Sunday, 14 July 2019

2019 CEBU BHG. 02 (Mactan Island)

Julai 2019

CEBU, PHILIPPINES
Cebu City, Oslob & Bohol

Bahagian 2: Cebu City Tour 1
MACTAN ISLAND

HARI KEDUA (1)

Part 6: Sarapan Pagi Di Harolds Hotel

Walaupun Philippines dan Malaysia tidak mempunyai perbezaan waktu, mentari terbit dan terbenam sangat awal di Philippines. Waktu Subuh masuk pada pukul 4.11 pagi dan Syuruk pula pada pukul 5.27 pagi. Waktu matahari terbenam pula adalah pada pukul 6.15 petang.

Pemandangan pada pukul 5.30 pagi di Cebu City
Mabuhay, Cebu!
Iglesia Ni Cristo
Pemandangan ke arah kawasan pergunungan
Sarapan di Harolds Hotel bermula pada pukul 6 pagi. Sewaktu dinner di Highlights Lounge malam tadi, kami telah diberitahu oleh Manager di sana yang kami boleh meminta Vegetarian Breakfast melalui kaunter Reception Hotel. Maka selepas dinner, terus saja kami bertemu dengan petugas di Reception Counter untuk membuat permintaan Vegetarian Breakfast.

Bila kami turun ke restoran untuk bersarapan pagi ini, ada meja khusus telah disediakan untuk kami. Kemudian Chef yang bertugas, Chef Remy datang bertanya makanan bagaimana yang kami perlukan. Chef Remy ini sebenarnya berasal dari Sabah dan telah beberapa tahun bertugas di sini. Disebabkan dia berasal dari Sabah, dia memang faham apa yang dimaksudkan dengan makanan Halal. Kata Chef Remy, memang tak ada daging Halal di hotel ini. Tapi dia boleh memasakkan makanan seafood dan telur khusus untuk kami. Alhamdulillah, memang bersyukur kami menginap di sini dan dapat bertemu Chef Remy.

Restoran Sarapan Pagi di Harolds Hotel
Satu lagi pemandangan di dalam restoran
Pemandangan dari dalam restoran menghala ke luar
Husband bergambar kenangan dengan Chef Remy
Makanan yang dimasak oleh Chef Remy dihantar terus ke meja kami. Walaupun makanan ini dimasak khusus untuk kami, tak ada sebarang caj tambahan yang dikenakan. Bagus sungguh Harolds Hotel ini. Makanan yang dimasak oleh Chef Remy ini pun memang sedap dan mengenyangkan. 

Mihun Goreng Vegetarian yang disediakan oleh Chef Remy untuk kami.
Mee Kuah dengan Telur yang special untuk kami.
Program pagi ini adalah membuat Cebu City Tour. Program Tour dijadualkan bermula pada pukul 9 pagi. Disebabkan ada masa yang terluang, Myself dan Husband mengambil peluang bersiar-siar di kawasan sekitar Harolds Hotel yang dinamakan Lahug.

Harolds Hotel
Pintu masuk ke Harolds Hotel
Suasana berhampiran Harolds Hotel
Bergambar dengan Jeepney yang lalu-lalang di depan hotel.
Jeepney di Cebu kebanyakannya lebih panjang berbanding Jeepney di Manila.

Part 7: Cebu City Tour

Seperti yang dijadualkan, Cebu City Tour kami bermula pada pukul 9 pagi. Tour Guide kami bernama Melody. Nama orang Pinoy ni memang banyak yang begini. Masa melawat Manila dulu, kami juga berkenalan dengan seorang petugas di hotel kami yang bernama Lovely.

Tour Guide kami yang bernama Melody
Turut bersama kami dalam City Tour ini adalah 3 orang pelancong tempatan yang berasal dari Manila. Salah seorang di antara mereka yang bernama Lilian pernah bertugas di Kedutaan Philippines di Kuala Lumpur selama 4 tahun.

Memandangkan kami adalah pelancong asing, Melody memberikan latar belakang tentang Cebu dan Philippines kepada kami. Secara umumnya Philippines terbahagi kepada 3 bahagian: Luzon, Visayas dan Mindanao. Penduduk Philippines kini berjumlah 106 juta dan 30 juta di antara mereka tinggal di Manila. Selain dari itu terdapat 10 juta warga Philippines yang tinggal dan bekerja di luar negara.

Seperti Indonesia, Philippines juga terletak di kawasan aktif Pacific Ring of Fire yang menyebabkan negara ini mempunyai banyak gunung berapi dan mengalami gempa bumi. Negara ini juga sering mengalami Taufan. Menurut Lilian yang pernah tinggal 4 tahun di Malaysia, hujan lebat macam yang sering melanda sewaktu musim tengkujuh di Pantai Timur Semenanjung Malaysia juga dikira sebagai Taufan kalau di Philippines. Begitu rupanya takrif taufan mereka! Patutlah kat Philippines ada banyak sangat Taufan.

Peta yang menunjukkan pembahagian wilayah Philippines
Cebu City pula adalah ibukota bagi wilayah Visayas yang terdiri dari gugusan-gugusan pulau kecil di antara Luzon dan Mindanao. Nama asal Cebu adalah Sugbo. Penduduknya berjumlah 1 juta orang, manakala jumlah keseluruhan penduduk di Pulau Cebu adalah 3 juta. Ada 6 buah bandar utama di Pulau Cebu: Cebu City, Danao, Lapu-Lapu, Mandaue, Toledo dan Talisay. Ada banyak pulau di sekitar Pulau Cebu dan salah sebuah di antaranya yang bernama Mactan Island dianggap berkembar dengan Cebu. Lawatan kami pada pagi ini dimulakan dengan berkunjung ke Mactan Island.

Mactan Island. Pulau ini terkenal dengan masakan Lechon yang macam Babi Guling kat Bali.
Pulau Mactan dipisahkan dari Pulau Cebu oleh Selat Mactan. Ia dihubungkan dengan Pulau Cebu oleh dua buah jambatan: Mandaue-Mactan Bridge (Old Bridge) dan Marcelo Fernan Bridge (New Bridge). Lapangan Terbang Mactan Cebu juga terletak di Pulau Mactan.

Dua jambatan yang menghubungkan Pulau Cebu dengan Pulau Mactan: Marcelo Fernan Bridge dan Mandaue-Mactan Bridge.
Kami dibawa menyeberang ke Pulau Mactan menggunakan Marcelo Fernan Bridge menuju ke satu-satunya bandar yang terdapat di pulau ini, Lapu-Lapu.

Mactan Channel yang memisahkan Pulau Cebu dengan Pulau Mactan
Marcelo Fernan Bridge
Pemandangan dari Marcelo Fernan Bridge
Penghujung Jambatan Marcelo Fernan di Lapu-Lapu City
Kata Melody, Pulau Mactan kini semakin membangun dengan pelbagai industri yang dibina dengan pelaburan dari Amerika Syarikat dan Korea Selatan. Salah sebuah industri yang menarik perhatian kami adalah studio perfileman Bigfoot Studios. Ada beberapa filem terkenal yang sebahagian pembikinannya dibuat di sini seperti filem animasi Shrek.

Bigfoot Studios
Mactan Island juga adalah tempat tinggal seorang pemimpin tempatan bernama Lapu-Lapu yang telah membunuh pelayar Sepanyol yang terkenal Ferdinand Magellan. Magellan telah datang ke Mactan Island bersama tentera Spanish pada tahun 1521 atas desakan seorang pemimpin Cebu yang bernama Rajah Humabon. Humabon bermusuh dengan Lapu-Lapu. Dia telah memeluk agama Kristian untuk memenangi hati Magellan dan mendesak Magellan menakluk Pulau Mactan untuk mengalahkan Lapu-Lapu. Magellan bersetuju dengan cadangan Humabon di samping ingin mengembangkan agama Kristian di Mactan. 

Kedatangan Magellan telah ditentang hebat oleh Lapu-Lapu yang beragama Islam sehingga Magellan terbunuh dalam satu peperangan yang dinamakan Battle of Mactan. Kematian Magellan di tangan Lapu-Lapu berjaya menyekat kemaraan tentera Sepanyol di Filipina selama 40 tahun, sehinggalah mereka kembali semula menakluk negara ini di bawah pimpinan Miguel Lopez de Legazpi.

Patung wajah Lapu-Lapu banyak dilihat di sekitar Mactan Island
Rumah milik seorang bekas Presiden Philippines, Gloria Macapagal Arroyo.


Bersambung ke Bahagian 3...



CATATAN PERJALANAN CEBU (2019):