Sunday, 6 November 2016

2016 KUWAIT & UAE BHG. 06 (Mirror House)

Oktober 2016

MIDDLE EAST
KUWAIT, DUBAI & ABU DHABI

Bahagian 6: Kuwait (5)
MIRROR HOUSE

HARI KETIGA (2)

Part 18: Shaab Al-Ha Restaurant

Sekembalinya dari Kuwait Towers, kami singgah di sebuah restoran kecil yang bernama Shaab Al-Ha. Restoran ini menjual makanan India di samping makanan tipikal Arab.

Shaab Al-Ha Restaurant
Pemandangan di dalam restoran
Kami tak makan di restoran. Sebaliknya kami hanya membungkus makanan untuk dibawa balik ke rumah.

Chicken Biryani
Sedap sangat...

Part 19: Mirror House

Lawatan seterusnya pada petang itu adalah ke sebuah tarikan unik di Kuwait City yang bernama Mirror House. Ia sebenarnya adalah rumah kediaman persendirian yang dihias dengan cermin kaca. 

Mirror House
Oleh kerana Mirror House adalah sebuah rumah persendirian, ia tidak bebas untuk dilawati pada bila-bila masa. Untuk masuk melawat ke dalamnya, kita perlu membuat appointment dengan pemiliknya, Lidia Al Qattan. Kami bertuah kerana Rakan Husband telah membantu dengan membuatkan appointment dengan Lidia bagi pihak kami sejak awal lagi.

Walaupun Mirror House adalah tarikan utama pengunjung ke Kuwait City, ia tidak bebas untuk dikunjungi pada bila-bila masa. Lawatan hanya boleh dibuat melalui appointment.
Sejak dari luar lagi, Mirror House sangat menarik perhatian. Dinding bata di luarnya terhias cantik dengan kepingan-kepingan cermin kaca berbentuk rama-rama, bintang, planet, pokok kurma dan juga kaligrafi.

Hiasan cermin kaca pada dinding luar Mirror House.
Kedatangan kami disambut sendiri oleh pemilik rumah ini, Lidia Al Qattan yang sangat ramah. Seperti juga lawatan kami ke Green Island semalam, Rakan Husband tidak turut bersama kami melawat ke sini kerana dia dah beberapa kali melawat ke dalamnya.  

Lidia sebenarnya berasal dari Itali. Dia berpindah untuk menetap di Kuwait selepas berkahwin dengan suaminya, Khalifa Al Qattan yang merupakan seorang warga Kuwait.

Lidia Al Qattan yang menyambut kedatangan kami dengan begitu mesra.
Rumah ini sebenarnya dimiliki bersama oleh Lidia dan suaminya, Khalifa Al Qattan yang merupakan seorang artis terkemuka di Kuwait sewaktu hayatnya. Walau bagaimanapun, Khalifa Al Qattan telah meninggal dunia dan Lidia yang juga seorang artis tinggal bersendirian di rumah ini sekarang.

Bersama kami dalam lawatan ini adalah seorang wanita dari Amerika Syarikat yang bernama Barbara. Dia sebenarnya datang ke Kuwait untuk menjaga rumah kakaknya yang menetap di Kuwait kerana mengikut suaminya yang bertugas di pangkalan tentera Amerika Syarikat di sini.

Menurut Barbara, kakaknya dan suaminya terpaksa pulang ke Amerika untuk menguruskan sesuatu di sana dan beliau menawarkan diri untuk menjaga rumah mereka di sini. Kakak Barbara dan suaminya memelihara 13 ekor kucing di rumah mereka. Bila dia berada di sini, bolehlah Barbara membantu memberi makan kepada kucing-kucing peliharaan kakaknya ini. Kata Barbara lagi, kesemua kucing ini adalah asalnya kucing terbiar di jalanan yang diberi perlindungan oleh kakaknya dan suami beliau.

Lidia dan Barbara
Sebaik masuk ke dalam rumah, kami dibawa oleh Lidia ke ruang tamu. Memang serious, terpegun kami melihat dekorasi rumah ini yang dihias dengan kepingan-kepingan cermin kaca dari lantai sehinggalah ke dindingnya. 

Hiasan cermin kaca dalam rumah ini dibuat sendiri oleh Lidia Al Qattan bermula dari tahun 1996 sehingga 2006 tanpa bantuan sesiapa pun. Menurut Lidia, dia merasa puas membuat dekorasi cermin kaca ini bersendirian kerana lebih bebas dan bermakna. Kira-kira 100 ton simen putih dan 75 ton cermin digunakan oleh Lidia untuk menghias rumah ini.

Perhiasan cermin kaca di Mirror House
Pemandangan ke arah dapur dari ruang tamu.
Lidia melayan semua pengunjung ke rumahnya dengan begitu baik. Bersusah-payah dia membakar strawberry cake dan menyediakan homemade lemonade untuk kami. Walaupun kami dan Barbara dah kenyang makan tengahari sebelum datang ke sini, masih sukar untuk menolak kek dan minuman yang diberi kerana memang sedap dan enak.

Kami dilayan dengan begitu mesra oleh Lidia sewaktu berkunjung ke sini.
Homemade lemonade, kek strawberry dan kuih yang sangat enak dijamu oleh Lidia sebelum kami memulakan lawatan.
Idea menggunakan cermin untuk menghias rumah ini bermula pada tahun 1976 apabila anak perempuan Lidia yang bernama Jalila terpecahkan sebuah cermin kaca. Kepingan cermin kaca ini tidak dibuang oleh Lidia. Dia sebaliknya mengumpulkan kepingan tersebut untuk dijadikan sebuah art masterpiece di rumah mereka.

Ketika itu, suami Lidia, Khalifa Al Qattan sedang berada di Amerika Syarikat kerana dijemput oleh Kerajaan Kuwait untuk mengadakan satu pameran lukisan di sana sempena pembukaan Kedutaan Kuwait di Washington DC. Lidia berjaya menyiapkan perhiasan kaca ini pada sebuah dinding di dalam rumah mereka dalam tempoh beberapa hari sahaja, sesuai dengan hasratnya ingin memberikan "surprise" kepada suaminya.

Dinding yang dihiasi kepingan cermin kaca serta sebahagian ayat dari Surah Al Alaq di dalam Al Quran yang juga dibuat dari kepingan cermin kaca.
Dengan approval dari suaminya, Lidia mula menghias seluruh rumah dengan cermin kaca. Namun demikian, pada suatu hari dia mendapati ada warna gelap yang muncul pada dinding di celah-celah kepingan cermin kaca yang dipasang pada kabinet di ruang tamunya. Pada mulanya, Lidia menyangka ia adalah kelembapan yang berpunca dari kebocoran dari bilik air di sebelah ruang tamu. Namun bila dia mendapati yang itu adalah sebenarnya serangan anai-anai, Lidia memecahkan semula semua mozek cermin kaca yang telah dipasang dan mula membersihkan seluruh dinding rumah dengan kerosene.

Dia membina kembali perhiasan mozek cermin kacanya bermula dari tahun 1996 sehingga siap pada tahun 2006. Ketika ini, timbul pula idea kepada Lidia untuk mewujudkan bilik dengan tema-tema yang tertentu di seluruh rumah. Dia mencipta cement mix yang sesuai untuk melekatkan cermin kaca. Untuk menguji kekuatan cement mix ini, beliau membenarkan kanak-kanak di kawasan kejiranannya untuk melastik kepingan cermin kaca berbentuk haiwan yang dipasang pada tembok di luar rumah. Ternyata cement mix tersebut cukup kuat untuk mengelakkan cermin kaca yang dipasang dari pecah berderai.

Kabinet di dinding belakang Husband inilah mozek cermin kaca pertama yang dipasang oleh Lidia di rumah mereka. Lampu biru turut dipasang di ruang tamu rumah ini untuk membangkitkan keindahannya.
Perhiasan di dinding dan sebahagian siling.
Lidia walau bagaimanapun tidak membenarkan kasut tumit tinggi dipakai sewaktu melawat rumah ini kerana tekanan dari kasut ini boleh merosakkan kepingan kaca yang dipasang pada lantai.
Lidia memberi penerangan kepada kami tentang sejarah bermulanya usaha beliau mewujudkan Mirror House ini.
Kemudian kita menjenguk ke dapur rumah Lidia. Walla, cantiknya! Seperti juga ruang tamunya, dapur rumah ini juga dihias indah dengan mozek-mozek cermin kaca.

Dapur di Mirror House
Dapur ini bukan dapur hiasan. Di sinilah Lidia memasak kek untuk menjamu kami tadi.
Satu lagi pemandangan di dapur Mirror House.
Meja di dapur juga dihias dengan cermin kaca.
Lidia seterusnya membawa kami ke bilik yang dulunya merupakan bilik tidur anaknya. Menurut Lidia, dia pada mulanya tidak bercadang untuk turut menghias bilik ini dengan mozek cermin kaca. Namun sewaktu kecilnya, anak Lidia gemar menconteng dinding. Puas Lidia cuba membersihnya, namun dinding menjadi semakin kotor. Jadi Lidia mencari cara kreatif untuk mengatasinya menggunakan hiasan mozek cermin kaca yang ketika itu sedang dibuat di dinding ruang tamunya.

Ketika ditanya bagaimana dia memikirkan bentuk-bentuk kaca yang akan diguna sebagai hiasan dinding, Lidia memberitahu kami yang dia tidak memecahkan cermin kaca mengikut bentuk yang tertentu. Dia hanya membaling cermin kaca ini setinggi-tinggi sehingga cermin jatuh berderai. Apa saja bentuk deraian cermin kaca yang terhasil, itulah yang akan diguna untuk membentuk lukisan-lukisan dan hiasan pada dindingnya dengan begitu kreatif.

Hiasan dinding di bilik tidur anak Lidia.
Bilik ini dihias dengan tema cakerawala.
Lantai cermin kaca di bilik tidur anak Lidia.
Lidia bukan sekadar memikirkan hiasan menarik pada dinding dan lantai cermin kacanya. Dia juga memikirkan tentang pencahayaan ruang-ruang di rumahnya supaya kelihatan lebih menarik di waktu malam. Jika perhiasan lampu biru dipasang di ruang tamunya tadi, bilik ini pula dipasang dengan lampu-lampu yang menimbulkan pemandangan bintang-bintang yang sedang bertaburan di cakerawala.

Bilik anak perempuan Lidia yang bertukar menjadi cakerawala bila lampu dipadamkan.
Lidia sedang memberi penerangan tentang perhiasan di bilik tidur anaknya.
Pemandangan ruang tamu dari bilik tidur anak Lidia.
Kemudian Lidia menunjukkan pula korridoor di rumahnya. Tema hiasan pada dinding di korridoor ini adalah Corridoor of Nations. Manakala tema hiasan pada lantainya pula adalah Sharks Hall.

Korridoor yang dinamakan Corridoor of Nations.
Mengikut Lidia ke Corridoor of Nations.
Lidia menamakan ruang ini sebagai Sharks Hall dan mengisinya dengan hiasan lukisan ikan jerung.
Lukisan ikan jerung.
Kemudian kita mengintai pula ke bilik air yang dulunya pernah Lidia suspek mengalami kebocoran itu. Walla... kat sini pun hebat juga!

Bilik air yang hebat di Mirror House
Toilet Bowl
Ruang shower
Sinki
Sesuatu yang Myself perhatikan di Mirror House ini ialah hasil kerja Lidia sangat teliti. Tak ada langsung ruang yang "terbiar" termasuklah di bucu-bucu dinding dan lantai. Mozek cermin kaca yang dipasang juga cukup rata. Tak ada langsung part yang rasa terbonjol atau out of place kalau kita memegangnya. Kata Lidia setiap keping serpihan cermin kaca yang digunakan akan dikikis terlebih dahulu bahagian tepinya untuk mengelak dari terluka sewaktu mengendalikannya. Kagum Myself mendengarnya sebab bukan sekeping dua serpihan cermin kaca yang diguna. Malah, beribu-ribu keping!

Ruang terakhir yang ditunjukkan kepada kami di tingkat bawah adalah perpustakaan. Banyak betul buku yang disimpan di sini, dari lantai sampailah ke siling. Tujuan Lidia membawa kami ke sini adalah kerana dia nak menunjukkan kepada kami betapa teruknya serangan anai-anai di rumah ini dulu.

Perpustakaan
Koleksi bukunya sampai ke siling.
Buku yang teruk dimakan anai-anai.
Kemudian, kita naik tangga ke tingkat atas pula. Tingkat atas ini menempatkan galeri hasil seni Khalifa Al Qattan dan Lidia Al Qattan sendiri.

Stairs of Inspiration
Hasil seni arwah suaminya Khalifa Al Qattan masih disimpan rapi oleh Lidia di rumahnya. Pelbagai tema hasil kerja Khalifa Al Qattan ada di sini seperti "The Egg", "The Apple", "Women I Saw" dan "The Prophecy".

Melihat hasil karya Khalifa Al Qattan
Karya yang bertemakan "Apple".
Karya bertemakan "Apple" ini menceritakan tentang pengaruh seks terhadap keluarga dan masyarakat. Tema "Apple" dipilih sempena kisah Nabi Adam dan Siti Hawa yang melanggar larangan Allah supaya tidak memakan buah khuldi di syurga sehingga menyebabkan kedua-dua mereka diusir ke bumi. Ketika berbincang tentang topik inilah Barbara memberitahu kami perbezaan kisah Nabi Adam dan Siti Hawa ini di dalam kedua-dua Quran dan Bible. Rupa-rupanya dia tahu banyak juga mengenai Islam kerana kakaknya yang menetap di Kuwait ini telah memeluk agama Islam.

Lagi hasil karya Khalifa Al Qattan
Potret-potret Khalifa Al Qattan yang dilukis oleh pelukis-pelukis lain.
Antara penghargaan yang pernah diterima oleh Khalifa Al Qattan.
Kalau tak salah, tema karya ini ialah "Phrophecy".
Antara karya Khalifa Al Qattan yang menarik perhatian kami ialah yang bertemakan "Phrophecy". Ia menggambarkan firasat Khalifa Al Qattan sekiranya Kuwait diserang oleh Iraq. Apa yang menarik ialah karya ini dilukis oleh Khalifa Al Qattan lama sebelum meletusnya Perang Teluk. 

Kemudian kami ditunjukkan oleh Lidia hasil kerja seninya sendiri. Bak komen Barbara kepada kami, karya Lidia lebih menarik dari hasil karya suaminya kerana dia tidak sekadar melukis di atas kanvas. Malah hasil karya meliputi berbagai medium seperti kaca, porselin dan barang-barang terpakai.

Galeri hasil karya Lidia Al Qattan
Hasil karya Lidia Al Qattan yang terdiri dari pelbagai medium.
Lidia memberi penerangan tentang hasil karya seninya.
Lagi karya seni Lidia.
Mungkinlah yang kami ini agak buta seni, namun pengunjung dari USA yang bersama kami, Barbara cukup kagum dengan hasil karya Lidia. Barbara bekerja sebagai seorang Event Planner dan berasal dari North Carolina di Amerika Syarikat, namun dia memberitahu kami yang pada ketika ini dia lebih rela mengaku dirinya sebagai seorang rakyat Kanada dan bukan rakyat Amerika kerana seboleh-bolehnya dia enggan mengundi dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat yang semakin menjelang.

Menurut Barbara, dia tak suka dengan kedua-dua calon yang sedang bertanding untuk jawatan Presiden Amerika Syarikat, Hilary Clinton dan Donald Trump. Namun dibandingkan Clinton dan Trump, dia lebih menyampah dengan Donald Trump. Kata Barbara, memang malu Amerika kalau mempunyai Presiden seperti Donald Trump. Kerana itulah dia rela mengaku dirinya sebagai rakyat Kanada pada masa ini. Memang kelakar bila mendengar Barbara ni bercerita...

Kemudian, kita dibawa naik setingkat lagi ke House of Mirror. Ingat tak Myself pernah cerita yang rumah kediaman orang Kuwait ni besar dan bertingkat-tingkat sewaktu kami melawat ke Tariq Rajab Museum dulu? House of Mirror juga begitu kerana ia adalah rumah kediaman Lidia sebenarnya.

Di tingkat 3 ini, kita ke sebuah hasil karya Lidia yang lebih special. Karya ini dinamakan oleh Lidia sebagai Art Game. Di bilik ini ada sebuah karya seni Lidia yang dibuat atas sejenis kain yang melekit macam velcro. 

Di sini setiap kami diberi 7 kepingan segiempat yang Myself tak tahu dibuat dari apa sebenarnya. Kami dikehendaki membaling kepingan segiempat ini kepada kain velcro di depan tu dan Lidia akan memberikan markah mengikut hasil lekatan segiempat pada velcro ini. Kalau kami dapat melekatkan segiempat kepada velcro dengan kedudukan perfect tak senget tinggilah markahnya, kalau senget pulak kuranglah sikit markahnya. Makin senget makin kuranglah markahnya.

Dah pasti Myself yang dapat markah paling corot sebab ada 2 keping je segiempat tu yang melekat. Dahlah begitu, senget pulak tu... Husband yang menang Game ini. Dia cukup seronok mengusik Barbara sebab Barbara terbaling sekeping segiempatnya dan melekat kat kepingan velcro Husband. Tak habis-habis Husband mengucap terima kasih kat Minah US tu sebab bagi markah free kepada dia. Tapi memang fun sungguh main Game ini.

Art Game. Cuba teka velcro yang mana satu Myself punya?
Kemudian kita ke sebuah lagi bilik hasil karya Lidia di mana di bilik ini Lidia sebenarnya bermain dengan lampu. Myself dah lupa nama tema bagi bilik ini. Dalam bilik ini ada lukisan-lukisan 3D. Bila lampu dinyalakan, terkesima kita dengan keindahannya yang out of this world.

Karya 3D yang dihasilkan oleh Lidia. Gegar pulak gambar ni.
Menyala-nyala hasil seni kat sini.
Banyak betul idea seni Lidia ni. Katanya semua ini datang secara ilham tiba-tiba. Tak pernah pun dia merujuk kepada sesiapa untuk menghasilkan semua karya seninya di sini.
Di akhir lawatan, kami kemudiannya diperkenalkan pula kepada Art Therapy. Kami dibawa duduk di dalam sebuah bilik yang dinamakan Nucleus Of The Galaxy. Dalam bilik ini ada lukisan satelit, bintang dan juga planet-planet di dinding dan silingnya. Bila lampu dipadamkan, menyala habis semua lukisan di sini yang memberi gambaran seolah-olah kita sedang terbang di Milky Way... Sambil itu ada muzik background lembut yang dimainkan. Pengalaman ini juga macam out of this world.

Bergambar dengan Lidia dalam Nucleus Of The Galaxy
Ada lagi surprise dalam Mirror House ini. Kami dibawa turun ke tingkat bawah dengan menggunakan lif. Ada lif rupanya dalam rumah orang Kuwait yang bertingkat-tingkat ni. Sampai di bawah kami ditunjukkan pula hiasan di Inner Courtyard rumah ini.

Hasil karya Lidia di Inner Courtyard Mirror House.
Pemandangan ke arah pintu ke ruang tamu dari Inner Courtyard
Kami dibawa kembali ke ruang tamu di mana Lidia menjamu kami dengan Strawberry Cake dan Air Halia pula. Air Halia ini dibuat sendiri oleh Lidia dan rasanya memang sedap. Lembut saja rasanya dan tak pedas macam air halia yang biasa kita minum tu.

Di sinilah Tour kami berakhir dan kami membayar KD3 (RM42) bagi tiket masuk. Walaupun bayarannya mahal, memang sepadan dengan pengalaman yang diperolehi tadi.

Dihidang dengan Air Halia pula selepas habis Tour.
Kenangan bersama Barbara
Lidia Al Qattan ni memang baik orangnya. Cukup generous dengan sajian minum petangnya. Bila Rakan Husband dan Abangnya tiba untuk menjemput kami, mereka juga dijemput masuk untuk minum petang bersama. Sambil minum petang, kami dapat mendengar perbualan telefon Lidia dengan tetamu-tetamu yang ingin membuat appointment untuk melawat ke Mirror House ini. Memang tetamu Lidia datang dari seluruh dunia.


Bersambung ke Bahagian 7 ...


CATATAN PERJALANAN (KUWAIT, DUBAI & ABU DHABI 2016):