Sunday, 6 March 2022

2022 MIRI & KUCHING BHG. 06 (Taman Negara Niah)

Februari 2022

SARAWAK, MALAYSIA
Miri & Kuching

Bahagian 6 : Niah (1)
TAMAN NEGARA NIAH

HARI KEDUA (1)

Part 15: Selamat Pagi, Miri

Program kami pada Hari Kedua di Miri adalah melawat ke Gua Niah. Malangnya cuaca seakan tidak menyebelahi kerana hujan lebat turun di awal pagi.

Selamat Pagi, Miri.
Cuaca seakan tidak bersahabat kerana hujan lebat turun di awal pagi ini.
Mengikut perancangan, kami akan bertolak dari hotel menuju ke Gua Niah pada pukul 8 pagi. Disebabkan kami tak mengambil pakej breakfast di hotel dan kedai-kedai makan berdekatan pula tak ada yang dibuka awal untuk kami bersarapan di sana, terpaksalah kami order in-room service. Okey juga order in-room service begini sebab harganya lebih murah dari harga buffet breakfast. Makanan yang kami order adalah set Nasi Lemak dan set American Breakfast.

In-room breakfast ~ Nasi Lemak Rendang Daging dan American Breakfast
Lega rasanya bila dekat-dekat pukul 8 pagi, hujan yang lebat tadi mula berhenti.

Suasana pagi di Miri bila hujan yang lebat dah mula berhenti

Part 16: Perjalanan ke Taman Negara Niah

Perjalanan dari Miri menuju ke Taman Negara Niah memakan masa kira-kira sejam. Cuaca masih meremangkan bulu roma pada awal perjalanan kerana hujan masih turun sekejap-sekejap. Kata Tour Guide kami yang bernama Amza, hiking trail ke Niah akan menjadi sangat licin kalau hujan-hujan begini.

Alhamdulillah, cuaca menjadi semakin baik dan matahari memancar terang semakin kami menghampiri pekan Batu Niah di mana letaknya Taman Negara Niah. Dalam perjalanan kami melalui perkampungan asal Orang Miriek (disebut: Mirrhai) yang merupakan penduduk asal Miri. Orang Miriek menganut agama Islam dan sering berkahwin campur dengan Orang Melanau. Orang Miriek dan Orang Melanau mudah bergaul kerana mereka mempunyai banyak kebudayaan dan cara hidup yang sama seperti cara menangkap ikan.
 
Cerita Amza lagi kepada kami, Orang Miriek sangat berjasa membantu British meneroka hasil minyak di Miri pada masa dahulu. Sebagai balasan, dua orang anak dari setiap keluarga Miriek diberi keistimewaan untuk bekerja dengan Syarikat Anglo Dutch Saxon tanpa memerlukan kelulusan tinggi seperti orang lain.
 
Islam berkembang di Miri melalui usaha seorang mubaligh yang berasal dari Sibu pada tahun 1934. Satu fakta yang menarik mengenai pengembangan Islam di Miri ini ialah mubaligh tersebut dibawa ke Miri oleh pengganti James Brooke, anak saudaranya yang bernama Charles Brooke. Orang Sarawak umumnya tahu bahawa isteri pertama Charles Brooke adalah seorang wanita berketurunan Kedayan (Orang Melayu Brunei). Orang Kedayan sangat kuat berpegang kepada agama Islam. Oleh yang demikian, sangat mustahil bagi Charles Brooke untuk berkahwin dengan wanita ini sekiranya dia sendiri tidak memeluk agama Islam. Fakta ini mungkin disembunyikan oleh British pada masa itu yang tidak menyenangi tindakan Charles Brooke memeluk agama Islam.

Selain dari wanita Kedayan ini, Charles Brooke juga mempunyai seorang lagi isteri berbangsa Eropah yang bernama Margaret Alice Lili de Windt. Dia berkahwin dengan Margaret untuk mendapatkan sokongan kewangan kerana Margaret berasal dari keluarga yang kaya. Untuk mengambil hati beliau, Charles Brooke telah membina 3 buah kubu di Sarawak yang dinamakan sempena nama isterinya ini: Fort Margherita di Kuching, Fort Alice di Sri Aman dan Fort Lily di Betong.
 
Gua Niah ini terletak dalam perjalanan menghala ke Bintulu. Jadi kami hairan kenapa kadang-kala signal handphone kami bertukar menjadi roaming di dalam perjalanan. Adakah signal telefon dari Brunei sangat kuat sehingga sampai ke sini?


Part 17: Taman Negara Niah

Memang excited sewaktu tiba di Taman Negara Niah kerana kami akan melawat Gua Niah yang merupakan gua yang terbesar di Malaysia. Gua Niah ini bolehlah dikatakan sebagai gua yang kedua paling popular di Miri selepas Gua Mulu. Keistimewaaan Gua Niah berbanding Gua Mulu ialah kita boleh berkereta ke sini. Kalau nak melawat Gua Mulu, kita perlu naik kapalterbang ke sana dari Miri. Disebabkan kapalterbangnya kecil, jadual penerbangannya sangat bergantung kepada cuaca. Kalau punya banyak masa nak berlama-lama tinggal di Sarawak, mungkin okey nak melawat Gua Mulu. Disebabkan kita bekerja dan cuti pun terhad, kita pilih sajalah melawat ke Gua Niah.

Tiba di Taman Negara Niah
Selamat Datang ke Taman Negara Niah
Sebaik sampai di Taman Negara Niah, semua pelawat perlu mendaftar dan membeli tiket di Park HQ. Tiket yang dikenakan untuk warganegara Malaysia adalah RM 10 seorang.

Niah National Park HQ
Semua pelawat perlu mendaftar dan membeli tiket di sini
Amza beratur membeli tiket untuk kami
Peta Taman Negara Niah
Keratan tiket Taman Negara Niah

Part 18: Niah Interpretation Centre

Sebelum meneroka ke Gua Niah yang sebenar, kita melawat dulu ke galeri Niah Interpretation Centre yang terletak di belakang pejabat tiket. Di sinilah kita boleh mendapat gambaran keseluruhan tentang keistimewaan Gua Niah.

Niah Interpretation Centre
Pemandangan di dalam Niah Interpretation Centre
Perkara pertama yang akan diperkenalkan kepada kita di Niah Interpretation Centre ini adalah tentang formasi stalagtite dan stalagmite di Gua Niah. Gua Niah terbentuk dari batu kapur. Secara umumnya, stalagtite dan stalagmite di dalam gua ini terbentuk menerusi pemendakan kimia semulajadi batu kapur dengan air hujan.

Proses pembentukan Gua Niah
Disebabkan gua ini telah terbentuk 40,000 tahun dahulu, tidak hairanlah ia menjadi kediaman antara penduduk terawal di Pulau Borneo. Bukti kewujudan kediaman manusia di gua ini telah ditemui pada tahun 1954 oleh seorang pengkaji British bernama Tom Harrison yang juga memegang jawatan sebagai Kurator Muzium Sarawak ketika itu.

Tapak dan kesan-kesan pengebumian manusia awal di Gua Niah
Ekspedisi yang dijalankan oleh pengkaji-pengkaji sejarah turut menemui lukisan-lukisan purba yang menjadi bukti kehidupan manusia di dalam gua ini.

Lukisan-lukisan purba yang ditemui di dalam Gua Niah
Penduduk asal di Gua Niah adalah kaum Penan yang hidup dengan memburu. Pekerjaan tradisi mereka adalah mengutip sarang burung. Mereka tidak lokek dan akan berkongsi apa saja yang dimiliki. Tidak seperti kebanyakan kaum lain di Sarawak, orang Penan tradisional juga tidak mempunyai sebarang adat pengebumian untuk si mati. Oleh yang demikian, mereka akan mengebumikan mayat di mana-mana sahaja termasuklah di dalam tanah, di dalam batang pokok dan juga ditinggalkan di dalam gua.

Pameran mengenai kaum tradisi yang tinggal di Gua Niah
Pakaian tradisional Penan
Kaum Iban yang terkenal sebagai pemenggal kepala adalah kaum pendatang di Gua Niah. Mereka asalnya tiba di Gua Niah untuk berdagang dari kawasan-kawasan lain di Pulau Borneo menggunakan pengangkutan sungai. Walaupun mereka adalah kaum pendatang, mereka kini adalah kaum penghuni yang terbesar di kawasan Gua Niah.

Pakaian tradisional Iban
Perbandingan di antara bahasa Melanau dan Iban
Di Niah Interpretation Centre ini juga kita dapat melihat dan mempelajari kepercayaan suku kaum tradisi di sekitar Gua Niah. Sewaktu melihat pameran ini, kami dapat merasakan persamaan di antara kepercayaan mereka dengan kepercayaan Orang Maori yang pernah kami lihat di New Zealand dulu. Bagi Myself, sangat jelas yang suku pribumi di Sarawak bagaikan serumpun dengan Orang Maori di New Zealand.

Mengikut lagenda, Gua Niah terbentuk akibat sumpahan seorang nenek tua bernama Peira yang kecewa kerana cucu kecilnya dibunuh untuk dijadikan persembahan dalam pembinaan rumah panjang.
Kepercayaan Orang Penan yang sama seperti kepercayaan Orang Maori di New Zealand
Kisah Penunggu Hutan
Gua Niah masih menjadi habitat kelawar sehingga kini. Di Niah Interpretation Centre, kita boleh mempelajari tentang spesies kelawar yang tinggal di Gua Niah. Tahi kelawar yang dinamakan Guano masih dikutip oleh penduduk tempatan untuk dijual sebagai baja. Oleh kerana Guano adalah sumber pencarian penduduk setempat, pengunjung ke Gua Niah diingatkan supaya mengelak dari memijak Guano sewaktu di dalam gua. Ini adalah kerana Guano yang telah dipijak tidak lagi mempunyai nilai untuk dijadikan bahan baja dan seterusnya menjejaskan pendapatan penduduk yang terlibat.

Pameran mengenai kelawar yang menghuni Gua Niah
Kepentingan Guano kepada penduduk tempatan
Guano
Selain kelawar, ada juga haiwan-haiwan lain yang tinggal berhampiran Gua Niah. Walaupun mereka jarang dilihat, mereka ada di sini. Oleh yang demikian, kita dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan kehadiran mereka.
 


 Bersambung ke Bahagian 7...



No comments: