WESTERN EUROPE
England (2nd Visit), France, Belgium, Netherlands, Germany & Switzerland
(NETHERLANDS: Amsterdam)
Bahagian 12: Netherlands (4)
AMSTERDAM (Amsterdam City Tour 2)
HARI KELIMA (3)
Part 40 (2): Amsterdam City Tour
NEMO SCIENCE CENTRE
Ada lebih 50 buah muzium di Amsterdam dan Nemo Science Centre adalah salah sebuah di antaranya. Muzium ini dibina bagaikan sebuah kapal kaca yang berwarna hijau dan senibinanya amat kena dengan suasana terusan di sekitarnya.
Nemo Science Centre |
Bangunan ini mengingatkan kita kepada kapal "Titanic". Kami hanya melihat muzium ini dari luar. Menurut maklumat yang diberi, ia adalah pusat sains yang terbesar di Belanda dan dikunjungi 500,000 orang setiap tahun.
Bangunan Nemo Science Centre ini dibina berbentuk seperti sebuah kapal. |
Arkitek yang membina bangunan ini adalah Renzo Piano yang berasal dari Itali. Cabaran yang dihadapi oleh arkitek sewaktu pembinaannya ialah muzium ini perlu dibina di atas sebuah terowong kenderaan di dasar terusan.
Pintu masuk ke Nemo Science Centre |
CHINATOWN
Seperti juga kebanyakan bandar lain di dunia, Amsterdam juga mempunyai Chinatown yang tersendiri yang kedudukannya tidak jauh dari Nemo Science Centre. Namun seperti Chinatown lain yang pernah kami lihat di Eropah ini, Chinatown mereka tidaklah Chinese sangat. Mercu tanda Chinatown di Amsterdam ini adalah sebuah restoran terapung seperti yang pernah kami lihat di Aberdeen Harbour di Hong Kong.
Restoran Cina Terapung di Amsterdam |
Pemandangan Pelabuhan Amsterdam. |
Kereta yang parking di atas sebuah Houseboat di Amsterdam. |
NATIONAL MARITIME MUSEUM
Bangunan yang menempatkan National Maritime Museum di Amsterdam pada masa dahulu digunakan oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC). Ditubuhkan pada tahun 1602, VOC adalah syarikat multinasional yang pertama di dunia. Ia telah diberi kuasa oleh Kerajaan Belanda ketika itu untuk memonopoli perdagangan rempah di sebelah timur bagi pihak Kerajaan.
Pada kurun ke 17 dan 18 Masehi, VOC menggajikan hampir sejuta orang Eropah untuk bekerja dalam sektor perdagangan di Asia. Adalah dikatakan jumlah perdagangan Belanda di Asia ketika itu hampir 5 kali ganda berbanding British.
Bukan sekadar melaksanakan aktiviti perdagangan, malah VOC juga turut diberi kuasa untuk berperang bagi pihak Kerajaan Belanda. VOC telah menubuhkan sebuah pusat perdagangan yang bernama Batavia di Pulau Jawa, Indonesia. Kota Batavia ini kini dikenali dengan nama Jakarta yang merupakan ibukota Indonesia.
Bukan sekadar melaksanakan aktiviti perdagangan, malah VOC juga turut diberi kuasa untuk berperang bagi pihak Kerajaan Belanda. VOC telah menubuhkan sebuah pusat perdagangan yang bernama Batavia di Pulau Jawa, Indonesia. Kota Batavia ini kini dikenali dengan nama Jakarta yang merupakan ibukota Indonesia.
Ada sebuah replika kapal lama yang berlabuh di tepi National Maritime Museum ini. Kapal sebenarnya yang diberi nama VOC Amsterdam ini telah tenggelam di selatan England pada tahun 1740. Pada masa dahulu, ia bertugas membawa penumpang dan tentera ke Asia.
Bangunan National Maritime Museum di Amsterdam ini dimiliki oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) pada masa dahulu. Kapal yang berlabuh di sebelah bangunan ini ialah replika VOC Amsterdam. |
DE GOOYER WINDMILL
Satu masa dahulu, ada banyak kincir angin tradisional memenuhi kota Amsterdam tetapi kini hanya ada 3 buah sahaja yang masih tinggal. Salah sebuah di antaranya ialah De Gooyer Windmill.
Kincir angin ini berbentuk oktagon dan berfungsi sebagai sebuah kilang tepung (flour mill) pada masa dahulu. Ia kini digunakan oleh sebuah syarikat bir Belanda yang bernama Brouwerij't IJ sebagai sebuah restoran untuk mempromosikan produk mereka.
Kincir angin De Gooyer |
Kincir angin ini digunakan sebagai sebuah restoran oleh syarikat pembuat bir Belanda, Brouwerij't IJ. |
TROPENMUSEUM
Seperti Britain dan Perancis, Belanda juga adalah sebuah negara penjajah pada masa dahulu. Tanah jajahan Belanda meliputi Indonesia di Asia, Afrika Selatan dan Suriname di Amerika Selatan. Bahan-bahan sejarah dari negara-negara jajahan ini disimpan di Tropenmuseum.
Tropenmuseum. |
Basikal di hadapan Tropenmuseum |
Nama rasmi muzium ini ialah Koninklijk Instituut voor de Tropen (The Royal Tropical Institute). |
Ukiran di pintu masuk ke Tropenmuseum. |
Tropenmuseum mempunyai senibina yang sangat cantik. |
DAPPERMARKT
Selepas kemerdekaan, ramai rakyat negara bekas jajahan Belanda datang ke Amsterdam untuk memulakan hidup baru. Dappermarkt menjadi tumpuan ramai pendatang asing ke Belanda sehingga ke hari ini kerana pelbagai barangan dari negara asal mereka boleh dibeli di sini pada harga yang murah.
Dappermarkt |
ANNE FRANK
Orang Yahudi mula bertapak beramai-ramai di Belanda selepas diusir dari Spain dan Portugal ekoran kejatuhan Kerajaan Islam Granada. Pada tahun 1940, Belanda ditawan oleh tentera Nazi di bawah pimpinan Adolf Hitler dari Jerman yang memburu dan melaksanakan pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi. Peristiwa ini dikenali dalam sejarah sebagai Holocaust.
Anne Frank adalah seorang budak perempuan Yahudi yang tinggal di Amsterdam pada masa pendudukan tentera Hitler di Belanda. Dia dan keluarganya tinggal bersembunyi selama 2 tahun di sebuah bilik rahsia di dalam bangunan di mana ayahnya bekerja.
Namun nasib tidak menyebelahi mereka kerana Anne dan keluarganya akhirnya ditangkap oleh tentera Nazi. Anne dan kakaknya telah dihantar ke kem tawanan di Bergen-Belsen yang terletak di utara negara Jerman. Di sanalah Anne meninggal dunia dalam tahun 1945 ketika berusia 15 tahun kerana penyakit typhus.
Satu-satunya ahli keluarga Anne yang terselamat dari tentera Nazi ialah ayahnya, Otto Frank. Selepas perang tamat, Otto kembali ke Amsterdam. Di sanalah dia mendapat berita yang anaknya Anne telah meninggal dunia dalam tawanan tentera Nazi. Sebagai pewaris yang sah, Otto telah diberikan barang peninggalan Anne yang merupakan sebuah diari yang di dalamnya terkandung tulisan memoir Anne tentang kehidupan dalam persembunyian di bilik rahsia itu.
Otto kemudiannya telah menerbitkan buku yang dinamakan Anne Frank's Diary yang menjadi terkenal di seluruh dunia. Bangunan di mana Anne Frank dan keluarganya tinggal sewaktu pendudukan tentera Nazi juga kini telah dijadikan sebuah muzium.
Kami tidak berkesempatan melawat ke Muzium Anne Frank di Amsterdam. Namun, kisah mengenai Anne Frank telah disampaikan kepada kami oleh Jacquie sewaktu kami melintasi kawasan kediaman Anne Frank pada masa dahulu.
Sebatang jalan di Amsterdam yang dinamakan sempena Anne Frank. |
ARTIS ZOO
Artis Zoo adalah zoo tertua di Belanda. Ia dibuka pada tahun 1838 atas desakan segolongan rakyat yang inginkan sebuah zoo yang boleh dikunjungi oleh segenap lapisan masyarakat dan tidak hanya terbuka kepada golongan kaya seperti zoo yang dibuka di kota London beberapa tahun sebelumnya. Nama asalnya ialah Naturis Artis Magistra.
Papan tanda ke Artis Zoo. |
Zoo ini kini terletak betul-betul di tengah kota Amsterdam. Pintu masuk ke zoo ini unik kerana dihiasi dengan patung dinosaur. Kalau sekadar dipandang dari luar, macam pintu masuk ke Jurassic Park pulak.
Pintu masuk ke Artis Zoo dihiasi dengan patung-patung dinosaur. |
Walau tak masuk ke dalam, kita dapat mengintai sedikit pemandangan di dalam zoo ini dari tepi jalanraya. |
Terusan berdekatan Artis Zoo. |
STOPERA
Bangunan National Opera dan Ballet ini lebih dikenali di kalangan penduduk Amsterdam sebagai Stopera. Ini adalah kerana bangunan ini dan Amsterdam City Hall dibina dalam kompleks bangunan yang sama. Perkataan Stopera merupakan kombinasi perkataan Stadhuis (City Hall) dan Opera.
Bangunan National Opera dan Ballet yang membentuk sebahagian dari Stopera. |
DAM SQUARE
Dam Square terbina pada kurun ke 13 bila sebuah empangan dibina di sekitar sungai Amstel untuk mengelakkan air dari Laut Zuiderzee membanjiri kota Amsterdam. Sejak dari itu, Dam Square mula berubah wajah. Bangunan-bangunan mula dibina di sekitarnya dan pelbagai keramaian diadakan di sini. Ia juga berkembang menjadi sebuah pusat komersil utama di Amsterdam.
Royal Palace |
Selain
dari kedai dan restoran yang mengelilingi Dam Square, terdapat beberapa
tarikan lain di sini seperti Royal Palace (Koninklijk Palace). Ia
dibina sebagai sebuah Dewan Bandaraya dan merupakan bangunan bukan
keagamaan terbesar di Eropah pada kurun ke 17 Masehi.
Raja pertama yang menduduki istana ini adalah adik kepada Napoleon Bonaparte yang dilantik menjadi King of Batavian Republic pada tahun 1806. Istana ini terus menjadi kediaman pemerintah Belanda setelah negara tersebut mencapai kemerdekaan dari Perancis pada tahun 1814.
Istana ini kini tidak lagi menjadi kediaman rasmi Keluarga Diraja Belanda yang memilih untuk menetap di The Hague (disebut Den Haag dalam Bahasa Belanda). Namun begitu, upacara-upacara rasmi yang melibatkan Raja Belanda masih diadakan di sini kerana Amsterdam adalah ibukota Belanda mengikut perlembagaan negara tersebut.
National Monument dibina bertentangan dengan Royal Palace untuk memperingati mangsa-mangsa Perang Dunia Kedua. |
Kedai-kedai berhampiran Dam Square. |
Kalau berkunjung ke Amsterdam, anda pasti perasan ada banyak simbol XXX digunakan di sekitar Amsterdam. Impression pertama kita pasti simbol ini mempunyai perkaitan dengan industri seks di bandaraya ini.
Ramai yang terperanjat bila diberitahu yang sebenarnya XXX adalah simbol rasmi bagi bandaraya Amsterdam. Ia tidak membawa maksud lucah seperti yang kita gambarkan. Sebaliknya simbol XXX ini menggambarkan tiga kesengsaraan kota Amsterdam (the woes of Amsterdam) pada masa dahulu: Fire, Flood & Plague (Kebakaran, Banjir dan Wabak Penyakit).
XXX adalah simbol rasmi kota Amsterdam yang menggambarkan The Three Woes of Amsterdam: Fire, Flood & Plague. |
WESTERKERK
Rembrandt adalah seorang pelukis terkenal yang berasal dari Belanda. Dia dan anaknya Titus dikatakan dikebumikan di Gereja Westerkerk. Namun begitu kubur Rembrandt yang sebenar tidak dapat dipastikan kerana pelukis ini mati dalam keadaan bankrupt dan tidak dipedulikan semasa hidupnya.
Gereja Westerkerk di mana dikatakan pelukis tersohor Belanda, Rembrandt dikebumikan. |
PELACURAN DI AMSTERDAM
Disebabkan Amsterdam adalah kota yang membenarkan pelacuran dan penggunaan dadah, ia sering dianggap sebagai City of Sin. Namun, bagi orang Amsterdam sendiri, mereka menganggap kota mereka sebagai City of Freedom.
Industri pelacuran di Amsterdam berpusat di sebuah kawasan yang bernama De Wallen atau lebih dikenali sebagai Red Light District. Kami tidak berkunjung ke Red Light District tetapi dalam perjalanan mengelilingi Amsterdam, kami masih melalui sebuah rumah pelacuran yang terletak di luar Red Light District ini.
Rumah pelacuran di Amsterdam |
Walaupun pelacuran dibenarkan di Amsterdam, masih terdapat beberapa peraturan yang perlu diikuti oleh pelacur di Amsterdam. Umpamanya mereka hanya boleh mencari pelanggan di rumah-rumah pelacuran dan tidak di jalan raya. Selain dari itu, hanya warga dari negara European Union (EU) sahaja yang dibenarkan menjadi pelacur di Amsterdam.
Pemandangan dekat Rumah Pelacuran dari atas bas. Rumah Pelacuran ini terletak di tengah-tengah sebuah kawasan perumahan dan tidak beroperasi pada siang hari. |
Rumah-rumah pelacuran beroperasi hanya di sebelah malam. Rumah-rumah ini mempunyai tingkap yang besar dan dipasang dengan lampu-lampu merah yang terang. Lampu-lampu ini menerangi daerah De Wallen sehingga memberikan daerah tersebut jolokan sebagai Red Light District.
Yang paling janggal kepada orang-orang yang mempunyai pegangan agama seperti kita ialah di depan Red Light District ini ada sebuah gereja yang besar. Myself pasti agama Kristian juga sebenarnya tidak membenarkan pelacuran.
Yang paling janggal kepada orang-orang yang mempunyai pegangan agama seperti kita ialah di depan Red Light District ini ada sebuah gereja yang besar. Myself pasti agama Kristian juga sebenarnya tidak membenarkan pelacuran.
Dari tingkap kaca di rumah pelacuran inilah, pelacur akan memperagakan diri mereka untuk mencari pelanggan. Jika ada pelanggan yang berminat, urusniaga akan dibuat menerusi pintu di sebelah tingkap tadi. Dan sekiranya urusniaga dapat dimuktamadkan, pelanggan tadi akan dibawa masuk ke bilik kaca dan langsir merah akan dipasang pada tingkap kaca tadi.
Pemandangan malam di Red Light District. Gambar ini diambil dari poskad yang kami beli di Amsterdam. |
RUMAH KEDIAMAN
Jika malam tadi kami diberi sedikit penerangan tentang rumah kediaman Orang Belanda yang kurus dan tinggi dan mempunyai cangkuk di luar untuk mengangkut barang, pada siang hari begini pemandangannya lebih jelas lagi.
Rumah di Amsterdam dibina dengan facade yang kecil dan ruang memanjang yang jauh ke belakang. |
Kebanyakan rumah di kawasan lama Amsterdam bersaiz kecil kerana cukai dikenakan mengikut kelebaran facade rumah. Untuk mengelak dari membayar cukai yang tinggi, facade rumah dibina kecil dan ruangnya dibina memanjang ke belakang.
Oleh kerana tangga di dalam rumah juga kecil dan tak muat untuk mengangkut barang-barang besar, takal yang dipasang pada bumbung sangat berguna. Barang-barang besar ini dibawa masuk ke rumah menerusi tingkap. Malah mengikut kata Jacquie, orang-orang yang mabuk tak mampu nak naik tangga masuk ke rumah pada zaman dahulu juga diangkut balik ke rumah masing-masing dengan cara yang serupa.
Cangkuk dan takal sebegini sentiasa ada pada rumah-rumah lama di Amsterdam. Tali akan diikat kepada cangkuk dan takal ini untuk membawa barang-barang yang besar masuk ke dalam rumah melalui tingkap. |
Pemandangan dekat takal dan cangkuk yang dipasang pada bumbung di luar rumah. |
Kami juga perhatikan rumah-rumah di Amsterdam ini tidak dipasang dengan langsir. Sesiapa saja boleh menjenguk ke dalam rumah untuk melihat apa yang dibuat oleh penghuninya.
AMSTERDAM RAI
Amsterdam RAI ialah sebuah pusat konvensyen yang besar di Amsterdam. Malah ia merupakan pusat persidangan yang terbesar di Eropah. Paling menarik, pusat konvensyen ini diwujudkan pada tahun 1895 lagi untuk menganjurkan sebuah pameran basikal. Cuma mungkin pada masa itu bangunannya tidaklah semoden kini.
Rumah-rumah Orang Belanda tidak dipasang dengan langsir. Sesiapa saja boleh melihat apa yang dibuat oleh penghuni di dalam rumah. Dahlah tingkap mereka besar-besar belaka. |
AMSTERDAM RAI
Amsterdam RAI ialah sebuah pusat konvensyen yang besar di Amsterdam. Malah ia merupakan pusat persidangan yang terbesar di Eropah. Paling menarik, pusat konvensyen ini diwujudkan pada tahun 1895 lagi untuk menganjurkan sebuah pameran basikal. Cuma mungkin pada masa itu bangunannya tidaklah semoden kini.
Amsterdam RAI |
Patung ahli silap mata di depan Amsterdam RAI. |
Pemandangan dekat Amsterdam RAI |
Pemandangan keseluruhan Amsterdam RAI. RAI adalah singkatan kepada Rijwiel-Industrie (Industri Basikal). |
Bersambung ke Bhg. 13 ...
CATATAN PERJALANAN WESTERN EUROPE (2015):
- Bhg 1 [Hari 1] : Kembara Eropah (Kuala Lumpur - Doha)
- Bhg 2 [Hari 2] : England 1 (Heathrow Airport & Bicester Village)
- Bhg 3 [Hari 3] : England 2 (London City Tour Part 1)
- Bhg 4 [Hari 3] : England 3 (London City Tour Part 2)
- Bhg 5 [Hari 4] : France 1 (Eurostar & Eiffel Tower)
- Bhg 6 [Hari 4] : France 2 (Paris City Tour)
- Bhg 7 [Hari 4] : France 3 (Suasana Malam di Paris)
- Bhg 8 [Hari 5] : Belgium (Atomium)
- Bhg 9 [Hari 6] : Netherlands 1 (Perjalanan Ke Amsterdam)
- Bhg 10 [Hari 6] : Netherlands 2 (Zaanse Schans)
- Bhg 11 [Hari 6] : Netherlands 3 (Amsterdam City Tour Part 1)
- Bhg 12 [Hari 6] : Netherlands 4 (Amsterdam City Tour Part 2)
- Bhg 13 [Hari 6] : Netherlands 5 (Amsterdam City Tour Part 3)
- Bhg 14 [Hari 7] : Germany 1 (Perjalanan ke Cologne)
- Bhg 15 [Hari 7] : Germany 2 (Cologne Cathedral)
- Bhg 16 [Hari 7] : Germany 3 (Cologne & Frankfurt)
- Bhg 17 [Hari 8] : Germany 4 (Black Forest & Titisee-Neustadt Part 1)
- Bhg 18 [Hari 8] : Germany 5 (Black Forest & Titisee-Neustadt Part 2)
- Bhg 19 [Hari 8] : Switzerland 1 (Rheinfalls & Zurich)
- Bhg 20 [Hari 9] : Switzerland 2 (Perjalanan Ke Mount Titlis)
- Bhg 21 [Hari 9] : Switzerland 3 (Mount Titlis Part 1)
- Bhg 22 [Hari 9] : Switzerland 4 (Mount Titlis Part 2)
- Bhg 23 [Hari 9] : Switzerland 5 (Dari Titlis Menuju Ke Lucerne)
- Bhg 24 [Hari 9] : Switzerland 6 (Lucerne Part 1)
- Bhg 25 [Hari 9] : Switzerland 7 (Lucerne Part 2)
- Bhg 26 [Hari 9] : Switzerland 8 (Lucerne Part 3)
- Bhg 27 [Hari 10] : Perjalanan Pulang (Zurich - Doha - Kuala Lumpur)