Tuesday, 12 March 2019

2019 NORTH NEW ZEALAND BHG. 12 (Pohutu Geyser)

Februari 2019

NORTH ISLAND, NEW ZEALAND
Auckland, Rotorua & Taupo

Bahagian 12: Rotorua 6
TE PUIA (3) - GEOTHERMAL VALLEY

HARI KEEMPAT (4)

Part 25: Te Puia (3)

Kemudian tibalah saat yang dinanti-nanti ~ melawat ke Whakarewarewa Geothermal Valley. Whakarewarewa Geothermal Valley ini sebenarnya dikongsi oleh dua buah kampung Maori: Te Puia dan Whakarewarewa. Whakarewarewa masih dihuni oleh penduduk Maori tradisional manakala Te Puia yang kami kunjungi ini telah berubah menjadi Pusat Kebudayaan Maori.

Whakarewarewa Geothermal Valley
Whakarewarewa Valley hanya mempunyai keluasan 1 km persegi, namun ia mempunyai 500 buah kolam air panas dan 65 buah geyser yang berbagai saiz di dalamnya. Geyser terbesar adalah Pohutu yang terletak di sebelah Te Puia. Sumber haba di sini adalah magma (batuan panas yang cair) yang terletak di bawah kerak bumi. Ada di antara kolam dan geyser ini yang mencapai kepanasan suhu sehingga 300'C. Bau telur busuk memang dah sah ada di sini.

People Mover di Te Puia untuk membawa pengunjung yang mengalami kesukaran untuk berjalan.
Pintu masuk ke Geothermal Valley
Berjalan masuk ke Geothermal Valley
Penunjuk arah
Geothermal Valley
Pemandangan pertama Geothermal Valley
Aktiviti Geothermal di Whakarewarewa Valley ini menjadi bukti yang bumi yang kita duduki masih mengalami perubahan. Ia juga menunjukkan betapa hebatnya kuasa tekanan dan haba yang berada di bawah kerak bumi.

Mengikut Te Rina ke kawasan geothermal
Emotiki
Suasana berjalan di sini macam masuk ke Jurassic Park
Terasa macam ada dinosaur yang sedang mengintai kita lalu di sini.
Pokok Paku Silver Fern yang boleh mencapai ketinggian sehingga 10 meter.
Silver Fern dipanggil Ponga dalam Bahasa Maori
Silver Fern turut digunakan dalam pengubatan tradisional Kaum Maori

POHUTU GEYSER

Tempat tujuan kami yang pertama ialah geyser terbesar di New Zealand yang dinamakan sebagai Pohutu (Big Splash). Ia juga adalah geyser yang terbesar di Hemisfera Selatan.

Menuju ke Geyser Pohutu
Dah nampak asap Pohutu di depan sana.
Geyser terjadi bila air di bawah bumi dipaksa keluar oleh tekanan bumi menerusi lubang-lubang di kerak bumi. Geyser-geyser ini selalunya akan meletus dalam selang-selang waktu yang tertentu mengikut kekuatan tekanan yang terjadi.

Geyser Pohutu sedang mula nak meletus
Tekanan sedang membentuk pada Pohutu
Pemandangan di sekitar Pohutu Geyser
Timing Te Rina tepat sekali kerana kami tiba di Pohutu sewaktu geyser ini sedang meletus. Pohutu meletus secara purata 20 kali sehari. Satu ketika dulu Pohutu pernah meletus selama 250 hari terus-menerus tanpa berhenti.

Pohutu Geyser
Pohutu meletus setinggi 12 meter sewaktu kami tiba di sana
Percikan air panas yang keluar dari bumi di Pohutu Geyser
Bergambar dengan Pohutu
Husband pun nak bergambar juga dengan Pohutu
Air panas yang meletus dari geyser keluar dari perut bumi bersama bahan-bahan mineral. Bila masa berlalu, kepulan bahan-bahan mineral ini akan bertampuk dan berkumpul membentuk apa yang dinamakan sebagai Sinter Terrace.

Sinter Terrace
Sungai ini juga terdiri dari air panas yang keluar dari bumi
Kepulan wap yang keluar dari celah-celah batu panas
Bergambar dengan batuan panas di Geothermal Valley
Setiap kejadian Tuhan ada hikmah dan manfaat kepada manusia, termasuklah kejadian-kejadian geothermal di Rotorua. Sejak dulu lagi, wap dan lumpur panas semula jadi ini telah digunakan oleh Orang Maori untuk tujuan perubatan.

Kedatangan penduduk Eropah telah menukar Rotorua menjadi sebuah pusat spa seperti di Bath, England. Wap geothermal juga digunakan sebagai sumber tenaga kepada manusia. Namun begitu, penggunaan tenaga geothermal secara berleluasa telah membuatkan aktiviti geothermal semulajadi menjadi semakin lemah dan akhirnya hilang. 

Satu ketika dulu ada 5 buah pusat geothermal di sekitar Rotorua. Sebuah di antaranya musnah dalam letusan Gunung Berapi Tarawera dan beberapa yang lain hilang akibat pengalihan tenaga untuk kegunaan manusia. Lembah Whakarewarewa ini adalah satu-satunya lembah geothermal yang masih tinggal.

Seram melihat asap-asap yang keluar dari celah batu ini
Pemandangan sebuah geothermal vent
Beredar meninggalkan Pohutu
Kawasan Geothermal di Te Puia juga mempunyai kisah legendanya yang tersendiri yang dinamakan sebagai Fire From Hawaiki. Menurut ceritanya, seorang pahlawan yang bernama Ngatoroirangi hampir mati kesejukan sewaktu memanjat Gunung Tongariro selepas tiba di New Zealand. Dalam keadaan yang darurat, Ngatoroirangi telah menyeru kedua saudara perempuannya di Hawaiki yang bernama Te Pupu dan Te Hoata untuk membantu.

Kisah legenda Te Pupu dan Te Hoata
Te Pupu dan Te Hoata menjelma menjadi api dan bergegas mendapatkan Ngatoroirangi menerusi laluan di celah-celah bumi. Setiap tempat di mana Te Pupu dan Te Hoata muncul di bumi bertukar menjadi gunung berapi, geyser dan kolam air panas. Walaupun hanya legenda Orang Maori, kisah Te Pupu dan Te Hoata ini selari dengan teori moden mengenai pembentukan Ring of Fire. Ia juga menunjukkan bagaimana Orang Maori memerhatikan pergerakan bumi sehingga boleh mereka cerita yang bertepatan dengan hasil kajian moden.

NATURAL STEAM VENT COOKER

Wap panas yang keluar dari bumi turut digunakan oleh Orang Maori untuk memasak makanan. Makanan yang dimasak menggunakan wap panas dari bumi ini dinamakan Hangi.

Wap panas dari bumi yang digunakan untuk memasak
Tak ada demonstrasi masakan ketika kami di sini
Lagi pemandangan asap panas yang keluar dari bumi
Kalau berminat nak merasa masakan Hangi ini ada pakej tiket Te Puia yang ditawarkan. Ia diadakan di sebelah malam meliputi persembahan kebudayaan Maori dan dinner cara Hangi.

Hangi (Sumber: Internet)
Cara memasak menggunakan wap (Sumber: Internet)
Kami walau bagaimanapun tak mengambil pakej lawatan Hangi ini. Dari maklumat yang diperolehi, makanan Halal juga boleh disediakan bagi pengunjung Muslim yang berminat nak menyertai Hangi.

Batu di sekitar kawasan ini memang panas.
Pengunjung diminta hanya menggunakan laluan yang disediakan sahaja kerana tanah di sekitar kawasan ini memang panas.
Berjalan lagi di Geothermal Valley
Kita tengok lagi gambar-gambar yang diambil di sini...

Ada sebuah perkuburan Orang Maori berdekatan yang sebenarnya terletak di perkampungan Whakarewarewa yang bersebelahan. Disebabkan tanah di sekitar kawasan ini yang panas, mayat orang Maori tidak ditanam di dalam bumi. Mayat mereka sebaliknya disemadikan dalam binaan-binaan yang diletakkan di atas bumi.

Perkuburan Maori

THE BLUEYS POOL

Dah puas melawat geyser, kita dibawa pula melawat ke sebuah kolam cantik yang berair biru yang dinamakan sebagai The Blueys Pool.

The Blueys Pool
Keterangan mengenai Blueys Pool
Kolam ini mendapat warna biru airnya dari bahan mineral cobalt yang larut di dalamnya. Air kolam ini sebenarnya adalah air yang terkumpul dari letusan geyser-geyser yang berhampiran.

Warna biru air Blueys Pool berasal dari bahan mineral cobalt di dalamnya. Airnya yang bersifat alkali sangat bagus untuk kulit.
Kolam Blueys Pool digunakan sebagai sebuah kolam pemandian Orang Maori. Airnya yang bersifat Alkali dengan suhu di antara 30-50'C dikatakan bagus untuk rawatan kulit. Kata Te Rina, kalau berendam di dalam kolam ini, ibarat samalah seperti kita berendam dalam losyen kulit.

Ada beberapa geothermal vent yang terdapat di dasar kolam ini. Kalau kita terdedah kepada kepanasannya, boleh melecur ke tahap Third Degree Burns.
 Pemandangan menghala ke Maori Arts And Crafts Institute
Meninggalkan Blueys Pool

KOKO MUD POOL

Dari Blueys Pool, kami beredar menuju ke Koko Mud Pool. Dalam perjalanan, banyak geyser dan lubang-lubang geothermal yang ditemui.

Geyser yang menyembur air panas dari bumi
Ada ketikanya air panas dari geyser yang menyembur turut terkena ke muka kita mengikut arah angin yang bertiup.
Keterangan mengenai bagaimana geyser terjadi
Gambarajah sistem geyser di bawah bumi
Sungai air panas. Tak tahu berapa suhunya, tapi sentiasa ada wap panas yang keluar dari air yang mengalir.
Batuan panas di tepi sungai
Berjalan ke Koko Mud Pool
Koko Mud Pool adalah kolam lumpur panas yang terbesar di Te Puia. Ia mempunyai kedalaman di antara 6-10 meter. Lumpur panas ini terbentuk bila tanah mencair disebabkan kepanasan dari dalam bumi. Lumpur ini bersifat asid dan boleh mencapai suhu sehingga 95'C.

Koko Mud Pool
Koko Mud Pool dinamakan sempena seorang ketua Maori yang bernama Koko. Nama sebenar kolam ini adalah Nga mokai-a-Koko Mud Pool yang bermaksud The Cherished Ones of Koko kerana Koko sering teringat kepada anak-anaknya yang gemar bermain bila melihat lumpur panas ini meletup-letup keluar dari bumi.

Keterangan mengenai Koko Mud Pool
Lumpur panas ini adalah sebenarnya tanah yang cair dari kepanasan di bawah bumi. Ia meletup-letup sewaktu keluar dari bumi seperti air yang menggelegak.
Lumpur panas ini memejal bila haba panasnya hilang. Kerana itulah lumpur dalam kolam ini ada yang pejal dan ada yang cair.
Kolam ini juga dipanggil Frog Pool kerana bunyi lumpur yang meletup-letup keluar dari bumi ini dikatakan seperti bunyi katak memanggil hujan.
Lumpur panas digunakan secara tradisi oleh Orang Maori untuk merawat luka. Ramai pahlawan yang cedera di medan perang akan dirawat menggunakan lumpur panas ini. Ia juga digunakan untuk merawat penyakit sendi dan kulit.

Bukan orang Maori sahaja yang percaya kepada kuasa penyembuhan dari geothermal ini. Pada tahun 1878, seorang paderi berketurunan Irish telah merawat penyakit arthritisnya menggunakan lumpur panas di Rotorua. Selepas sembuh, dia berjalan kaki pulang ke rumahnya di Tauranga yang terletak 65 km dari sini. Semenjak itulah reputasi Rotorua sebagai sebuah bandar spa mula dikenali.

Berjalan meninggalkan Koko Mud Pool

KIWI HOUSE

Free Guided Tour kami berakhir di Kiwi House yang menempatkan beberapa ekor burung kebangsaan New Zealand, Burung Kiwi. Burung Kiwi tak pandai terbang, kerana itulah ia sering menjadi makanan haiwan pemangsa. Ia kini diklasifikasikan sebagai endangered species kerana bilangannya yang semakin kecil.

Keterangan mengenai pokok Manuka dan Kanuka
Jenuh mengintai, tak nampak pun pokok Manuka dan Kanuka ini.
Burung Kiwi adalah burung nocturnal yang aktif di waktu malam. Kerana itulah mereka dipelihara di dalam sebuah rumah yang gelap supaya mereka boleh bergerak aktif di waktu siang begini. Di sinilah juga Te Rina menamatkan khidmatnya dan meninggalkan kami. Terima kasih atas khidmat dan penerangan yang diberi.

Pintu masuk ke Kiwi House di mana Te Rina menamatkan khidmatnya sebagai Tour Guide kami.
Perkara larangan di dalam Kiwi House
Patung Burung Kiwi di depan Kiwi House
Fotografi tak dibenarkan di dalam Rumah Kiwi kerana burung ini sangat sensitif dengan cahaya. Jenuh kita menjegil mata nak melihat burung ini, tapi tetap tak nampak. Anak-anak saudara cukup frust tak nampak Burung Kiwi. Mereka juga tak puas hati kerana didesak cepat keluar dari Kiwi House. Maklumlah, Bapak dia orang dah lapar nak makan tengahari dan Pakcik mereka pulak dah berkerut menahan sakit pinggang sebab banyak berjalan hari ini.

Beginilah rupa dalam rumah Kiwi (Sumber: Internet). Gelap sangat sebab Burung Kiwi ini sensitif dengan cahaya.
Lampu infrared begini dipasang dalam Kiwi House untuk membantu pengunjung melihat Burung Kiwi. Jenuh mengintai tapi tak nampak walau seekor pun burung Kiwi.
Dewa Maori
Kisah mengenai Orang Maori sebagai Guardians of the Valley
Pintu Keluar dari Te Puia. Palang automatik ini garang betul, ditolaknya kita keluar dengan ganas bila melaluinya!


 Bersambung ke Bahagian 13...


CATATAN PERJALANAN NORTH NEW ZEALAND (2019):