Monday, 26 June 2023

2023 ITALY & SWISS BHG. 22 (Lugano - Rumlang 1)

Mei 2023

NORTHERN ITALY & SWITZERLAND (2nd Visit)
[SWITZERLAND: Lugano, Mount Titlis, Lucerne, Lauterbrunnen, Interlaken, Blausee & Rheinfall]

Bahagian 22 : Switzerland
LUGANO - RÜMLANG (1)

HARI KEENAM (3)

Part 54: Perjalanan ke Rümlang (1)

Switzerland memang sebuah negara yang indah dan ini bukanlah kali pertama Myself dan Husband datang ke negara ini. Lawatan pertama dulu adalah sewaktu kami mengikut trip ke 6 negara di Western Europe pada tahun 2015. Ketika itu, perjalanan kami masuk ke Switzerland adalah dari arah utara melalui Schaffhausen yang bersempadan dengan Germany. Perjalanan dalam lawatan kedua ini pula adalah dari arah selatan menerusi Lugano yang bersempadan dengan Italy.

Lake Lugano
Lake Lugano yang dikongsi bersama oleh Switzerland dan Italy
Keindahan spring di Lake Lugano
Tasik yang besar bagaikan pemandangan laut
Meninggalkan Lake Lugano
Perjalanan dari Lugano ke Rümlang memakan masa 4 jam. Disebabkan perjalanannya panjang, banyak gambar yang kami ambil dalam perjalanan. Maka terpaksalah entry ini juga menjadi panjang. Sambil kita tengok-tengok gambar, mari kita selitkan beberapa fakta menarik tentang negara Switzerland supaya tidak hanyut dan bosan melihat kesemua gambar ini....

Sebahagian bandar Lugano
Masih pemandangan sebahagian Lugano
Meninggalkan Lugano

HELVETICA

Switzerland adalah sebuah negara tanpa laut (landlocked country) yang terdiri dari 26 buah kawasan pentadbiran yang dinamakan canton. Ibu negaranya adalah Bern. Ia berjiran dengan 5 buah negara: Germany (utara), Austria dan Lichtenstein (timur), France (barat) dan Italy (selatan).
 
Penduduk asal Switzerland adalah terdiri dari bangsa Helvetii yang tinggal di Dataran Tinggi Swiss (Swiss Plateau). Kerana itulah kita selalu melihat nama seperti 'Helvetii' ini di mana-mana di Switzerland. Malah nama rasmi Switzerland adalah Confoederatio Helvetica. Kerana itu jugalah Switzerland menggunakan .ch dalam domain internet mereka, sempena nama Confoederatio Helvetica. Perkataan 'Helvetica' ini juga boleh dilihat pada duit syiling Swiss.

Switzerland juga adalah tempat asal tulisan font jenis Helvetica. Kalau anda tak kenal, inilah rupa font tersebut: Helvetica. Font Helvetica popular kerana menjadi pilihan Apple dalam iPhone dan produk-produk mereka yang lain.

Perjalanan kami sehingga kini adalah menuju ke arah San Gottardo
Rumput kering yang dikumpul untuk makanan ternakan di musim dingin
Pemandangan di Canton of Ticino yang masih kelihatan hampir serupa dengan Italy.

PERTUBUHAN ANTARABANGSA

Walaupun Switzerland terletak di tengah-tengah benua Eropah, ia tidak menganggotai European Union (EU) walau dijemput berkali-kali. Macam kawan yang tak nak terima 'Friend Request' dalam Facebook. Ia hanya menganggotai beberapa pakatan bukan berteras politik seperti Schengen dan European Free Trade Association (EFTA). Disebabkan ia tidak menganggotai EU, Switzerland tidak menggunakan matawang Euro. Ia sebaliknya mempunyai matawang mereka sendiri yang dinamakan Swiss Franc.

Switzerland hanya menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations atau UN) pada tahun 2002. Ia juga adalah tuan rumah kepada beberapa pertubuhan antarabangsa seperti World Trade Organization (WTO), World Health Organization (WHO), International Labour Organization (ILO), International Federation of Association Football (Federation Internationale de Football Association atau FIFA), pejabat kedua bagi UN dan pejabat utama bagi Bank for International Settlements. 

Terowong
Banyak terowong dilalui dalam perjalanan menuju ke Rümlang
Puncak gunung yang kehijauan
Paragliding
Perkampungan lama yang memiliki ciri seperti di Italy

RED CROSS ORGANIZATION

Sebagai negara yang neutral, Switzerland sangat aman dan tidak pernah menyertai mana-mana peperangan di luar sempadan negara mereka sejak 200 tahun yang lalu. Perasaan cintakan keamanan inilah yang membawa kepada penubuhan Pertubuhan Palang Merah (Red Cross Organization) yang beribu pejabat di Geneva. Ia ditubuhkan di Switzerland pada tahun 1863. 

Pada tahun 1859, seorang ahli perniagaan bernama Henry Dunant telah menyaksikan peperangan yang dinamakan Battle of Solferino. Kesengsaraan mangsa peperangan ini sangat memberi kesan di hati Dunant. Dia mula menyampaikan pesanan "Siamo tutti fratelli" yang bermaksud "We are all brothers".


Tanpa mengira kawan atau lawan, penduduk bandar Castiglione yang bersebelahan merawat semua mangsa. Dunant turut membantu di barisan hadapan dan seruannya terhadap bantuan dari seluruh dunia mula mendapat perhatian. Pada tahun 1863, Dunant mengemukakan ideanya mengenai "Non-profit society" di Geneva yang membawa kepada penubuhan International Committee of the Red Cross (ICRC).

Bandar Geneva di Switzerland di mana ICRC bermula terus menjadi ibu pejabat ICRC sehingga sekarang. Misi ICRC kini telah berkembang kepada lebih 100 negara. Kakitangan ICRC kini telah berjumlah 20,000 dan bilangan sukarelawannya pula telah meningkat sehingga 10 juta. Pada tahun 1901, Henry Dunant telah terpilih sebagai penerima pertama Nobel Peace Prize bersama seorang penggerak keamanan berbangsa French yang bernama Frédéric Passy. Perjalanan kami di Switzerland kali ini walau bagaimanapun tidak sampai ke Geneva untuk melihat ibu pejabat International Red Cross Organization ini.

Pemandangan bandar Bellinzona
Bellinzona terletak di dalam Canton of Ticino
Kota lama
Pemandangan di dalam bas menuju ke Rümlang

DIRECT DEMOCRACY

Switzerland adalah sebuah negara republik. Namun ia tidak mempunyai Presiden sepertimana di Amerika Syarikat atau negara-negara republik yang lain. 'Presiden' di Switzerland dinamakan Federal Council. Ia terdiri dari sekumpulan 7 orang yang memiliki kuasa yang sama. Peranan Ketua Federal Council dilaksanakan secara giliran di kalangan 7 ahli ini bagi tempoh setahun (lebih kurang macam penggiliran Yang Dipertuan Agong di Malaysia). Hanya selepas kesemua 7 orang ini telah menjalankan tugas sebagai Ketua Federal Council, barulah pemilihan baru dilaksanakan pada tahun ke-8.

Rakyat Switzerland boleh mengubah atau membuat mana-mana perundangan baru secara langsung. Ia dinamakan sebagai referendum. Walau bagaimanapun setiap referendum yang diusulkan perlu mendapat tandatangan sokongan dari sekurang-kurangnya 50,000 rakyat yang layak mengundi.

Sungai Fiume Ticino
Punca Fiume Ticino adalah pergunungan Gotthard Massif di utara Switzerland
Mengalir menuju ke Italy
Di kebanyakan negara di seluruh dunia, rakyat akan keluar mengundi setiap 4 atau 5 tahun. Tetapi rakyat Switzerland akan keluar mengundi 4 kali setiap tahun. Sebarang keputusan akhir mengenai pelaksanaan undang-undang ditentukan sendiri oleh rakyat Swiss.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan direct democracy, ia mempunyai kelebihan dalam penglibatan lebih ramai penduduk untuk membuat sesuatu keputusan. Namun begitu, ia juga melewatkan proses pentadbiran dan menyukarkan kerajaan yang memerintah untuk membuat keputusan kerana dalam banyak hal, rakyat biasa tidak memiliki kapasiti politik yang menguntungkan negara.

Rümlang terletak 12 km ke utara dari Zürich
Pergunungan yang menghijau
Pada tahun 2009 misalnya, kerajaan Swiss terpaksa menguatkuasa undang-undang yang melarang pembinaan menara masjid di negara itu, walaupun kerajaan berkempen supaya rakyat menentangnya. Ini adalah kerana 58% pengundi menyokong undang-undang tersebut walaupun persepsi perundangan ini nyata berat sebelah. Disebabkan persepsi negatif terhadap agama Islam, ada referendum yang menentang pembinaan menara masjid kerana ia dikatakan akan menggalakkan orang untuk memeluk agama Islam. Hakikatnya, walaupun undang-undang ini dilaksanakan, banyak masjid baru masih dibina di Switzerland sehingga sekarang, walaupun tanpa sebarang menara. Islam juga adalah agama yang ketiga terbesar di Switzerland pada hari ini.

Sesuatu yang menarik juga ialah pengundian secara fizikal masih dilaksanakan di canton Appenzell Innerrhoden. Di canton ini, penduduk perlu hadir secara fizikal dengan cara mengangkat tangan untuk mengundi. Switzerland juga adalah antara negara terakhir di dunia yang memberikan hak mengundi kepada wanita. Wanita diberi kebenaran mengundi di Switzerland hanya bermula pada tahun 1971. Malah di canton yang terakhir (Appenzell Innerrhoden), hak mengundi kepada wanita hanya diberikan pada tahun 1991.


PERGUNUNGAN DI SWITZERLAND

70% dari keseluruhan negara Switzerland adalah terdiri dari pergunungan yang tinggi. 60% daripadanya terdiri dari Banjaran Alps dan 10% lagi terdiri dari Pergunungan Jura. Keseluruhan kawasan pergunungan ini dihuni hanya 10% penduduk Switzerland.

Terdapat 48 puncak gunung di Switzerland yang mempunyai ketinggian melebihi 4,000 meter. Ada 2,000 puncak pula melebihi ketinggian 2,000 meter dan 1,000 puncak pula melepasi ketinggian 3,000 meter. Walaupun puncak pergunungannya tinggi-tinggi belaka, banyak yang boleh didaki menggunakan keretapi dan kereta kabel. Stesen keretapi tertinggi di Eropah yang dinamakan Top of Europe di Jungfraujoch misalnya berada pada ketinggian 3,454 meter dari aras laut.

Glacier (sungai ais) yang terpanjang di Eropah juga terletak di Switzerland. Glacier yang dimaksudkan adalah Aletsch Glacier yang terletak di Canton of Valais. Ia terletak di celah pergunungan Eiger, Mönch dan Jungfrau. Seperti Venice yang kita lawati di Italy dulu, Aletsch Glacier juga sedang berdepan dengan ancaman climate change di mana ia kini semakin mencair. Ia dijangka akan hilang dalam tempoh 80 tahun lagi.

Walau winter dah berakhir, sesetengah puncak pergunungan di Switzerland masih dilitupi salji
Kemuncak gunung yang diliputi salji
Gunung yang paling popular di Switzerland adalah Matterhorn yang berbentuk piramid dan digunakan pada pembungkus cokelat Toblerone. Namun ia bukanlah puncak yang tertinggi di negara itu. Puncak yang tertinggi sebaliknya adalah Monte Rossa yang mempunyai ketinggian 4,572 meter dari aras laut. Ketinggian Matterhorn hanya 4,267 meter. Dalam pengembaraan kami ke Switzerland ini, kami cuma berkesempatan melawat ke Gunung Titlis.

Perkampungan di lembah gunung
Pemandangan jalan raya dan laluan keretapi yang merentas gunung
Ladang anggur
Tanaman anggur di kaki gunung
Jambatan keretapi lama
Jalan raya dan laluan keretapi
Zürich masih 160 km lagi...

ANJING ST. BERNARD

Pergunungan tinggi di Switzerland ini juga terkenal dengan pasukan anjing penyelamat dari baka St. Bernard yang banyak berbakti kepada mereka yang memerlukan. Kisahnya bermula pada kurun ke-11 dahulu di Great St. Bernard Pass yang menjadi laluan pergunungan utama di antara Italy dan Switzerland.

St Bernard Pass ketika itu dikenali sebagai laluan yang merbahaya. Pengembara yang melaluinya sering terdedah kepada ancaman cuaca dan penyangak. Seorang lelaki bernama Bernard de Menthon (juga dikenali sebagai Bernard du Mont-Joux), yang merupakan Archdeacon of Aosta membantu pengembara dengan menubuhkan Great St Bernard Hospice, yang diletakkan di bawah tanggungan Bishop of Sion. Di samping menjadi tempat rehat bagi pengembara, ia turut menjadi sebuah pusat ibadat dengan terdirinya sebuah gereja di tapak ini pada tahun 1125.
 
Great St Bernard Hospice mendapat anjingnya yang pertama pada tahun 1660-70. Anjing dari baka yang kini dikenali sebagai St. Bernard ini telah dihadiahkan kepada Hospice tersebut oleh penduduk di sekitar Canton of Vaud dan Valais. Anjing ini pada mulanya dipelihara untuk menjaga keselamatan Hospice. Lama-kelamaan, mereka turut membantu dalam usaha Bernard de Menthon mengembalikan keamanan di kawasan pergunungan Great St Bernard Pass. Anjing St. Bernard ternyata memiliki kelebihan luar biasa dalam menyelamatkan orang yang tersesat dan tertimbus di dalam salji di pergunungan. Kehebatan Anjing St Bernard menjadi bualan di kalangan tentera Napoleon yang seterusnya menjadikan baka ini terkenal. Seekor anjing St Bernard yang bernama Barry pernah menyelamatkan 40 nyawa sewaktu berkhidmat selama 14 tahun sekitar tahun 1800–1814.

Anjing St Bernard (Gambar dari internet)
Anjing St Bernard sering digambarkan memakai dog collar berbentuk wine barrel. Menurut cerita yang popular, wain cognac disimpan di dalam wine barrel ini untuk kegunaan mangsa yang diselamatkan bagi memanaskan badan selepas ditimbun salji. Namun ia adalah cerita rekaan semata-mata. Imej anjing St Bernard memakai dog collar berbentuk wine barrel ini sebenarnya timbul menerusi lukisan seorang artis muda yang bernama Sir Edwin Landseer pada tahun 1820.


KEJU DAN COKELAT

Bila disebut tentang negara Switzerland, ia tidak dapat dipisahkan dengan cokelat. Orang Swiss bukan hanya pandai membuat cokelat, mereka juga gemar memakan cokelat. Adalah dianggarkan setiap penduduk Swiss memakan 9 kg cokelat setiap tahun.

Orang Swiss juga gemar memakan keju. Ada lebih 450 jenis keju yang dihasilkan di Switzerland. Walau dah banyak keju dihasilkan secara komersil di kilang, keju-keju tradisional buatan tangan di desa masih mendapat tempat yang istimewa di hati orang Swiss. Makanan popular yang dinamakan Fondue dicipta di Switzerland pada tahun 1699. Ia adalah roti yang dicicah dengan keju susu kambing yang dimasak bersama wain dan tepung.

Walaupun gemar memakan cokelat dan keju, orang Swiss adalah antara yang paling kurang obese di dunia. Cuma 19.5% sahaja penduduk Swiss yang dikategorikan obese, berbanding 36.2% di Amerika Syarikat dan 27.8% di Britain. Kadar obesity di Malaysia pada tahun 2019 pula adalah 19.7% ~ tinggi sedikit saja berbanding Switzerland.

Hutan Alpine di Switzerland
Perkampungan cantik di kaki gunung
Lebuhraya
Keretapi
Perkampungan di tepi sebuah Airfield
Disebabkan Orang Swiss gemar memakan keju, penternakan lembu menjadi industri pertanian yang penting di Switzerland. Dengan bilangan penduduk 8.57 juta dan 700,000 ekor lembu, ia bermakna setiap 12 orang penduduk Swiss memiliki seekor lembu. Malah ada yang mengatakan ada lebih banyak lembu di kampung-kampung di Switzerland berbanding manusia yang menghuninya. Seperti lembu yang kami lihat di New Zealand, lembu-lembu di Switzerland juga cantik dan dijaga dengan baik.

Lembu-lembu di Switzerland sering dipakaikan dengan loceng pada leher mereka. Tradisi ini bermula bila penternak lembu mencari jalan untuk mengesan lembu masing-masing yang merumput di celah-celah gunung. Lazimnya lembu-lembu ini memakan rumput secara berkumpulan. Bila dah semua loceng berbunyi, mudahlah penternak mengesan kedudukan lembu mereka untuk dibawa pulang bila petang menjelang.

Loceng lembu juga adalah antara lambang tradisi di Switzerland. Kita boleh melihat loceng-loceng lembu ini digantung pada rumah-rumah kampung dan juga dijadikan perhiasan di tempat lain. Souvenir berbentuk loceng lembu banyak dijual di serata negara ini.

Puncak gunung
Salji mencair di puncak gunung
Lembu
Merumput di tengah padang
Lembu-lembu Swiss sering dipakaikan dengan loceng di leher untuk mengesan pergerakan mereka
Lembu dan keretapi

PERBEZAAN MUSIM DI SWITZERLAND

Pengembaraan kami di Switzerland pada kali ini adalah lawatan kedua bagi Myself dan Husband. Secara umumnya lawatan ini mengulangi banyak tempat yang pernah kami kunjungi dalam lawatan pertama dulu. Cuma bezanya, lawatan kali ini adalah dalam musim bunga (spring) manakala lawatan yang terdahulu adalah dalam musim dingin (winter).

Tidak mudah untuk kami memberi jawapan jika ditanya: yang mana lebih istimewa di antara kedua-dua musim spring dan winter di Switzerland? Kedua-dua musim mempunyai keistimewaan dan keindahan yang tersendiri. Namun sesuatu yang boleh kami katakan ialah walau melawat ke tempat yang sama, pemandangannya bagai melawat ke tempat yang lain bila dikunjung pada musim yang berlainan.

Satu kelebihan yang dapat kami rasakan sewaktu melawat ke Switzerland dalam musim spring ini ialah waktu siangnya yang lebih panjang membolehkan kita lebih puas meneroka keindahan negara ini. Dalam musim spring seperti ketika kami di sana, mentari terbit pada pukul 6 pagi dan terbenam pada pukul 9 malam. Sewaktu kunjungan kami di musim winter dulu pula, mentari terbit pada pukul 8 pagi dan terbenam pada pukul 4 petang. Waktu siang yang sangat pendek pada ketika itu sangat mengehadkan pemandangan dan pergerakan.

Myself tidak nafikan Switzerland memang sebuah negara yang cantik dan patut dimasukkan ke dalam travel bucket list sesiapa sahaja. Cuma setbacknya ialah: Switzerland adalah sebuah negara yang sangat mahal untuk dilawati. Sekiranya anda hanya mempunyai satu kesempatan sahaja untuk berkunjung ke Switzerland seumur hidup, Myself cadangkan datanglah di musim selain winter. Jangan fikir kita tak boleh main salji kalau tak datang sewaktu winter. Walau tak datang di musim winter, pengalaman bermain salji masih boleh dialami kerana puncak gunung yang tinggi di negara ini seperti Mount Titlis sentiasa diliputi salji sepanjang tahun.

Waktu siang yang panjang juga akan menjadikan pengalaman kita melawat ke Switzerland lebih bermakna. Kalau dah pernah melawat ke Switzerland dalam musim winter pula, cubalah datang sekali lagi di musim yang berlainan. Pasti anda akan merasakan pengalaman yang berbeza, seolah-olah kita sedang berkunjung ke tempat yang lain.


BENDERA SWITZERLAND

Orang Swiss sangat patriotik. Walau ke mana kita pergi, kita akan selalu bertemu dengan bendera Switzerland. Pasti anda akan perasan yang tidak seperti kebanyakan bendera negara lain termasuk Malaysia yang berbentuk segiempat tepat, bendera Switzerland berbentuk segiempat sama. Ada dua sahaja negara di dunia ini yang mempunyai bendera berbentuk segiempat sama begini: Vatican dan Switzerland. Satu-satunya negara yang bendera mereka tidak berbentuk segiempat pula ialah Nepal. Bendera Nepal berbentuk 2 segitiga.

Bendera Vatican dan bendera Switzerland yang berbentuk segiempat sama
Bendera Nepal (Gambar dari internet)
Bendera Switzerland mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Pada kurun ke-14 dulu, tentera Swiss menggunakan lambang salib berwarna putih dengan berlatarbelakangkan warna merah untuk mengenali satu sama lain. Simbol ini secara rasmi menjadi bendera Switzerland pada tahun 1848.

Bendera Switzerland
Saluran paip mendaki gunung

GOTTHARD TUNNEL

Satu pengalaman menarik yang kami alami dalam perjalanan dari Lugano ke Rümlang adalah ketika bas melalui terowong jalan terpanjang di Switzerland yang dinamakan Gotthard Tunnel. Terowong ini dibina bermula dari Göschenen yang terletak di Canton of Uri di utara sehingga ke Airolo di Canton of Ticino yang terletak bersempadan dengan Italy di selatan. Dengan kepanjangan hampir 17 km, ia adalah terowong yang terpanjang di dunia sewaktu pembinaannya pada tahun 1980. Namun demikian, sejajar dengan teknologi dan pertambahan terowong-terowong baru di serata dunia, ia kini menjadi terowong yang kelima terpanjang di dunia.

Walaupun menjadi sebahagian dari A2 Motorway di Switzerland yang menghubungkan Basel di utara dengan Chiasso di selatan, terowong ini hanya satu lorong sehala. Oleh yang demikian, terdapat traffic jam yang sesak sewaktu nak menggunakannya.

Pemandangan sewaktu mengharungi traffic jam untuk masuk ke Gotthard Tunnel
Rumah tradisional Swiss
Perkampungan di lereng gunung
Berhenti sebentar di tepi jalan
Tertidur keletihan...
Dengan kepanjangan 17 km yang dimiliki juga, Kerajaan Switzerland terpaksa mengehadkan bilangan kenderaan yang boleh melalui terowong ini pada satu-satu masa untuk memudahkan kerja-kerja menyelamat jika berlaku kecemasan. Sepanjang sejarahnya, satu kemalangan di antara 2 buah trak pernah terjadi pada 24 Oktober 2001. Kedua-dua trak terbakar di dalam terowong sehingga membunuh 11 nyawa dan mencederakan banyak yang lain disebabkan lemas dari asap dan gas berpunca dari kemalangan ini. Terowong ini juga terpaksa ditutup selama 2 bulan untuk pembaikan dan pembersihan sebelum dibuka semula pada 21 Disember 2001. Semenjak dari itu, Kerajaan Switzerland mengambil langkah untuk mengehadkan hanya 150 kenderaan sahaja dibenarkan untuk berada di dalam terowong pada setiap jam.

Memandangkan kedatangan kami ke Switzerland adalah pada permulaan Peak Season, memang lama juga kami terpaksa menunggu giliran untuk menggunakan Gotthard Tunnel. Sampai tertidur-tidur kita di dalam bas sambil menunggu giliran. Bila kita membuka mata, bas dah pun berada di dalam terowong. Jadi untuk mengabadikan kenangan ketika melalui Gotthard Tunnel ini terpaksalah kita menggunakan gambar-gambar dari internet.

Pintu masuk ke Gotthard Tunnel dari arah selatan (Gambar dari internet)
Gotthard Tunnel yang mempunyai kepanjangan 16.942 km (Gambar dari internet)
Pemandangan di dalam Gotthard Tunnel (Gambar dari internet)
Disebabkan terowong ini sangat panjang, ada beberapa emergency escape disediakan jika berlaku kecemasan. (Gambar dari internet)
Pemandangan indah pergunungan yang tinggi terus menggamit kami selepas keluar dari Gotthard Tunnel. Tetapi tidak seperti di Italy dulu, hampir tidak ada kawasan penanaman yang dilihat. Ini mungkin disebabkan rupa bumi Switzerland yang sangat bergunung-ganang tidak sesuai untuk penanaman. Kegiatan pertanian yang banyak dilihat sebaliknya adalah penternakan haiwan.

Lembah indah di pergunungan Gotthard
Perkampungan selepas Gotthard Tunnel kini lebih mirip kepada suasana di Germany
Puncak gunung
Kita kini sedang berada di Canton of Uri
Keindahan perkampungan di Switzerland
Rumah-rumah tradisional
Lembah dan lurah
Indah

TEROWONG

Gotthard Tunnel bukanlah satu-satunya terowong yang kami lalui dalam perjalanan menuju ke Rümlang. Disebabkan muka buminya yang bergunung-ganang, Switzerland adalah sebuah negara yang penuh dengan terowong. Terowong yang pertama dibina oleh seorang jurutera dari Ticino yang bernama Pietro Morettini pada tahun 1707. Semenjak itu 1,300 terowong lagi telah dibina melibatkan 2,000 km jalanraya dan rel keretapi.

Orang Swiss memang pembina terowong yang hebat. Pada tahun 2016, terowong keretapi terpanjang di dunia telah dibuka di kaki Gotthard Massif di Switzerland. Pembinaan terowong yang dinamakan sebagai Gotthard Base Tunnel ini melibatkan 2,400 pekerja, 17 tahun pembinaan dan kos pembinaan USD 12.5 billion (RM 57.22 billion). Sebanyak 28 juta meter padu batuan diletupkan untuk pembinaan Gotthard Base Tunnel. Batuan ini digunakan kembali untuk membuat konkrit binaan terowong ini sendiri. 

Dengan kepanjangan 57.09 km dan kepanjangan keseluruhan 151.84 km meliputi terowong, shaft dan passages, Gotthard Base Tunnel masih menjadi terowong keretapi yang terpanjang di dunia sehingga sekarang. Ia menjadi laluan 260 tren barangan dan 65 tren penumpang setiap hari.

Walau memiliki pergunungan yang tinggi, banyak puncak gunung di Switzerland boleh didaki dengan mudah menggunakan tren dan kereta kabel. Lima perkhidmatan keretapi gunung yang paling terkenal di Switzerland adalah Glacier Express  (Zermatt - St Moritz), Bernina Express (Chur / St. Moritz - Tirano), Golden Pass Line (Montreux - Lucerne), Gotthard Panorama Express (Lucerne - Lugano) dan Voralpen Express (St. Gallen - Lucerne).

Satu cara lain yang popular untuk sampai ke kemuncak gunung di Switzerland ialah dengan menggunakan cable car. Negara ini mempuyai 129 gondola dan 251 cable car di serata tempat. Grindelwald-Männlichen Gondola Cableway sepanjang 6 km adalah cable car terpanjang di Switzerland dan antara yang terpanjang di dunia. Ia membawa penumpang dari bandar Grindelwald ke puncak Gunung Männlichen. Namun kami tidak berkesempatan untuk menggunakannya. Dalam perjalanan yang cuma 4 hari di Switzerland ini, kami hanya berpeluang menaiki rotating cable car yang pertama di dunia di Mount Titlis.

Silenen, Uri
Gotthard Raststätte (Gotthard Rest Area)
Hujan
Jentera di ladang
Burger King

TASIK DI SWITZERLAND

Tasik yang sedang muncul dalam pandangan kami sekarang adalah Lake Lucerne. Ia terkenal dengan bentuk tasiknya yang bergerigi dan terdapat 2 buah gunung yang popular dengan pelawat di pinggirnya: Mount Rigi dan Mount Pilatus.

Tasik ini memang kelihatan cantik kebiruan dalam musim spring begini. Warna biru ini adalah disebabkan partikel glacier di dasarnya yang sangat menyerlah di air jernih. Tasik Lucerne bersama Tasik Geneva dan Tasik Walensee adalah tasik yang tidak membeku di musim dingin.

Lake Lucerne
Dalam bahasa Jerman, Lake Lucerne dikenali sebagai Vierwaldstättersee (Lake of the Four Forested Cantons)
Tasik Lucerne dikongsi bersama oleh 4 canton di Switzerland: Uri, Schwyz, Unterwalden dan Lucerne.
Tasik Lucerne
Pemandangan di Sisikon, Canton of Uri
Bandar Altdorf di Canton of Uri
Lake Lucerne
Walau tidak bersempadan dengan laut, Switzerland dikurniakan dengan lebih 7,000 buah tasik yang berbagai saiz. Dari jumlah ini 1,500 buah adalah tasik bersaiz besar yang pemandangannya setanding dengan pemandangan laut di tempat-tempat lain.

Kesemua tasik di Switzerland mempunyai air yang jernih dan bersih sehingga membolehkan kita meminum terus air dari tasik-tasik ini. Di Switzerland, tasik akan dianggap tercemar hanya jika kita tidak dapat memandang dasarnya. 

Dua tasik terbesar di Switzerland adalah Lake Geneva dan Lake Constance. Namun kedua-duanya tidak dimiliki secara mutlak oleh Switzerland. Lake Geneva dikongsi bersama antara Switzerland dan France manakala Lake Constance pula dikongsi bersama oleh Switzerland dengan Germany dan Austria. Tasik terbesar yang benar-benar dimiliki oleh Switzerland semata-mata adalah Lake Neuchâtel.


Bersambung ke Bahagian 23...


CATATAN PERJALANAN (NORTHERN ITALY & SWITZERLAND (2nd VISIT) [2023]:


No comments: