Friday 1 March 2024

2024 UMRAH KE-6 BHG. 05 (Masjidil Haram)

Februari 2024

ARAB SAUDI (UMRAH KE-6)
Makkah & Madinah

Bahagian 5: Makkah
MASJIDIL HARAM & UMRAH

Part 12: Masjidil Haram

Masjid al-Haram atau Masjidil Haram (Bahasa Arab: المسجد الحرام) di Kota Makkah Al-Mukarramah ialah masjid paling suci mengikut kepercayaan umat Islam. Ia dibina mengelilingi Kaabah, Qiblat umat Islam apabila mengerjakan solat.

Masjidil Haram
Pemandangan Masjidil Haram dari Safwah Tower
Menurut Hadis Sahih, sekali bersolat di Masjidil Haram adalah bersamaan dengan 100,000 kali solat di masjid-masjid lain, kecuali Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. Sekali bersolat di Masjid Nabawi adalah bersamaan dengan 1,000 kali solat di masjid-masjid lain, kecuali Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa. Manakala sekali solat di Masjidil Aqsa bersamaan dengan 250 kali solat di masjid-masjid lain, kecuali Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Kami tiba di Makkah pada bulan Februari 2024 yang merupakan Musim Dingin di sana. Suhu ketika itu berada di sekitar 18-22'C. Sekali-sekala angin yang kering juga bertiup kencang menambahkan kedinginan. Kami benar-benar tak menyangka cuaca di Makkah boleh menjadi dingin sebegitu dan memang tidak bersedia sama sekali dengan tidak membawa pakaian yang bersesuaian. Faktor ini jugalah yang menyebabkan kami jatuh sakit dengan begitu cepat sewaktu tiba di kota Makkah.

Sebahagian Masjidil Haram terutama berhampiran Pintu King Fahd sedang ditutup untuk kerja-kerja pembinaan.
Kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram masih berlangsung ketika kami di sana dan sebahagian bangunan masjid terutama di bahagian yang bersebelahan dengan hotel penginapan kami di Safwah Tower ditutup. Ini menyebabkan kami terpaksa menapak jauh untuk masuk ke dalam bangunan Masjidil Haram menerusi pintu lain.

Pintu masjid yang berhampiran dengan Safwah Tower ditutup untuk kerja-kerja pembinaan.
Disebabkan kerja pembinaan yang sedang rancak dilaksanakan, pihak pengurusan masjid menyediakan laluan-laluan pergerakan sehala di sekeliling masjid untuk mengelakkan kesesakan.
Kami terpaksa berjalan jauh untuk masuk ke dalam masjid melalui pintu yang di sebelah sana.
Berjalan mencari pintu masjid yang boleh dimasuki
Paip Air Zamzam ini juga sedang ditutup untuk penyelenggaraan
Disebabkan tingkat bawah masjid banyak ditutup untuk kerja-kerja pembinaan, kami sering bersolat di tingkat atas. Pintu favourite kami untuk naik ke atas adalah Pintu No. 92 yang mempunyai sebuah escalator untuk naik ke tingkat atas sehingga ke bumbung masjid.

Pintu favourite kami untuk masuk bersolat di dalam masjid
Escalator untuk naik ke tingkat atas Masjidil Haram
Pemandangan dari escalator
Kita lihat gambar-gambar suasana di ruang solat lelaki di tingkat atas Masjidil Haram yang diambil oleh Husband.

Laluan masuk ke ruang solat di Tingkat Pertama dari escalator
Tiang-tiang masjid
Kawasan yang ditutup dengan penghadang di depan sana adalah sebenarnya sebahagian laluan Tawaf di Tingkat Pertama di mana kerja-kerja pembinaan juga sedang dilaksanakan.
Kita lihat pula gambar-gambar yang diambil oleh Husband untuk menunjukkan suasana sebelum Solat Jemaah bermula.

Kalau datang awal ke masjid memang banyak kawasan lapang begini yang diperhatikan...

Tapi bila semakin hampir dengan masuk waktu solat, pemandangan kawasan yang lapang tadi boleh menjadi padat dengan tiba-tiba...

Selepas dah melihat suasana di ruang solat lelaki, kita lihat pula gambar-gambar suasana yang Myself ambil di ruang solat wanita. Tapi disebabkan kebanyakan jemaah wanita terutama yang berasal dari negara-negara Arab agak sensitif bila gambar mereka diambil, tak banyak gambar yang dapat kita ambil. Kebanyakannya pun diambil secara curi-curi.

Ruang solat wanita selalunya dikepung dengan rak-rak simpanan Al Quran yang tinggi begini
Suasana ketika menunggu solat dimulakan.
Satu lagi suasana yang dapat diabadikan untuk kenangan
Satu kenangan yang tidak Myself lupakan ketika berada di Masjidil Haram adalah kesempatan berkenalan dengan seorang pesara dentist dari Myanmar yang bernama Dr. Syafikah. Perkenalan kami bermula bila Dr. Syafikah menegur Myself dalam Bahasa Melayu. Rupa-rupanya walaupun berasal dari Myanmar, dia adalah graduan dari Universiti Malaya di Kuala Lumpur. Malah selepas graduate dari UM, dia dan suaminya yang juga berasal dari Myanmar berkhidmat sebagai doktor gigi di kampus Universiti Islam Antarabangsa selama 20 tahun.

Kenangan bersama Dr. Syafikah
Suami Dr. Syafikah telah meninggal dunia kerana penyakit jantung. Pada tahun 2000, Dr. Syafikah datang ke Makkah bersendirian untuk membuat Haji Badal bagi suaminya. Sejak itu dia berulang-alik ke Makkah berkali-kali untuk beribadat di Masjidil Haram. Terkejut juga bila dia memberitahu yang dia baru sampai 10 hari yang lalu dan bercadang nak tinggal di Makkah selama 3 bulan sepanjang validity Visa Umrahnya. Rupa-rupanya Dr. Syafikah mempunyai ramai saudara-mara yang menetap di kota Makkah. Malah ada di antara mereka yang telah berkahwin dengan rakyat tempatan Arab Saudi. Disebabkan dia selalu datang ke Makkah, dia berulang-alik ke masjid dari bilik sewa kediamannya dengan hanya menggunakan bas awam.

Keluarga Dr. Syafikah juga bukan calang-calang orangnya. Dia mempunyai seorang anak perempuan yang telah berkahwin dan menetap di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun dia tidak begitu suka kerana anaknya memilih untuk berkahwin dengan Orang Putih. Dr. Syafikah juga mempunyai 2 orang anak saudara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia dan menetap di negara kita. Dia selalu berbual melalui telefon dengan kedua-dua anak saudaranya itu menggunakan Bahasa Melayu. Dengan cara itulah dia mengekalkan kebolehannya bertutur dalam Bahasa Melayu.

Dr. Syafikah juga ada bercerita tentang pengalamannya tinggal di Makkah sepanjang bulan Ramadan. Kata beliau, kadar bilik sewa yang biasanya sekitar SAR 1,500 sebulan akan meningkat menjadi SAR 8,000 sebulan di bulan Ramadan. Dia bersyukur kerana boleh menumpang di rumah saudaranya di Makkah pada ketika itu. Ada ketikanya juga dia akan tinggal di dalam Masjidil Haram sendiri kerana ada ruang Qiyamulail untuk wanita yang disediakan di dalam masjid pada bulan Ramadan.

Suasana selepas selesai waktu solat di Dataran Masjidil Haram
Bukan sahaja di dalam masjid, kami juga berpeluang merasa pengalaman bersolat di bumbung Masjidil Haram seperti pengalaman dalam perjalanan Umrah kami yang sebelum ini. Tetapi pengalaman kali ini sangat luar biasa bagi kami berbanding dulu disebabkan cuaca pagi yang sangat dingin dan tidak terjangka oleh kami ketika itu ~ sekitar 14'C. Myself rasa inilah juga satu faktor yang menyebabkan kami jatuh sakit sejak awal-awal lagi di Makkah ~ kita tak bersedia dengan memakai pakaian yang bersesuaian dengan keadaan cuaca ketika itu.

Pemandangan sewaktu berjalan menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan Solat Subuh
Kita lihat pemandangan sewaktu para Jemaah menanti masuk waktu Solat Subuh di bumbung Masjidil Haram...

Semua ruang solat di bumbung Masjidil Haram adalah terbuka dan tidak beratap
Semua menara Masjidil Haram dibina berpasangan kecuali di kawasan Babus Salam dekat tempat Saie
Jemaah wanita menunggu solat bermula
Pemandangan Menara Jam dari bumbung Masjidil Haram
Cahaya pada permukaan jam akan bertukar menjadi hijau setiap kali azan berkumandang menandakan masuknya waktu solat.
Suasana di ruang solat untuk jemaah lelaki di bumbung Masjidil Haram
Pembinaan bangunan sambungan baru Masjidil Haram sangat jelas dilihat di aras bumbung ini.
Pemandangan ke arah Menara Jam Makkah selepas selesai Solat Subuh di Masjidil Haram
Bila laluan di depan Safwah Tower menjadi sesak dan ditutup oleh polis yang bertugas, kami terpaksa masuk menerusi Bangunan Menara Jam ini untuk pulang ke hotel.

Part 13: Bertawaf di Mataf @ Masjidil Haram

Selain menjadi lokasi untuk Solat Berjemaah, Masjidil Haram juga adalah tempat untuk menyelesaikan ibadah Umrah. Di sinilah dua Rukun Umrah: Tawaf dan Saie perlu dilaksanakan. Dalam perjalanan ke Tanah Suci kali ini, Myself dan Husband hanya terdaya untuk melaksanakan 2 kali Umrah: Umrah Wajib yang dilaksanakan sebaik tiba di Makkah dan satu Umrah lagi yang dilaksanakan selepas selesai mengikut program Ziarah Sekitar Makkah.

Berkumpul di lobi Hotel Safwah Royale Orchid untuk memulakan ibadah Umrah Wajib
Disebabkan kami tiba di Makkah dari Malaysia ketika hampir waktu Solat Jumaat ketika itu, kami menangguhkan pelaksanaan Umrah Wajib kami sehingga selesai Solat Isyak di sebelah malam. Ini adalah kerana Masjidil Haram di Makkah memang mengalami kesesakan luar biasa pada setiap Hari Jumaat. Penangguhan pelaksanaan Umrah Wajib sehingga selesai Solat Isyak juga membolehkan kami merehatkan dulu tubuh yang letih setelah melalui perjalanan yang panjang dari Malaysia.

Pemandangan pertama Masjidil Haram sewaktu kami keluar dari hotel untuk menunaikan Umrah.
Rukun Umrah perlu dilaksanakan mengikut turutan: Tawaf mengelilingi Kaabah dan diikuti dengan Saie setelah berniat di Miqat. Dalam kes Umrah Wajib kami, berniat di Miqat telah dilaksanakan sewaktu pesawat kami melintas Qarnul Manazil sebelum mendarat di Lapangan Terbang Jeddah.

Disebabkan kerja-kerja pembinaan yang sedang berlangsung di Masjidil Haram, pihak berkuasa telah menetapkan supaya akses ke kawasan Kaabah dan Tempat Bersaie hanya boleh dimasuki dari satu arah sahaja yang dikawal ketat oleh pegawai-pegawai yang bertugas. Cuma mereka yang berpakaian ihram dibenarkan masuk bertawaf di Dataran Kaabah yang dinamakan Mataf di tingkat bawah. Mereka yang hendak melaksanakan Tawaf Sunat dengan berpakaian biasa pula diarahkan untuk berbuat demikian di Tingkat Atas Masjidil Haram.

Dataran Kaabah (Mataf) dan Tempat Bersaie (Masa'a) hanya boleh dimasuki dari arah ini sahaja pada masa ini.
Kesesakan menuju ke Mataf dan Masa'a
Walau dah berkali-kali tiba di sini, pemandangan melihat Kaabah yang menjadi Qiblat Umat Islam bersolat memang mengujakan. Kaabah pertama sekali dibina oleh Nabi Adam AS dengan bantuan para malaikat. Kaabah juga pernah beberapa kali rosak ditimpa bencana dan pelbagai punca lain. Nabi Ibrahim AS dengan bantuan anaknya Nabi Ismail AS telah memperbaiki Kaabah atas perintah Allah SWT dan membina masjid di sekitar Kaabah.

Kaabah yang terletak di tengah-tengah dataran tengah Masjidil Haram yang dinamakan Mataf.
Suasana kesesakan di sekitar Kaabah
Bertawaf mengelilingi Kaabah dalam Rukun Umrah adalah sebenarnya sebuah amalan ibadah. Malah, disebabkan Tawaf hanya boleh dibuat di sini dan tidak di tempat lain, Tawaf Sunat adalah ibadah yang lebih utama berbanding Solat Sunat ketika di dalam Masjidil Haram. Jadi laksanakanlah Tawaf dengan sepenuh hati sewaktu kita berada di sini.

Walau bagaimanapun di akhir zaman seperti sekarang, konsep Tawaf sebagai ibadah ini seakan semakin tidak difahami. Ramai yang dilihat bertawaf sambil membuat live feed di social media dan berhenti bergambar dengan Kaabah untuk dipos juga ke social media. Perbuatan mereka memang sangat mengganggu orang yang benar-benar ingin bertawaf sebagai ibadah. Mungkin mereka tidak memahami yang tawaf sebenarnya adalah terbatal jika niat mereka terpesong seperti ingin menunjuk-nunjuk kepada rakan dan taulan di social media yang mereka sedang berada di depan Kaabah. Sepatutnya kena dipastikan tawaf sebagai ibadah telah benar-benar lengkap, barulah wajar bersocial media begitu, bukan sewaktu sedang melaksanakan tawaf ibadah.

Tawaf tidak sekadar mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali. Ada syarat-syarat  lain yang perlu dipatuhi sewaktu melaksanakannya.
Perlu diingat dan difahami bahawa perbuatan menggunakan social media ketika melaksanakan Tawaf Ibadah adalah sesuatu yang dilarang dan boleh membatalkan Tawaf yang dilaksanakan.
Pemandangan Menara Jam dari Dataran Kaabah
Rasulullah SAW bersabda: “120 rahmat turun ke atas Kaabah setiap hari dan malam: 60 rahmat bagi mereka yang melakukan tawaf, 40 rahmat bagi yang mendirikan solat, 20 rahmat untuk mereka yang hanya memandang Kaabah.” Namun demikian, memandang Kaabah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan jika berkunjung ke Masjidil Haram sekarang kerana banyak kawasan yang menghadap ke arah Kaabah dihadang dengan dinding sementara bagi kerja-kerja pembinaan. Kalau tidak berusaha, Myself yakin akan ada orang yang berkunjung ke Masjidil Haram sekarang yang memang tidak langsung dapat memandang Kaabah.

Rasulullah SAW bersabda: “120 rahmat turun ke atas Kaabah setiap hari dan malam: 60 rahmat bagi mereka yang melakukan tawaf, 40 rahmat bagi yang mendirikan solat, 20 rahmat untuk mereka yang hanya memandang Kaabah.”
Kawasan di depan Pintu Kaabah yang dinamakan Multazam ini adalah antara tempat yang sangat makbul doa di Makkah 
Disebabkan kami tiba di Makkah pada permulaan peak season, Dataran Kaabah sentiasa sesak pada bila-bila masa. Waktu solat yang rapat juga menjadikan Umrah di siang hari sangat mencabar. Umpamanya sewaktu melakukan Tawaf Ibadah pada Umrah Kedua sebaik selesai Solat Asar, kami hanya sempat-sempat dapat menyelesaikan 7 pusingan Tawaf pada saat betul-betul sebelum Polis menutup kawasan Mataf bagi persediaan Solat Maghrib. Disebabkan perkara ini juga, kami tidak mendapat kesempatan untuk melaksanakan Solat Sunat di belakang Makam Ibrahim seperti kebiasaan selepas selesai Tawaf.

Meminum Air Zamzam juga adalah antara perkara yang sunat untuk dilakukan selepas selesai Tawaf.

Part 14: Saie di Masa'a

Ibadah Saie merupakan salah satu rukun Umrah yang dilakukan dengan berlari anak atau berjalan cepat sebanyak tujuh kali perjalanan ulang-alik, bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah. Kawasan di mana perbuatan Saie dilaksanakan dinamakan sebagai Masa'a.

Arah ke Masa'a
Berjalan menuju ke Masa'a setelah selesai Tawaf Umrah
Masih berjalan menuju ke Masa'a
Ada sebuah kawasan berhampiran Masa'a ini yang disediakan untuk persediaan jenazah yang akan disolatkan di Masjidil Haram. Ada Hadis Nabi yang menyebut: "Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirath. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirath, dan satu qirath itu ganjaran sebesar bukit Uhud." Solat Jenazah hampir sentiasa diadakan setelah selesai solat fardhu di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Adalah satu kerugian jika kita tidak turut serta dalam Solat Jenazah ini.

Kawasan untuk persediaan jenazah yang akan disolatkan di Masjidil Haram
Kawasan ini juga dikhususkan untuk keluarga membuat solat jenazah
Pemandangan keseluruhan kawasan persediaan jenazah
Ibadah Saie menjadi manasik (perbuatan wajib) dalam Umrah dan Haji sebagai penghormatan kepada ketakwaan isteri kedua Nabi Ibrahim AS, Siti Hajar yang berusaha mencari air bagi anaknya Nabi Ismail AS setelah ditinggalkan di Lembah Bakkah (Lembah Makkah) atas perintah Allah SWT. Tidak seperti pelaksanaan Tawaf yang syaratnya lebih berat, syarat untuk melaksanakan Saie lebih mudah kerana ia hanya perlu dilakukan di tempat yang ditetapkan sahaja di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. Kita juga tidak diwajibkan untuk berada dalam keadaan berwuduk sewaktu melaksanakan ibadah Saie.

