Tuesday, 15 March 2022

2022 MIRI & KUCHING BHG. 15 (Teluk Paku Trail)

Februari 2022

SARAWAK, MALAYSIA
Miri & Kuching

Bahagian 15 : Kuching (3)
TAMAN NEGARA BAKO (TELUK PAKU TRAIL)

HARI KEEMPAT (2)

Part 39 : Taman Negara Bako

Selepas menaiki bot sekitar 20 minit, kami sampai di Taman Negara Bako. Walau bagaimanapun disebabkan air masih surut bot terpaksa parking jauh ke tengah laut dan kami terpaksa berjalan meranduk air setinggi paras betis untuk ke darat.

Tiba di Taman Negara Bako
Bot terpaksa parking jauh ke tengah laut kerana air masih surut
Turun dari bot
Posing dulu kat tengah laut
Mengikut Abang Adam meranduk air ke pantai
Stop sekejap nak posing lagi...
Suspen juga bila ketibaan kami diperhatikan dengan penuh minat oleh sekumpulan kera di tepi pantai. Teringat pesanan pakcik concierge di Hotel Grand Margherita tadi supaya berhati-hati dengan kera di Bako kerana mereka gemar mencuri barang pengunjung. Kera-kera ini paling pantang nampak beg plastik kerana bagi mereka, beg plastik bermaksud makanan dan perlu dirampas dari pemegangnya.

Kami terus berjalan menyusuri pantai sehingga ke ibu pejabat Taman Negara Bako.

Formasi batuan yang menarik di pantai Taman Negara Bako
Cacing Laut
Pemandangan indah yang menggamit di Taman Negara Bako
Air yang masih surut di awal pagi begini
Husband berjalan bersama Abang Adam
Pantai di Taman Negara Bako
Sini pun ada juga papan amaran ini!
Semua pengunjung yang tiba di Taman Negara Bako perlu membuat pendaftaran di Ibu Pejabat Taman. Jika mereka ingin membuat hiking di taman ini, mereka juga perlu memaklumkan pihak Taman tentang trail yang ingin diikuti. Semua urusan pendaftaran kami diuruskan oleh Abang Adam.

Selamat datang ke Taman Negara Bako
Ibu Pejabat Taman Negara Bako
Cuci dulu kaki yang penuh dengan pasir

Part 40 : Teluk Paku Trail

Taman Negara Bako yang dibuka pada tahun 1957 adalah taman negara yang tertua di Sarawak dan merupakan antara taman negara yang terkecil di Asia Tenggara. Walaupun dianggap kecil, Taman Negara Bako mempunyai 18 buah hiking trail. Abang Adam memilih untuk membawa kami mengikut Teluk Paku Trail kerana katanya Monyet Proboscis yang berhidung panjang boleh dilihat di sana.

Kami melintasi chalet-chalet peranginan yang boleh disewa oleh pengunjung dalam perjalanan menuju ke Teluk Paku Trail. Chalet ini boleh disewa dari harga serendah RM 15 - RM 225 semalam mengikut pakej yang dipilih. Kata Abang Adam lagi chalet-chalet ini kini berkeadaan baik kerana telah selesai dibaikpulih sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dulu. Memang kami dapat melihat chalet-chalet ini banyak yang berpenghuni sewaktu lalu di sini.

Chalet-chalet di Bako dinamakan sebagai Forest Lodge
Hutan di belakang chalet
Laluan berhampiran chalet
Puas Abang Adam menjenguk nak mencari Monyet Proboscis tetapi tetap tak jumpa.
Walaupun dikatakan ada banyak Monyet Proboscis di Taman Negara Bako, kami langsung tak nampak walau seekor pun. Mungkin semua sedang berehat selepas berpesta menyambut Tahun Baru Cina malam tadi. Abang Adam cukup frust tak dapat nak menunjukkan Monyet Proboscis kepada kami. Tapi kami tak adalah merasa ralat sangat sebab dah puas melihat Monyet Proboscis sewaktu bercuti ke Sandakan di Sabah dulu.

Pokok Langsuir
Pokok Langsuir adalah sejenis tumbuhan epiphyte yang sekadar menumpang tumbuh di atas pokok lain.
Salah sebuah chalet yang boleh disewa di Taman Negara Bako
Kami melihat banyak monyet berkeliaran dekat dengan chalet. Maklumlah monyet-monyet ini dah tahu yang chalet yang berpenghuni pasti ada makanan di sana. Kalau penghuni tak berhati-hati seperti terlupa menutup tingkap, pasti akan dimasuki tetamu yang tak diundang ini. Abang Adam juga memberitahu kami yang spesis monyet di Bako mempunyai ikatan kekeluargaan yang kuat. Banyak kes ditemui di mana emak monyet terus menggendong anaknya walaupun anak tersebut telah mati dan menjadi bangkai.

Kata Abang Adam, tetamu berkaki empat yang tidak diundang ini adalah salah satu cabaran kepada penghuni di chalet.
Banyak sungguh mereka berkeliaran dekat sini
Membincang strategi macam mana nak mencuri makanan dari dalam chalet
Emak Monyet dengan anaknya
Sejenis haiwan lagi yang cukup mudah dilihat di Taman Negara ini ialah Babi Berjanggut. Babi-babi ini walau bagaimanapun hanya membuat hal mereka sendiri dan tidak mengganggu pengunjung ke Bako.

Ehh.. apa tu?
Babi Berjanggut rupanya...
Babi Berjanggut ini cukup mudah dilihat berkeliaran di sekitar Taman Negara Bako
Abang Adam terus membawa kami berjalan menuju ke arah pantai.

Setibanya di tepi pantai, Abang Adam menunjukkan kepada kami tumbuhan-tumbuhan yang biasa ditemui di Hutan Pantai.

Kami diperkenalkan dengan Pokok Nibong yang banyak kegunaan seperti pokok kelapa. Batang Pokok Nibong berduri dan kami diberitahu duri-duri ini digunakan oleh masyarakat Iban tradisional untuk mencacah tatoo pada badan mereka sebelum mesin-mesin tatoo yang moden dicipta. Tatoo sangat penting kepada masyarakat Iban sehingga ke hari ini kerana mengikut kepercayaan mereka, ia akan menyuluh jalan di alam selepas kematian. Ia juga menggambarkan simbol status seseorang.
 
Pokok Nibong
Seperti yang kita tahu, Orang Iban pada masa dahulu terkenal sebagai pemenggal kepala. Namun kata Abang Adam, mereka tidak memenggal kepala orang yang hidup. Sebaliknya pahlawan-pahlawan Iban hanya memenggal kepala musuh yang telah mati sebagai prized possession kejayaan mereka menewaskan musuh tersebut. Pahlawan Iban juga akan membuat tatoo di sekeliling jari mereka bagi setiap kepala yang dipenggal. Jika kita bertemu dengan seorang pahlawan Iban yang banyak lingkaran tatoo pada jarinya, dia seharusnya digeruni kerana keberaniannya. Dakwat tatoo pula selalunya dibuat dari kayu arang.

Pandangan Pokok Nibong dengan lebih dekat.
Duri Pokok Nibong yang digunakan untuk mencacah tatoo pada badan Orang Iban tradisional.
Akar Pokok Nibong juga mempunyai satu kegunaan lain. Ia selalu digunakan sebagai janggut dalam ukiran muka pada kraftangan. Seperti daun kelapa, daun nibong juga boleh digunakan untuk membuat atap.

Akar Pokok Nibong juga ada kegunaan lain
Akar Pokok Nibong selalu dijadikan janggut dalam kraftangan ukiran muka manusia dan dewa.
Kena berhati-hati berjalan di sini takut kepala dihempap buah kelapa yang jatuh.
Amaran supaya berhati-hati dengan buah kelapa yang jatuh.
Pokok Kelapa
Menuju ke Hutan Bakau
Meninggalkan Hutan Pantai, kami tiba di Hutan Bakau di tepi pantai. Hutan Bakau ini masih 'baru' kerana pokoknya tak sebesar pokok bakau yang pernah kami lihat di Langkawi dulu. Sewaktu melawat Hutan Bakau di Langkawi dulu, kami pernah diberitahu jasa Pokok Bakau yang tumbuh setinggi 15 meter di tepi laut menyelamatkan pulau tersebut dari Tsunami Besar di Lautan Hindi pada tahun 2004 dulu. Kalau pokok di tepi pantai Bako ini besar nanti, mungkin ia juga boleh berjasa begitu kepada pantai di sini.

Di Hutan Bakau ini ada binaan jeti. Kata Abang Adam, kalau air pasang besar, bot akan menurunkan penumpang di sini dan tidaklah di tengah laut seperti kami tadi.

Di tepi jeti ini juga ada papan amaran buaya. Kata Abang Adam, papan amaran ni dipasang kerana buaya pernah dilihat di sini. Suatu masa dulu, buaya hanya ditemui di sungai. Namun akhir-akhir ini memang ada laporan mengenai buaya yang dilihat di tepi pantai. Mungkin buaya dah mengalami evolusi dan boleh menyesuaikan diri dengan air masin sekarang. Buaya juga mungkin suka datang ke Taman Negara Bako kerana ada banyak babi yang menjadi makanan enak bagi mereka di sini.

Papan amaran buaya
Air masih surut lagi
Pemandangan di tepi pantai
Suatu yang kami nak nasihatkan kepada pengunjung ke Taman Bako ialah pakailah baju lengan panjang kalau melawat ke sini untuk mengelak gigitan nyamuk dan serangga. Husband tersilap memakai baju lengan pendek, jadi jenuhlah menggaru gatal dan pedih terkena gigitan serangga. Dia ada memakai plaster insect repellant tetapi macam tak berkesan. Mujurlah Myself ada membawa sarung lengan yang kita selalu spare untuk kegunaan bersolat di tempat-tempat yang tidak menyediakan telekung, terutama di masa pandemik begini. Lepas kita bagi pinjam sarung lengan ini kepadanya, barulah Husband kata dia boleh berjalan dengan lebih selesa.
 
Husband bergambar dengan sarung lengan pinjam.
Anak sungai yang mengalir ke laut
Kami terus berjalan di Hutan Paya Bakau. Di sini Abang Adam menunjukkan kepada kami kebolehan daun pokok bakau menapis garam dari laut. Dia memetik daun bakau dan menyuruh kami merasa air yang terpelowap di depan dan belakang daun ini. Air di bahagian depan daun memang tawar tetapi air yang terpelowap di belakang memang masin. Subhanallah, begitulah hebatnya kuasa Allah mencipta pelbagai kejadian di muka bumi ini.

Berjalan lagi di Hutan Paya Bakau
Pokok-pokok paya bakau
Pemandangan di Hutan Paya Bakau
Hutan Paya Bakau
Daun paya bakau yang unik yang dapat menapis garam dari laut.
Air di bahagian depan daun terasa tawar
Air di belakang daun pula terasa masin
Tourist Guide kami yang bernama Abang Adam
Di hutan bakau ini juga kami diperkenalkan dengan ketam penghuninya. Ketam ini unik kerana ia hanya mempunyai sebelah sepit sahaja. Lebih unik lagi kerana sepit ketam ini kelihatan jauh lebih besar dari badannya. Kalau sepit ini terputus, sepit baru akan tumbuh di sebelah yang lain pula. Ini juga adalah satu kebesaran ciptaan Allah kepada orang yang mahu berfikir.
 
Ketam Paya Bakau yang hanya mempunyai satu sepit sahaja.
Bukan main besar sepitnya! Kalau sepit ini terputus atas sebarang sebab seperti kemalangan atau pergaduhan, ia akan tumbuh semula di sebelah yang satu lagi.
Di Hutan Bakau ini juga, kami melihat ada air yang keruh berwarna coklat. Pada mulanya kami menyangka ada pencemaran air yang berlaku. Tapi hairan juga sebab mana ada kilang besar atau apa-apa berhampiran yang boleh menyebabkan pencemaran air begitu. Rupa-rupanya ia adalah satu lagi fenomena semulajadi hutan bakau ini. Air yang berwarna coklat tersebut berasal dari mineral besi dari tanah yang ditapis secara semulajadi oleh pokok bakau. Masyaallah, memang hebat makhluk Allah yang bernama Pokok Bakau ini!

Belajar tentang satu lagi kehebatan Pokok Bakau...
Air yang berwarna coklat ini bukan pencemaran...
Ia terhasil dari logam besi yang ditapis secara semulajadi oleh Pokok Bakau...
Ternyata memang banyak jasa Pokok Bakau kepada alam semulajadi...
Di penghujung Hutan Bakau ini bermulalah Teluk Paku Trail yang sebenar. Tidak seperti walking trail di Gua Niah dulu, walking trail di sini adalah tanah semulajadi yang penuh dengan batu dan akar-akar pokok. Tidak sekadar itu, ia juga memanjat sebuah bukit untuk turun di sebuah pantai di sebelah sana.
 
Tangga kayu ini adalah permulaan kepada Teluk Paku Trail yang sebenar.
Setiap walking trail di Taman Negara Bako ditandakan dengan cat coding warna-warna tertentu untuk kemudahan panduan kepada pengunjung. Teluk Paku Trail ditanda dengan warna begini pada tempat-tempat tertentu di sepanjang perjalanan.
Suasana di Teluk Paku Trail
Abang Adam mengajar kami melangkah dengan cara yang betul di tempat-tempat yang tertentu.
Mencabar juga hiking di sini bagi orang-orang yang hidup di dalam bandar seperti kami.
Lumut dan akar kayu
Di sebahagian tempat memanjat, kita kena berpijak pada akar-akar pokok yang menjalar.
Persimpangan
Terus mengikut Abang Adam mendaki.
Jambatan kayu
Posing atas jambatan kayu
Tanah di laluan ini juga basah dan lembap sebab hujan yang turun semalam
Terasa betapa mencabarnya hiking kat sini...
Perjalanan yang mencabar bagi kami.
Busut anai-anai
Tak ada akar, rotan yang berjuntai-juntai ini pun berguna juga...
Akhirnya selepas dah puas hiking mengikut Teluk Paku Trail yang mencabar itu, kami tiba di sebuah viewing point untuk menyaksikan sebahagian pemandangan indah di Taman Negara Bako dari situ.

Di sini juga Abang Adam menunjukkan kepada kami pokok Tongkat Ali. Khasiat Tongkat Ali yang sebenar terletak pada akarnya dan bukan pada batang pokok itu sendiri.

Tongkat Ali
Khasiat Tongkat Ali yang sebenar terletak pada akarnya.
Di kawasan ini juga ada beberapa tumbuhan lain yang ditunjukkan kepada kami.
Paku-pakis
Kita terus nikmati pemandangan indah dari kawasan ini... Terjenguk-jenguk juga kita nak mencari Sea Stack yang popular di Taman Negara Bako itu dari sini. Tapi kata Abang Adam, pemandangan Sea Stack memang tak boleh dilihat dari Teluk Paku Trail. Ia cuma boleh dilihat dari Teluk Pandan Trail yang merupakan hiking trail yang paling mencabar.

Kata Abang Adam lagi, perjalanan sehingga ke penghujung Teluk Paku Trail masih jauh dan suasana perjalanan macam yang telah kami lalui sehingga itu. Berpeluh kami mendengar penerangan Abang Adam sebab rasa sakit dan sengal sewaktu hiking ke Gua Niah dua hari lepas masih terasa. Husband lagilah berpeluh sebab ibu jari kakinya dah mula nak crammed. Selepas berbincang, Myself dan Husband membuat keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan sehingga ke penghujung Teluk Paku Trail.

Walaupun Teluk Paku Trail adalah trail kedua termudah di Taman Negara Bako, ia terlalu mencabar untuk kami. Maklumlah kami bukan kaki hiking macam orang lain. Yang paling membimbangkan bagi Myself ialah terlalu banyak pendakian yang memerlukan kita berpijak pada batu-batu licin dan akar-akar pokok di sini. Myself bukan setakat bimbang sebab kaki Husband dah mula crammed, Myself lebih bimbang kalau kami tersalah pijak pada akar-akar pokok sehingga menyebabkan kaki tergeliat. Merana badan nanti kalau kaki dah bermasalah begitu.

Makanya kami berpatah balik mengikut laluan yang sama kami datang tadi, cuma laluannya lebih banyak menurun kali ini. Seperti yang kami jangka, memang berpeluh dan seram sejuk juga bila terpaksa melangkah berhati-hati memijak batu dan akar-akar pokok yang berselirat itu. Terpaksalah mengaku yang kami dah berusia dan tak muda lagi...
 
Berpatah balik ke Park HQ
Pokok ini menunggu masa untuk menyembah bumi kerana sedang teruk mengalami serangan anai-anai.
Rotan
Abang Adam berhenti sekejap untuk memberi penerangan tentang pokok-pokok rotan.
Meneruskan perjalanan yang mencabar kembali ke pangkal jalan
Trail Marker


 Bersambung ke Bahagian 16...


No comments: