Februari 2022
SARAWAK, MALAYSIA
Miri & Kuching
Bahagian 17: Kuching (5)
TAMAN NEGARA BAKO (SEA STACK)
HARI KEEMPAT (4)
Part 44: Sea Stack
Selepas makan tengahari, kami singgah sebentar ke galeri Visitor's Centre yang terletak di sebelah kafetaria. Di sini ada pameran ringkas mengenai Taman Negara Bako.
|
Siapa ancaman terbesar kepada Taman Negara Bako? |
|
Semua yang datang ke Taman Negara Bako inilah! |
Selepas itu kami pergi ke pantai untuk menunggu bot datang menjemput untuk kembali ke Kampung Bako.
|
Menunggu bot di Pantai Bako |
Sambil menunggu bot, disebabkan cuaca yang cerah pada hari ini kita dapat melihat pemandangan Gunung Santubong di seberang laut sana. Mengikut lagenda popular Sarawak, Gunung Santubong berasal dari kisah dua orang puteri kayangan yang berkawan baik bernama Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang. Puteri Santubong pandai menenun kain manakala Puteri Sejinjang pula pandai mengasing padi.
Pada suatu hari seorang putera dari kayangan yang kacak bernama Putera Serapi turun ke bumi. Kedua-dua Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang terpaut dengan kekacakan Putera Serapi mula bermusuhan kerana berebutkan putera yang kacak itu. Mereka bergaduh berhari-hari tanpa henti.
Puteri Sejinjang mengatakan bahawa dia lebih cantik, manakala Puteri Santubong menyatakan dia lebih jelita. Dengan marahnya Puteri Sejinjang lalu mencapai aluk penumbuk padi, lalu dihayun ke pipi Puteri Santubong yang kini kita dapat dilihat menjadi lekuk di Gunung Santubong. Dengan kekuatan terakhir beliau, Puteri Santubong lalu menikam belida penenun kain di kepala Puteri Sejinjang sehingga pecah berkecai.
Kemudian kilat sabung menyabung serta guruh berdentuman. Cahaya terang dari langit terus mengangkat kedua-dua puteri. Sumpahan kayangan terus menjadikan Puteri Santubong menjadi Gunung Santubong manakala Puteri Sejinjang yang kepalanya pecah berkecai pula menjadi Pulau Kera yang bertaburan. Putera Serapi pula pulang kesedihan dan terus menghilangkan diri di sebuah gunung yang kini dikenali sebagai Gunung Serapi.
|
Gunung Santubong di seberang sana |
|
Kesan lekuk pada Gunung Santubong ini dikatakan berpunca dari aluk yang dihayun oleh Puteri Sejinjang sehingga mengena pipi Puteri Santubong. |
Semakin tengahari semakin ramai pengunjung yang tiba di Taman Negara Bako. Sebahagian mereka membawa beg yang besar bagai nak bermalam di taman negara ini.
|
Semakin ramai pengunjung tiba di Taman Negara Bako |
|
Seperti yang dijangka, air laut dah mula pasang sekarang |
|
Disebabkan air dah pasang, bot boleh berhenti lebih hampir ke tepi pantai |
|
Pengunjung-pengunjung yang baru tiba di Taman Negara Bako |
Walaupun bot dah boleh berlabuh lebih rapat ke pantai, kita masih perlu meranduk sedikit air laut untuk masuk ke dalam bot.
|
Bot kami dah tiba |
|
Berjalan nak mendapatkan bot |
|
Masih perlu meranduk sedikit air laut untuk mendapatkan bot |
|
Melangkah masuk ke dalam bot |
|
Bot-bot lain yang menghantar dan menunggu penumpang di Taman Negara Bako
|
Tarikan utama di Taman Negara Bako adalah sebenarnya sebuah Sea Stack (batu laut) yang cantik terletak di tengah Laut China Selatan berhampiran taman. Kalau dari daratan Taman Negara Bako, ia cuma boleh dilihat dari Teluk Pandan Kecil Trail yang merupakan antara trail yang paling mencabar di Taman Negara Bako. Teluk Paku Trail yang dikatakan mudah itu pun kami patah balik sekerat jalan, manakan pulak kami nak hiking ke Teluk Pandan Kecil Trail itu!
Kata Abang Adam, satu option lain untuk kami melihat Sea Stack yang cantik itu ialah dari laut. Dengan bayaran tambahan RM50, kami boleh meminta pemandu bot untuk melihat Sea Stack ini sebelum pulang ke Kg Bako. Disebabkan rugi tak melihat Sea Stack ini sementelah dah sampai ke sini, kami bersetuju dengan cadangan Abang Adam.
|
Membelah laut menuju ke Sea Stack |
|
Pakai Life Jacket untuk keselamatan |
Perjalanan menuju ke Sea Stack adalah sebenarnya perjalanan menuju ke laut lepas. Disebabkan angin yang kuat, ombak di laut menjadi bergelora. Memang suspen bila bot kami terlambung-lambung tinggi membelah ombak. Syukurlah yang kami berdua bukan jenis yang mabuk laut.
|
Membelah ombak Laut China Selatan menuju ke Sea Stack |
|
Batu-batu besar di pinggir pantai Taman Negara Bako |
|
Semakin menghampiri Sea Stack |
Semakin menghampiri Sea Stack, ombak semakin kuat. Terhangguk-hangguk kepala kita bila bot terlambung-lambung dipukul ombak. Perasaan takut dibuai ombak ini walau bagaimanapun bertukar menjadi kagum bila Sea Stack muncul di depan mata.
|
Menuju ke arah Sea Stack |
|
Tebing-tebing batu di pinggir pantai |
|
Ombak sangat kuat menghempas di celah-celah batu ini |
|
Ngeri bila terfikir kalau-kalau bot terhempas ke batu-batu ini dipukul ombak kuat. Maklum sajalah, kita Anak Darat dan bukan Anak Laut yang selalu bermain dengan ombak. |
|
Kesan hakisan laut |
Sea Stack yang popular ini berbentuk seperti kepala ular tedung (Cobra). Dari sudut yang tertentu, ia betul-betul kelihatan seperti kepala ular tedung yang keluar menjenguk dari laut.
|
Sea Stack yang famous itu nampak macam kepala Burung Helang dari belakang |
|
Sea Stack ini adalah tarikan utama di Taman Negara Bako. Ini pandangan dari tepi.
|
|
Dari angle ini Sea Stack ini mula kelihatan seperti kepala Cobra yang keluar dari laut. |
|
Isskk!! Memang nampak macam Ular Tedung bila dipandang dekat-dekat.
|
Dari tengah laut berhampiran Sea Stack ini, kita dapat melihat hikers di Teluk Pandan Kecil Trail yang melambai-lambai dari atas tebing batu. Kita pun lambai-lambailah mereka balik dari atas bot. Kata Abang Adam, walaupun Sea Stack ini boleh dilihat dari sana, pemandangan dari laut seperti yang kami buat memang lebih menakjubkan.
|
Di atas tebing batu sanalah letaknya Teluk Pandan Kecil Trail |
|
Close-up sikit hikers di Teluk Pandan Kecil Trail |
Dah puas melihat Sea Stack, barulah kami kembali meredah Laut China Selatan menuju kembali ke Kampung Bako.
Part 45: Kembali Ke Kg Bako
Perjalanan dengan bot kembali ke Kampung Bako memakan masa kira-kira 20 minit.
|
Meredah Laut China Selatan kembali ke Kampung Bako |
|
Ombak yang mengganas membuatkan bot terlambung-lambung |
|
Menuju ke muara Sungai Bako |
Ombak yang ganas menjadi tenang sebaik kami masuk ke Sungai Bako. Di tebing kiri sungai, kami dapat melihat pokok bakau yang cantik tersusun. Kata Abang Adam, pokok-pokok ini cantik tersusun kerana hutan ini adalah tanaman semula. Teringat kat Hutan Redwood tanaman semula yang pernah kami lihat di Rotorua, New Zealand dulu. Hutan yang itu pun cantik tersusun seperti hutan bakau ini.
|
Berselisih dengan bot lain yang sedang dalam perjalanan menuju ke Taman Negara Bako. |
|
Hutan Bakau yang cantik tersusun di tepi Sungai Bako |
|
Hutan Bakau ini adalah hutan tanaman semula |
|
Masih menuju ke Kampung Bako |
Setibanya di Kampung Bako, bot terus membawa kami ke Terminal Bako yang merupakan pintu masuk rasmi ke Taman Negara Bako. Kami tak melalui Terminal ini sewaktu pergi ke Bako kerana air yang surut pada pagi tadi tidak membolehkan bot sampai ke sana.
|
Kampung Bako |
|
Tak tahu apa fungsi pacang-pacang kayu yang dipasang di tengah sungai begini |
|
Kami berlepas ke Taman Negara Bako melalui jeti ini pada pagi tadi |
|
Rumah-rumah penduduk Kampung Bako |
|
Kesan kempen Pilihanraya Negeri Sarawak yang baru berlangsung pada bulan Disember lepas masih kelihatan di Kampung Bako |
Bersambung ke Bahagian 18...
CATATAN PERJALANAN SARAWAK (2022):
No comments:
New comments are not allowed.