Saturday, 20 April 2013

2013 UMRAH BHG. 1 (Madinah)

April 2013

ARAB SAUDI
Makkah & Madinah 

Bahagian 1: MADINAH AL-MUNAWWARAH


Part 1: Amman --> Jeddah --> Madinah 

Penerbangan Royal Jordanian dari Amman, Jordan ke Jeddah, Arab Saudi memakan masa hanya satu setengah jam. Sebaik pesawat mendarat di Jeddah, semua penumpang dibawa menaiki bas ke bangunan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz.

Peta penerbangan dari Amman ke Jeddah. Penerbangan ini hanya mengambil masa satu setengah jam.
Penumpang bersiap-sedia untuk turun di Jeddah. Mereka yang ingin terus masuk ke Makkah telah siap memakai pakaian ihram sejak dari Lapangan Terbang di Amman lagi.
Dalam bas dari pesawat ke bangunan terminal.
Mengikut aturcara perjalanan, dari Jeddah kami akan menaiki bas terus ke Madinah di mana perjalanan dengan bas dijangka memakan masa 6 jam. Malangnya, disebabkan sedikit salah faham, bas yang membawa kami ke Madinah terlewat tiba di Lapangan Terbang.

Menunggu ketibaan bas di King Abdul Aziz Airport, Jeddah
Pemandangan di King Abdul Aziz Airport, Jeddah.
Setelah menunggu lebih sejam, akhirnya barulah bas yang membawa kami ke Madinah tiba.

Bas yang membawa kami ke Madinah
Meletakkan beg di perut bas
Dalam perjalanan ke Madinah, bas membuat persinggahan di sebuah kawasan yang tidak diketahui namanya. Ketika itu, kawasan rehat ini kelihatan sunyi dan sepi.

Hentian Rehat dalam perjalanan dari Jeddah ke Madinah
Pondok jualan kopi di Hentian Rehat
Bergambar kenangan di Hentian Rehat
Disebabkan hampir semalaman tidak tidur kerana menunggu pesawat di Amman, ramai ahli rombongan yang tertidur dengan lena dalam perjalanan, termasuklah Myself. Tak sedar pun yang sebenarnya bas kami dipandu dengan sangat laju. Sewaktu Myself bangun dari tidur, bas dah pun tiba di Madinah - dalam tempoh masa hanya kira-kira 4 jam.

Part 2: Madinah 


Madinah Al-Munawwarah ialah kota paling suci yang kedua bagi umat Islam. Di sinilah terletaknya Masjid Nabawi yang mana di dalamnya terdapat makam Nabi Muhammad saw. Kawasan masjid yang asal dibina di atas tapak rumah Nabi Muhammad s.a.w. Rumah baginda kemudiannya menjadi sebahagian daripada bangunan masjid apabila masjid itu diperbesarkan.

Pemandangan di pinggir bandar Madinah
Satu lagi pemandangan di pinggir bandar Madinah
Masjid Nabawi terletak di tengah-tengah kota Madinah. Asalnya ia merupakan tapak pusat pengeringan tamar dan kebun tamar milik dua orang anak yatim. Rasulullah saw telah membeli tanah itu daripada mereka dan membangunkan masjid bersama-sama dengan Kaum Ansar dan Muhajirin. Sabda Rasulullah saw: “Pahala solat di masjidku ini adalah 1,000 kali lebih baik daripada solat di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram”.

Kami tiba di kota Madinah sewaktu azan Zohor berkumandang di udara. Memandangkan kami baru tiba dan masih belum settle down, terpaksalah melepaskan peluang untuk bersolat Zohor di Masjid Nabawi. Memang terasa amat rugi sekali kerana pahala bersolat di Masjid Nabawi 1,000 kali ganda berbanding solat di masjid-masjid lain. Bila tiba waktu Asar, awal-awal lagi dah bergerak ke Masjid.

Walaupun kota Madinah ramai pengunjung ketika itu, kenangan kesibukan sewaktu mengerjakan Haji membuatkan Myself merasakan kota ini tidaklah sibuk pada masa itu. Mungkin ada kebenarannya ketika itu kerana setiap kali waktu solat, ada ruang-ruang dalam Masjid yang tidak dipenuhi Jemaah.

Pemandangan berhampiran kawasan Masjid Nabawi yang dipenuhi hotel-hotel penginapan Jemaah Umrah dari seluruh dunia.
Pemandangan di bandar Madinah, berhampiran pintu ke Masjid Nabawi
Pemandangan lebih dekat pintu masuk ke Masjid Nabawi

Part 3: Masjid Nabawi 

Tidak seperti pengalaman sewaktu menunaikan Haji dan sesi-sesi Umrah sebelum ini, Myself dapati pemeriksaan polis di pintu masuk ke Masjid Nabawi tidak seketat dulu. Senang sekali Myself membawa (menyeludup sebenarnya) kamera masuk ke Masjid. Makanya, banyaklah juga gambar dalam masjid yang dapat diambil dan diabadikan dalam blog ini.

Pemandangan di ruang solat wanita kira-kira sejam sebelum solat bermula.
Pemandangan di ruang solat wanita selepas azan, sebelum solat bermula.
Tong-tong air zam zam disediakan di laluan keluar-masuk masjid. Air zam zam ini dibawa dari Makkah setiap hari.
Pada satu hari, Myself terlewat datang ke Masjid kerana mengikut program ziarah luar. Oleh kerana sukar nak mencari tempat solat di bahagian depan, terpaksalah bersolat betul-betul di depan tong air zam zam ni.
Pada waktu subuh dan solat Maghrib/Isyak, bumbung masjid akan dibuka untuk membolehkan udara sejuk di luar masuk ke dalam masjid.
Pemandangan selepas solat. Para Jemaah berpusu-pusu menuju ke pintu untuk keluar dari masjid.
Payung-payung automatik dibuka di dataran masjid untuk keselesaan Jemaah yang memilih untuk bersolat di luar masjid.
Payung-payung di dataran masjid ditutup sewaktu solat Subuh dan Maghrib/Isyak.
Pemandangan di luar pintu masuk wanita selepas solat
Penjaja-penjaja sentiasa mengambil kesempatan untuk menjual barangan masing-masing betul-betul di luar pagar masjid sehingga menimbulkan kesesakan.
Penjual jubah di luar pintu pagar masjid
Jualan lambak di luar pintu masjid
Tempat pertemuan kami setiap kali selepas solat - tepi Hotel Dar Taqwa yang terletak betul-betul di luar pintu pagar masjid.
Berikut adalah gambar-gambar sekitar Masjid Nabawi yang sempat diabadikan dalam kunjungan ke Madinah pada kali ini.

Salah sebuah pintu masuk utama Masjid Nabawi yang dikhaskan untuk jemaah lelaki.
Garisan kedudukan Imam di dataran Masjid Nabawi. Jika bersolat di luar masjid, perlu pastikan kita berdiri di belakang garisan ini untuk mendapatkan pahala solat berjamaah.
Allah dan RasulNya - masa ambil gambar ini tak perasan yang awan di atas tu seolah-olah membentuk tulisan "Allah". Di bawah kubah hijau itulah letaknya Makam Nabi Muhammad saw.
Paip air minuman di dataran masjid
Pengunjung masjid berehat di bawah payung
Ruang solat wanita di dataran masjid
Pekerja sedang membuat penyelenggaraan sebuah payung di dataran masjid

RAUDHAH 

Rasulullah SAW bersabda “Antara kamarku dan mimbarku terletak satu bahagian dari taman syurga” ~ Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sebilangan besar para ulama mempercayai tempat yang dikatakan itu adalah Raudhah yang mana sekarang ini terletak di dalam Masjid Nabawi. Kawasan ini adalah antara tempat yang paling makbul doa. 

Kawasan Raudhah ini kecil sahaja. Jadi tak hairanlah jika para Jemaah berpusu-pusu dan berasak-asak untuk masuk ke sana. Kawasan Raudhah untuk perempuan jauh lebih kecil dari kawasan yang dikhaskan untuk lelaki ~ sekadar 2 saf solat sahaja. 

Myself tak bawa kamera waktu masuk ke dalam Raudhah. Jadi gambar-gambar yang ditunjukkan di sini adalah dari kamera Husband.

Jemaah berpusu-pusu ingin masuk ke Raudhah
Kata Husband, walaupun kawasan Raudhah untuk lelaki lebih besar dari kawasan untuk perempuan, sukar bagi lelaki nak masuk ke Raudhah ni kerana ramai Jemaah yang duduk lama-lama dan tak mahu bangun-bangun selepas dapat masuk ke sana. Bukankah melapangkan tempat untuk orang lain sesuatu yang dituntut dalam Islam? Mungkin mereka tak faham konsep ini.
Mimbar di dalam Raudhah
Pemandangan pusara Rasullullah dan 2 sahabat baginda: Abu Bakar dan Umar Al-Khattab yang turut disemadikan bersebelahan Baginda di dalam Masjid Nabawi. Kalau dari sebelah kawasan perempuan, memang tak nampak langsung pemandangan begini.
Tidak seperti Jemaah lelaki yang mana Raudhah boleh dikunjungi pada bila-bila masa, Raudhah hanya dibuka pada waktu-waktu tertentu untuk wanita (selepas Solat Subuh dan Selepas Solat Isyak). Waktu untuk melawat hanya sekitar 2 jam sahaja.

Untuk masuk ke dalam Raudhah, jemaah perempuan akan dikumpulkan mengikut negara masing-masing. Jemaah dari Malaysia akan dikumpulkan dengan jemaah dari Indonesia, Thailand dan lain-lain negara Asia Tenggara yang setara dari segi saiz badan. Semua jemaah-jemaah ini dikategorikan oleh pihak berkuasa Arab Saudi sebagai "Malaysia". Bagi Myself, ini satu penghormatan untuk jemaah Malaysia walaupun sebenarnya jemaah Indonesia jauh lebih ramai dari jemaah Malaysia.

Sistem ini juga telah diamalkan sewaktu Myself menunaikan ibadah Haji pada tahun 2005. Pada 2 kunjungan lebih awal (tahun 1998 dan 2002), sistem ini belum diperkenalkan. Maka jemaah yang saiz badannya lebih kecil macam orang Malaysia sering saja diasak habis-habisan oleh jemaah dari Turki dan Iran yang saiz badan mereka jauh lebih besar sewaktu berebut-rebut masuk ke dalam Raudhah. Myself sendiri pernah merasakan pengalaman ini ketika itu.

Part 4: Perkuburan Baqi' 


Perkuburan Baqi' terletak bersebelahan dengan Masjid Nabawi. Perkuburan Baqi’ adalah perkuburan paling mulia di antara kesemua perkuburan di dunia berdasarkan kepada Hadis Rasullullah saw: “Aku adalah orang pertama yang keluar daripada Bumi (ketika hari kebangkitan), kemudian Abu Bakar, kemudian Umar, kemudian giliran penghuni Baqi’ yang akan berhimpun bersamaku. Kemudian aku menunggu penduduk Makkah sehingga penuh di antara dua Masjidil Haram”. 

Perkuburan Baqi’ menempatkan makam para Ahlul Bait, isteri-isteri Rasulullah saw (selain Siti Khadijah  kerana beliau dikuburkan di Perkuburan Ma’ala di Makkah), para sahabat besar, para tabi'in, para syuhada dan ulama-ulama salaf. Walau bagaimanapun, kubur-kubur tersebut tidak bertanda kerana telah dimusnahkan oleh Kerajaan Arab Saudi yang bimbangkan amalan-amalan khurafat.

Pintu masuk ke Perkuburan Baqi'.
Perkuburan Baqi' hanya boleh dilawati oleh jemaah lelaki. Bagi wanita, kita boleh menjenguk ke dalam perkuburan ini dari luar pagar di tepi highway.

Menjenguk ke dalam Perkuburan Baqi' dari luar pagar di tepi highway.
Pemandangan dalam perkuburan Baqi'

Part 5: Hotel Mubarak Silver 

Hotel penginapan kami di Madinah adalah Hotel Mubarak Silver yang terletak kira-kira 200 meter dari Masjid Nabawi.

Hotel Mubarak Silver, Madinah
Lobi Hotel Mubarak Silver
Kiosk kecil di bucu lobi hotel yang menjual makanan ringan seperti roti, kek dan mi segera.
Kumpulan-kumpulan jemaah anjuran Andalusia Travel & Tours datang dan pergi setiap hari. Program-program ziarah dan pengumuman-pengumuman penting diletakkan di papan tanda di lobi hotel untuk kemudahan rujukan.

Papan tanda di lobi hotel di mana notis-notis penting diletakkan untuk kemudahan rujukan para jemaah.
Aturcara untuk kumpulan kami di Madinah.
Dah puas makan makanan Arab sewaktu di Jordan, para jemaah kumpulan kami cukup seronok dengan makanan Melayu yang dihidangkan di Madinah.

Makanan Melayu yang disediakan oleh pihak Andalusia
Suasana di dewan makan Hotel Mubarak Silver
Sajian yang ringkas tetapi menyelerakan
Pihak Andalusia juga menyediakan Program Ceramah Agama yang diadakan di dewan makan hotel.

Program Ceramah Agama mengenai kelebihan Kota Madinah.

Part 6: Masjid Quba' 

Antara program yang ditunggu-tunggu oleh para Jemaah sewaktu di Madinah adalah Program Ziarah Luar. Dalam program ini, jemaah akan dibawa melawat ke tempat-tempat menarik dan bersejarah di sekitar kota Madinah.

Lazimnya, Program Ziarah Luar di Madinah akan dimulakan dengan menziarah Masjid Quba'. Masjid ini adalah masjid yang pertama didirikan oleh Rasullullah saw sewaktu baginda berhijrah ke Madinah.  

Sewaktu hidupnya, baginda Rasullullah dikatakan sering berkunjung ke sini pada setiap hari Sabtu. Malah Baginda juga bersabda, jika seseorang datang bersolat ke Masjid Quba' dalam keadaan berwuduk, maka dia akan diberikan pahala seperti satu umrah.

Untuk membolehkan jemaah mendapatkan pahala umrah yang dijanjikan, maka agensi-agensi umrah akan mengaturkan lawatan ziarah luar pertama mereka di Masjid ini. Dengan itu, bolehlah pengunjung berwuduk di hotel dan terus saja bersolat di masjid ini.

Masjid Quba'
Pemandangan ruang solat lelaki dalam Masjid Quba'
Pemandangan ruang solat wanita dalam Masjid Quba'
Penerangan mengenai kelebihan Masjid Quba'
Berposing kat luar Masjid Quba'

Part 7: Bukit Uhud 

Program lawatan seterusnya ialah ke Bukit Uhud (atau dalam Bahasa Arabnya Jabal Uhud). Dalam perjalanan, bas singgah sebentar di sebuah stesen minyak. Walaupun Arab Saudi sangat kaya dengan hasil minyak, Myself perhatikan stesen-setesen minyaknya sangatlah tak glamour.

Stesen minyak tipikal di Arab Saudi
Pam minyaknya sama buruk dengan kereta yang mengisi minyak.
Di Bukit Uhudlah berlakunya Perang Uhud di antara tentera Islam dengan Tentera Kafir Quraisy yang berakhir dengan kekalahan tentera Islam. Inilah satu-satunya peperangan di mana tentera Islam tewas sewaktu di bawah pimpinan Rasullullah. Punca kekalahan adalah kerana tentera Islam tidak mengikut arahan Rasullullah saw.

Tempat parking bas di Bukit Uhud
Enam tahun tak berkunjung ke sini, pelbagai perubahan diperhatikan di sekitar Bukit Uhud.

Masjid sedang dalam pembinaan di Bukit Uhud
Bangunan di pintu masuk ke Bukit Uhud ini mungkin sebuah sekolah. Ada mural yang menarik mengenai Perang Uhud di tembok pagarnya.
Mural peta Perang Uhud dari dekat
Penjaja di kawasan Jabal Uhud. Di belakang penjaja ini (dalam pagar yang ditabir dengan kepingan plastik) adalah Makam Syuhada'.
Kepiluan Nabi Muhammad saw di Bukit Uhud menyaksikan bapa saudara baginda Hamzah dan sahabat-sahabat yang lainnya gugur dalam Perang Uhud digambarkan oleh Rasul dengan menyebut bahawa bukit ini adalah bukit yang nantinya akan dapat dilihat di Syurga. Jadi, umat Islam yang berziarah ke Bukit Uhud, InsyaAllah akan menyaksikan kembali bukit ini di saat berada di Syurga kelak.

Mutawwif kami sedang memberi penerangan tentang para syuhada' yang terkorban di sini.
Makam syuhada' terletak di sebalik pagar besi ini yang ditabir dengan kepingan plastik.
Gambaran jelas makam syuhada' di Bukit Uhud ini dilihat menerusi sebuah lubang di sebalik tabir plastik yang telah pecah. 70 orang syuhada' dikebumikan dalam kubur yang ditandakan dengan kepingan batu di sekelilingnya di tengah-tengah sana.
Bukit Rummat di mana pemanah-pemanah ditempatkan oleh Rasullullah dalam Perang Uhud. Bukit ini kini semakin rendah disebabkan hakisan.
Kumpulan Jemaah dari Kerala, India.
Kami juga bertemu dengan kumpulan jemaah dari Thailand yang begitu hi-tech di sini. Sewaktu mutawif-mutawif lain terpaksa meninggikan suara memberi penerangan tentang Perang Uhud kepada jemaah-jemaah mereka, mutawwif dari Thailand ini bercakap menggunakan mikrofon. Malah mereka turut membawa speaker ke mana-mana untuk membolehkan penerangan didengari dengan jelas oleh setiap ahli kumpulan.

Kumpulan Jemaah dari Thailand yang begitu hi-tech sekali.
Mutawwif Thai ini memberi penerangan kepada ahli kumpulannya menggunakan mikrofon.
Petugas ini membawa speaker ke mana-mana untuk memudahkan ahli kumpulan mereka mendengar penerangan yang diberikan.

Part 8: Melawat Ladang Kurma

Bumi Madinah mempunyai 2 kali keberkatan berbanding kota Makkah kerana ia didoakan oleh Nabi Muhammad saw. Manakala keberkatan kota Makkah didoakan oleh Nabi Ibrahim as. Berdasarkan kandungan ceramah agama yang kami ikuti di Madinah, kami diberitahu bahawa tanah dan udara Madinah adalah ubat.   

Berkat doa Nabi Muhammad saw, bumi Madinah subur dan makmur. Bumi Madinah mengeluarkan tamar Ajwah yang mempunyai khasiat lebih daripada khasiat yang terdapat pada tamar-tamar lain. Malah Rasulullah saw pernah bersabda: “Sesiapa yang di waktu pagi makan 7 biji kurma Ajwah, pada hari itu dia tidak akan terkena racun mahupun sihir.”    

Sewaktu ziarah luar kota Madinah, rombongan kami dibawa melawat sebuah ladang kurma. Di ladang ini juga terdapat sebuah pusat jualan buah kurma. Kami diberitahu harga buah kurma di ladang ini lebih mahal berbanding yang dijual di Pasar Kurma, tetapi kualitinya lebih terjamin kerana buah-buah yang dijual adalah lebih segar.

Ladang kurma di Madinah
Pemandangan pusat jualan kurma di dalam ladang
Pemandangan di dalam pusat jualan kurma dalam ladang. Boleh kenyang ketika di sini kerana sampel-sampel kurma percuma diberikan kepada pengunjung tanpa had.
Mengangkut 6 kg kurma yang dibeli di ladang ini.

Part 9: Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh 

Disebabkan kesuntukan masa, kami hanya melalui Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh tanpa berhenti.

Masjid Qiblatain
Masjid Qiblatain adalah masjid di mana Nabi Muhammad saw menerima wahyu untuk mengubah arah kiblat dari Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis ke Kaabah di Makkah.

Masjid Tujuh
Masjid Tujuh pula mempuyai perkaitan dengan peristiwa Perang Khandak. Sebagai persediaan menghadapi Perang Khandak, Nabi Muhammad dan sahabat-sahabat baginda telah membina parit mengelilingi Madinah atas cadangan dari Salman Al-Farisi.

Lazimnya Nabi dan para sahabat akan bersolat bersama. Namun disebabkan sahabat berpecah kepada 7 kumpulan untuk menggali parit, setiap kumpulan telah mendirikan masjid kecil masing-masing untuk memudahkan ibadah di samping tugas menggali.

Pada masa sekarang, kesemua 7 masjid kecil ini telah dirobohkan dan digantikan dengan satu masjid yang lebih besar yang dinamakan Masjid Tujuh.

Part 10 : Pasar Kurma

Disebabkan masih ada ahli rombongan yang nak membeli kurma, Mutawwif membawa kami singgah di Pasar Kurma. Berbanding dengan pusat jualan kurma di Ladang Kurma, Pasar Kurma menawarkan lebih banyak pilihan kurma.

Pasar Kurma di Madinah
Kedai-kedai di Pasar Kurma
Membeli-belah kurma di salah sebuah kedai di Pasar Kurma


Bersambung ke Bhg. 2... 


CATATAN PERJALANAN JORDAN & UMRAH (2013):