First Glimpse orang yang sedang melaksanakan Saie sewaktu kami tiba di Masa'a.
Tiba di tempat permulaan Saie
Saie dimulakan di Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah dalam satu pusingan serta bermula dari Bukit Marwah dan berakhir di Bukit Safa dalam pusingan yang seterusnya. Pemandangan orang yang sangat ramai melaksanakan Saie ketika kami di sana benar-benar mengingatkan kami kembali kepada suasana sewaktu melaksanakan Saei Haji dahulu. 

Pemandangan di tempat permulaan Saie di Bukit Safa
Bukit Safa
Pemandangan di belakang Bukit Safa
Seperti Tawaf, Saie juga adalah ibadah yang perlu dilaksanakan semata-mata kerana Allah SWT. Namun demikian seperti juga ketika bertawaf tadi, memang kita akan melihat ramai orang yang membuat live feed di social media memberitahu rakan dan taulan yang mereka sedang bersaie. Tetapi disebabkan laluan Saie jauh lebih panjang berbanding laluan tawaf, kesesakan disebabkan mereka masih boleh kita tolerate di sini.

Pemandangan umat yang ramai begini mengingatkan kami kepada suasana sewaktu melaksanakan Saie Haji dahulu
Saie perlu dilakukan selepas selesai membuat Tawaf
Saie tidak disyaratkan untuk dilaksanakan berterusan tanpa berhenti. Kalau penat dan dahaga, kita dibenarkan singgah berhenti untuk berehat atau minum Air Zamzam dan menyambung Saie seterusnya dari sana. Walau bagaimanapun, amalan Saie adalah ibadah wajib dalam Umrah dan Haji semata-mata. Tidak ada sebarang ibadah yang dinamakan sebagai Saie Sunat.

Tempat minum Air Zamzam di tengah laluan Saie
Minum Air Zamzam selepas selesai Saie
Laluan khas untuk pengguna kerusi roda melaksanakan Saie
Tempat pengguna kerusi roda berpusing
Kedua-dua bukit Safa dan Marwah terpisah sejauh 450 meter. Untuk mengelakkan kesesakan, ada laluan sehala yang disediakan dari Bukit Safa menuju ke Bukit Marwah dan juga sebaliknya.
 
Laluan dari Safa menuju ke Marwah
Laluan dari Marwah menuju ke Safa
Terdapat sebuah kawasan yang bernama Bathnul Waadi di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. Ia ditandakan dengan lampu neon berwarna hijau. Para jemaah lelaki disunatkan untuk berlari-lari anak di kawasan ini sedangkan jemaah wanita pula berjalan cepat.

Kawasan di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah yang dinamakan sebagai Bathnul Waadi
Kawasan ini ditandakan dengan lampu neon berwarna hijau di mana jemaah lelaki disunatkan berlari-lari anak manakala jemaah wanita pula disunatkan berjalan cepat.
Pemandangan siling di Masa'a selain kawasan Bathnul Waadi
Tidak seperti di Bukit Safa di mana bongkah batuan besar dapat dilihat di sana, hanya sedikit puncak batu dapat dilihat di Bukit Marwah. Puncak batu ini juga tidak dapat didekati sewaktu kami berada di sini. Di sinilah seharusnya orang yang selesai mengerjakan Saie bertahallul, iaitu menggunting sedikit rambut sebagai tanda selesainya ibadah Umrah atau Haji. 
  
Pada masa dahulu, ada banyak gunting wakaf dan tong-tong besar disediakan untuk membuang rambut yang digunting di sini. Namun demikian, kemudahan ini telah tiada lagi di sini, mungkin untuk menjaga kebersihannya. Bertahallul juga boleh dibuat di tempat lain yang sesuai, termasuk ketika kita telah balik ke hotel. Cuma pastikan sahaja ia benar-benar dilaksanakan untuk membebaskan diri dari pantang larang ihram. Bagi lelaki pula, lebih afdal sekiranya mereka bercukur botak untuk bertahallul.

Puncak batu di Bukit Marwah
Puncak batu di Bukit Marwah dikawal oleh pasukan keselamatan dan tidak dapat didekati
Hanya boleh dipandang dari kejauhan sahaja...
Pemandangan orang yang mengerjakan Saie dilihat dari luar bangunan Masjidil Haram
Kesemua mereka sedang mencari keredhaan Allah SWT


Bersambung ke Bahagian 6...


CATITAN PERJALANAN UMRAH KE-6 (2024):

No comments: