Friday, 4 March 2022

2022 MIRI & KUCHING BHG. 04 (Coco Cabana)

Februari 2022

SARAWAK, MALAYSIA
Miri & Kuching

Bahagian 4 : Miri (3)
LUTONG, DEWAN BANDARAYA MIRI & COCO CABANA

HARI PERTAMA (4)

Part 9: Lutong

Selepas melawat Taoist Temple, kami dibawa pula melawat ke sebuah kawasan berhampiran kota Miri yang bernama Lutong.

Perjalanan menuju ke Lutong...
Medan Saberkas Miri

MASJID AN-NAIM & GEREJA GOOD SHEPHERD

Sewaktu tiba di Lutong, kami ditunjukkan sebuah simbol toleransi agama yang tinggi di antara Islam dan Kristian di sini. Di sini terdapat sebuah masjid dan sebuah gereja yang berkongsi dibina di atas lot tanah yang sama. Masjid ini bernama Masjid An-Naim manakala gereja ini pula bernama Gereja Good Shepherd.

Masjid An-Naim dan Gereja Good Shepherd yang berkongsi tanah yang sama
Kami diberitahu, setiap kali ada upacara agama di Masjid seperti waktu Solat Jumaat, ramai yang akan menumpang menggunakan kemudahan seperti parking di Gereja. Begitu juga sebaliknya apabila ada upacara di gereja seperti pada hari Ahad, ramai juga yang akan menumpang menggunakan kemudahan di masjid. Begitulah sepatutnya nilai yang perlu kita pupuk, boleh berkongsi segala kemudahan asal saja kita saling menghormati agama satu sama lain.

Masjid An-Naim
Gereja Good Shepherd
Lutong adalah sebenarnya sebuah pusat penapisan minyak. Perjalanan kami tak sampai ke loji penapisan minyak tersebut tetapi kami dapat melihat sebuah kompleks pejabat Petronas yang sangat besar.

Pasar Lutong
Pejabat Petronas

PANTAI LUTONG

Kami juga membuat persinggahan di Pantai Lutong. Pemandangan Laut China Selatan yang luas di sini mengingatkan kami kepada pantai di Great Ocean Road yang pernah kami lihat di Australia dulu. Walaupun Sarawak mempunyai pantai yang luas, tak banyak yang sesuai digunakan untuk bermandi-manda kerana kewujudan arus deras di Laut China Selatan.

Pemandangan pelantar-pelantar minyak di laut lebih jelas kelihatan dari pantai ini. Kalau zoom dengan kamera, macam-macam bentuk pelantar minyak dapat kita lihat.
 
Di tepi pantai juga kita dapat melihat tiang-tiang besi yang dipacak ke dalam laut. Satu ketika dulu, tiang-tiang ini adalah penyokong kepada paip-paip minyak yang dipasang di atasnya. Disebabkan pemasangan paip begini terdedah kepada pukulan ombak, kejadian paip minyak yang bocor dan pecah sering berlaku. Bagi mengatasi masalah ini, paip-paip minyak sekarang dipasang di dasar laut. Paip-paip yang terdedah ini telah dibuka tetapi tiang-tiang penyokong ini masih ditinggalkan di sini.

Disebabkan kedudukannya yang sangat hampir juga, kita dapat melihat sebahagian daerah Kuala Belait di negara Brunei dari sini. Tapi kami diberitahu, Bandar Seri Begawan masih terletak lebih 200 km dari Miri.

Tanah yang kelihatan di kejauhan sana adalah daerah Kuala Belait di Brunei Darussalam.
Tanjung yang kelihatan lebih dekat dalam gambar masih berada di Sarawak tetapi tanjung yang sebuah lagi di belakang sana yang terletak dalam daerah Kuala Belait.
Tanah di sekitar Pantai Lutong ini telah dipajak selama 99 tahun oleh syarikat minyak Anglo Dutch Saxon milik British untuk kegunaan mereka pada masa dahulu. Tanah ini telah dikembalikan kepada Kerajaan Sarawak selepas tempoh pajakan tamat dan kini dijadikan nature reserve. Kalau bernasib baik kita akan dapat melihat Burung Kenyalang (Hornbill) di sini tetapi kami tidak bernasib baik pada hari itu.

Pelabuhan Lutong
Kapal-kapal yang berlabuh di Pelabuhan Lutong
Tanah-tanah berhampiran Pantai Lutong yang dijadikan Nature Reserve
Kata Amza, tidak begitu lama dahulu ada seekor Burung Kenyalang betina di nature reserve ini yang diberi nama Faridah telah ditembak oleh pemburu haram. Walau cedera teruk, Faridah terbang jauh ke arah bandar Lutong sebelum jatuh mati. Peristiwa ini menimbulkan kemarahan penduduk Sarawak kerana Burung Kenyalang adalah haiwan dilindungi yang menjadi simbol negeri ini. Pemburu haram tersebut telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman.

Untuk mengenang peristiwa ini, sebuah kedai di bandar Lutong di mana Faridah jatuh mati telah memasang gambar Burung Kenyalang di pintu masuknya. Kedai ini sehingga kini lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Kedai Kenyalang.

Kedai Kenyalang

Part 10: Dewan Bandaraya Miri

Kami kembali ke bandar Miri dan dibawa melawat ke Dewan Bandaraya Miri. Bangunan setinggi 9 tingkat ini unik kerana dibina berbentuk sebuah tong minyak (oil barrel) untuk menggambarkan status Miri sebagai bandaraya minyak.

Dewan Bandaraya Miri
Taman di depan Dewan Bandaraya Miri
Bangunan ini dibina berbentuk oil barrel untuk menggambarkan status Miri sebagai bandaraya Minyak. Gambar Kuda Laut yang menjadi ikon bagi bandaraya Miri turut diabadikan pada bangunan ini.
Bandaraya Miri kini sedang giat dibangunkan sebagai sebuah smart city. Sehubungan dengan itu, bangunan Dewan Bandaraya ini juga turut dibina sebagai sebuah bangunan hijau yang mesra alam. Ia adalah bangunan pertama di Sarawak Utara yang mendapat pengiktirafan Green Building Index (GBI).

Lobi bangunan Dewan Bandaraya Miri
Pelawat sebenarnya boleh naik ke bumbung bangunan untuk melihat pemandangan bandaraya Miri dari sana. Malangnya kami tak dapat berbuat begitu kerana waktu bekerja telah tamat ketika itu. Jadi kita tengok sajalah lubang cahaya pada bumbung bangunan ini dari bawah saja. Lubang cahaya ini adalah salah satu elemen GBI yang ada pada bangunan ini untuk menggalakkan pencahayaan semulajadi menggunakan matahari bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

Lubang cahaya matahari pada bangunan Dewan Bandaraya Miri
Lepas itu kita turun ke bawah pula untuk bersiar-siar di pinggiran pantai di depan bangunan ini.

Tiupan angin di tepi pantai ini memang menyegarkan tetapi ombak yang menghempas kelihatan hitam macam bercampur dengan minyak. Banyak sangat minyak semulajadi kat dalam laut di sini agaknya sampai ombaknya pun bercampur dengan minyak. Tapi kata Amza, ombak yang hitam ini hanya ada di sini, tidak di tempat lain walaupun di pantai yang betul-betul bersebelahan.


Part 11: Coco Cabana

Sebagai penutup program Miri City Tour, kami dibawa ke sebuah tempat peranginan terkenal di bandar Miri yang bernama Coco Cabana. Selain tempat untuk menikmati pemandangan laut, Coco Cabana juga adalah tempat rekreasi untuk seisi keluarga.

Coco Cabana
Dinosaur Park di Coco Cabana
Gelanggang Go Kart di Coco Cabana
Disebabkan cuti hujung minggu, ada ramai pengunjung ke Coco Cabana hari ini.
Gerai-gerai makanan di Coco Cabana
Coco Cabana juga adalah tempat bermain kapal layar yang popular di Miri. Selain orang-orang perseorangan, ada juga kelas bermain kapal layar untuk kanak-kanak sedang berlangsung ketika itu.

Di Coco Cabana ini juga ada sebuah Event Hall yang cantik dibina menggunakan senibina dan ciri-ciri tradisional. Kami diberitahu satu event Borneo Jazz Festival akan diadakan di sini pada bulan Julai nanti.

Event Hall di Coco Cabana
Pintu masuk ke Event Hall
Bergambar kenangan di depan Event Hall
Satu tarikan lain di Coco Cabana juga adalah sebuah rumah api yang dibina berbentuk Kuda Laut menggunakan logam gangsa.

Jangan lepaskan peluang untuk bermain buaian sambil menikmati pemandangan indah Laut China Selatan dari sini... Tapi buaiannya tinggi Ya Rabbi. Terasa betapa pendeknya kita bila nak bermain buaian ini. Hahaha!!

Kalau tunggu sampai senja, Coco Cabana juga adalah tempat yang bagus untuk melihat pemandangan matahari terbenam. Disebabkan kedudukan Miri yang dah begitu hampir dengan Sabah, matahari di sini juga tenggelam sejam lebih awal berbanding di Semenanjung Malaysia. Memandangkan kami tak punya banyak masa untuk menunggu sampai matahari terbenam, kita duduk-duduk saja di tempat rehat yang disediakan di tepi laut sambil makan ais kerim.



 Bersambung ke Bahagian 5...



No comments: