Wednesday, 2 March 2022

2022 MIRI & KUCHING BHG. 02 (Bukit Kanada)

Februari 2022

SARAWAK, MALAYSIA
Miri & Kuching

Bahagian 2 : Miri (1)
MIRI CITY TOUR & BUKIT KANADA

HARI PERTAMA (2)

Part 5: Bandar Miri

Tour Guide kami di Miri yang bernama Amza dah sedia menanti sewaktu kami tiba di airport Miri. Disebabkan ketika itu dah hampir waktu makan tengahari dia mencadangkan supaya kami lunch dulu sebelum memulakan City Tour. Kami okey saja dengan cadangan Amza.

Amza
Miri ialah bandaraya yang kedua terbesar di Sarawak selepas Kuching. Kemunculan industri minyak dan gas asli yang pertama ditemui pada tahun 1910 menukar wajah Miri dari sebuah perkampungan nelayan kepada sebuah bandar minyak. Ia terletak di utara negeri Sarawak dan bersempadan dengan Brunei. Penduduk Miri berjumlah 300,000 orang yang terdiri dari berbagai kaum.

Nama Miri berasal dari nama kaum Miriek yang merupakan penduduk asal Miri. Walaupun ejaannya ditulis sebagai Miriek, sebutan sebenar bagi nama kaum ini adalah Mirrhai yang kemudiannya menjadi Miri. Di zaman James Brooke dulu, Miri dikenali sebagai Brighton. Walaupun dia seorang British, James Brooke memerintah Sarawak atas kapasiti dirinya sendiri sebagai pemerintah dan bukan mewakili negara Britain untuk menjajah Sarawak. James Brooke telah dilantik menjadi Raja Sarawak oleh Sultan Brunei sebagai balasan membantu baginda menentang pemberontakan Kaum Dayak. Tapi sebagai seorang rakyat Britain, dah pasti James Brooke mendapat sokongan dari kerajaan Britain dalam tindakannya ketika itu.

Selamat Datang ke Miri
Bendera Sarawak yang berkibar megah bersama bendera Malaysia
Jalan raya di Miri besar dan cantik
Bulatan ini dihiasi dengan motif tradisional pelbagai kaum yang menghuni kota Miri. Motif berwarna hitam/putih di sebelah kanan mewakili masyarakat Iban manakala motif di sebelah kiri yang berwarna biru/putih mewakili Orang Ulu kalau tak silap.
Kuda Laut yang bernama Mimi dan Riri ini adalah ikon bagi bandaraya Miri.
Pemandangan bandaraya Miri
Satu lagi pemandangan di bandaraya Miri
Pusat Kraftangan Miri
Mural yang menarik di Pusat Kraftangan Miri

RESTORAN MUARA

Atas cadangan Amza, kami mencuba makanan tempatan yang dinamakan Lalapan untuk makan tengahari. Dia membawa kami mencuba makanan ini di sebuah restoran bernama Muara yang terletak di tengah bandar Miri.

Restoran Muara
Hiasan dalaman Restoran Muara memang hebat dengan pelbagai elemen tradisional Sarawak. Bagi meraikan suasana Tahun Baru Cina yang sedang menjelang ketika itu, ia juga dihias cantik dengan tanglung yang berwarna merah.
 
Seperti yang diberitahu oleh Amza kepada kami, hidangan Ayam Lalapan di Restoran Muara memang sedap. Teringat yang kami juga pernah mencuba ayam Lalapan ini sewaktu berkunjung ke Manado di Sulawesi dulu. Seperti yang diterangkan oleh Amza kepada kami, hidangan Lalapan di Sarawak berbeza dengan hidangan Lalapan di Indonesia kerana sambal Lalapan di sini menggunakan belacan. Lalapan di Indonesia pula hanya menggunakan tomato.

Hidangan Ayam Lalapan

WIRELESS WALK

Selepas makan, kami ditunjukkan Wireless Walk yang terletak betul-betul bertentangan dengan Restoran Muara. Wireless Walk yang dipenuhi dengan pelbagai gerai makanan mungkin boleh dikatakan sebagai tempat yang paling happening di Miri. Wireless Walk sepanjang 1 km ini walau bagaimanapun kelihatan sunyi di siang-siang begini kerana kebanyakan gerainya hanya dibuka di sebelah malam.

Masjid Bandaraya Miri berhampiran Wireless Walk

TIANG BELAWING

Kami kemudiannya ditunjukkan pula Tiang Belawing yang dibina di tengah sebuah bulatan di bandar Miri. Tiang Belawing adalah lambang kebudayaan masyarakat Orang Ulu di Sarawak. Tiang Belawing tradisional biasanya dibuat dari pokok kayu yang bersaiz sederhana dan mempunyai ketinggian sekitar 30-35 meter. Kayu yang telah dipilih akan dikopek kulitnya dan kemudian akan di keringkan. Setelah itu, barulah batang pokok tersebut akan diukir dengan bermacam-macam motif dengan ciri khas ukiran suku kaum yang diwakili. Secara umumnya, ia berfungsi sebagai tiang pemujaan sewaktu Orang Ulu masih mengamalkan kepercayaan animisme di masa dahulu.

Tiang Belawing

Part 6: Bukit Kanada (Canada Hill)

Tak sah melawat ke Miri kalau tak melihat Telaga Minyak Yang Pertama di Malaysia. Telaga Minyak ini yang dinamakan sebagai Grand Old Lady terletak di atas Bukit Kanada (Canada Hill).

Perjalanan naik ke Bukit Kanada
Pemandangan dalam perjalanan naik ke Bukit Kanada
Di atas Bukit Kanada ini ada sebuah Muzium Petroleum yang dibangunkan secara usahasama di antara Petronas dan Royal Dutch Shell. Malangnya muzium ini sedang ditutup untuk kerja-kerja pengubahsuaian ketika ini.

Muzium Petroleum
Minyak telah ditemui di Miri sejak lama dahulu. Menurut ceritanya ia boleh ditemui dengan hanya mencangkul tanah. Orang tempatan yang tidak tahu nilai dan kegunaan sebenar minyak sebagai bahan bakar ketika itu menggelar minyak ini sebagai Minyak Syaitan (Devil's Oil) kerana apa yang mereka tahu, jika api menyambar minyak ini, seluruh rumah boleh terbakar.

Telaga Minyak yang pertama di Malaysia
The Grand Old Lady
Kedudukan Grand Old Lady sewaktu pembinaannya bukanlah di lokasi yang dilihat kini tetapi masih di kawasan berdekatan. Ia dibina oleh Syarikat Anglo Dutch Saxon sebelum ia bertukar nama menjadi Royal Dutch Shell (dan kini hanya dikenali sebagai Shell). Telaga ini dibina pada tahun 1910. Penggunaannya diberhentikan pada tahun 1972 setelah berkhidmat selama 62 tahun.

Kerja penggerudian minyak pada masa itu dilaksanakan menggunakan kaedah alat kawat (cable tool method).
Kita pun nak tolong sama menggerudi minyak di Miri
Tidak seperti sekarang di mana penggerudian minyak dibuat di tengah laut, penggerudian asal minyak di Miri adalah di tengah daratan. Bukanlah mudah bagi Syarikat Anglo Dutch Saxon ketika itu untuk mendapat kebenaran dari penduduk tempatan untuk berbuat begitu. Ini adalah kerana penduduk tempatan percaya ada seekor harimau sakti sedang tidur di dasar Bukit Kanada. Mereka percaya buruk akibatnya kalau sang harimau terjaga dari tidur. Syarikat Anglo Dutch Saxon akhirnya berjaya mendapat kebenaran yang diperlukan selepas berjaya meyakinkan penduduk tempatan yang kerja-kerja penggerudian tidak akan mengganggu harimau yang sedang tidur ini.

Grand Old Lady dibina dari keluli setinggi 30 meter
Mendengar Amza memberi penerangan tentang Grand Old Lady
Sepanjang sejarah perkhidmatannya, Grand Old Lady juga pernah terkena serangan bom Tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Jepun menyerang Miri untuk mendapatkan bekalan minyak bagi kegunaan kenderaan pasukan tentera mereka dalam usaha menakluk seluruh benua Asia.

Maklumat mengenai Telaga Minyak No.1 di Malaysia
Menurut ceritanya juga engineer yang membina Grand Old Lady berasal dari Kanada. Kerana itulah bukit ini dinamakan sebagai Bukit Kanada. Di sekeliling Grand Old Lady juga kita dapat melihat ukiran-ukiran mengenai sejarah perlombongan minyak di Miri.

Ukiran-ukiran mengenai sejarah perlombongan minyak di Miri
Single Buoy Mooring
Float Over Method in Platform Installation
Smart Well (Kinabalu Platform)
Di belakang Grand Old Lady juga ada sebuah lagi alat penggerudi minyak lama yang dipamerkan. Ia dinamakan Nodding Donkey dan sering digunakan untuk menggerudi minyak di atas darat. Nodding Donkey dinamakan sedemikian kerana cara ia bekerja seolah-olah seperti seekor keldai yang terhangguk-hangguk. Bunyi yang dihasilkan oleh Nodding Donkey sewaktu bekerja pun sama seperti bunyi seekor keldai konon katanya. 

Laluan menuju ke Nodding Donkey
Melawat Nodding Donkey
Nodding Donkey
Lambang kerjasama antara Petronas dan Royal Dutch Shell
Bukit Kanada juga adalah tempat yang baik untuk menikmati pemandangan bandaraya Miri. Disebabkan cuaca sangat cerah sewaktu kami berada di sana, kami dapat melihat pelantar minyak yang berada di tengah Laut China Selatan. Kami diberitahu terdapat 624 buah pelantar minyak di tengah laut di Miri dan kami dapat melihat 8 buah di antaranya dari Bukit Kanada ketika itu.

Pemandangan bandaraya Miri dari Bukit Kanada
Pelantar minyak di tengah laut juga dapat dilihat dari Bukit Kanada jika cuaca cerah seperti ini.
Close-up pemandangan pelantar minyak dari Bukit Kanada


 Bersambung ke Bahagian 3...


No comments: