bukan tetap. Ketika kami di sana, ada pameran Human Rights sedang dipamerkan di ruang pameran bukan tetap.

Pameran Human Rights sedang berlangsung di ruang pameran bukan tetap

PERMANENT EXHIBITION HALL

Kami sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada pameran mengenai sejarah hidup Chiang Kai Shek di Permanent Exhibition Hall.

Permanent Exhibition Hall
Pintu masuk ke Permanent Exhibition Hall
Sebaik masuk ke ruang Permanent Exhibition Hall, kita dapat melihat gambar perhimpunan yang dinamakan sebagai March Student Movement 1990. Perhimpunan yang dimulai oleh sekumpulan pelajar dari National Taiwan University ini dianggap sebagai permulaan sistem demokrasi di Taiwan selepas kematian Chiang Kai Shek pada tahun 1975.

March Student Movement 1990
Walaupun beliau seorang pemimpin yang diagungkan, Chiang Kai Shek dan pengganti beliau memerintah Taiwan secara diktator. Pada 16 Mac 1990, sebahagian besar perwakilan dalam National Assembly of Taiwan masih terdiri dari golongan tua yang membawa serpihan pemerintahan dari Tanah Besar China ke Taiwan. Percubaan golongan ini untuk meluaskan kekuasaan telah menimbulkan kemarahan rakyat Taiwan. Sekumpulan penuntut dari National Taiwan University telah melancarkan bantahan dengan berkumpul beramai-ramai di depan Chiang Kai Shek Memorial. Perhimpunan ini yang juga dinamakan sebagai Wild Lily Student Movement seterusnya menjadi titik permulaan kepada demokrasi era baru yang menamatkan pemerintahan diktator di Taiwan.

Sejarah March Student Movement 1990
Selain dari gambar March Student Movement 1990 ini, semua pameran di dalam Permanent Exhibition adalah berkait secara langsung dengan Chiang Kai Shek. Chiang Kai Shek telah dilahirkan pada tahun 1887 di Zhejiang, China dari sebuah keluarga yang tradisional.

Chiang Kai Shek bukanlah pengasas negara Taiwan. Tokoh yang dianggap sebagai pengasas negara Taiwan adalah sebaliknya Dr. Sun Yat Sen yang merupakan pemimpin Parti Kuomintang di Negara China yang telah menggulingkan pemerintahan Maharaja China. Parti Kuomintang yang dipimpin oleh Dr. Sun walau bagaimanapun telah berpecah kepada 2 fahaman selepas kematiannya dengan satu kumpulan berfahaman tradisional yang diketuai oleh Chiang Kai Shek dan satu kumpulan lagi menjadi fahaman komunis yang diketuai oleh Mao Zedong.

Chiang Kai Shek dilantik sebagai pemimpin Parti Kuomintang selepas kematian Dr. Sun. Beliau berjaya memimpin China menentang pendudukan Jepun pada tahun 1940-an. Namun demikian, Chiang gagal membendung pengaruh komunis yang semakin berkembang di bawah Mao Zedong sehingga menyebabkan beliau dan pengikutnya terpaksa melarikan diri ke Taiwan.

Kerajaan Komunis di China mendapat sokongan dari Soviet Union (kini dikenali sebagai Russia). Oleh yang demikian, kerajaan buangan Chiang Kai Shek di Taiwan dengan mudah berjaya mendapat sokongan dari pihak Barat yang sememangnya bermusuh dengan Soviet Union. Penduduk Taiwan yang juga menentang pemerintahan Komunis di China terus menganggap Chiang Kai Shek sebagai pemimpin mereka. 

Chiang Kai Shek (Gambar dari internet)
Pameran barang-barang peninggalan Chiang Kai Shek di Permanent Exhibition Hall
Ruang pameran ini didominasi oleh dua buah kenderaan yang digunakan oleh Chiang Kai Shek. Kedua-dua kenderaan Cadillac ini adalah buatan General Motors dari Amerika Syarikat pada tahun 1955. Ia dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk kaca yang kalis peluru. Pameran kenderaan ini turut mengingatkan kami kepada pameran kereta rasmi yang dipakai oleh Ho Chi Minh sewaktu melawat ke Ho Chi Minh Presidential Area di Hanoi, Vietnam dulu.

Kenderaan rasmi yang digunakan oleh Chiang Kai Shek
Kenderaan ini digunakan sebagai kereta rasmi Chiang Kai Shek dari 1972-1975
Kenderaan yang sebuah lagi ini pula dihadiahkan kepada Chiang Kai Shek oleh diaspora China di Philippines yang menyokong perjuangan beliau. Menurut sejarah, ia hanya digunakan sekali sahaja oleh Chiang Kai Shek
Chiang Kai Shek pernah mempunyai 4 orang isteri. Isterinya yang pertama dikahwini sewaktu beliau masih menetap di negara China dan meninggal dunia dalam satu kejadian pengeboman Sino-Japanese War II. Isteri kedua dan ketiga adalah sebenarnya gundik Chiang Kai Shek mengikut amalan lelaki di negara China ketika itu. Isteri keempat yang bernama Soong Mei-Ling adalah isteri yang paling berkuasa. Malah Soong Mei-Ling dikatakan lebih berkuasa dari Chiang Kai-Shek sendiri dan hanya sejarah beliau sahaja yang tertera di dalam Chiang Kai Shek Memorial ini.

Tidak seperti Chiang Kai Shek yang menganut agama Buddha, Soong Mei-Ling adalah seorang penganut agama Kristian. Malah Chiang Kai Shek turut memeluk agama Kristian setelah disyaratkan oleh Soong Mei-Ling untuk berkahwin dengannya. Disebabkan Soong Mei-Ling dibesarkan di Amerika Syarikat, dia fasih berbahasa Inggeris. Soong Mei-Ling turut berperanan sebagai penterjemah kepada Chiang Kai Shek dalam semua urusan rasmi.

Pakaian yang dipakai oleh Chiang Kai Shek sewaktu berkahwin dengan Soong Mei-Ling
Peninggalan Chiang Kai Shek sewaktu menuntut di Whampoa Military Academy.
Bendera Parti Kuomintang yang diwarisi oleh Chiang Kai Shek dari Dr. Sun Yat Sen
Overcoat yang dipakai oleh Chiang Kai Shek dalam Perang Saudara dengan Communist Party of China pada tahun 1934
Pingat penghargaan yang pernah diterima oleh Chiang Kai Shek semasa hayatnya
Pemandangan dewan pameran dari belakang kereta rasmi Chiang Kai Shek
Tema pameran di Permanent Exhibition Hall ini adalah President Chiang Kai Shek and the Republic of China
Martial Law and Suppression of Speech
Perlembagaan Republic of China yang dicadangkan oleh Chiang Kai Shek
Anugerah yang diterima oleh Chiang Kai Shek dari Kerajaan Peru
Pingat yang diterima oleh Chiang Kai Shek dari Kerajaan France
Pameran Thoughts, Beliefs and Writings sekitar Chiang Kai Shek
Gambar-gambar kenangan Chiang Kai Shek dengan para pemimpin dunia
Ruang paling menarik di Permanent Exhibition Hall ini dah pasti replika pejabat Chiang Kai Shek. Di ruang ini juga ada sebuah patung Chiang Kai Shek yang sedang duduk bekerja di mejanya seperti yang pernah Myself lihat di replika pejabat Ataturk sewaktu melawat ke Anitkabir di Ankara dulu.

Replika Pejabat Rasmi Chiang Kai Shek
Pemandangan pejabat Chiang Kai Shek
Patung Chiang Kai Shek sedang duduk di meja bekerja
Beri perhatian kepada meja kerja Chiang Kai Shek yang juga mempunyai kerusi dan laci meja yang menghadap pada kita. Kerusi dan laci meja ini adalah milik isteri Chiang Kai Shek, Soong Mei-Ling yang juga berkongsi meja kerja dengan suaminya.
 
Chiang Kai Shek berkongsi meja kerja dengan isterinya Soong Mei-Ling
Di tepi replika pejabat ini ada gambar Chiang Kai Shek yang sedang berjalan membuat lawatan rasmi bersama Soong Mei-Ling. Memang jelas kelihatan aura Soong Mei-Ling yang dikatakan lebih berpengaruh dari Chiang Kai Shek sendiri. Teringat pulak kat gambar bekas Wanita Pertama Philippines Imelda Marcos yang juga pernah kami perhatikan begini bersama suaminya Presiden Ferdinand Marcos sewaktu melawat ke Manila dulu.

Gambar Chiang Kai Shek sedang melakukan lawatan rasmi bersama isterinya Soong Mei-Ling yang juga dikenali sebagai Madame Chiang Kai Shek.
Aura Madame Chiang Kai Shek yang lebih dominan dari suaminya sangat ketara dalam gambar ini.
Soong Mei-Ling adalah sebenarnya adik ipar Dr. Sun Yat Sen yang merupakan mentor kepada Chiang Kai Shek. Kakaknya Soong Ching-Ling adalah isteri kepada Dr. Sun Yat Sen. Namun demikian, tidak seperti adiknya yang memihak kepada Chiang Kai-Shek,  Soong Ching-Ling memihak kepada Parti Komunis China selepas kematian Dr. Sun Yat Sen.


 Bersambung ke Bahagian 7...


CATATAN PERJALANAN (NORTHERN TAIWAN 2023):

No comments: