Saturday, 10 October 2020

2020 KUALA TERENGGANU BHG. 11 (Muzium Negeri 3)

September 2020

TERENGGANU, MALAYSIA
Kuala Terengganu

Bahagian 11: Cultural Terengganu 6
MUZIUM NEGERI TERENGGANU (3)

HARI KEDUA (6)

Part 20: Pameran Persemadian @ Muzium Negeri Terengganu

Muzium Negeri Terengganu sebenarnya terdiri dari beberapa blok bangunan yang bersambung antara satu sama lain.

Laluan yang menghubungkan blok-blok bangunan di Muzium Negeri Terengganu
Sebelum meninggalkan Muzium Negeri Terengganu, kami berkunjung ke sebuah blok bangunan yang bersebelahan dengan blok bangunan utama untuk menyaksikan Pameran Persemadian. Jarang kita dapat bertemu dengan pameran seperti ini, jadi kami membuat keputusan untuk masuk melawat bagi menambah ilmu pengetahuan.

Pameran Persemadian menceritakan tradisi dan keunikan upacara-upacara persemadian orang yang telah meninggal dunia dari serata dunia khususnya di Asia Tenggara. Lighting dalam pameran ini pun sengaja dibuat malap untuk menimbulkan rasa seram.

Intro kepada Pameran Persemadian
Jom kita masuk ke dalam...
Mula-mula kita diperkenalkan dengan adat pengebumian Pra-Sejarah. Sejak dulu lagi, manusia dikebumikan dengan cara mengiring atau terlentang di dalam kuburan dan ada juga dalam posisi melentur dengan meletakkan dagu ke lutut. Kaedah-kaedah pengebumian begini ditemui di banyak tempat pra-sejarah di negara kita.

Persemadian Pra-Sejarah
Posisi pengebumian mayat di Zaman Pra-Sejarah. Masa kami melawat ke Manado di Sulawesi dulu, mayat-mayat Orang Minahasa yang disemadikan dalam Waruga pun diletakkan dalam posisi melentur kerana konon katanya kita dikandung dalam rahim dalam posisi ini, maka bila mati pun perlu disemadi dalam posisi ini juga.
Replika rangka manusia yang ditemui di Gua Bewah dekat Tasik Kenyir (Bewah Man)
Persemadian Keranda Perahu
Cara mayat diletakkan di dalam Persemadian Keranda Perahu
Persemadian di Gua Tok Bidan
Gambaran keadaan rangka manusia purba yang ditemui di Gua Tok Bidan (juga di kawasan Tasik Kenyir) pada tahun 1976. 
Suasana tempat persemadian di dalam gua

PENGEBUMIAN MENGIKUT AGAMA ISLAM

Kita kemudiannya diperkenalkan dengan ritual persemadian menurut Agama Islam. Terperanjat juga kita bila masuk ke ruang sebelah sebab ternampak ada mayat yang dah siap berkafan terbaring kat situ.

Pameran Ritual Persemadian Agama Islam
Menurut Agama Islam, mengkafani jenazah adalah Fardu Kifayah. Jenazah Orang Islam yang meninggal dunia perlu dimandikan sebelum dikafan. Kain kafan untuk mengkafani jenazah lebih utama diambil dari harta orang yang meninggal dan sebaik-baik kain kafan adalah yang berwarna putih. Jenazah lelaki dibalut dengan 3 helai kain kafan manakala jenazah wanita pula dibalut dengan 5 helai kain kafan.

Jenazah akan disolatkan sebelum disemadikan di dalam tanah. Dalam Islam, liang kubur seharusnya dikorek sedalam 7 kaki dan lebar 3 kaki. Jenazah akan dibaringkan mengiring dengan dengan tubuh dan wajah jenazah menghadap ke arah Kiblat. Apabila ditimbus kembali liang lahad, tanah seharusnya dinaikkan sehingga 1 kaki. Batu nisan juga harus diletakkan untuk memudahkan pengecaman kubur.

Gambaran Jenazah Muslim yang disemadikan dalam liang lahad
"Darinya (tanah) itulah Kami menciptakan kamu dan kepadanyalah Kami akan mengembalikan kamu dan dari sanalah Kami akan mengeluarkan kamu pada waktu yang lain" [Al Quran, Surah Thaha (20): Ayat 55]
Batu-batu Nisan yang sering ditemui di kawasan perkuburan Islam

PENGEBUMIAN CINA BERAGAMA BUDDHA

Tidak seperti jenazah Orang Islam yang dikafankan sebelum dikebumikan, mayat Orang Cina yang beragama Buddha akan disolek dan dipakaikan dengan pakaian yang cantik seperti pakaian yang dipakai pada hari perkahwinan. Kemudian mayat akan dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat dari kayu dan diukir menarik. Ukiran pada keranda akan menunjukkan kedudukan seseorang semasa hidupnya.

Upacara pengebumian masyarakat Cina mengikut Agama Buddha
Mayat akan disolek dan dipakaikan dengan pakaian yang cantik sebelum diletakkan di dalam keranda
Apabila berlaku kematian, ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai akan menangis dan meratapi pemergian si mati. Tangisan ahli keluarga terutama ibu bapa atau saudara yang lebih tua adalah lebih baik dan sangat digalakkan dalam masyarakat Cina. Selain itu masyarakat Cina juga akan mengupah lebih ramai orang untuk menangisi si mati. Tangisan yang kuat terutama dalam perjalanan menuju ke kawasan perkuburan menggambarkan kesedihan keluarga dan sahabat handai terhadap kematian itu. Tangisan akan berlanjutan sehingga mayat dikebumikan.

Persembahan untuk Si Mati
Pakaian pengebumian yang dipakai bergantung kepada rapat atau jauhnya hubungan kekeluargaan dengan Si Mati.

PENGEBUMIAN HINDU

Masyarakat Hindu membakar mayat mereka berdasarkan kepercayaan bahawa ia menandakan pembebasan semangat mayat dan api adalah mewakili dewa pemusnah yang bernama Shiva. Mayat biasanya dimandikan dan dipakaikan dengan pakaian putih. Jika si isteri mati sebelum suaminya, dia dipakaikan pakaian pengantin. Manakala seorang janda akan dipakaikan sari yang berwarna putih atau berwarna pucat. Mayat juga akan dihiasi dengan kalungan-kalungan bunga. Selepas itu, kitab suci Hindu akan dibaca. Orang yang berkabung dengan diketuai olah anak sulung lelaki ataupun anak lelaki bongsu, akan menerangi beberapa umpan api dengan mengelilingi mayat, demi mendoakan pemergian jiwa.

Keterangan ringkas tentang pengebumian Hindu
Gambaran upacara pembakaran mayat mengikut Agama Hindu

ADAT PENGEBUMIAN ORANG ASLI

Kita juga boleh mempelajari tentang beberapa adat pengebumian unik yang dilaksanakan oleh kaum Orang Asli di Malaysia.

Kematian Kaum Temuan

Mengikut adat Kaum Temuan, mayat tidak dibiarkan terlalu lama sebelum ditanam ke dalam tanah. Mayat orang biasa akan dibungkus dengan kain manakala mayat insan ternama seperti Tok Batin pula akan ditanam menggunakan keranda.

Kematian Kaum Temuan
Mayat ditanam di dalam kubur yang digali sedalam 2 meter
Mayat insan biasa ditanam dengan dibalut kain manakala mayat insan ternama seperti Tok Batin ditanam menggunakan keranda

Pengebumian Mah Meri

Seperti kaum Temuan, mayat juga akan ditanam di dalam kubur yang digali sedalam 2 meter. Mayat akan dibalut dengan kulit kayu Mahang dan dimasukkan ke dalam sangkar yang diperbuat dari belahan buluh yang diikat bersama untuk dikebumikan.


PENGEBUMIAN UNIK DI ASIA TENGGARA

Asia Tenggara mempunyai banyak penduduk peribumi yang masing-masing mempunyai adat resam yang tersendiri termasuklah di saat berlaku kematian. Dalam pameran ini, kita turut diperkenalkan dengan beberapa adat pengebumian unik yang dilaksanakan oleh kaum-kaum yang tertentu.

Adat pengebumian unik di Asia Tenggara

Kaum Dayak Kalimantan


Mayat kaum Dayak Kalimantan ditanam menggunakan keranda yang dinamakan sebagai Sandong. Sandong ini mempunyai beberapa motif seperti buaya, topengan dan geometri.

Sandong

Kaum Kelabit

Keranda Lungan biasanya digunakan oleh ahli Aristokrat kaum Kelabit di Sarawak dalam memperingati Si Mati. Keranda ini akan disimpan dalam beberapa hari sebelum mayat Si Mati dikebumikan. Mayat seseorang yang diletakkan di dalam keranda ini menyerupai bayi dalam rahim ibu sebagai simbolik Si Mati akan dilahirkan semula di dalam kematian nanti. Semangat Si Mati akan diiringi dengan muzik, dendangan lagu serta mengisahkan riwayatnya sebelum dikebumikan.

Keranda Lungan

Pengebumian Tempayan

Pengebumian Tempayan diamalkan oleh masyarakat Kadazan dan Murut di Sabah. Tempayan yang biasanya digunakan diimport dari China.

Pengebumian Tempayan
Tempayan di sebelah paling kanan yang dinamakan Martaban ini dihasilkan pada kurun ke-16 sehingga kurun ke-18 di China. Ia ditemui di Sarawak dan dihias dengan motif bunga kekwa yang melambangkan kedamaian dan kehidupan yang panjang sesuai dengan sifat bunga tersebut.

Keranda Gantung (Filipina)

Masyarakat Igarot di pergunungan di utara Filipina menggantung keranda di sisi tebing bukit. Mereka percaya meletakkan mayat dalam posisi ini akan lebih mendekatkan Si Mati dengan roh nenek moyang mereka.

Mayat juga diletakkan di dalam keranda dalam posisi seperti kedudukan janin dalam rahim ibu. Mereka percaya seseorang manusia mestilah meninggalkan dunia ini dalam kedudukan yang sama sebagaimana mereka mula masuk ke dunia ini. Kini amalan pengebumian ini jarang diamalkan setelah masyarakat Igarot menganut agama Kristian.

Kisah Keranda Gantung di Filipina
Replika Keranda Gantung

Persemadian Keranda Balak

Persemadian menggunakan Keranda Kayu Balak pernah diamalkan oleh masyarakat Orang Sungai dan sebilangan kecil etnik Murut di Sabah yang tinggal di sepanjang Sungai Kinabatangan seawal 400-900 tahun dahulu. Keranda Kayu Balak ini biasanya dibuat dari Kayu Belian dan juga kayu Merbau. Keranda-keranda ini ditempatkan di gua-gua batu kapur di sepanjang Sungai Kinabatangan seperti Gua Gomantong, Agop Batu Tulug, Batu Supu, Miasis Darat dan Agop Sarupi. Ia turut dijumpai di sekitar Sungai Segama, Lahad Datu, Kunak dan Semporna. Biasanya bilangan keranda ditandai dengan takikan pada kayu penanda di tapak pengebumian. Lokasi pengebumian selalunya di kawasan bukit tinggi dan curam selaras dengan status sosial Si Mati dalam masyarakat sewaktu hidup.

Persemadian Keranda Kayu Balak
Keranda-keranda ini selalunya mempunyai ukiran seperti kepala kerbau dan motif-motif flora serta motif geometri yang menarik dan mempunyai kepanjangan 12 kaki. Kedah persemadian ini juga selalunya disertakan dengan kiriman seperti tembikar dan makanan. Masyarakat pada ketika itu akan menyimpan keranda untuk kegunaan sendiri. Jika ada orang meninggal tetapi tidak mempunyai keranda, orang-orang kampung akan meminjamkan keranda kepunyaan mereka. Waris Si Mati akan membayarnya semula kemudian. Satu fakta menarik ialah keranda kayu ini turut digunakan sebagai hantaran perkahwinan sebagai tanda kesanggupan untuk sehidup semati.

Keranda Balak sering dijadikan hantaran perkahwinan sebagai tanda kesanggupan untuk sehidup semati
Si Mati dan kerandanya tidak boleh bermalam di rumah. Jika seseorang meninggal dunia di waktu pagi kerandanya akan dikuburkan di dalam tanah. Manakala jika seseorang meninggal di sebelah petang, kerandanya akan disimpan di dalam gua. Apabila berlaku kematian, mayat akan disimpan di dalam keranda dan ditutup menggunakan damar. Damar digunakan untuk melekatkan penutup dengan keranda dan mengelakkan bau mayat keluar dari keranda. Keranda akan disimpan beberapa hari untuk menunggu kepulangan anak-anak dan kaum keluarga, kemudian barulah dikebumikan. Keranda disimpan di sebuah rumah khas yang dibina tidak jauh daripada lokasi kampung dan setiap keluarga mempunyai rumah khas tersendiri untuk menyimpan dan menguburkan keranda. Mayat juga turut dipakaikan dengan baju yang diperbuat daripada kulit kayu dan diletakkan bersama barangan berharga milik Si Mati dalam keranda. Keranda akan dikebumikan mengikut adat keturunan Si Mati.

Keterangan mengenai Persemadian Menggunakan Keranda Kayu Balak

Keranda Kerbau

Etnik di Pulau Sulawesi di Indonesia juga mempunyai beberapa adat pengkebumian yang unik. Umpamanya masyarakat Toraja akan menempatkan mayat golongan menengah dalam keranda yang berbentuk kerbau.

Keranda Kerbau
Sejenis keranda lagi diperbuat dari sebatang pokok berbentuk bumbung rumah atau Tangkonan. Ia digunakan oleh masyarakat Toraja di Daerah Palu, Sulawesi Tengah.

Keranda berbentuk bumbung rumah dari masyarakat Toraja di Sulawesi Tengah.

Persemadian Etnik Bali Aga

Etnik Bali Aga di Indonesia juga mempunyai adat pengkebumian yang luar biasa di mana penduduk desa yang meninggal tidak dikubur ataupun dibakar.  Mayat sebaliknya dibungkus dengan kain dan diletakkan di atas tanah. Kemudian jenazah dilindungi oleh anyaman bambu berbentuk segitiga dan dibiarkan membusuk. Tradisi ini disebut Mepasah. Anehnya tidak tercium bau busuk dari mayat yang dibiarkan mereput ini. Mengikut kepercayaan Orang Bali Aga, sebuah pohon besar yang mengeluarkan bau wangi di kawasan tersebut mampu menghilangkan bau busuk. Pohon besar ini disebut sebagai Taru Menyan.

Adat pengebumian Bali Aga

PENGEBUMIAN MUMIA

Mumia ialah mayat yang telah diawetkan supaya tidak reput dengan menggunakan bahan tradisional ataupun bahan kimia. Pada masa dahulu terdapat beberapa tamadun bangsa di dunia yang mengamalkan adat mengawet mayat seperti bangsa Incas di Peru dan Orang Asli di Australia. Bangsa yang paling terkenal dengan pengebumian mumia ialah orang Mesir kuno. Orang-orang Mesir kuno percaya bahawa roh seseorang itu wujud selagi tubuhnya masih ada. Sehubungan itu, jika tubuh seseorang yang telah mati diawet, rohnya akan tetap wujud.

Pameran pengebumian Mumia
Mumia Mesir Purba
Di pameran ini juga ada replika mumia Ramesses II yang juga dikenali sebagai Ramesses The Great, Firaun Ketiga Dinasti Ke-19 Mesir. Dia adalah Firaun yang menentang Nabi Musa AS pada masa dahulu.

Replika Firaun Ramesses
Ramesses II mati ditelan Laut Merah setelah Nabi Musa AS dan pengikut baginda diselamatkan oleh Allah SWT. Disebabkan keangkuhannya yang melampau dan betapa kuatnya beliau menentang seruan Nabi Musa, Allah telah menceritakan di dalam Al Quran bagaimana mayatnya akan dikekalkan untuk tatapan generasi yang akan datang untuk dijadikan iktibar. Alhamdulillah, Myself telah diberi keizinan oleh Allah SWT untuk melihat sendiri Mumia Ramesses II yang sebenar yang disimpan di Egyptian Museum di Cairo dulu. 

Replika Mumia Ramesses II yang disimpan di Egyptian Museum di Cairo, Egypt


 Bersambung ke Bahagian 12...


CATATAN PERJALANAN KUALA TERENGGANU (2020):