Wednesday, 2 November 2016

2016 KUWAIT & UAE BHG. 02 (Dubai - Kuwait)

Oktober 2016

MIDDLE EAST
Kuwait, Dubai & Abu Dhabi

Bahagian 2: Kuwait (1)

PENERBANGAN KE KUWAIT & KUWAIT CITY

HARI PERTAMA (2)

Part 5: Terbang ke Kuwait

Penerbangan sambungan kami dari Dubai ke Kuwait berlepas pada pukul 2.55 petang. Walaupun penerbangan ini hanya memakan masa 1 jam 30 minit, pesawat Emirates yang digunakan adalah Airbus 380.

Pemandangan dari dalam pesawat sewaktu di Lapangan Terbang Dubai.
Airbus 330 Emirates berlepas di Airport Dubai.
Airbus 380 pula berlepas ke destinasi.
Pemandangan sebahagian bandaraya Dubai dari atas pesawat sewaktu menunggu giliran untuk berlepas.
Kemewahan syarikat penerbangan Emirates sangat jelas sewaktu pesawat kami beratur menunggu giliran untuk berlepas. Berderet-deret pesawat Airbus 380 beratur di depan dan belakang pesawat kami. Kalau tak salah, Emirates adalah syarikat penerbangan yang mempunyai fleet pesawat Airbus 380 terbesar di dunia.

Pesawat Airbus 380 yang menunggu giliran berlepas di belakang pesawat kami.
Deretan pesawat di belakang pesawat kami yang menunggu giliran untuk berlepas. Beginilah sibuknya Airport di Dubai.
Berlepas menuju ke Kuwait.
Terbang ke utara menuju ke Kuwait.
Penerbangan dari Dubai ke Kuwait merentas Teluk Arab yang juga dikenali sebagai Teluk Parsi. Orang Arab memanggil Teluk ini sebagai Teluk Arab manakala Orang Iran pula memanggil teluk ini sebagai Teluk Parsi.

Peta penerbangan dari Dubai ke Kuwait.
Langit cerah dalam penerbangan ke Kuwait.
Kepulan awan.
Pemandangan di dalam pesawat Airbus 380 dari Dubai menuju ke Kuwait.
Seperti penerbangan dari KL ke Dubai tadi, penerbangan ini juga ada banyak kerusi yang kosong. Memang menjadi amalan Emirates untuk memperkenalkan staf mereka yang bertugas dalam setiap penerbangan. Kapten pesawat ini berasal dari USA dan dibantu oleh dua orang First Officer yang masing-masing berasal dari Mexico dan Switzerland. Ketua Peramugaranya pula berasal dari Argentina dan dibantu oleh krew kabin yang berasal dari Mauritius dan India.

Lupa pulak nak cerita, disebabkan isu keselamatan, semua pesawat Emirates tidak membenarkan telefon Samsung Galaxy Note 7 dibawa masuk ke dalam pesawat. Penumpang-penumpang sentiasa diingatkan untuk menyerahkan telefon ini kepada kakitangan kabin sekiranya terbawa telefon ini masuk ke dalam pesawat. Malah sewaktu check-in juga kita ditanya sama ada kita mempunyai peralatan tersebut di dalam bagasi.

Walaupun penerbangan ini singkat, Emirates tetap menghidangkan sajian yang agak berat kepada penumpang. Tapi kejamlah Emirates dalam penerbangan ke Kuwait ni... Penumpang hanya diberi kira-kira 5 minit saja agaknya (pada pandangan Myself) untuk makan sajian yang dihidangkan. Lepas itu, kelam kabut mereka mengutip kembali tray hidangan kerana kapalterbang dah mula menurun untuk mendarat.

Sajian penerbangan dari Dubai ke Kuwait ~ makanan Arab yang tak biasa kami lihat, tetapi rasanya sangat sedap.
Kami mendapat tempat duduk di ekor pesawat, berdekatan dengan bilik rehat kakitangan kabin. Disebabkan penerbangan ini singkat, tak ada kakitangan kabin yang menggunakannya.
Telaga-telaga minyak di Teluk Arab yang dilihat sewaktu pesawat menghampiri Kuwait.
Pemandangan padang pasir yang lebih luas dapat dilihat bila kami tiba di Kuwait. Impression pertama kita terhadap Kuwait memanglah negara ini kering dan tandus. Tapi setelah kita melihat Kuwait dengan lebih dekat kemudiannya, terbukti salah sungguh impression ini.

Kuwait dan Dubai mempunyai perbezaan waktu sejam di mana waktu di Kuwait lewat sejam berbanding Dubai. Perbezaan waktu di antara Kuwait dengan Malaysia pula ialah 5 jam di mana waktu di Kuwait lewat 5 jam berbanding di Malaysia. Waktu di Dubai pula lewat 4 jam berbanding Malaysia.

Pemandangan pertama negara Kuwait
Tangki-tangki minyak yang dilihat dari dalam pesawat.
Lebuhraya yang moden di tengah padang pasir.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait agak sederhana dan tidaklah hebat seperti di Dubai. Ia juga kurang sibuk kerana bilangan pesawat yang menggunakan lapangan terbang ini tidaklah sebanyak yang dilihat di Dubai.

Selamat mendarat di Lapangan Terbang Kuwait. Kagum melihat banyak padang hijau di lapangan terbang ini selepas melihat padang pasir yang sangat luas dari udara tadi.
Pesawat Kuwait Airways
Bersiap-sedia untuk turun di Airport Kuwait
Kenangan bersama peramugari Emirates yang berasal dari Sabah, Malaysia.
Berjalan masuk ke lapangan terbang.
Selamat Datang ke Kuwait.
Berjalan menuju ke Pemeriksaan Imigresen.
Ada kaunter khas yang disediakan di Airport Kuwait untuk pemegang-pemegang e-Visa seperti kami. Dekat kaunter ini ada disediakan sebuah mesin untuk pembayaran visa. Bayaran visa yang dikenakan ialah KD3 (RM40) seorang. Bayaran hanya diterima dalam Kuwait Dinar. Tapi tak perlu risau sebenarnya jika kita tak memiliki matawang Kuwait Dinar kerana ada sebuah kaunter Money Changer disediakan dekat kaunter e-Visa ini. 

Masukkan wang kertas Kuwait Dinar ke dalam mesin ini dan setem-setem bukti pembayaran akan dikeluarkan. Setem-setem ini perlu diserahkan kepada pegawai Imigresen dan ditampal pada visa kita nanti.

Mesin pembayaran visa.
Setem pembayaran visa.
Kaunter e-Visa.
Lepas selesai urusan imigresen, kita pergi pulak mengambil bagasi. Walaupun pesawat kami tadi tak penuh, bilangan penumpangnya tetap ramai kerana pesawat A380 ini besar. Jadi lama sikitlah kami terpaksa menunggu untuk mendapatkan bagasi kami. 

Tempat mengambil bagasi.
Kawan Husband menunggu di pintu ketibaan. Memang seronok mereka bertemu kembali. Ini sebenarnya kali ketiga Husband menziarah kawannya ni di luar negara. Maklumlah, kawan Husband ni kan Diplomat yang pernah bertugas di berbagai negara. Sebelum ini, Husband pernah menziarah beliau sewaktu dia bertugas di Hungary dan Jepun.

Kawan lama bertemu kembali.
Masih berkawan selepas berkenalan sewaktu di Tingkatan 1 dulu.

Part 6: Kuwait

Kuwait adalah sebuah negara beraja yang kaya dengan minyak di Teluk Arab. Ibu negaranya bernama Kuwait City dan negara ini bersempadan dengan Arab Saudi di selatan dan Iraq di utara. Penduduknya berjumlah kira-kira 4 juta orang yang hampir 75% dari jumlah tersebut merupakan warga asing yang bermastautin dan bekerja di Kuwait.

Peta negara Kuwait
Seperti juga Malaysia, Kuwait adalah bekas jajahan British pada masa dahulu. Ia mencapai kemerdekaan dari Britain pada tahun 1961.

Perang Teluk (Gulf War) bermula di Kuwait selepas tentera Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein melanggar negara ini pada 2 Ogos 1990. Selepas melancarkan beberapa serangan udara selama berminggu-minggu, tentera naungan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diketuai oleh Amerika Syarikat melancarkan serangan darat terhadap tentera Iraq di Kuwait. Serangan darat bermula dari 23 Februari 1991 dan berjaya membebaskan Kuwait dari cengkaman Iraq selepas 4 hari. Tarikh 26 Februari masih diraikan sebagai Liberation Day di Kuwait pada hari ini.

Walaupun hanya berlangsung selama 7 bulan, Perang Teluk memusnahkan banyak infrastruktur minyak di Kuwait. Kerajaan Kuwait terpaksa membelanjakan lebih USD 5 bilion untuk memperbaiki kemusnahan dari peperangan.

KUWAIT CITY

Kawan Husband tinggal di Kuwait City kerana Kedutaan Malaysia terletak di sana. Kami menumpang tinggal di rumah kawan Husband ini sepanjang percutian kami di Kuwait.

Meninggalkan lapangan terbang.
Pokok kurma yang menghiasi jalan di Kuwait City.
Menuju ke Kuwait City.
Menara simpanan air yang juga dikenali sebagai Mushroom Towers.
Pangsapuri moden di Kuwait City.
Sunset pertama di Kuwait City
King Abdulaziz Bin Abdulrahman Al Saud Expressway

Part 7: Dinner di Beit Dickson Restaurant

Memandangkan kami tiba dah lewat petang di Kuwait, kawan Husband hanya membawa kami makan malam di sebuah restoran yang bernama Beit Dickson Restaurant. Restoran ini menghidangkan masakan tipikal Kuwait.

Tempat parking kereta di depan restoran.
Berjalan ke restoran
Pintu masuk ke restoran
Hiasan dalaman restoran ini memang menarik kerana ia menggambarkan ciri-ciri Arab Kuwait. Sambil menunggu makanan dihidangkan, kita jamu dulu mata melihat suasana di sekeliling.

Buku Menu Restoran Beit Dickson ~ macam penuh dengan misteri... Arabian Nights gitu!
Antara pilihan makanan di sini.
Waitress Filipino yang melayan kami.
Pemandangan di dalam restoran.
Pandangan ke sudut lain pula.
Dinner
Kenangan berkursus di Egypt kembali ke fikiran bila terpandangkan hidangan Roti dan Hummous ni.
Prawn Murabian yang sangat sedap. Tak keterlaluan jika Myself katakan inilah makanan yang paling sedap yang kami rasa di Kuwait.
Chicken Machbus
Lentil Soup yang juga sangat sedap rasanya.
Makanan di Beit Dickson ini memang menyelerakan. Walaupun Kuwaiti Cuisine, ia amat kena dengan selera orang Malaysia macam kita.

Teh Arab. Kalau dah habis minum kena goyang-goyangkan cawan tu untuk menandakan kita tak mahu refill.
Sebelum meninggalkan restoran, kami meninjau-ninjau hiasan dalaman restoran yang antik ini. Macam-macam dapat dilihat di sini...

Lorong menuju ke ruang makan dari pintu masuk ke restoran dihias seperti Bazar Arab zaman dulu kala.
Perhiasan pada dinding.
Gambaran sebuah kedai rempah Arab Klasik di Restoran Beit Dickson.
Roti di restoran ini masih dibuat menggunakan cara tradisional. Sebab itulah rasanya sedap.
Dapur tradisional untuk membakar roti.
Meninggalkan Restoran Beit Dickson
Selepas makan, kami tak terus pulang ke rumah. Kawan Husband membawa kami berkeliling di Kuwait City. Moden juga rupanya Kuwait ni. Tak sabar nak mula menjelajah pada keesokan hari...

Kuwait Towers di malam hari.
Pulang ke rumah.


Bersambung ke Bahagian 3 ...



CATATAN PERJALANAN (KUWAIT, DUBAI & ABU DHABI 2016):