Friday, 24 September 2021

2021 TRAVEL REVIEW 35 - AFRIKA (EGYPT: SINAI & FAYOUM)

September 2021

Travel Review 35: Afrika Utara
EGYPT (Sinai & Fayoum)

MENJEJAK ANBIYA' DI MESIR

Selain menjadi bumi Firaun, Mesir juga adalah bumi para Anbiya'. Dua orang Rasul Allah yang besar yang diturunkan untuk berdakwah di bumi Mesir adalah Nabi Musa dan Nabi Yusuf AS. Pada tahun 2018, Myself dan Husband telah berpeluang mengikut satu rombongan menjejak sejarah kedua-dua Rasul ini.

 Peta perjalanan kami menyusuri Jejak Nabi Musa (Sinai) dan Jejak Nabi Yusuf (Fayoum)

SINAI

Terusan Suez

Perjalanan ke Sinai di bumi Mesir adalah satu perjalanan yang sangat mengkagumkan bagi Myself. Ia bukanlah satu perjalanan yang mudah kerana Semenanjung Sinai adalah salah sebuah tempat yang sangat sensitif di dunia dan dikawal ketat oleh tentera.

Kalau datang ke Sinai dari arah Cairo, kita perlu melintas Terusan Suez yang merupakan sebuah laluan perkapalan yang penting di dunia. Disebabkan kepentingannya kepada Mesir, terusan ini dikawal dengan sangat ketat dan terdapat larangan fotografi di sana sini di sepanjang terusan ini.

 Terowong Ahmad Hamdi di bawah Terusan Suez yang menyambungkan Cairo dengan Sinai
 Pos kawalan tentera di kawasan Terusan Suez
Kepentingan Terusan Suez juga menyebabkan Mesir yang bergabung dengan negara-negara Arab lain berperang dengan Israel pada tahun 1973. Peperangan ini dinamakan Yom Kippur War kerana ia berlaku pada hari perayaan suci agama Yahudi yang bernama Yom Kippur. Walaupun Mesir dengan sekutu-sekutu Arabnya tewas secara keseluruhan di dalam peperangan ini, Mesir dapat merampas kembali Terusan Suez dan Semenanjung Sinai dari Israel dalam peperangan tersebut.

 Kubu Israel di Terusan Suez yang dirampas oleh Mesir dalam Perang Yom Kippur
Pemandangan kapal-kapal yang berlayar masuk ke Terusan Suez dari Kubu Israel
Teluk Suez juga adalah sebahagian dari Laut Merah yang diseberangi oleh Nabi Musa dan pengikut baginda yang terdiri dari Bani Israel sewaktu mereka melarikan diri dari Firaun. Dengan kehendak Allah SWT, Laut Merah telah terbelah dua bila dipukul dengan tongkat oleh Nabi Musa AS sehingga membolehkan kesemua mereka terselamat dari kekejaman Firaun. 

Sebaik selamat sampai ke seberang Laut Merah, mereka berehat di sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Uyun Musa. Di sinilah dikatakan Nabi Musa telah memukul tongkatnya sekali lagi sehingga terpancar 12 buah mata air untuk menjadi sumber air minuman bagi setiap 12 suku kaum Bani Israel yang menjadi pengikutnya. Kesan peninggalan mata air ini masih dapat dilihat di Uyun Musa.

 Uyun Musa
Walau dipenuhi dengan padang pasir, pemandangan di Semenanjung Sinai sangat indah. Mungkin disebabkan ketika itu sedang menghampiri musim sejuk di Egypt, pemandangannya memang menyejukkan mata. Sewaktu merentas padang pasir ini juga kita dapat menginsafi peristiwa di mana Bani Israel dikenakan hukuman tersesat selama 40 tahun di padang pasir ini kerana membangkang perintah Allah SWT supaya memasuki Batulmaqdis untuk memerangi musuh di sana.

 Pemandangan padang pasir yang indah di Semenanjung Sinai

Saint Catherine

Saint Catherine adalah sebuah bandar di tengah Semenanjung Sinai yang penuh dengan sejarah Nabi Musa AS. Di pintu masuk ke Saint Catherine, tertera petikan ayat Al Quran dari Surah Thaha yang menceritakan keistimewaan tempat ini. Di kawasan yang disebut sebagai Lembah Tuwa di dalam Al Quran inilah, Nabi Musa telah diajak berbicara secara langsung dengan Allah SWT.

 Petikan ayat dari Surah Thaha di dalam Al Quran yang menceritakan tentang Nabi Musa yang diajak berbicara langsung dengan Allah SWT di sini.
Selain kepada umat Islam, bandar ini juga bersejarah kepada umat Kristian kerana di sinilah dikatakan jasad Saint Catherine yang berasal dari Alexandria, Mesir disemadikan. Malah bandar ini juga kini dinamakan sempena nama beliau.

 Saint Catherine
Di Saint Catherine juga terdapat makam dua orang Rasul Allah yang diceritakan di dalam Al Quran: Nabi Saleh dan Nabi Harun.

 Makam Nabi Saleh
 Makam Nabi Harun
Makam Nabi Harun yang sebenar terletak di dalam binaan yang bulat di sebelah kiri. Bangunan putih di sebelah kanan adalah sebuah gereja Kristian.
Bertentangan dengan Makam Nabi Harun, terdapat sebuah ukiran anak lembu yang terpahat pada dinding gunung batu. Ukiran ini dikaitkan dengan kisah anak lembu emas yang diukir oleh seorang pengikut Nabi Musa yang bernama Samiri. Sepeninggalan Nabi Musa untuk menerima wahyu Kitab Taurat di Bukit Tursina, Samiri telah menyesatkan Bani Israel dengan mengajak mereka menyembah patung anak lembu ciptaannya. Kisah ini ada diceritakan di dalam Surah Al A'raf dan Surah Thaha di dalam Al Quran.

 Ukiran yang dikaitkan dengan kisah Anak Lembu Samiri di dalam Al Quran
Pengunjung ke Saint Catherine yang berkemampuan boleh memanjat ke puncak Gunung Tursina untuk melihat sendiri tempat di mana Nabi Musa AS menerima wahyu kitab Taurat dari Allah SWT. Kami walau bagaimanapun tidak berbuat begitu.

 Gunung Tursina yang sebenar terletak di sebalik gunung batu di belakang sana.
Saint Catherine's Monastery yang terletak di permulaan laluan pendakian ke Gunung Tursina adalah tempat yang perlu dilawati oleh semua pengunjung ke Saint Catherine. Walaupun ia adalah sebuah biara Kristian, ia menyimpan kesan sejarah Nabi Musa yang sama tercatit di dalam 3 buah agama samawi: Islam, Kristian dan Yahudi.

 Saint Catherine's Monastery
 Pintu masuk ke Saint Catherine's Monastery
Rahib Kristian dari mazhab Greek Orthodox yang menjaga biara ini adalah orang-orang Nasrani sebenar yang diceritakan di dalam Al Quran. Malah sepucuk surat dari Nabi Muhammad SAW yang menjamin perlindungan dan hak-hak lain bagi biarawan di Saint Catherine's Monastery masih disimpan di dalam biara ini. Ia telah ditulis oleh Ali bin Abi Talib atas perintah Nabi Muhammad SAW.

 Rahib Kristian dari mazhab Greek Orthodox yang menjaga biara ini adalah orang Nasrani sebenar yang diceritakan di dalam Al Quran
Tarikan sebenar pengunjung ke Saint Catherine's Monastery adalah sepohon semak berduri yang dikenali sebagai The Burning Bush. Di sinilah dikatakan Nabi Musa AS telah berbicara secara langsung dengan Allah SWT dan diangkat menjadi Rasul yang ditugaskan untuk menentang Firaun.

Seperti yang diceritakan di dalam Al Quran, sewaktu Nabi Musa dengan keluarganya sedang dalam perjalanan dari Madyan menuju kembali ke Mesir, mereka mendapati api tidak dapat dihidupkan di malam yang sejuk itu. Dari kejauhan, Nabi Musa telah melihat api yang menyala dan meminta keluarganya duduk menunggu sehingga beliau kembali membawakan api itu kepada mereka.

Nabi Musa telah berjalan sehingga ke Burning Bush ini di mana dia dikatakan telah melihat api yang menyala pada semak yang berduri ini. Walaupun api marak menyala, semak berduri ini tidak terbakar. Kemudian berlangsunglah dialog di antara Nabi Musa AS dengan Allah SWT di mana Allah melantik Nabi Musa menjadi seorang Rasul dan dikurniakan dengan beberapa mukjizat termasuk tongkat yang bertukar menjadi ular sewaktu melawan ahli sihir Firaun. Tongkat ini kini boleh dilihat di Museum of Holy Relics di Istana Topkapi di Istanbul. Alhamdulillah, kami telah diberi kesempatan untuk melihat tongkat ini di sana.

 Burning Bush di dalam Saint Catherine's Monastery.

Dahab

Dahab adalah sebuah bandar peranginan di tepi pantai Semenanjung Sinai menghadap ke sebelah Arab Saudi yang sempat kami kunjungi. Ia dinamakan Dahab (bermaksud: emas) sempena pemandangan pergunungan di sekelilingnya yang berkilauan seperti warna emas di bawah sinaran matahari.

 Pergunungan yang berkilauan dengan warna keemasan berhampiran Dahab.
 Suasana di Dahab Bazaar
Bermandi-manda di laut berhampiran Dahab Bazaar
Sebenarnya ramai pelancong berkunjung ke Dahab untuk membuat Scuba Diving bagi menikmati keindahan batu karang di dasar lautnya. Kami tidaklah membuat Scuba Diving seperti mereka, tetapi keindahan pemandangan batu karang ini tetap dapat kami nikmati melalui lantai kaca sebuah Glass Boat di Laut Merah.

 Glass Boat
Pemandangan keindahan batu karang yang dilihat dari Glass Boat

FAYOUM

Jejak Nabi Yusuf

Sewaktu di bumi Mesir, kami turut berkesempatan berkunjung ke Fayoum yang merupakan tempat di mana Nabi Yusuf AS dilantik menjadi Menteri Kewangan Mesir pada masa dahulu. Pada ketika itu Raja Mesir telah mengalami mimpi yang pelik yang telah ditafsirkan oleh Nabi Yusuf bahawa ia menandakan Mesir akan mengalami musim kemarau selama 7 tahun selepas mengalami musim yang subur selama 7 tahun.

Selepas dilantik menjadi Menteri Kewangan Mesir, Nabi Yusuf telah memulakan projek pengairan yang masih digunakan oleh petani di Fayoum sehingga ke hari ini. Malah segala makanan yang sedap di Mesir masih digelar sebagai Fayoumi sehingga kini.

 Kawasan pertanian yang subur di Fayoum peninggalan usaha Nabi Yusuf di zaman dahulu
Terusan pengairan yang banyak dilihat di sekitar Fayoum dinamakan Bahr Yusuf, kerana ia diasaskan oleh Nabi Yusuf pada masa itu.

 Terusan pengairan di sekitar Fayoum masih dinamakan Bahr Yusuf kerana ia dibina oleh Nabi Yusuf
 Pemandangan tanah pertanian yang subur ini memang mengkagumkan memandangkan kawasan di sekitar Fayoum adalah kawasan padang pasir yang gersang.
Selain kawasan pertanian yang subur, tidak ada kesan peninggalan Nabi Yusuf yang masih tinggal di sini. Satu-satunya yang dikatakan masih ada hanyalah Kincir Air yang dikatakan dibina oleh Nabi Yusuf. Malangnya perjalanan kami di Fayoum tidak sampai ke Kincir Air ini.

 Kincir Air Nabi Yusuf di kota Fayoum (Gambar dari internet)

Jejak Qarun

Selain kisah Nabi Yusuf, Fayoum juga adalah tempat untuk menjejak kisah Qarun yang diceritakan di dalam Al Quran. Qarun adalah sepupu Nabi Musa. Pada asalnya dia adalah seorang yang miskin dan selalu meminta supaya Nabi Musa mendoakannya menjadi seorang yang kaya. Pada mulanya, Nabi Musa enggan berbuat demikian kerana bimbang Qarun akan melupakan diri selepas menjadi kaya.

Selepas didesak berkali-kali, Nabi Musa akhirnya menerima permintaan Qarun. Namun seperti yang diduga oleh Nabi Musa, Qarun menjadi seorang yang sombong dan angkuh selepas menjadi kaya. Dia enggan mengeluarkan zakat sehingga menimbulkan kemurkaan Allah SWT yang kemudiannya mengarahkan bumi untuk menelan Qarun dan seluruh harta kekayaannya. Kawasan bekas harta kekayaan Qarun yang ditenggelamkan Allah ke perut bumi ini kini dikenali sebagai Tasik Qarun. Malah dalam Bahasa Melayu, harta yang tertanam di dalam tanah walau di mana juga turut digelar sebagai Harta Karun sehingga sekarang.

 Tasik Qarun
 Tasik Qarun besar dan dalam. Mungkin sebesar dan sedalam tasik inilah seluruh harta Qarun ditenggelamkan disebabkan keingkarannya untuk membayar zakat yang diperintahkan.
Di pinggir Tasik Qarun ini juga kami dibawa melawat sebuah runtuhan bangunan lama yang dinamakan sebagai Istana Qarun. Walaupun dinamakan Istana Qarun ia tidak mempunyai perkaitan langsung dengan Qarun dalam erti kata yang sebenarnya. Bangunan ini sebaliknya adalah sebuah kuil Mesir Purba yang digunakan untuk menyembah Dewa Sobek yang berkepala buaya.

Istana Qarun
Sebahagian ukiran Dewa Sobek yang masih dapat dilihat dalam Istana Qarun
Di sekeliling Istana Qarun ini ada kesan-kesan peninggalan bangunan yang seakan telah tertimbus di dalam tanah. Menurut cerita penduduk tempatan, kesan bangunan yang tertimbus ini adalah sebahagian Istana Qarun sebenar yang telah ditelan bumi.

Kesan bangunan tertimbus yang dikatakan sebagai sebahagian Istana Qarun yang sebenar

Wadi Al Rayyan

Selain melawat kesan sejarah di Fayoum, kami juga dibawa melawat ke Taman Negara Wadi Al Rayyan yang berhampiran.

Pintu masuk ke Taman Negara Wadi Al Rayyan
Wadi Al Rayyan terkenal kerana di sinilah letaknya air terjun tunggal yang terdapat di Egypt. Air Terjun ini walau bagaimanapun bukanlah sebuah air terjun semulajadi. Ia terbentuk sewaktu sistem pengairan yang menyambungkan Upper Lake dan Lower Lake dibina. Oleh kerana kedua-dua tasik ini terletak pada aras yang berbeza, maka terbentuklah air terjun yang dinamakan Syalalat ini.

Air Terjun Syalalat di Wadi Al Rayyan
 Lower Lake di Wadi Al Rayyan
Keluarga Mesir sedang beriadah di hujung minggu di Lower Lake

Kisah penuh perjalanan kami ke Egypt boleh dibaca di sini:


TRAVEL REVIEW (1995 - 2020):