Februari 2022
SARAWAK, MALAYSIA
Miri & Kuching
Bahagian 9 : Niah (4)
GUA NIAH (TRADER'S CAVE)
HARI KEDUA (4)
Part 21: Trader's Cave @ Gua Niah
Gua Niah adalah salah sebuah gua batu kapur yang terbesar di dunia. Ia terletak di Taman Negara Niah yang merupakan taman negara yang terkecil di Sarawak. Gua Niah secara umumnya terdiri dari 3 bahagian: Trader's Cave (Gua Dagang), Great Cave (Gua Besar) dan Painted Cave (Gua Kain Hitam). Gua Pertama yang kita temui selepas melalui Walking Trail sepanjang 3.1 km tadi ialah Trader's Cave.
Tangga naik ke Trader's Cave |
Tiba di Trader's Cave |
Keterangan mengenai pembentukan batuan di Trader's Cave |
Laluan di tebing lereng gunung |
Dah nampak pintu Trader's Cave di depan sana... |
Trader's Cave (Gua Dagang) diberi nama sedemikian kerana di sinilah aktiviti jual-beli sarang burung dijalankan pada masa dahulu. Ia bukanlah gua dalam erti kata yang sebenarnya. Sebaliknya, Trader's Cave lebih merupakan overhang batu pada tebing gunung.
Di dalam gua ini kita dapat melihat tinggalan pondok tidak beratap yang dibuat dari kayu berlian. Pada masa dahulu, pondok-pondok ini digunakan oleh pemungut sarang burung dan keluarga mereka.
Tinggalan pondok-pondok yang digunakan oleh pemungut sarang burung dan keluarga mereka pada masa dahulu. |
Memang dapat dibayangkan betapa damai dan bahagianya kehidupan pemungut-pemungut sarang burung di dalam Trader's Cave ini dulu. Suasana di dalam gua sejuk dan nyaman serta terlindung dari kepanasan matahari. Mungkin tak risau juga kemungkinan atap rumah akan bocor atau terbang ditiup angin kuat kerana kedudukannya yang jauh terlindung dari hujan ribut.
Kami juga dinasihatkan oleh Amza supaya berhati-hati sewaktu memijak tanah di dalam Trader's Cave. Kalau nampak lubang pada tanah, elakkanlah dari memijaknya kerana kemungkinan besar ia adalah sarang tebuan tanah. Gigitan tebuan tanah ini berbisa.
Kena berhati-hati sewaktu memijak tanah di dalam Trader's Cave kerana ada banyak lubang sarang tebuan tanah di sini. |
Lubang yang menjadi sarang tebuan tanah di Trader's Cave |
Sambil berjalan menikmati suasana di Trader's Cave teringat pula kita kepada lagenda Gua Niah yang dibaca di Niah Interpretation Centre tadi. Menurut cerita yang dibaca, gua ini terjadi disebabkan kesedihan seorang nenek yang kehilangan cucunya yang dibunuh untuk dijadikan persembahan pembinaan rumah panjang.
Kata lagenda tersebut, ada sebuah kampung yang bernama Terayeng di kawasan ini pada masa dahulu. Pada suatu hari, penduduk kampung ingin menyambung rumah panjang mereka dan mengikut kepercayaan mereka, sesiapa yang berhasrat demikian perlu mengorbankan seorang anak kecil. Kemudian, tiang hadapan rumah yang dibangunkan perlu diletakkan di tempat di mana anak kecil tadi dikebumikan.
Anak kecil yang dikorbankan untuk upacara itu adalah cucu kepada seorang nenek tua yang bernama Peira. Menyedari cucunya tidak balik ke rumah, dia mulai risau dan mencari cucunya. Setelah puas mencari, Peira menemui tompokan darah di atas tanah dan menyedari cucunya telah menjadi mangsa persembahan. Dia amat sedih atas kematian cucunya lalu berjanji pada dirinya, "Demi cucuku, biar semua manusia juga mati."
Selama 5 hari berturut-turut, Peira menarikan tarian tradisional dengan iringan paluan gong. Ramai penduduk kampung datang untuk menyaksikan persembahan nenek tua itu. Tiba-tiba langit menjadi hitam dengan disertai halilintar. Angin bertiup kencang dan hujan batu pun turun. Dalam beberapa saat, penduduk Terayeng bertukar menjadi batu dan rumah panjang mereka bertukar menjadi gua. Menurut kepercayaan Orang Iban dan Penan, stalagtite dan stalagmite yang diperhatikan di Gua Niah adalah berasal dari penduduk-penduduk Terayeng yang bertukar menjadi batu.
Penduduk asal Gua Niah adalah suku Penan yang dikatakan tinggal di sini sejak 60,000 tahun dulu. Menurut rekod yang ditemui, mereka telah menjalankan perniagaan sarang burung dengan Kerajaan Dinasti Tang di China seawal tahun 619-907M. Mereka juga adalah pembekal tunggal sarang burung yang dieksport ke Singapura pada tahun 1960-an.
Orang Penan berpegang kepada prinsip mengambil seadanya sahaja dan jangan berlebih-lebihan. Kerana itulah perniagaan sarang burung mereka dapat bertahan sehingga sekarang.
Walau bagaimanapun mengikut maklumat yang dibaca di Trader's Cave ini sendiri, gua ini hanyalah tempat untuk mereka berjual-beli. Sarang-sarang burung yang didagang, dikutip dari gua-gua yang lain. Ini adalah kerana walaupun ada sarang burung di Trader's Cave ini sendiri, ia tidak mempunyai nilai komersil kerana bercampur dengan lumut disebabkan cahaya matahari boleh memancar jauh ke dalam gua ini.
Di belakang tinggalan pondok-pondok pengutip sarang burung ini juga kita dapat melihat kesan 2 buah telaga yang digunakan pada masa dahulu. Satu telaga digunakan untuk minuman dan sebuah lagi digunakan untuk mandian dan cucian.
Berjalan ke belakang Trader's Cave untuk melihat tinggalan telaga. Bandingkan saiz kita dengan batu yang terdapat di dalam gua ini. |
Lubang telaga yang ditinggalkan |
Pokok paku-pakis yang tumbuh di sekitar kawasan telaga |
Lubang telaga |
Kawasan telaga yang digunakan sebagai sumber air pengutip sarang burung |
Tinggalan pra-sejarah yang pertama di kawasan Gua Niah ditemui oleh pengkaji berbangsa British bernama Tom Harrison dan isterinya Barbara Harrison pada tahun 1954. Selepas itu, sejarah Gua Niah terus menarik minat pengkaji-pengkaji lain untuk meneruskan usaha pasangan Harrison. Kajian terkini sedang dijalankan di Trader's Cave oleh sekumpulan pengkaji University of New South Wales dari Australia.
Kawasan berpagar di sebelah kanan adalah tapak kajian yang sedang dilaksanakan oleh penyelidik University of New South Wales dari Australia |
Kajian yang dijalankan dinamakan Sarawak Early Prehistory Project |
Mungkin disebabkan cuti hujung minggu, tak ada sesiapa bekerja di sini pada hari ini. |
Kerja-kerja penggalian di tapak kajian |
Saiz Trader's Cave memang mengkagumkan. Terasa betapa kerdilnya kita bila berdiri di dalam gua ini. Tapi ingat, ini bukan gua yang terbesar dalam kompleks Gua Niah. Ada gua yang lebih besar menunggu kita di depan sana...
Walaupun secara umumnya laluan hiking di Gua Niah baik dan mudah, Myself tetap nasihatkan semua pengunjung untuk memakai kasut yang sesuai dan mempunyai tapak yang elok. Ada juga beberapa kali kami melihat pengunjung yang sukar nak bergerak disebabkan tapak kasut yang licin. Kalau terjatuh kat dalam gua disebabkan tapak kasut yang licin lagilah haru sebab kita kena berjalan balik 3.1 km dari gua untuk balik ke Park HQ.
Dah tiba masa untuk kita meninggalkan Trader's Cave untuk bergerak ke Great Cave pula. Untuk ke sana kita perlu melalui sebuah walkway kayu lagi. Walau bagaimanapun perlu melangkah berhati-hati kerana ia penuh dengan tahi kelawar yang menjadikannya sangat licin.
308 meter ke Great Cave |
Ada tempat-tempat di walkway yang sangat licin kerana dipenuhi tahi kelawar (guano). |
Kalau di tempat-tempat yang ada sinaran matahari, selamat nak memegang railing terutamanya ketika mendaki tangga kerana serangga tak menumpang lalu di situ. |
Bersambung ke Bahagian 10...
CATATAN PERJALANAN SARAWAK (2022):
- Bhg. 01 [Hari 1] - First Leg (Kuala Lumpur - Miri)
- Bhg. 02 [Hari 1] - Miri 1 (Miri City Tour & Bukit Kanada)
- Bhg. 03 [Hari 1] - Miri 2 (Tamu Khas & Taoist Temple)
- Bhg. 04 [Hari 1] - Miri 3 (Lutong, Dewan Bandaraya Miri & Coco Cabana)
- Bhg. 05 [Hari 1] - Miri 4 (Pullman Hotel & Miri Waterfront)
- Bhg. 06 [Hari 2] - Niah 1 (Taman Negara Niah)
- Bhg. 07 [Hari 2] - Niah 2 (Niah Walking Trail 1)
- Bhg. 08 [Hari 2] - Niah 3 (Niah Walking Trail 2)
- Bhg. 09 [Hari 2] - Niah 4 (Gua Niah - Trader's Cave)
- Bhg. 10 [Hari 2] - Niah 5 (Gua Niah - Great Cave)
- Bhg. 11 [Hari 2] - Niah 6 (Batu Niah & Pantai Tusan)
- Bhg. 12 [Hari 3] - Second Leg (Miri - Kuching)
- Bhg. 13 [Hari 3] - Kuching 1 (Kuching Waterfront)
- Bhg. 14 [Hari 4] - Kuching 2 (Taman Negara Bako)
- Bhg. 15 [Hari 4] - Kuching 3 (Taman Negara Bako - Teluk Paku Trail)
- Bhg. 16 [Hari 4] - Kuching 4 (Taman Negara Bako - Teluk Delima Trail)
- Bhg. 17 [Hari 4] - Kuching 5 (Taman Negara Bako - Sea Stack)
- Bhg. 18 [Hari 4] - Kuching 6 (Sarawak River Cruise 1)
- Bhg. 19 [Hari 4] - Kuching 7 (Sarawak River Cruise 2)
- Bhg. 20 [Hari 5] - Pulang (Kuching - Kuala Lumpur)
No comments:
New comments are not allowed.