Thursday, 7 March 2024

2024 UMRAH KE-6 BHG. 08 (Arafah)

Februari 2024

ARAB SAUDI (UMRAH KE-6)
Makkah & Madinah

Bahagian 8: Makkah
ZIARAH MAKKAH 1 (Arafah)

Part 23: Arafah

Destinasi kami yang seterusnya pada pagi ini adalah melawat ke tempat-tempat yang wajib dikunjungi dalam pelaksanaan Ibadah Haji di luar kota Makkah. Secara kolektif, tempat-tempat ini disebut di dalam Al Quran sebagai Masy'aril Haram. Lawatan kami bermula di Arafah.

Meninggalkan Makkah menuju ke Arafah
Pemandangan dalam perjalanan ke Arafah
Masjid Al Rajhi
Pemandangan dekat Masjid Al Rajhi

PADANG ARAFAH

Sebaik tiba di Arafah, kita akan dapat melihat sebuah kawasan lapang yang dipenuhi pokok-pokok. Inilah Padang Arafah dan di sinilah Jemaah Haji akan berkumpul untuk melaksanakan Rukun Haji Kedua yang dinamakan sebagai Wukuf di Arafah. Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang terpenting bagi menentukan sahnya ibadah haji. Tanpa wukuf, ibadah haji akan menjadi sia-sia kerana Rasulullah SAW yang ditanya mengenai ibadah haji bersabda: Haji itu adalah Arafah (wukuf di Arafah). Maksudnya, kalau tidak membuat Wukuf di Arafah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, tidak bolehlah dikatakan orang berkenaan telah membuat Ibadah Haji.

Disebabkan perkara ini, orang yang sakit terlantar sedang mendapat rawatan di hospital juga akan dibawa untuk Wukuf di Arafah dengan menggunakan ambulans. Tetapi syaratnya, kenalah orang yang berkenaan berada dalam keadaan sedar dan boleh berfikir.

Pemandangan Padang Arafah
Wukuf di Arafah telah ditentukan dengan masa dan waktu yang jelas iaitu pada 9 Zulhijjah setiap tahun. Ia bermula dari waktu gelincir matahari (Zohor) sehingga sebelum waktu fajar (Subuh) pada 10 Zulhijjah. Saban tahun, umat Islam menghadiri perhimpunan ini bagi mengingati perhimpunan yang dihadiri Rasulullah SAW dan menyampaikan amanat kepada umatnya.

Papan tanda permulaan kawasan Arafah
Berada di padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di Padang Mahsyar kelak. Pada masa itu, semua manusia tanpa mengira bangsa, pangkat atau kedudukan akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amar makruf nahi mungkar mereka semasa di dunia.

Pada Musim Haji akan ada khemah-khemah yang didirikan di sini untuk kegunaan Jemaah Haji
Padang Arafah juga dibahagikan kepada zon-zon tertentu untuk kemudahan Jemaah Haji membuat rujukan kedudukan khemah masing-masing
Myself dan Husband pernah berwukuf di sini sewaktu menunaikan Ibadah Haji pada tahun 2006. Pada ketika itu, telah ada pokok-pokok ditanam di Arafah tetapi semuanya tidaklah sebesar pokok-pokok yang dilihat pada masa sekarang.

Di sebalik menghijaunya Padang Arafah, hal tersebut menjadi salah satu petanda bahawa akhir zaman akan segera tiba. Hal ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW: "Tidak akan terjadi hari kiamat kalau Semenanjung Arab tidak berubah menjadi hijau, sungai mengalir dan gedung-gedung menjulang tinggi."

Tandas moden untuk kegunaan para Jemaah Haji di Arafah
Sewaktu kami menunaikan Haji pada tahun 2006 dulu, tiada tandas moden begini disediakan. Hanya portable toilet sahaja.
Lagi pemandangan di Padang Arafah

JABAL RAHMAH

Destinasi lawatan kami dan juga kesemua Jemaah Umrah lain jika berkunjung ke Padang Arafah adalah sebenarnya sebuah bukit kecil yang dinamakan sebagai Jabal Rahmah. Kalau berkunjung ke sana sebelum ini, bas dapat dipandu dan parking betul-betul di kaki Jabal Rahmah. Namun kini, bas dah tak boleh lagi berbuat begitu. Semua bas perlu parking di sebuah kawasan khas yang disediakan dan para jemaah perlu berjalan kaki kira-kira setengah jam untuk mendapatkan Jabal Rahmah.

Bukan sekadar itu, suasana di kaki Jabal Rahmah sendiri juga telah berubah. Pada satu masa dahulu ada perkhidmatan camel ride disediakan di kaki Jabal Rahmah untuk pengunjung, tetapi kini tiada lagi. Bukan sahaja di Jabal Rahmah ini, bahkan unta juga dah sukar kita lihat di mana-mana jua laluan Jemaah Umrah di Arab Saudi sekarang.

Tempat parking bas yang jauh dari Jabal Rahmah
Berkumpul untuk berjalan bersama-sama menuju ke Jabal Rahmah
Memulakan langkah menuju ke Jabal Rahmah
Bila bas dah parking jauh, banyaklah orang yang berjual di tepi jalan. Berbagai jualan ada, bermula dari makanan sehinggalah ke pakaian dan barang-barang cenderamata.

Suasana ketika berjalan kaki menuju ke Jabal Rahmah
Peniaga-peniaga hanya dibenarkan berjualan di sebelah kiri jalan sahaja untuk memberi laluan kepada kenderaan kecemasan di sebelah kanan jalan.
Kakak dari Indonesia yang berjualan minuman dan makanan khas Nusantara
Cendol dan Bakso turut dijual di sini
Zoom Jabal Rahmah dari kejauhan
Hampir tiba ke Jabal Rahmah
Pusat Ambulan untuk kegunaan kecemasan di Musim Haji
Ramai yang bertumpu di gerai ini kerana kesemua barangannya dijual pada harga 1 Riyal
Gerai-gerai menjual ais kerim
Hospital Jabal Al Rahmah
Hospital Jabal Al Rahmah ini hanya dibuka untuk kegunaan pada Musim Haji
Jabal Rahmah yang terletak di Padang Arafah ini adalah tempat yang dipercayai sebagai tempat pertemuan semula  Nabi Adam AS dan isterinya Siti Hawa yang telah diturunkan ke bumi dari Syurga. Keduanya diturunkan ke bumi atas sebab mengingkari perintah Allah dan terpedaya oleh tipu daya Iblis dengan memakan buah terlarang iaitu buah Khuldi. Di saat mereka dikeluarkan dari Syurga, Nabi Adam diturunkan di Sri Lanka dan Siti Hawa pula diturunkan di Jeddah.

Perpisahan mereka mengambil masa selama 40 tahun sehinggalah mereka bertemu semula di Jabal Rahmah yang bererti "Gunung Rahmat". Di situlah bertahun-tahun mereka memohon keampunan kepada Allah sehingga akhirnya permohonan mereka diterima oleh Allah SWT. Kerana itulah pada saat wukuf di Padang Arafah, jemaah haji sangat dianjurkan untuk memperbanyakkan doa meminta ampun. 

Jabal Rahmah
Pemandangan puncak Jabal Rahmah
Tempat pertemuan Nabi Adam AS dengan Siti Hawa di puncak Jabal Rahmah ditandakan dengan sebuah tugu batu. Bila sesebuah tempat dikaitkan dengan Nabi seperti di sini, akan adalah umat manusia yang berbuat perkara khurafat kerana kononnya ingin mengambil berkat dari peristiwa yang berlaku. Kerana itulah pada tugu ini tertera amaran-amaran supaya para pengunjung tidak melakukan amalan-amalan khurafat yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Tugu yang didirikan untuk menandakan tempat pertemuan Nabi Adam AS dengan Siti Hawa setelah keduanya diusir dari syurga.
Papan tanda amaran supaya tidak melakukan perkara khurafat di sini
Kenangan di Jabal Rahmah
Husband pun nak posing juga
Bergambar berdua pulak
Kami tiba di Makkah pada permulaan musim puncak Umrah. Memang ada ramai Jemaah Umrah yang telah berada di Makkah ketika itu dari seluruh dunia. Antara jemaah umrah yang paling ketara ditemui adalah para jemaah yang berasal dari Central Asia (negara stan-stan seperti Kazakhstan, Uzbekistan dan Kyrgystan). 

Jemaah Umrah dari seluruh dunia dapat dilihat di Jabal Rahmah
Antara kumpulan Jemaah Umrah yang paling ketara dilihat adalah dari Central Asia
Jemaah dari Kyrgystan
Sesuatu yang Myself perasan juga sejak dari perjalanan Umrah yang lepas pada tahun 2017, macam tak kelihatan langsung jemaah dari Iran seperti sewaktu kami mengerjakan Haji dulu. Pernah Myself mendengar cerita yang Iran tidak membenarkan rakyatnya datang ke Arab Saudi kerana pertentangan fahaman politik. Dari cerita yang didengar juga, Umat Syiah sekarang membuat haji hanya di Karbala di Iran yang dianggap tanahnya lebih mulia dari Makkah kerana cucunda Nabi Muhammad SAW Saidina Hussin dikebumikan di sana. Mudahnya mereka senang-senang menggantikan kemuliaan Kaabah dengan tempat lain, kan?

Jemaah yang memanjat naik ke Jabal Rahmah
Jabal Rahmah boleh didaki sampai ke puncak tetapi kami tidak berbuat begitu. Tak perlulah kami rasa nak memanjat sampai ke atas sana kerana lutut kita sudah tidak kuat lagi. Tangga naik ke puncak sana pun nampak macam tak proper. Silap langkah boleh tergolek jatuh ke bawah macam nangka busuk.

Tak ada tangga yang proper disediakan untuk naik ke puncak Jabal Rahmah. Memang kena memanjat naik menerusi celah-celah batu.
Pengunjung yang memanjat naik ke puncak Jabal Rahmah
Pendakian perlu dibuat menerusi celah-celah batu
Husband membantu menangkap gambar pasangan dari Pakistan
Di kaki Jabal Rahmah juga ada sebuah kesan binaan lama yang dinamakan sebagai Ain Zubaidah. Ia adalah saluran air lama yang dibina oleh isteri Khalifah Harun Al Rashid dari Baghdad sehingga ke Makkah untuk kegunaan Jemaah Umrah. Menurut ceritanya, apabila dibentangkan kepadanya kos perbelanjaan pembinaan saluran itu, Zubaidah telah mencampakkan bil perbelanjaan tersebut ke dalam sungai sambil berkata: "Kami tinggalkan hitungannya untuk Hari Perhitungan".

Kesan peninggalan saluran air Ain Zubaidah di kaki Jabal Rahmah
Ada sedikit tangga yang proper dibina dekat sini. Kita naiklah ke atas tangga ini sehingga ke serambinya untuk melihat pemandangan di sekeliling.

Sedikit tangga yang proper di kaki Jabal Rahmah.
Pemandangan Ain Zubaidah dari atas tangga
Pengunjung-pengunjung di kaki Jabal Rahmah
Pemandangan menghala ke puncak Jabal Rahmah
Pemandangan menghala ke Padang Arafah
Kaki Jabal Rahmah di Padang Arafah ini adalah juga tempat di mana Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah baginda yang terakhir, yang dikenali sebagai Khutbah Wada' atau Khutbah Perpisahan. Baginda telah wafat tidak lama selepas menyampaikan khutbah ini.

Di situlah Allah SWT menurunkan Ayat Al Quran mengenai selesainya urusan agama Islam dan penerimaan terhadap wadah yang dibawa Baginda SAW. Firman Allah SWT bermaksud: "Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Kuredai Islam itu menjadi agama bagimu." [Surah al-Maidah: Ayat 3]

Kalau tak salah, Nabi Muhammad SAW menyampaikan Khutbah Wada' sewaktu berdiri di sebelah sana.
Burung Merpati di Jabal Rahmah
Kami dinasihatkan untuk tidak mendekati Burung Merpati di Makkah untuk melindungi diri dari penyakit Selsema Burung (Avian Flu).
Jemaah dari Indonesia
Jemaah dari Algeria, kalau tak silap
Jemaah dari Indonesia
Jemaah dari Turkiye
Papan Tanda Jabal Rahmah
Maklumat mengenai Jabal Rahmah
Selepas menghabiskan waktu kira-kira setengah jam di Jabal Rahmah, kami kembali semula ke bas. Peniaga jalanan kelihatan semakin ramai dan rancak berniaga. Sesekali polis akan datang meronda dan peniaga-peniaga haram akan berlari membawa barangan mereka untuk mengelak dari ditangkap.

Peniaga-peniaga jalanan
Sesetengah peniaga di sini berniaga secara tidak sah sebenarnya
Kereta polis yang datang meronda
Pemandangan pergunungan berhampiran Padang Arafah
Berjalan menuju ke bas
Singgah membeli ais kerim dalam perjalanan mendapatkan bas
Posing dengan penjual ais kerim yang berasal dari India
Ais kerim yang dibeli. Setiap satu berharga SAR5.
Tiba kembali ke bas


Bersambung ke Bahagian 9...


CATITAN PERJALANAN UMRAH KE-6 (2024):

No comments: