Thursday, 21 March 2024

2024 UMRAH KE-6 BHG. 15 (Masjid Nabawi)

Februari 2024

ARAB SAUDI (UMRAH KE-6)
Makkah & Madinah

Bahagian 15: Madinah
MASJID NABAWI

Part 38: Masjid Nabawi

Masjid al-Nabawi (Arab: المسجد النبوي) ialah masjid yang kedua paling suci bagi umat Islam. Masjid ini asalnya dibina oleh Rasullullah SAW sendiri, bersebelahan dengan rumah kediaman baginda selepas peristiwa Hijrah pada tahun 622 Masihi. Ia telah diubahsuai berkali-kali. Salah sebuah struktur yang paling ketara di Masjid Nabawi kini adalah kubah berwarna hijau yang terletak di tengah-tengah masjid. Di sinilah terletaknya makam Nabi Muhammad SAW beserta dua orang sahabat baginda: Umar RA dan Abu Bakar RA. 

Masjid Nabawi
Perkara yang pasti menarik perhatian kita bila berkunjung ke Masjid Nabawi adalah payung-payung gergasi yang dipasang di sekitar masjid. Payung ini akan dikembang pada waktu siang dan ditutup pada waktu malam.

Payung-payung gergasi di Masjid Nabawi
Pemandangan sewaktu payung berkembang
Seperti di Masjidil Haram di Makkah, ada satu kenikmatan yang tersendiri bila kita bersolat di Masjid Nabawi di Madinah. Dari Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid) kecuali (pergi) ketiga-tiga buah masjid (yang berikut): Masjidil Haram di Mekah, Masjidir Rasul (Masjid an-Nabawi di Madinah) dan Masjidil Aqsa  di Palestin." [Hadis Al-Bukhari]

Salah sebuah pintu masuk utama ke Masjid Nabawi
Pemandangan di Ruang Solat Lelaki
Menunggu solat bermula
Pintu masuk ke masjid
Dalam hadis-hadis yang lain ada menerangkan kelebihan ketiga-tiga masjid utama di dalam Islam. Di antaranya adalah hadis yang bermaksud: Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda: "Melakukan sekali solat di dalam masjidku (Masjid Nabawi di Madinah ) ini adalah lebih baik daripada 1,000 kali solat dalam masjid yang lain melainkan Masjidil Haram."

Kemudian diterangkan lagi dalam sebuah hadis lain yang bermaksud: Dari Jabir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Satu solat di masjidku lebih afdhal daripada 1,000 solat di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan satu solat di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada 100,000 solat di masjid-masjid yang lain."

Laluan menuju ke tempat solat
Ruang solat lelaki yang sangat lapang dan luas berbanding ruang solat wanita
Tong Air Zamzam yang juga disediakan di dalam Masjid Nabawi
Satu lagi suasana di ruang solat lelaki
Menunggu solat bermula
Pemandangan di dalam masjid di luar waktu solat

Part 39: Ruang Solat Muslimat

Dalam sebuah hadis lagi ada menerangkan pula secara khusus kelebihan orang yang mengerjakan solat di masjid Nabi sebanyak 40 waktu berturut-turut. Dari Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa solat di masjidku 40 solat (dengan syarat) dia tidak ketinggalan dalam satu solat (waktu) pun, nescaya akan ditulis baginya kelepasan dari api neraka, dan kelepasan dari azab siksa dan (dia juga akan bersih) dari sifat munafik."

Disebabkan perkara ini, aturan akan dibuat sewaktu dalam Perjalanan Haji supaya jemaah dari Malaysia akan diberi kesempatan untuk tinggal di Madinah selama 8-9 hari. Ini adalah bagi membolehkan kita bersolat 40 waktu berturut-turut di Masjid Nabawi. Bagi wanita, kita perlu mengikut Solat Jumaat walaupun tidak diwajibkan ke atas kita untuk mendapatkan kelebihan ini.

Peta Ruang Solat Muslimat di Masjid Nabawi
Tidak seperti Masjidil Haram di Makkah, ruang solat untuk Muslimat di Masjidil Haram agak terhad. Ia dibahagi kepada 2 kawasan yang terpisah: Timur (dekat Pintu 13) dan Barat (dekat Pintu 25). Ruang Solat Muslimat di sebelah Barat dekat Pintu 25 adalah lebih besar berbanding Ruang Solat di sebelah Timur dekat Pintu 13.

Pintu masuk terdekat ke Masjid Nabawi dari Hotel Concorde Dar Al Khair
Hotel penginapan kami di Madinah (Hotel Concorde Dar Al Khair) terletak berhampiran Pintu 13 Masjid Nabawi yang merupakan ruang solat untuk Muslimat. Walaupun kedudukan pintu ini agak dekat dengan hotel, Myself terpaksa keluar awal sejam dari masuk waktu solat untuk bersolat di dalam masjid. Ini adalah kerana seperti yang telah Myself nyatakan lebih awal tadi, ruang solat Muslimat di sini agak kecil berbanding ruang solat berhampiran Pintu 25 yang jauh lebih besar.

Suasana di luar masjid berdekatan dengan Pintu 13
Siling masjid
Rak simpanan Al Quran
Hanya Al Quran cetakan rasmi daripada Kilang Percetakan Al Quran Al Fahd sahaja yang dibenarkan untuk disimpan di kedua-dua Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah untuk menjaga ketulenan kandungannya.
Menunggu solat bermula
Pemandangan kubah dari bahagian dalam masjid
Pemandangan di waktu Subuh Pintu 13 yang dikhaskan untuk wanita
Ruang Solat Muslimat di Pintu 25 yang jauh lebih besar dari ruang di Pintu 13 pula sangat jauh dari hotel penginapan kami. Kedua-dua ruang solat wanita di Pintu 13 dan 25 ini dipisahkan oleh satu ruang solat untuk lelaki.

Pintu ke ruang solat lelaki yang memisahkan dua ruang solat Muslimat yang terletak di sebelah kiri dan kanan.
Pintu masjid
Pekerja masjid yang sedang menguruskan pengisian Air Zamzam ke dalam tong-tong simpanan
Penghantaran Air Zamzam ke seluruh masjid
Membersih rak dan menyusun semula mushaf-mushaf Al Quran di tempatnya
Proses pencucian carpet masjid
Ramai yang bersedekah kepada petugas-petugas masjid sebagai penghargaan.
Disebabkan ruangnya yang lebih besar, Myself rasa lebih selesa bersolat di area Pintu 25 berbanding Pintu 13. Cuma masalahnya, Pintu 25 ini sangat jauh dari hotel penginapan kami. Kalau nak bersolat di sana, Myself terpaksa keluar dari hotel seawal 1 jam 30 minit. Kaum wanita umumnya lebih dedicated untuk datang awal ke Masjid Nabawi berbanding kaum lelaki. Disebabkan faktor ini, pintu masuk ke ruang solat wanita sering ditutup lebih awal berbanding pintu untuk lelaki kerana suasana dah terlalu sesak di dalam. Kalau ini berlaku terpaksalah kita bersedia untuk bersolat di bawah payung di luar bangunan masjid.

Suasana di ruang solat Muslimat di Masjid Nabawi
Pemandangan siling Masjid Nabawi. Penghadang kayu ini memisahkan ruang solat Muslimin dan Muslimat.
Menunggu solat bermula
Petugas perubatan sedang memberi bantuan kecemasan kepada seorang jemaah yang memerlukan sebelum solat bermula.
Pemandangan selepas selesai solat
Berjalan menuju ke pintu keluar selepas selesai solat
Pintu keluar dari masjid
Myself pernah berkesempatan bersolat di ruang di luar masjid pada satu Solat Subuh, Maghrib dan Isyak. Memanglah ruang solat di luar ini sangat lapang dan disebabkan ketika itu Musim Dingin, udaranya juga menyamankan. Tetapi sesuatu yang Myself tidak suka sewaktu bersolat di sini adalah ada ramai ibu muda yang membawa anak-anak kecil mereka di sini. Kita bukan against ibu-ibu yang membawa anak ke masjid, hanya tidak suka dengan sikap mereka yang tidak menghormati adab berkunjung ke masjid sehingga mengganggu jemaah lain yang ingin beribadat. Malah ada yang sengaja duduk-duduk di tengah saf dengan anak-anak mereka sewaktu kita sedang bersolat jemaah sedangkan mereka tidak menyertai solat tanpa rasa bersalah. Kebanyakan mereka yang bersikap begitu Myself perhatikan adalah jemaah yang berasal dari benua kecil India.

Di ruang solat luar ini, tak ada polis wanita yang berkawal. Kalau  di ruang dalam masjid, mereka yang tidak menghormati adab berkunjung ke masjid begitu dah pasti akan dihalau keluar oleh polis yang bertugas.

Pintu 18 yang terletak di tengah-tengah masjid. Ia dikhaskan untuk kegunaan jemaah lelaki.
Ruang solat wanita di luar bangunan masjid dekat Pintu 18. Ruang solat ini berada di belakang bangunan masjid kerana ia berada di arah Utara dan Kiblat adalah di arah Selatan.
Ini pula adalah ruang solat wanita di luar bangunan masjid dekat Pintu 13. Disebabkan ia berada di sebelah Timur dan arah Kiblat adalah di Selatan, kita bersolat di tepi bangunan masjid di sini.
Bersolat di bawah naungan payung masjid
Salah sebuah menara masjid yang terletak berhampiran

Part 40: Bersolat Di Bumbung Masjid Nabawi

Kami juga berkesempatan berada di kota Madinah pada satu hari Jumaat. Pada hari Jumaat, memanglah menjadi kewajipan bagi lelaki untuk mengerjakan Solat Jumaat. Seperti di Masjidil Haram di Makkah, wanita juga dibenarkan bersolat Jumaat di Masjid Nabawi di Madinah. Walau bagaimanapun disebabkan Myself batuk teruk dan Solat Jumaat tidak menjadi kewajipan kepada wanita, Myself cuma bersolat di bilik hotel sahaja.

Gambar yang diambil oleh Husband sewaktu berjalan menuju ke Masjid Nabawi untuk Solat Jumaat
Seperti juga di Masjidil Haram yang terlebih sesak pada setiap Hari Jumaat, suasana di Masjid Nabawi juga begitu kerana penduduk tempatan dan dari kawasan sekitar akan turut mengambil kesempatan bersolat di masjid suci ini. Disebabkan Husband yang juga sebenarnya tidak begitu sihat ketika itu agak terlewat tiba di masjid, dia mendapat satu pengalaman baru apabila diarahkan oleh polis bersolat di bumbung Masjid Nabawi.

Berjalan ke pintu masuk masjid
Tangga naik ke bumbung masjid
Pemandangan di bumbung Masjid Nabawi
Sebahagian besar bumbung Masjid Nabawi adalah kawasan terbuka, tetapi adalah juga sedikit kawasan yang berbumbung. Syukurlah kata Husband, sebab dia bernasib baik kerana mendapat tempat solat di kawasan berbumbung.

Sebahagian besar kawasan bumbung Masjid Nabawi adalah kawasan terbuka
Disebabkan ramai orang berkunjung ke Masjid Nabawi untuk Solat Jumaat, kawasan terbuka ini juga penuh dengan jemaah
Kita lihat gambar-gambar yang diambil oleh Husband di bumbung Masjid Nabawi ini...

Seperti yang pernah Myself ceritakan, ini adalah pengalaman Umrah kami yang keenam. Dalam setiap perjalanan Umrah, pasti kami akan mendapat pengalaman-pengalaman baru yang tidak ditemui dalam perjalanan sebelumnya. Pengalaman bersolat di bumbung Masjid Nabawi adalah pengalaman baru bagi Husband dalam perjalanan Umrah kami kali ini.

Menuju ke tangga selepas Solat Jumaat
Turun ke bawah
Pintu keluar dari masjid
Pemandangan di luar masjid
Berjalan pulang ke hotel


Bersambung ke Bahagian 16...


CATITAN PERJALANAN UMRAH KE-6 (2024):

No comments: