September 2020
TERENGGANU, MALAYSIA
Kuala Terengganu
Bahagian 14: Cultural Terengganu 9
TAMAN TAMADUN ISLAM (3)
HARI KEDUA (9)
Part 24: Taman Monumen @ Taman Tamadun Islam (3)
MAKAM KHWAJA ABU NASR PARSA
Berdekatan dengan replika Masjidil Haram adalah replika Makam Khwaja Abu Nasr Parsa yang terletak di sebuah bandar di utara Afghanistan yang bernama Balkh. Myself akui, Myself tak pernah tahu pun tentang tokoh ini sebelum datang ke sini. Khwaja Abu Nasr adalah seorang tokoh tarikat Naqshbandi dan guru kepada Sultan Timurid yang bernama Sultan Husayn Bayqara Mirza.
Bila Khwaja Abu Nasr Parsa meninggal dunia pada penghujung tahun 1500-an, Sultan Husayn amat berdukacita lalu mengarahkan supaya makam beliau dibina di dalam sebuah masjid yang dinamakan sebagai Masjid Hijau. Ciri menarik pada makam ini adalah dua tiang berpusing di hadapannya serta dinding, kubah, menara dan kaligrafi yang dibuat daripada mozek biru. Ciri ini memberi gambaran kepada generasi terkemudian bahawa kerja-kerja yang unik dan bernilai ini telah berjaya dihasilkan oleh orang Islam di zaman lampau.
MASJID BESAR SAMARRA
Masjid Besar Samarra yang sebenar terletak di utara negara Iraq, kira-kira 120 km dari kota Baghdad. Ia dibina pada kurun ke-9M oleh Khalifah Abbasiyah yang bernama Al-Mutawakkil. Ia pernah menjadi masjid yang terbesar di dunia selama 400 tahun sebelum dimusnahkan oleh tentera Mongol yang dipimpin oleh Hulagu Khan pada tahun 1278.
Dinding masjid ini yang setinggi 10 m dan setebal 2.65 m dibina dari bata tanah liat yang dibakar. Binaannya disokong dengan 44 buah menara yang berbentuk separa bulat. Masjid ini juga mempunyai 16 buah pintu masuk.
Menara masjid ini dibina berpintal setinggi 52 meter dan berbentuk kon. Pada kemuncaknya turut dibina sebuah ruang untuk beristirahat. Khalifah Al-Mutawakkil dikatakan sering menunggang keldai untuk naik menikmati pemandangan dari kemuncak menara ini.
MASJID SHEIKH LUTFULLAH
Masjid Sheikh Lutfullah direka oleh arkitek termasyhur Sheikh Bahai atas perintah seorang Raja Safavid di Iran. Pembangunan masjid ini memakan masa sehingga 16 tahun bermula dari 1603 hingga 1619. Ia terletak di pusat kota Isfahan di Iran, di sisi timur Lapangan Naqsh-e Jahan, yang merupakan salah sebuah dataran yang terbesar di dunia dan termasuk di dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Menurut ceritanya, masjid ini dibangunkan untuk para wanita dari keluarga diraja (Harem). Bagi mengelakkan mereka dari terpaksa melintas Lapangan Naqsh-e Jahan yang selebar 160 meter itu, Shah Abbas telah membina sebuah terowong untuk menghubungkan Istana Ali Qapu sehingga ke masjid di bahagian bawah dataran. Pada masa itu, terowong dan pintu utama masjid dikawal ketat oleh pengawal.
DOME OF THE ROCK
Terletak di Jerusalem (Baitulmaqdis), Dome of the Rock (nama Arabnya Qubbat As-Sakhrah) adalah seni bangunan agung Islam pertama yang didirikan di antara tahun 685 M hingga 691 M oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan yang merupakan seorang khalifah dari Kerajaan Ummayyah. Kubah ini dibangun setengah tahun setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW. Inilah masjid pertama yang dibina menggunakan kubah dalam sejarah architecture Islam.
Replika Dome of the Rock |
Replika Dome of the Rock di Taman Monumen ini agak istimewa kerana tidak seperti replika-replika lain yang cuma ditiru facade luaran sahaja, replika ini turut meniru kandungan di dalam Dome of the Rock yang sebenar di Baitulmaqdis. Nak melawat ke Dome of the Rock ini, kenalah kita memanjat ke atas bukit binaannya ini...
Naik ke bukit Dome of the Rock |
Dome of the Rock sering disalah ertikan dengan Masjidil Aqsa. Masjidil Aqsa adalah nama dari keseluruhan kompleks tersebut, sedangkan Dome of the Rock adalah salah sebuah bangunan yang berdiri di dalam kompleks ini.
Al Aqsa pula adalah tempat suci ketiga di dunia bagi umat Islam setelah Kaabah di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Ada Hadis Nabi yang menyebut pahala bersolat di Masjid Al Aqsa adalah 500 kali lebih baik dari bersolat di masjid yang lain. Non Muslim menyebut Haram Al-Sharif (Al Aqsa) dengan nama Temple Mount karena umat Yahudi percaya di bawah Dome of the Rock ini terdapat tempat ibadat Yahudi pertama yang telah dibangunkan oleh King Solomon (Nabi Sulaiman).
Myself akui memang teruja juga bila dapat melawat replika ini kerana ia dibina semula betul-betul seperti bangunan yang asal. Sejak dulu lagi, Baitul Maqdis dan Palestin memang dah ada dalam radar tempat yang kami ingin kunjungi, cuma masa dan keadaan masih belum mengizinkan kami untuk sampai ke sana.
Di dalam Dome of the Rock terdapat sebuah batu besar atau As-Sakhrah yang dikatakan sebagai tempat Nabi Muhammad SAW berdiri ketika peristiwa Isra dan Mikraj. Kaum Yahudi pula percaya yang batu itu adalah sebahagian dari Temple Mount yang dulunya dibangunkan oleh King Solomon (Nabi Sulaiman AS) dan menjadi kiblatnya umat Yahudi.
Kubah Dome of the Rock terkenal dengan keindahan dan kehalusan seni binanya. Kubahnya yang amat terkenal ini diliputi oleh batu-batu marmar yang mahal dan cantik bagi memperindahkan lagi seni binaannya. Kubah ini turut disalut emas hasil daripada bantuan Arab Saudi.
Melihat ke dalam replika Dome of the Rock ini pun dah mengkagumkan. Apatah lagi kalau kita berpeluang melihat bangunan yang sebenarnya di sana...
Seperti juga di replika Masjidil Haram tadi, ada ruang pameran mengenai Dome of the Rock di bawah replika ini. Tapi disebabkan cuaca nampak mendung sangat macam nak hujan, kami tak masuk ke sana sebab kami nak menghabiskan melawat monumen-monumen lain sebelum hujan turun.
Ada ruang pameran mengenai Dome of The Rock di bawah monumen ini |
Pemandangan di depan monumen Dome of the Rock |
MASJID BADSHAHI
Monumen yang seterusnya kami lawati ialah Masjid Badshahi yang sebenarnya terletak di Lahore, Pakistan.
Masjid Badshahi |
Masjid Badshahi yang bermaksud Imperial Mosque dibina oleh Maharaja Aurangzeb pada tahun 1671-1673. Ia adalah masjid yang kedua terbesar di Pakistan dan yang kelima terbesar di dunia. Keindahan senibina Mughal pada masjid ini menjadikan ia sebuah mercu tanda yang terkenal di Lahore. Masjid ini yang mampu menampung 100,000 jemaah pernah dimusnahkan oleh British. Ia bagaimanapun telah diperbaiki semula seperti sekarang.
KINCIR AIR NORIA
Tak semua monumen yang dibina di Taman Tamadun Islam terdiri dari masjid dan makam. Ada juga sebuah monumen yang menggambarkan kehebatan kejuruteraan Islam di masa dahulu seperti Kincir Air Noria.
Replika Viaduct yang digunakan untuk mengangkut air pada zaman dulu. |
Replika Kincir Air Noria |
Kincir Air Noria ini banyak digunakan di seluruh Dunia Arab pada masa dahulu. Ia adalah struktur hidraulik yang dicipta untuk memindahkan air dari sungai. Bandar yang sangat terkenal dengan Kincir Air Noria adalah Hama yang terletak 226 km ke utara Damascus di Syria. Ada 16 buah Noria hanya dalam jarak 2 km di tepi Sungai Orontes di bandar ini.
Kincir Air Noria ini dibina dengan mengambil ilham dari Kincir Air Noria di Syria |
Kincir Air Noria dipasang dengan bekas-bekas seperti baldi yang diputar oleh kuasa hidro dari sungai. Baldi yang penuh berisi air akan diangkat semakin tinggi dan secara automatik akan mencurah kandungannya ke dalam viaduct yang berhampiran. Viaduct pula berfungsi seperti sistem paip air pada masa sekarang. Cuma bezanya, viaduct dibina terbuka dan menggunakan sepenuhnya kuasa graviti untuk membawa air ke tempat yang diingini.
Replika Noria yang dibina di Taman Monumen ini bukanlah replika yang berfungsi. Hanya sekadar untuk "show". Myself ada terbaca satu lagi fakta menarik mengenai Kincir Air Noria. Bunyi yang terhasil bila ia berfungsi dikatakan kedengaran seperti bunyi manusia yang sedang mengeluh merintih. Mungkin merintih kepenatan dipaksa mengangkut air dari sungai tanpa henti agaknya.
Pemandangan dekat roda kincir air |
Gambaran viaduct yang dibina di sebelah Kincir Air Noria |
Pemandangan bandar Kuala Terengganu dari Kincir Air Noria |
Berjalan di bawah viaduct |
Meninggalkan Kincir Air Noria |
TAJ MAHAL
Sebuah lagi monumen yang sering digambarkan sebagai keagungan senibina Islam adalah Taj Mahal yang terletak di Agra, India. Ia dibina oleh seorang Maharaja Mughal yang bernama Shah Jahan sebagai tugu tempat persemadian isterinya yang bernama Mumtaz Mahal.
Taj Mahal |
Taj Mahal memang sebuah binaan yang istimewa dan kami telah diberikan Allah SWT peluang melawat ke bangunan yang sebenarnya di India dulu. Taj Mahal yang sebenar dibina dari batu marmar dan bertukar-tukar warna sepanjang hari mengikut sinaran matahari yang terkena padanya. Umpamanya bangunan Taj Mahal berwarna putih di sebelah pagi, kuning di waktu tengahari dan menjadi pink bila senja menjelang.
Seperti juga replika Masjidil Haram dan Dome of the Rock tadi, ada pameran mengenai Taj Mahal di bahagian bawah monumen tetapi kami tak masuk melawat ke dalamnya.
Pemandangan lebih dekat replika Taj Mahal |
Pintu masuk ke ruang pameran Taj Mahal. Memang ada kolam berbentuk begini pun di depan Taj Mahal yang sebenar. |
Satu lagi keistimewaan pada Taj Mahal ialah binaannya yang sangat simetri. Pandanglah dari arah mana sekali pun, ia tetap kelihatan sama. Tak ada istilah 'pintu belakang' yang selalunya kurang menarik sikit pada Taj Mahal seperti di bangunan-bangunan yang lain.
Binaan simetri pada Taj Mahal |
Disebabkan simetrinya yang sangat sempurna, Taj Mahal akan kelihatan sama bila dipandang dari mana-mana arah |
Monumen-monumen di seberang tasik yang dipandang dari Taj Mahal |
MASJID SULTAN
Masjid Sultan adalah masjid bersejarah yang paling terkenal di Singapura. Ia dibina di atas sekeping tanah milik Sultan Johor yang dipajak kepada British pada tahun 1819. Masjid ini dibina menggunakan senibina Saracenic yang sering digunakan oleh British dalam pembinaan bangunan di India. Ia mempunyai 4 buah menara dan 2 buah kubah berbentuk bawang.
Masjid Sultan di Singapura |
Satu ciri menarik mengenai kubah masjid ini ialah bahagian bawah kubahnya yang dibina dari kaca botol. Ada kisah menarik mengenai perkara ini. Seperti juga kelaziman pembinaan masjid di mana-mana ketika itu, orang-orang kaya akan memberi sumbangan dalam bentuk wang dan perhiasan yang mahal untuk diletakkan di dalam masjid. Kaca-kaca botol di bawah kubah masjid pula disumbangkan oleh orang-orang yang kurang berkemampuan yang ingin turut serta dalam pembinaan masjid ini.
Sumbangan botol kaca dari orang-orang kebanyakan digunakan dalam perhiasan bahagian bawah kubah yang berwarna hitam pada masjid ini. |
MASJID SULTAN OMAR ALI SAIFUDDIEN
Cuaca dah semakin gelap nak hujan ketika ini. Jadi kita cepat-cepat berjalan melihat replika Masjid Omar Ali Saifuddien. Kami dah pernah beberapa kali melihat masjid yang sebenarnya di Bandar Seri Begawan di Brunei. Ia memang cantik dan sebenarnya ada binaan seperti kapal yang menarik di depannya, tapi tak pula dibina bersama replika ini.
Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien |
MASJID JAMEK PATTANI
Masjid Jamek Pattani yang sebenarnya terletak di Narathiwat di Selatan Thailand. Ia dibina dalam tahun 1954 dan siap pada tahun 1963 dengan senibinanya yang dipengaruhi oleh Arab dan Taj Mahal. Kami tak berkesempatan lagi berkunjung melawat ke masjid ini. Mudah-mudahan Allah akan izinkan kami melawat ke masjid yang dikatakan tercantik di Thailand ini.
Masjid Pattani |
Masjid yang terletak di Narathiwat ini adalah masjid yang dikatakan tercantik di Thailand |
MASJID KUDUS MINAR
Masjid Kudus Minar adalah sebuah masjid yang unik di negara jiran kita Indonesia. Masjid yang dibina oleh seorang ulamak yang bernama Sunan Kudus ini terletak di Jawa Tengah.
Masjid Kudus Minar di Jawa Tengah |
Kami tak pernah sampai ke masjid ini tetapi kami pernah melawat ke Masjid Mataram di Yogyakarta yang mempunyai rekabentuk yang seakan-akan sama. Kalau kita lihat rekabentuk binaan masjid ini, ia adalah gabungan di antara ciri binaan Hindu dan Jawa.
Antara ciri binaan yang paling ketara ialah menara yang jelas berbentuk seperti candi yang sering ditemui di Pura Hindu di Jawa. Kami pernah diberitahu yang binaan sedemikian bertujuan untuk menarik orang-orang Jawa yang rata-ratanya beragama Hindu ketika itu untuk memeluk Agama Islam.
Great Mosque of Xian telah berdiri sejak 1,300 tahun yang lalu. Ia dianggap sebagai masjid yang tertua di negara China. Berbeza negara, berbezalah juga senibinanya. Tidak seperti kebanyakan masjid lain yang dibina dengan kubah, Great Mosque of Xian yang sebenar dibina berbentuk seperti kuil Cina dengan menaranya dibina berbentuk pagoda. Tapi di Taman Tamadun Islam ini, cuma menara pagoda ini sahaja yang dibina untuk mewakili masjid ini.
Masjid Xian |
Masjid ini mula didirikan pada tahun 742M di tahun pertama pemerintahan Dinasti Tang. Dengan terdirinya masjid ini, jelas terlihat bahawa sejak ribuan tahun dulu Kerajaan China telah mendukung pengembangan Islam. Awal mula pengembangan Islam ini ditandai dengan sahabat Rasullullah yang telah mengembara jauh menyebarkan Islam sehingga ke China dan juga kegiatan pedagang Arab terkemudian yang menggunakan Laluan Sutera. Pengembangan Islam di China telah diteruskan pada era Dinasti Song, Dinasti Yuan dan Dinasti Qing.
Binaan Masjid Xian yang berbentuk Pagoda |
MASJID NEGARA MALAYSIA
Last but not least, sebelum kita meninggalkan Taman Tamadun Islam, kita melawat ke replika masjid kebanggaan kita ~ Masjid Negara Malaysia yang terletak di Kuala Lumpur.
Masjid Negara Malaysia |
Sejarah pembinaan Masjid Negara bermula apabila Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama berhasrat untuk membina sebuah masjid negara sebagai memperingati kemerdekaan negara. Masjid ini akan melambangkan perpaduan rakyat negara ini. Pada mulanya Masjid Negara ini akan dinamakan sebagai Masjid Tunku Abdul Rahman tetapi Tunku menolak untuk meletakkan nama beliau sebaliknya memberikan nama 'Masjid Negara' sebagai tanda menghargai pencapaian kemerdekaan Malaysia tanpa pertumpahan darah yang dikenali sehingga ke hari ini.
Masjid Negara direkabentuk oleh arkitek-arkitek tempatan yang bekerja di Jabatan Kerja Raya di bawah penyelia British ketika itu. Rekabentuk masjid ini berkonsep moden dan tidak mengikut gaya senibina Moghul yang menjadi kelaziman bangunan-bangunan yang dibina British pada masa itu. Ia mula dibina pada tahun 1960 dan siap sepenuhnya pada tahun 1965. Masjid Negara telah dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agong yang ketiga, Tunku Syed Putra pada hari Jumaat, 27 Ogos 1965.
Kubah utama Masjid Negara berbentuk seperti separuh bukaan payung yang mempunyai 18 lipatan. Menara Masjid pula berbentuk lipatan payung yang mencapai ketinggian sehingga 73 meter. Secara keseluruhan, keunikan senibina Masjid Negara mampu memberikan aura penghayatan Islam kepada jiwa para Jemaah.
Kubah Masjid Negara |
Makam Pahlawan di Masjid Negara |
Tak dapat nak berlama-lama lagi di Masjid Negara dan Taman Tamadun Islam ini kerana hujan lebat dah mula turun. Bergegas-gegas kami berlari menuju ke bangunan utama taman untuk berlindung...
Bergegas lari ke bangunan utama Taman Tamadun Islam untuk berlindung dari hujan lebat... |
Bersambung ke Bahagian 15...
CATATAN PERJALANAN KUALA TERENGGANU (2020):
- Bhg. 01 [Hari 1] - Departure 1 (Kuala Lumpur Ke Kuala Terengganu 1)
- Bhg. 02 [Hari 1] - Departure 2 (Kuala Lumpur Ke Kuala Terengganu 2)
- Bhg. 03 [Hari 1] - Kuala Terengganu 1 (Tiba Di Kuala Terengganu)
- Bhg. 04 [Hari 1] - Kuala Terengganu 2 (Bas KiTe)
- Bhg. 05 [Hari 1] - Kuala Terengganu 3 (Pesisir Payang)
- Bhg. 06 [Hari 2] - Cultural Terengganu 1 (KT Waterfront & Muzium Negeri Terengganu 1)
- Bhg. 07 [Hari 2] - Cultural Terengganu 2 (Kampung Budaya Terengganu 1)
- Bhg. 08 [Hari 2] - Cultural Terengganu 3 (Kampung Budaya Terengganu 2)
- Bhg. 09 [Hari 2] - Cultural Terengganu 4 (Kampung Budaya Terengganu 3)
- Bhg. 10 [Hari 2] - Cultural Terengganu 5 (Muzium Negeri Terengganu 2)
- Bhg. 11 [Hari 2] - Cultural Terengganu 6 (Muzium Negeri Terengganu 3)
- Bhg. 12 [Hari 2] - Cultural Terengganu 7 (Taman Tamadun Islam 1)
- Bhg. 13 [Hari 2] - Cultural Terengganu 8 (Taman Tamadun Islam 2)
- Bhg. 14 [Hari 2] - Cultural Terengganu 9 (Taman Tamadun Islam 3)
- Bhg. 15 [Hari 2] - Cultural Terengganu 10 (Pulau Warisan River Cruise)
- Bhg. 16 [Hari 3] - Terengganu Instagram Tour 1 (Fauzi Nasi Kerabu, Dewan Tunku Abdul Rahman & Masjid Kristal)
- Bhg. 17 [Hari 3] - Terengganu Instagram Tour 2 (Jambatan Pulau Sekati, Keropok Warisan Losong & Chinatown)
- Bhg. 18 [Hari 3] - Terengganu Instagram Tour 3 (Bukit Puteri, Pasar Kedai Payang & Jambatan Angkat Terengganu)
- Bhg. 19 [Hari 3] - Terengganu Instagram Tour 4 (Lagun Kuala Ibai, Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah & Pantai Pulau Kekabu)
- Bhg. 20 [Hari 3] - Terengganu Instagram Tour 5 (Jeti Marang, Pulau Duyong & KT Walk)
- Bhg. 21 [Hari 4] - Perjalanan Pulang (Kuala Terengganu - Kuala Lumpur)