November 2015
WESTERN EUROPE
England (2nd Visit), France, Belgium, Netherlands, Germany & Switzerland(GERMANY: Cologne, Frankfurt & Black Forest)
Bahagian 15: Germany (2)
COLOGNE (Cologne Cathedral)
HARI KEENAM (2)
Part 49: Cologne Cathedral
Satu-satunya tarikan pelancong yang kami lawati di bandaraya Cologne ialah Cologne Cathedral. Ia adalah sebuah gereja Roman Katholik yang menjadi mercu tanda bandaraya ini.
|
Cologne Cathedral |
Cologne Cathedral yang dalam Bahasa Jerman dipanggil Kölner Dom ialah bangunan yang tertinggi di kota Cologne. Nama rasminya ialah High Cathedral of Saints Peter and Mary. Satu ketika dahulu, ia pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia.
Pembinaan Cologne Cathedral dimulakan pada tahun 1248 dan diberhentikan pada tahun 1473. Pembinaannya disambung semula pada kurun ke-19 dan siap dibina pada tahun 1880. Keseluruhan pembinaannya menjangkau 600 tahun dan ia diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia (World Heritage Site) pada tahun 1996.
|
Cologne Cathedral adalah bangunan tertinggi di Cologne sehingga ke hari ini. |
|
Pembinaan gereja tua ini mengambil masa 600 tahun untuk disiapkan. |
Cologne terletak di kawasan Rhine-Ruhr yang kaya dengan arang batu. Ia adalah sebuah bandar perindustrian sejak dahulu lagi. Permukaan luar Cologne Cathedral berwarna hitam kerana dikatakan kesan dari pencemaran arang batu yang digunakan dalam industri.
|
Dinding luar Cologne Cathedral berwarna hitam kesan dari pencemaran industri arang batu. |
|
Gereja ini sangat besar. Bandingkan ketinggian pintunya dengan pelawat-pelawat yang datang berkunjung. |
|
Bangunan tua ini sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa untuk mengekalkan keutuhannya. |
|
Bergambar di depan Cologne Cathedral |
Pengunjung yang berminat boleh mendaki menara Cologne Cathedral untuk melihat pemandangan indah keseluruhan kota Cologne. Tapi kita perlu mendaki beratus-ratus anak tangga untuk naik ke atas kerana bangunan ini tidak mempunyai lif.
Walaupun Cologne Cathedral boleh dilawati dengan percuma, bayaran dikenakan jika ingin naik ke menara. Ada 509 anak tangga yang perlu didaki untuk sampai ke puncaknya. Disebabkan kami datang ke sini untuk berseronok dan bukannya untuk mencari penyakit, maka tidaklah kami naik ke atas sana... Lagipun tak cerdik sangatlah rasanya membayar mahal-mahal semata-mata untuk mendapat sakit kaki dan pinggang bila memanjat naik ke atas sana, bukan?
|
Pelancong-pelancong di depan Cologne Cathedral. |
|
Ukiran-ukiran agama Kristian pada pintu masuk ke gereja. |
Rombongan kami dibawa melihat gereja ini dari luar sahaja. Selepas itu, kami diberi aktiviti bebas mengikut masa yang ditetapkan. Ramai yang memilih untuk shopping di bandar Cologne. Disebabkan Myself dan Husband bukan kaki shopping, kami memilih untuk melawat ke bahagian dalam gereja dan cuma kami berdua saja dalam kumpulan kami yang memilih untuk berbuat begitu.
Tapi sebelum masuk ke dalam, kita tinjau-tinjau dulu apa yang ada di sekitar gereja ini...
|
Christmas Market di tepi gereja. |
|
Pejabat Pelancongan Cologne. |
|
Stesen Keretapi Cologne (Hauptbanhof) terletak betul-betul di sebelah Cologne Cathedral. |
|
Salah sebuah pintu masuk ke Stesen Keretapi Cologne yang terletak di perkarangan gereja. |
|
Yang macam tugu di depan ini adalah replika puncak menara gereja (spire) yang dibuat mengikut saiz dan bentuk sebenar. |
PERANG DUNIA KEDUA
Gereja Cologne dibina mengikut bentuk salib dan kami masuk ke dalamnya mengikut pintu tepi. Di luar pintu masuk ini ada pameran ringkas mengenai kejadian pengeboman Cologne sewaktu Perang Dunia Kedua.
Seluruh kota Cologne musnah dalam 70 serangan udara Tentera Bersekutu di mana secara keseluruhannya, lebih 30,000 bom yang digugurkan. Satu-satunya bangunan yang masih tegak berdiri setelah perang tamat adalah Cologne Cathedral.
Malah, adalah dikatakan gereja ini sengaja dibiarkan berdiri oleh Tentera Bersekutu kerana menara gereja menjadi mercu tanda kedudukan bandar Cologne. Maklumlah, pada zaman itu tidak ada radar yang canggih seperti sekarang. Maka, tentera udara perlukan satu rujukan untuk memudahkan mereka mengenalpasti sasaran dari udara.
|
Pameran ringkas mengenai serangan udara ke atas bandaraya Cologne dalam Perang Dunia Kedua di luar pintu masuk ke gereja. |
|
Gambar kemusnahan kota Cologne dalam Perang Dunia Kedua |
Walaupun terselamat dari serangan, beberapa bahagian gereja tetap mengalami kerosakan. Kerja-kerja pembaikan dilaksanakan selepas perang tamat dan siap sepenuhnya pada tahun 1956.
|
Peminta sedekah di pintu masuk ke Cologne Cathedral |
COLOGNE CATHEDRAL
Senibina Cologne Cathedral sangat mengkagumkan. Ruang di dalamnya sangat besar dan tinggi sampai terfikir di dalam hati, bagaimana mereka memanjat setinggi itu untuk membina gereja ini tanpa peralatan seperti kren yang ada pada masa sekarang?
Arkitek yang bertanggungjawab membinanya juga cukup tekun dan teliti. Pembinaan gereja ini menjangkau tempoh 600 tahun. Dah pasti arkiteknya silih berganti, namun memang mengkagumkan kerana Blueprint pembinaannya disimpan dan dipegang rapi sehingga bangunan ini tetap dapat disiapkan mengikut kehendak arkitek yang asal selepas 6 abad.
|
Pemandangan di dalam Cologne Cathedral. |
|
Tinggi betul silingnya. Kalau betul-betul mendongak ke atas nak melihat siling ini, boleh terkehel tengkuk dibuatnya. |
|
Penganut Katholik sedang membakar lilin untuk berdoa. |
|
Pemandangan lilin dari dekat. |
Ada Guided Tours yang disediakan dalam pelbagai bahasa untuk pengunjung melawat ke dalam gereja ini. Bayaran yang dikenakan ialah 8 Euro dan ia bergerak mengikut waktu yang ditetapkan.
Disebabkan kami tak banyak masa untuk mengikut Guided Tours ini, kami hanya membeli pamplet yang berharga 1 Euro dan berjalan sendiri melawat gereja ini.
|
Lelaki yang berpakaian merah ini adalah Tour Guide dalaman gereja. |
|
Mereka berkhidmat sebagai Tour Guide gereja secara sukarela. Bayaran 8 Euro yang dikenakan bagi menggunakan khidmat mereka didermakan kepada gereja. |
|
Ada banyak ruang sembahyang yang disediakan di dalam gereja ini. |
|
Rayuan derma untuk gereja dalam berbagai bahasa dunia, termasuk Bahasa Melayu. |
Sewaktu kami melawat Hagia Sophia yang pada asalnya dibina sebagai sebuah gereja di Istanbul, kami diberitahu yang bangunan gereja dibina menghadap ke Jerusalem sebagaimana masjid dibina menghadap ke Kaabah di Makkah.
Dalam bangunan Cologne Cathedral ini, ada sebuah ruang sembahyang utama dan beberapa ruang sembahyang yang lebih kecil (yang dipanggil Chapel). Tidak seperti gereja di Istanbul dulu, ruang-ruang sembahyang di sini tidak menghadap ke suatu arah yang tertentu.
|
Tempat duduk di ruang sembahyang utama. |
|
Jeweled Madonna |
Jeweled Madonna yang dibuat pada kurun ke 17 ini adalah antara artifak berharga yang terdapat di Cologne Cathedral kerana patung ni dikatakan sebagai
'miracle-working'. Hanya kepala Mary dan Baby Jesus sahaja yang
kelihatan sebab patung dipakaikan gaun sutera putih yang dilekatkan
pelbagai jewels dan ex-votos (offerings to a divinity or saint).
Pada zaman dulu, menjadi adat untuk
meninggalkan hadiah emas dan perak pada patung ini seperti
barang-barang peribadi termasuk rantai emas, mutiara, salib kecil,
cincin, gelang, anting-anting dan jam tangan emas bagi menandakan rasa syukur atas doa yang termakbul. Pada 1969, anak
tingkap kaca melindungi patung ini telah dipecah dan beberapa barang
dicuri.
|
Hiasan-hiasan dinding begini dihadiahkan oleh pembesar-pembesar tempatan kepada gereja. |
|
Lukisan siling seperti ini juga mengingatkan Myself kepada lukisan siling di Hagia Sophia di Istanbul dulu. |
|
Lukisan-lukisan di siling ini menggambarkan kisah-kisah dari Bible yang menjadi pegangan penganut Kristian. |
|
Walaupun ada lampu-lampu yang dipasang di dalamya, suasana di dalam gereja masih gelap. |
Ada beberapa item di dalam Cologne Cathedral yang dianggap suci oleh pengunjung ke gereja. Salah sebuah di antaranya ialah Gero Cross. Gero Cross ialah sebuah salib besar yang diukir pada tahun 976M.
|
Gero Cross |
|
Gero Cross adalah antara salib besar (Crucifix) pertama yang dibuat di dunia. |
|
Jesus Christ yang diukir pada salib ini berbeza dengan salib-salib besar (Crucifix) yang lain kerana Jesus Christ pada salib ini digambarkan telah mati dan tidak menderita sambil memakai Crown of Thorns seperti pada salib-salib yang lain. |
|
Sebuah lagi ukiran dinding yang dihadiahkan oleh pembesar kepada gereja. |
|
Blessed Sacrament Chapel ini hanya boleh dimasuki oleh mereka yang ingin bersembahyang di dalamnya. |
|
Notis di depan Blessed Sacrament Chapel. |
Satu perkara yang pasti menarik perhatian pengunjung ke gereja ini ialah keranda-keranda batu tempat persemadian mayat ketua-ketua gereja yang dipanggil Archbishops. Keranda-keranda ini ditempatkan di ruang gereja yang tertua dan di atas keranda-keranda mereka diukir patung-patung orang yang disemadikan di dalamnya. Patung-patung inilah yang dinamakan Effigy.
|
Pemandangan di ruang persemadian Archbishops of Cologne. |
Effigy pertama yang kami temui ialah St. Engelbert. Dia adalah seorang lelaki kaya di kota Cologne yang berkhidmat sebagai Ketua Gereja (Archbishop) sewaktu hidupnya. St. Engelbert sangat dihormati kerana tegas memelihara kedaulatan undang-undang dan menjaga kebajikan penganut-penganut gereja.
Sikap St. Engelbert yang sedemikian ini walau bagaimanapun, menyebabkan dia tidak disenangi oleh sekumpulan penduduk sehingga timbul pelbagai konflik di antara mereka. St. Engelbert akhirnya mati dibunuh oleh keluarganya sendiri dan disemadikan dalam sebuah keranda batu (sarcophagus) di gereja ini.
|
St. Engelbert adalah seorang Archbishop of Cologne yang mati dibunuh oleh keluarganya sendiri. |
|
St. Engelbert dikatakan disiksa sebelum dibunuh. Mayatnya dihantar kembali ke Cologne dalam sebuah kereta lembu dan dikatakan mempunyai 47 kecederaan sewaktu disemadikan di sini. |
Selain St. Engelbert, ada beberapa keranda batu lain yang kami lihat di sini. Ada kisah hidup mereka yang ditulis pada keranda batu, tapi kami tidak memahaminya kerana ditulis dalam Bahasa Jerman. Pamplet yang kami beli juga tidak menceritakan dengan lanjut tentang mereka.
|
Keranda batu seorang lagi Archbishop of Cologne. |
|
Agak seram melihat keranda-keranda batu di gereja ini kerana kita tahu ada mayat yang disemadikan di dalamnya. |
Seperti kebanyakan gereja lain di Eropah, Cologne Cathedral juga dihiasi dengan tingkap-tingkap kaca yang berwarna-warni (stained glass). Padanlah dengan saiz bangunan gereja, tingkap-tingkap ini juga besar saiznya. Ketinggian tingkap ini mencapai hampir 20 meter.
|
Stained Glass |
|
Hiasan pada tingkap kaca ini menceritakan kisah dari Bible. |
|
Stained glass turut dipasang pada aras tingkap yang paling tinggi. |
|
Beberapa keranda batu dipagar sekelilingnya. |
|
Orang Katholik bersembahyang sambil menyalakan lilin. Kerana itulah tempat-tempat seperti ini disediakan di serata tempat di dalam gereja. |
|
Tabung-tabung derma juga disediakan di serata tempat di dalam gereja. |
|
Salib yang ini sama seperti yang biasa terdapat di mana-mana gereja Katholik. Pada salib ini, Jesus Christ digambarkan mati membawa bersamanya dosa-dosa manusia sambil memakai Crown of Thorns. |
|
Archbishop ini disemadikan dalam keranda batu yang berbentuk seperti kota. |
|
Pemandangan dekat effigy pada keranda. |
|
Archbishop Konrad von Hochstaden yang disemadikan di sini adalah pengasas Cologne Cathedral. |
|
Suasana sebenar keranda batu Archbishop Konrad von Hochstaden. |
Lantai di Gereja Cologne juga sangat cantik dan dibina dari mozek. Pada sesetengah tempat, mozeknya disusun hanya sebagai hiasan. Ada sesetengah tempat, mozek disusun dalam bentuk lukisan.
|
Tak tahu apa yang ingin diceritakan oleh lukisan mozek di lantai ini. |
|
Sesetengah mozek hanya dipasang di lantai sebagai perhiasan. |
|
Dari jauh, memang lantai ini bagai dipasang dengan permaidani. |
Satu lagi item di gereja ini yang sangat dimuliakan oleh penganut Kristian ialah sebuah peti emas yang diletakkan di ruang sembahyang utama gereja. Peti ini dikatakan menempatkan tengkorak dan tulang-belulang The Three Wise Men yang melawat Jesus Christ sewaktu beliau dilahirkan oleh Virgin Mary.
Peti ini diperbuat dari emas dan dihiasi dengan batu-batu permata. Peti emas ini dilindungi pula oleh sebuah bekas kaca yang dikatakan kalis peluru.
Mengikut kepercayaan Kristian, sewaktu Jesus Christ dilahirkan di Bethlehem, The Three Wise Men yang tinggal di Jerusalem telah melihat bintang yang bersinar terang di langit. Mereka telah mengekori bintang tersebut dan menemui Jesus Christ yang masih bayi dengan ibunya, Virgin Mary. Ketiga-tiga lelaki ini yang dinobatkan oleh penganut Kristian sebagai The First Pilgrims kemudiannya menganut agama Kristian dan dibunuh disebabkan kepercayaan mereka.
Mengikut tradisi Kristian juga, tulang The Three Wise Men (yang juga dipanggil The Three Magi) telah ditemui oleh St. Helena, ibu kepada seorang Raja Byzantine yang bernama Emperor Constantine dalam lawatannya ke Palestine. St. Helena telah membawa tulang ini ke kota Constantinople yang didirikan oleh anaknya dan ditempatkan di Gereja Hagia Sophia sebelum dipindahkan ke Milan di Itali. Tulang-tulang ini kemudiannya telah dihadiahkan oleh Holy Roman Emperor Frederick Barbarossa kepada Archbishop of Cologne yang meletakkannya di gereja ini sehingga kini.
|
Peti emas ini dikatakan menyimpan tulang The Three Wise Men yang juga dikenali oleh penganut Kristian sebagai The Three Magi. Mengikut tradisi Kristian, mereka telah datang menziarah Jesus Christ yang baru dilahirkan di Bethlehem selepas mengikut arah bintang yang bersinar terang. |
|
Tulang-belulang The Three Wise Men ini telah ditemui di Palestine oleh St. Helena, ibu kepada Maharaja Constantine yang telah membina Constantinople dan disimpan pada mulanya di Gereja Hagia Sophia di Constantinople (yang kini dikenali sebagai Istanbul). |
|
Dari Gereja Hagia Sophia di Istanbul, tulang-belulang ini telah dipindahkan ke Milan dan seterusnya dihadiahkan oleh Holy Roman Emperor Frederick Barbarossa kepada Archbishop of Cologne. |
Kesemua keranda batu yang disimpan di satu sudut Cathedral of Cologne adalah milik Achbishops of Cologne. Satu-satunya keranda orang biasa yang ditempatkan di sini ialah milik Count Gottfried of Arnsberg. Dia dikatakan mendapat penghormatan ini kerana telah menyerahkan seluruh harta kekayaannya kepada Gereja Cologne.
Sangkar besi
dikatakan diletakkan atas patung kubur ini untuk mengelak dari dirosakkan oleh kaum
keluarga dan saudara mara beliau yang tidak sukakan tindakan Count Gottfried of Arnsberg memberi semua hartanya kepada gereja.
|
Count Gottfried von Arnsberg adalah satu-satunya rakyat biasa yang diberi penghormatan untuk disemadikan bersama Archbishops di sini. |
|
Count Gottfried von Arnsberg mendapat penghormatan begini kerana dia telah mendermakan seluruh hartanya kepada gereja.
|
|
Mungkin agaknya dia seorang penternak babi semasa hidupnya kerana ada patung babi dibuat bersama effigy di atas keranda beliau. |
Cologne Cathedral juga terkenal dengan pipe organnya. Mengikut keterangan pamplet yang dibeli, salah sebuah daripadanya dibina pada tahun 1998 untuk menyambut ulang tahun gereja yang ke-700. Tapi tak perasan pulaklah yang mana satu organ tersebut.
|
Pipe Organ di Cologne Cathedral. |
|
Pipe Organ ini juga dikenali sebagai St Mary's Organ. |
|
Organ adalah alat muzik yang penting untuk mengiringi persembahan nyanyian keagamaan di gereja. |
Pada
zaman dahulu, penganut Kristian dari seluruh pelusuk Eropah akan
membuat perjalanan jauh untuk datang berziarah ke gereja-gereja yang
dianggap suci oleh mereka. Penziarah-penziarah ini dikenali sebagai Pilgrims.
Patron Saint bagi pilgrims adalah St. Christopher yang mana bila
para penziarah menemui kesusahan di dalam perjalanan, mereka akan berdoa
memohon pertolongan kepadanya.
Perjalanan untuk berziarah ke gereja bukanlah satu perjalanan yang mudah kerana ketika itu tidak ada jalan raya yang moden seperti sekarang. Di samping itu, penziarah juga sentiasa berdepan dengan ancaman penyamun dan cuaca yang buruk. Kerana itulah di salah sebuah pintu masuk ke gereja ini (yang merupakan pintu masuk asal ke sini pada masa dahulu), terdapat ukiran patung St. Christopher untuk mengingatkan para pengunjung yang mereka selamat sampai ke sana berkat doa dari St. Christopher.
|
Patung St. Christopher menyambut kedatangan penziarah ke Cologne Cathedral pada masa dahulu. |
|
Budak lelaki yang dikendong oleh Patung St Christopher ini adalah Baby Jesus Christ. |
Kita berjalan lagi ke bahagian gereja yang lain...
|
Pelancong yang berkunjung ke Cologne Cathedral. |
|
Altar of Agilolphus ini dibina pada tahun 1520. |
|
Ada banyak papan keterangan dalam Cologne Cathedral tapi hampir kesemuanya ditulis dalam Bahasa Jerman. |
|
Rasa-rasanya inilah patung The Three Wise Men. Tapi tak tahu siapa orang yang keempat itu... |
|
Satu lagi pemandangan di dalam Cologne Cathedral. |
|
Bandingkan saiz orang yang berkunjung dengan tiang-tiang di gereja ini... |
|
Altar utama di Cologne Cathedral. |
Selain Archbishops of Cologne, mayat orang-orang kaya di kota Cologne juga diberi penghormatan untuk disemadikan di gereja ini. Namun, tidak seperti mayat Archbishops yang disemadikan di aras utama, mayat-mayat orang kaya ini disemadikan di sebuah bilik di bawah tanah yang dinamakan Crypt. Ini mengingatkan kami tentang lawatan ke Gereja Wolvendaal yang dibina Belanda di Sri Lanka dulu di mana mayat-mayat juga disemadikan di bawah lantai gereja.
|
Bilik Crypt di bawah tanah di mana orang-orang kaya di kota Cologne pada masa dahulu disemadikan. |
|
Pintu masuk ke Crypt |
Bilik Crypt di kebanyakan gereja terletak kurang 1 kaki dari aras lantai di mana penganut gereja berdiri bersembahyang. Disebabkan teknik mengawet mayat (embalming) tidak dilaksanakan pada masa itu, mayat-mayat ini berbau bila mereput. Dari sinilah sebenarnya timbul adat pengantin perempuan membawa bunga ke gereja dalam majlis perkahwinan mengikut adat Kristian ~ untuk menghilangkan bau busuk mayat yang mereput dalam majlis mereka!
Kami tak masuk melawat ke bilik Crypt ini kerana bimbang kemungkinan akan ada bau mayat di sana yang tak tertahan nanti. Di samping itu juga, masa mencemburui dan dah tiba masa untuk kami keluar dari gereja ini...
|
Tombol pintu masuk ke gereja. |
Walaupun lawatan ke Cologne Cathedral ini singkat, banyak yang dapat dipelajari di sini. Kami dapat lebih memahami tentang kehidupan penduduk Medieval Europe yang selama ini hanya dilihat dari filem seperti Robin Hood dan siri TV seperti Merlin (My favourite TV Series!)
|
Pintu masuk ke Cologne Cathedral dengan tombol pintunya yang berbentuk seperti kepala singa. |
|
Bertemu lagi dengan peminta sedekah di pintu masuk ke gereja. |
Di luar gereja rupanya masih ada satu kesan sejarah yang dapat dilihat. Seperti kota London di England, Cologne juga didirikan oleh orang-orang Rom dan tapak Cologne Cathedral adalah bekas sebuah Roman Temple pada masa dahulu. Sebuah runtuhan pintu kuil ini masih dibiarkan di perkarangan Cologne Cathedral.
|
Kesan runtuhan Kuil Roman yang ditinggalkan di perkarangan Cologne Cathedral. |
|
Meninggalkan Cologne Cathedral. |
Bersambung ke Bhg. 16...
CATATAN PERJALANAN WESTERN EUROPE (2015):