Monday, 15 June 2026

2026 SOUTHERN AFRICA BHG. 10 (Lesedi Cultural Village 1)

Mei 2026

SOUTHERN AFRICA
South Africa, Zimbabwe, Zambia, Botswana & Mauritius
(SOUTH AFRICA : Johannesburg, Pilanesberg National Park & Pretoria)

Bahagian 10: South Africa
JOHANNESBURG [Lesedi Cultural Village 1]

HARI KETIGA (5)

Part 23: Lesedi Cultural Village @ Johannesburg (1)

Perjalanan kami di Johannesburg diteruskan lagi menuju ke Lesedi Cultural Village.

Perjalanan menuju ke Lesedi Cultural Village
Perkampungan African di Krugersdorp
Pemandangan perkampungan African di Krugersdorp dengan lebih dekat. Ini juga adalah warisan peninggalan Apartheid di South Africa.
Masih menuju ke Lesedi Cultural Village
Lesedi Cultural Village ialah sebuah perkampungan budaya yang mempersembahkan kebudayaan 5 suku kaum di Afrika Selatan : Zulu, Xhosa, Pedi, Basotho dan Ndebele kepada pelancong.

Simpang masuk ke Lesedi Cultural Village
Senarai aktiviti di Lesedi Cultural Village
Tiba di Lesedi Cultural Village
Siyanamukela ~ Selamat Datang

Nyanyian yang mengiringi kami sewaktu masuk ke Lesedi Cultural Village
Ini kali pertama kami tiba di sebuah perkampungan budaya Afrika. Jadi, kita tengok dulu pemandangan dan suasana di sekeliling.

Disebabkan kita juga akan bermalam di Lesedi Cultural Village malam ini, bagasi turut dikeluarkan dari bas. Bagasi cuma dikumpulkan sahaja dahulu di tempat reception sebab kita belum lagi nak masuk ke dalam bilik.

Bagasi dikeluarkan dari bas kerana kami akan bermalam di sini
Kaunter reception di Lesedi Cultural Village
Berkumpul untuk memulakan Cultural Tour bersama Host kami yang bernama Millicent.
Kami kemudiannya dibawa melawat ke seluruh Lesedi Cultural Village untuk diperkenalkan dengan kebudayaan tradisi beberapa suku kaum yang terpilih. Host kami adalah seorang wanita berkulit hitam yang bernama Millicent.
 
Memulakan lawatan
Lawatan dibuat dengan berjalan kaki
Persimpangan
Kita melawat dulu ke perkampungan Sotho

SOTHO

Kaum Sotho (disebut: Suthu) juga dikenali sebagai Basotho (disebut: Basuthu). Mereka berasal dari kawasan yang kini menjadi negara merdeka Lesotho (disebut: Lesuthu). Negara Lesotho dan kawasan di sekitarnya terletak di kawasan pergunungan yang tinggi. Mengikut sejarahnya, kaum Sotho ini mengundurkan diri ke kawasan pergunungan tersebut selepas berperang dengan kaum Zulu.

Berjalan ke perkampungan Sotho
Pintu masuk ke perkampungan Sotho
Suasana di perkampungan Sotho
Rumah tradisional Sotho
Disebabkan orang Sotho tinggal di pergunungan yang tinggi dan sejuk, pakaian tradisional mereka yang terkenal adalah topi yang berbentuk kon dan selimut yang tebal. Topi berbentuk kon ini menggambarkan kawasan pergunungan yang menjadi tempat kediaman mereka manakala selimut pula dah pasti digunakan untuk memanaskan badan terutama di musim dingin yang sangat sejuk di atas gunung. Kasut but yang dipakai oleh kaum Sotho pula menggambarkan yang mereka adalah antara kaum terawal bekerja di lombong mineral.
 
Pakaian tradisional Sotho
Mendengar penerangan dari Millicent tentang suku kaum Sotho
Satu ciri menarik yang terdapat di perkampungan Sotho ialah tungku memasak mereka. Tungku ini diperbuat dari batu dan berkelok 4 penjuru. Kelok 4 penjuru ini mempunyai fungsi yang unik kerana jika angin bertiup dari 1 arah kelok, kayu api boleh dikumpulkan di kelok yang lain yang terlindung dari tiupan angin. Dengan itu, wanita kaum Sotho akan sentiasa dapat memasak makanan untuk keluarga. Tak ada alasan langsung untuk mereka tidak dapat memasak makanan untuk hari tersebut. Kalau hari hujan pula, aktiviti memasak akan dibuat di dalam pondok.

Tungku api untuk memasak di tengah perkampungan Sotho
Tungku ini dibina berkelok 4 untuk membolehkan api tetap dinyalakan sekali pun angin bertiup kuat dari mana-mana arah
Kami juga ditunjukkan makanan ruji kaum Sotho yang terdiri dari jagung. Jagung ini dikisar untuk jadikan bubur.

Bijirin jagung untuk makanan ruji
 Mengisar bijirin jagung
Lembu adalah hantaran wajib bagi majlis perkahwinan di kalangan suku kaum Afrika. Bilangan lembu yang ditetapkan adalah selalunya 11 ekor. Walau bagaimanapun sekiranya seseorang ingin mengahwini wanita dari suku kaum Sotho, mereka perlu memberi hantaran tambahan 2 ekor kuda di samping 11 ekor lembu ini. Pemberian kuda adalah simbolik dengan cara hidup kaum Sotho di kawasan pergunungan kerana hanya suku kaum ini sahaja yang memberikan syarat sebegitu. Selepas berkahwin, seekor kuda akan menjadi kegunaan suami manakala yang seekor lagi akan menjadi kegunaan isteri.

Husband bergambar dengan pemuda Sotho
Di satu sudut perkampungan Sotho ini ada sebuah kawasan khas yang hanya boleh dimasuki oleh kaum lelaki. Di sinilah perbincangan-perbincangan sulit khususnya mengenai strategi perang dan isu-isu penting dibuat. Wanita dilarang masuk ke sini kerana mereka dikatakan tidak boleh menyimpan rahsia.

Di sudut ini juga ada sebuah pondok kecil di mana anak-anak lelaki seawal usia 13 tahun akan tinggal selama 2 minggu bagi upacara Rite of Passage yang menandakan mereka telah menjadi lelaki dewasa. Antara proses yang perlu mereka lalui selain tinggal di pondok ini adalah tinggal bersendirian di dalam hutan dan berkhatan. Upacara berkhatan dibuat di dalam hutan dengan menggunakan kulit kayu yang tajam. Ia dibuat pada musim dingin kerana kaum Sotho percaya luka berkhatan lebih mudah sembuh dalam cuaca sejuk.
 
Tempat perbincangan di sudut kampung yang dikhususkan bagi kaum lelaki sahaja
Pondok di mana anak-anak lelaki yang berusia 13 tahun tinggal selama 3 minggu sewaktu menjalani upacara Rite of Passage menjadi lelaki dewasa.

XHOSA

Perkampungan seterusnya yang kami lawati adalah milik kaum Xhosa. Kaum ini terkenal dengan bahasa mereka yang mempunyai bunyi 'klak-klak' di permulaan ayat. Malah huruf 'X' dalam perkataan 'Xhosa' sebenarnya menggambarkan bunyi 'klak-klak' ini. Oleh yang demikian, sebutan 'Xhosa' adalah sebenarnya seperti bunyi 'Klak-khosa' 😅. Pemimpin terkemuka South Afrika yang bernama Nelson Mandela berasal dari suku kaum ini.

Nama asal Nelson Mandela dalam Bahasa Xhosa bermaksud trouble-maker. Namun nama ini cukup sukar disebut oleh seorang gurunya di sekolah yang berbangsa Inggeris. Guru wanita tersebut telah memberikan nama Nelson kepadanya dan nama inilah yang digunakan oleh Nelson Mandela sehingga ke akhir hayatnya.

Perkampungan Xhosa
Di depan perkampungan Xhosa ini ada sebuah kandang lembu yang dibuat dari batu-batu yang disusun rapi. Pada kebiasaannya kandang ini memang akan terletak di tepi kampung. Adat perkahwinan Xhosa juga menetapkan supaya lelaki menghadiahkan 12 ekor lembu sebagai hantaran untuk mengahwini seorang wanita. Kalau perempuan itu berasal dari keluarga bangsawan, bilangan lembu ini akan bertambah menjadi 26 ekor.
 
Dinding batu kandang lembu di depan perkampungan Xhosa
Pemandangan dekat dinding batu kandang lembu
Orang Xhosa juga mempunyai adat yang unik untuk melindungi kaum keluarga mereka. Setiap kali masuk ke rumah Xhosa, wanita dan kanak-kanak perlu masuk dahulu dan duduk di sebelah kanan manakala kaum lelaki menyusul dan akan duduk di sebelah kiri. Ini adalah kerana sekiranya pintu masuk ke rumah Xhosa dibuka, pandangan dari luar akan bertumpu ke sebelah kiri yang diduduki oleh kaum lelaki. Dengan yang demikian, wanita dan kanak-kanak yang duduk di sebelah kanan akan lebih terselamat dari serangan musuh.
 
Berjalan masuk ke rumah Xhosa
Pintu rumah Xhosa dibina rendah dan kita perlu menunduk untuk masuk ke dalam
Sebaik masuk ke dalam rumah, kaum lelaki akan duduk di sebelah kiri manakala wanita dan kanak-kanak akan duduk di sebelah kanan
Siling rumah di dalam rumah Xhosa yang dibuat dari anyaman jerami. Dah ada lampu elektrik yang dipasang dalam rumah-rumah Xhosa sekarang.
Wanita dan kanak-kanak akan duduk di atas lantai manakala bahagian lelaki ada disediakan bangku. Sebabnya: lebih mudah untuk lelaki bangun bertindak ke arah musuh jika mereka duduk di atas bangku.

Millicent menunjukkan pandangan musuh sebaik masuk ke rumah Xhosa
Pintu rumah Xhosa juga sering dipasang berlapis begini untuk perlindungan tambahan
Makanan ruji kaum Xhosa yang juga merupakan bijirin jagung yang dicampur dengan kekacang
Demonstrasi mengisar jagung
Lelaki dan wanita Xhosa dewasa memiliki adat menghisap paip. Paip ini diisi dengan tembakau dan dihisap sebagai cara bersosial. Perempuan remaja walau bagaimanapun dilarang untuk menghisap paip. Paip yang digunakan wanita selalunya lebih panjang dari paip yang dihisap oleh kaum lelaki. Ini bertujuan untuk melindungi bayi yang dikendong di belakang ibu dari tersedut asap tembakau.

Millicent menunjukkan paip yang sering dihisap oleh lelaki Xhosa
Paip yang dihisap oleh wanita adalah lebih panjang untuk melindungi bayi yang dikendong di belakang dari tersedut asap tembakau dari paip ibu mereka
Mendengar nyanyian tradisi kaum Xhosa. Memang banyak bunyi 'klak-klak-klak'.
Husband bergambar dengan lelaki Xhosa yang memakai pakaian tradisional
Belajar bersalam cara tradisional kaum Xhosa
Pemandangan sewaktu meninggalkan perkampungan Xhosa

PEDI
 
Perkampungan seterusnya yang dilawati adalah perkampungan suku kaum Pedi yang kebanyakannya berasal dari wilayah Limpopo berhampiran sempadan negara Zimbabwe.

Melawat ke perkampungan Pedi
Suasana di perkampungan Pedi
Mendengar penerangan tentang kaum Pedi
Pakaian tradisional kaum Pedi menarik kerana kaum lelaki mereka memakai skirt kilt seperti yang dipakai oleh lelaki Scotland. Pakaian ini ada cerita yang tersendiri.

Sewaktu orang Pedi berperang dengan tentera British, mereka melihat pasukan Scottish dalam tentera British yang datang memakai kilt seperti skirt wanita. Tentera Scottish ini berada di baris hadapan manakala Tentera Inggeris yang memakai seluar berada di barisan belakang.

Oleh kerana orang Pedi tidak pernah melihat orang Scottish sebelum itu, mereka menyangka tentera Scottish ini adalah wanita. Memandangkan adat mereka melarang untuk menyerang wanita, mereka meninggalkan sahaja tentera Scottish tersebut dan memberi perhatian untuk menyerang tentera Inggeris di belakang.

Tentera Scottish sebaliknya menggunakan kesempatan ini untuk menewaskan orang Pedi. Mengambil pengajaran dari peristiwa inilah orang Pedi turut menjadikan kilt sebagai pakaian tradisi mereka.

Dalam adat Pedi, seorang lelaki perlu memberi hantaran 13 ekor lembu untuk mengahwini seorang wanita.

Lelaki kaum Pedi yang memakai kilt seperti orang Scottish
Kami juga ditunjukkan makanan istimewa orang Pedi yang terdiri dari ulat bakar. Kata Pengyou kumpulan kami yang berasal dari Sarawak, serangga ini seperti ulat sagu yang biasa ditemui dan dimakan di sana. Ada juga beberapa ahli kumpulan kami yang mencuba memakan ulat ini termasuk Husband. Kata Husband, rasa ulat ini seperti Keropok Lekor. Kenyal dan masin. Hahaha!!

Ulat bakar yang merupakan makanan tradisional istimewa kaum Pedi
Ulat bakar
Husband mencuba memakan ulat bakar
Kaum Pedi juga mencuci lantai rumah mereka dengan tahi lembu. Oleh kerana lembu cuma memakan rumput, tahinya tidak busuk, kata mereka. Lantai yang dicuci dengan tahi lembu juga boleh menghalau nyamuk secara semulajadi.
 
Bergambar dengan lelaki Pedi
Bergambar kenangan dengan Millicent
Semasa berjalan meninggalkan perkampungan Pedi nak menuju ke perkampungan Zulu, Millicent tiba-tiba memberi isyarat supaya kami senyap dan berhenti. Rupa-rupanya dia ternampak seekor Kudu di dalam semak yang berhampiran...

Seekor Kudu di dalam semak
Kudu ini nampaknya datang bersendirian
Disebabkan Kudu sangat camouflage dengan alam sekeliling, ia digelar Ghost of the Forest
Kita cerita tentang pengalaman kami yang seterusnya di Lesedi Cultural Park dalam entry yang seterusnya...

 Bersambung ke Bahagian 11...


CATATAN PERJALANAN SOUTHERN AFRICA (2026):

No comments: